Friday, April 30, 2010

Ceritera Bahasa (3): Siapa yang 'memanfaatkan' dan apa yang 'bermanfaat'?

Dalam wacana seperti berita, rencana dan ucapan, sering digunakan orang kata memanfaatkan yang tidak betul maknanya. Sudah menjadi kebiasaan kebanyakan orang menyatakan ayat seperti "Projek itu akan memanfaatkan rakyat terbanyak."

Bukankah ayat itu bermakna bahawa projek itu yang memanfaatkan atau menggunakan rakyat terbanyak? Ternyata bahawa rakyat terbanyak tidak mendapat apa-apa, sebaliknya dimanfaatkan, entah untuk apa. Kita dapat melihat makna yang betul daripada ayat seperti "Kita perlu memanfaatkan ilmu yang diperoleh." Ayat ini munasabah maknanya kerana kita memanfaatkan atau menggunakan ilmu yang diperoleh. Bayangkan makna yang sama sekali tidak munasabah dan songsang apabila ayat itu diubah menjadi "Ilmu yang diperoleh memanfaatkan kita." Tampaknya ilmu yang sepatutnya dimanfaatkan oleh manusia sebaliknya memanfaatkan manusia pula!

Penyelesaian masalah di atas itu tidaklah sukar kerana dalam bahasa Melayu ada kata bermanfaat yang maknanya ialah 'ada manfaatnya' atau 'ada gunanya'. Maka, ayat contoh yang saya sebut mula-mula tadi itu sepatutnya berbunyi "Projek itu akan bermanfaat kepada rakyat terbanyak." Maknanya ialah bahawa rakyat terbanyak akan mendapat manfaat daripada projek itu, bukan sebaliknya, iaitu rakyat terbanyak pula yang dimanfaatkan atau digunakan!

Beberapa contoh lagi ayat yang salah maknanya kerana kesalahan memanfaatkan kata memanfaatkan adalah seperti yang berikut:

1. Bantuan yang diberikan dalam bentuk subsidi baja telah memanfaatkan pekebun kecil di seluruh negara.

(Sepatutnya: Bantuan yang diberikan dalam bentuk subsidi baja telah bermanfaat kepada pekebun kecil di seluruh negara atau Bantuan yang diberikan dalam bentuk subsidi baja telah mendatangkan manfaat kepada pekebun kecil di seluruh negara.)

2. Pembangunan dalam bidang nuklear belum tentu memanfaatkan seluruh manusia di dunia.
(Sepatutnya: Pembangunan dalam bidang nuklear belum tentu bermanfaat kepada seluruh manusia di dunia atau Pembangunan dalam bidang nuklear belum tentu mendatangkan manfaat kepada seluruh manusia di dunia.)

Jelas bahawa penggunaan kata memanfaatkan dalam konteks ayat-ayat yang saya jadikan contoh itu disebabkan oleh terjemahan langsung daripada kata benefit dalam bahasa Inggeris. Dalam bahasa Inggeris, kata tersebut memang menimbulkan makna 'mendatangkan manfaat' seperti "The project will benefit the people". Namun, dalam bahasa Melayu bentuk yang tepat untuk menimbulkan makna tersebut ialah bermanfaat. Kita tidak sewajarnya berfikir dalam bahasa lain untuk mengungkapkan makna yang tepat dalam bahasa sendiri, apatah lagi beranalogi kepada sistem bahasa asing yang kebetulan berbeda daripada sistem bahasa kita.

Kajian Islam di China: Sistem dan Perkembangan Pendidikan


30 April 2010 (Khamis) - Sebagaimana yang telah dijanjikan oleh Ustaz Yunus dan Ustaz Ismail (pensyarah Institut Islam China) dalam pertemuan pada 8 April lalu, pertemuan dengan Naib Presiden Persatuan Islam China, Ustaz Aidil Haji Karim (namanya dalam bahasa Uyghur Adilijiang Ajikelimu) telah dapat diadakan pada 15 April 2010 di pejabat persatuan di Niu Jie.

Beliau disertai olehProf. Essa Gao Zhanfu, Naib Presiden Institut Islam China dan Haji Imad al-Din Abd Allah Sakfy Wenjian, Naib Setiausaha Agung Persatuan Islam China dan En. Hakim, pegawai perhubungan awam Persatuan. Saya, seperti sebelumnya disertai oleh anakanda Johan yang menjadi jurubahasa dan anakanda Fayyadh yang merakamkan foto sepanjang sesi pertemuan. Supaya maklumat perkembangan sistem pendidikan Islam di China dapat diikuti dengan jelas, saya paparkan hasil pertemuan tersebut dalam bentuk wawancara.

Soal: Lebih dahulu saya mohon ustaz menjelaskan sesuatu tentang Persatuan Islam China yang amat rapat hubungannya dengan perkembangan pendidikan Islam di negara China.

Jawab: Persatuan Islam China ditubuhkan pada tahun 1953 dan merupakan persatuan induk yang menaungi persatuan-persatuan Islam di provinsi-provinsi yang mempunyai penduduk Islam. Ada sejumlah 420 buah persatuan Islam di seluruh negara.

Soal: Bagaimana dengan aspek pendanaan pengurusan dan kegiatan Perstuan?

Jawab: Ada beberapa sumber dana yang memungkinkan Persatuan bergerak aktif, iaitu orang Islam secara perseorangan, syarikat yang dimiliki oleh orang Islam, bantuan daripada pemerintah, dan juga bantuan pihak di luar negara, seperti Bank Pembangunan Islam (IDB) di Jeddah. Pejabat disediakan oleh pemerintah dan 1 juta yuan diberikan oleh pemerintah khusus untuk pembesaran Pusat Islam China.

Soal: Apakah antara kegiatan Persatuan yang utama?

Jawab: Persatuan mempunyai Jawatankuasa Agama Islam yang seakan-akan Persatuan Ulama untuk menyediakan bahan rujukan keagamaan. Setakat ini Persatuan telah menghasilkan buku agama, tafsir al-Qur'an, terjemahan hadith, koleksi khutbah Jumaat. Tentang terjemahan hadith, telah terbit 6 buah buku yang antaranya meliputi hadith Bukhari dan Muslim. Selain itu, Persatuan bertanggungjawab menghasilkan dan menerbitkan buku agama untuk digunakan di institut-institut Islam di seluruh negara. Penyebaran Islam melalui teknologi moden dijalankan juga melalui penubuhan laman-laman web yang kini telah melebihi 100 jumlahnya. Untuk urusan haji, Persatuan memiliki Tabung Haji yang mengurus penghantaran kira-kira 13,000 jemaah dari 5 buah bandar utama, iaitu Beijing, Kunming, Lanjhou, Ningxia dan Urumqi. Seperti di Malaysia, Persatuan menganjurkan Musabaqah Al-Qur'an di peringkat kebangsaan yang melibatkan kesemua 56 provinsi di negara ini.

Soal: Khusus tentang sistem pendidikan umat Islam di negara ini, dapatkah ustaz berikan penjelasan?

Jawab: Anak-anak orang Islam mengikuti pengajian kebangsaan seperti anak kaum-kaum lain, iaitu 6 tahun di peringkat sekolah rendah dan 6 tahun di peringkat sekolah menengah. Untuk pendidikan agama, pengajian diadakan di madarasah yang kebanyakannya diselenggarakan oleh masjid. [Catatan: Kunjungan saya ke Sanya, Hainan menunjukkan adanya beberapa buah sekolah agama yang beroperasi di luar selenggaraan masjid, seakan-akan sekolah agama di Malaysia.]Kursus intensif diadakan semasa cuti sekolah. Pengajian agama kepada orang dewasa diadakan di masjid. [Catatan: Menjadi amalan di semua masjid di China bahawa ceramah agama hampir satu jam diadakan sebelum khutbah Jumaat dan amalan ini dapat menjadi wadah peningkatan ilmu tentang agama kepada khalayak yang lebih besar jumlahnya.]

Soal: Tentang Institut Islam China, mohon ustaz jelaskan peranannya dalam sistem pendidikan di China, khususnya untuk umat Islam.

Jawab: Ada dua jenis institut Islam. Yang pertama ialah Institut Islam China, yang terbuka kepada semua pelajar Islam dari seluruh negara. Yang kedua ialah institut Islam di ibu kota provinsi-provinsi yang mempunyai penduduk Islam yang agak besar jumlahnya. Terdapat 10 buah institut Islam di seluruh negara yang menawarkan kursus 5 tahun, termasuk Institut Islam Beijing yang menampung pelajar dari kota Beijing.

Institut Islam China yang secara langsung di bawah Persatuan Islam China ditubuhkan pada tahun 1955. Di institut ini program akademiknya berlangsung selama 4 tahun. Institut ini, sebagaimana institut di provinsi-provinsi mengeluarkan sejumlah besar Imam (dalam bahasa Mandarin disebut A Hong), guru dan pengurus syarikat serta pemimpin persatuan Islam.

Daripada segi pengambilan pelajar, syarat pertama ialah Islam, telah lulus peringkat menengah sekolah kebangsaan dan lulus dalam peperiksaan kemasukan (yang diadakan di pusat-pusat peperiksaan di provinsi-provinsi).

Soal: Bagaimana pula aspek kurikulumnya?

Jawab: Secara kasarnya, 70% kurikulum di Insitut Islam China tertumpu pada kuliah ilmu agama, seperti pengajian Al-Qur'an, Hadith, Tauhid, Fiqah, Sirah dan Bahasa Arab. Sejumlah 30% pula berkaitan dengan kuliah kenegaraan, undang-undang, bahasa Inggeris, bahasa Mandarin dan sejarah Islam dalam zaman Dinasti-dinasti China.

Soal: Adakah Institut Islam China mempunyai rangkaian kerjasama ilmiah dengan universiti Islam di luar negara?

Jawab: Institut Islam China mempunyai rangkaian kerjasama dengan Universiti Al-Azhar di Mesir. Lulusan yang cemerlang dari Insitut diberi peluang melanjutan pengajian di universiti tersebut. Ada juga yang dihantar ke Libya, Pakistan dan Malaysia. Persatuan mendanai pengajian kebanyakan pelajar lanjutan itu. Ada harapan bahawa lulusan Institut akan diberi biasiswa oleh Yayasan Al-Bukhary untuk melanjutkan pengajian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Soal: Dalam kunjungan saya ke kompleks Insitut pada minggu lalu, tampaknya usaha pembesaran sedang giat dilakukan. Apakah perancangan untuk meningkatkan peranan Institut?

Jawab: Setakat ini Insitut Islam China menampung 100 orang pelajar dan kami merancang meningkatkan jumah pelajar menjadi 500 orang. Sekarang kompleks Institut sedang diperbesar selama 2 tahun dan pelajar menumpang di Institut Islam Beijing untuk sementara waktu. Dengan siapnya prasarana yang baru, insya-Allah akan dimulakan program peringkat sarjana. Perkembangan yang penting juga ialah bahawa akan ada pengambilan pelajar wanita kerana selama ini Institut hanya menerima pelajar lelaki. Tenaga pengajar pun akan ditingkatkan jumlahnya.

Wawancara dan perbincangan saya dengan Ustaz Adil Haji Karim, Prof. Essa Gao dan Zhanfu dan Haji Imad al-Din Abd Allah kemudian berkisar di sekitar usaha untuk memenuhi keperluan umat Islam di seluruh negara yang berjumlah 23 juta orang (bayangkan hampir menyamai jumlah penduduk Malaysia!), dengan suku juta daripadanya terdapat di Beijing. Di seluruh negara terdapat lebih 40, 000 buah masjid dan lebih 50,000 orang imam. Mudah-mudahan Islam terpelihara dan berkembang subur di tanah besar China.

Thursday, April 22, 2010

Ceritera Bahasa (2) - Perihal 'Kata Aluan' atau 'Kata Alu-aluan'

Apabila saya diundang menjadi kolumnis majalah Dewan Siswa kira-kira 20 tahun lalu, antara siri makalah yang saya hasilkan termasuklah ruangan yang membincangkan penggunaan kata yang tepat. Antaranya termasuklah kata majmuk kata aluan yang sepatutnya ditulis kata alu-aluan. Tampaknya hingga kini kesilapan penggunaan kata itu masih berlaku walaupun telah sekian lama dijelaskan kesilapannya.

Untuk mengetahui bentuk yang betul, perlu dipastikan adakah kata dasarnya alu atau alu-alu. Kata alu bererti 'antan' atau alat yang digunakan bersama-sama dengan lesung untuk menumbuk sesuatu, misalnya padi. Tidaklah munasabah antan digunakan untuk menjadi kata sambutan dalam buku cenderamata, buku atau majlis.

Oleh itu, kata dasarnya ialah alu-alu yang asalnya bermaksud 'menjengukkan muka ke luar tingkap sebagai tanda menyambut tamu yang datang'. Daripada kata itulah timbul kata kerja mengalu-alukan yang bererti 'menyambut' kedatangan tamu. Jika ada tuan rumah atau majlis yang mengalukan tetamu, saya yakin bahawa tetamu pasti lari dan tidak jadi menghadiri majlis kerana tuan rumah menyambutnya dengan alu atau antan. Ucapan, baik lisan mahupun tulisan yang bertujuan untuk menyambut atau mengalu-alukan tetamu dalam majlis atau buku disebut ucapan alu-aluan atau kata alu-aluan.

Sayangnya sesetengah pihak menggunakan bahasa dengan tidak berasaskan sistem dan menjadikan kebiasaan (yang malangnya salah) sebagai asas. Lebih buruk lagi halnya apabila kesilapan itu dilakukan oleh orang dan institusi yang berkaitan dengan hal ehwal bahasa dan persuratan, baik jabatan kerajaan, institusi pengajian tinggi mahupun persatuan.

[Bahagian pertama buku saya Tuntunan Bahasa terbitan Pearson, iaitu "Cerita di Balik Kata" membincangkan 88 kata yang sering menjadi masalah dalam penggunaannya.] - 8.45 malam, Khamis, 22 April 2010

Wednesday, April 21, 2010

Ceritera Bahasa (1)

[Untuk melapangkan fikiran pengunjung blog ini, selain mengemukakan tulisan yang serius tentang bahasa, budaya, pendidikan dan isu lain, saya buka ruangan baharu yang mencatat hal-hal umum, tetapi penting, secara santai. Ruangan ini saya namai "Ceritera Bahasa" kerana kandungannya memang cerita atau kisah yang berlegar seputar yang berkaitan dengan bahasa.]

Dalam usaha mengajak masyarakat, khususnya penulis, pendidik, pelajar dan pengguna bahasa rasmi yang lain menggunakan bahasa yang persis, salah satu unsur bahasa yang diketengahkan ialah penggunaan bentuk jamak yang lewah atau berlebihan. Antaranya termasuklah penggunaan kata mereka-mereka yang jelas lewah. Kata mereka memang telah jelas merujuk kepada jumlah jamak, iaitu lebih daripada seorang. Maka bentuk seperti mereka-mereka yang beminat, mereka-mereka yang beriman, mereka-mereka yang layak dan sebagainya dikira salah menurut tatabahasa bahasa Melayu. Cukuplah dikatakan mereka yang berminat, mereka yang beriman dan mereka yang layak dengan makna sesiapa yang berminat, sesiapa yang beriman dan sesiapa yang layak. Saya pernah mendengar ada penceramah, malahan ahli bahasa tertentu yang berhujah bahawa penggunaan kata mereka-mereka boleh digunakan untuk tujuan penegasan atau penekanan maksud! Wallahu a`lam.

Dengan maksud untuk memberikan pemahaman yang lebih baik, saya sering menimbulkan jenaka bahawa ada tempatnya kata mereka boleh digunakan dua kali secara berurutan, tetapi tanpa tanda sempang. Ayat contoh yang biasa saya berikan ialah Mereka mereka cipta model baharu kereta nasional. Dalam ayat itu, kata mereka yang pertama merujuk kepada karyawan atau tenaga kerja di syarikat kereta nasional, sementara kata mereka yang kedua ialah kata kerja yang sama maknanya dengan merancang atau memikirkan sesuatu yang baharu. Dalam perkembangan bahasa Melayu, wujud bentuk kata majmuk mereka cipta (awas, kata majmuk tidak sama dengan kata jamak), yang bermakna merancang atau memikirkan sesuatu ciptaan baharu.

Oleh itu, ayat tadi bermaksud bahawa 'Para karyawan atau tenaga kerja di syarikat kereta negara merancang atau memikirkan model baharu kereta syarikat itu'. Entah bagaimana penerangan saya itu telah disalahfahami oleh orang tertentu lalu sampai kepada sejumlah orang lain di luar dewan kuliah atau ruang seminar, ceramah dan kursus bahawa bentuk mereka-mereka tidak salah. Yang menggelikan hati, tetapi turut menjengkelkan ialah bahawa kononnya 'fatwa bahasa' itu dikeluarkan oleh Awang Sariyan, orang yang dikenal tegas dengan bentuk bahasa yang tepat dan persis! Itulah yang kedengaran oleh telinga saya melalui beberapa orang yang berani bertanya secara langsung kepada saya. Yang tidak berusaha bertanya untuk mensahihkannya terus percaya sahaja, sehinggalah dalam satu ceramah di Kota Bharu anjuran Dewan Bahasa dan PustakaCawangan Wilayah Timur pada sekitar tahun 2000 seorang sasterawan besar (kemudian menjadi Sasterawan Negara) dengan yakin memetik 'fatwa' yang kononnya saya keluarkan, iaitu kata mereka-mereka tidak salah digunakan.

Saya terkejut tetapi bukan ruangnya untuk saya bangkit memberikan penjelasan, kerana saya biasanya berusaha menjaga adab supaya tidak mengganggu ceramah orang lain. Hanya sesudah tamat ceramahnya baru saya menjelaskan bahawa beliau sebenarnya telah tersalah petik 'akan fatwa' yang didengar daripada sumber yang tidak sahih, iaitu orang yang keliru dan tidak mampu memahami jenaka dalam wacana ceramah atau kuliah saya. Dan jenaka itu pula tidaklah sekadar jenaka kosong, tetapi menjelaskan beda antara kata berbentuk jamak yang lewah, iaitu mereka-mereka dengan dua patah kata yang berlainan golongan dan fungsinya dalam ayat. Kata mereka yang pertama ialah kata nama yang menjadi subjek ayat, sementara kata mereka yang kedua ialah kata kerja yang menjadi sebahagian predikat ayat, dan antara kedua-dua patah kata itu tidak ada tanda sempang. Jelas bahawa kata mereka-mereka tidak betul, atau dengan lebih lembut 'tidak persis'.

Hal itu tampaknya kecil, tetapi memberikan kesan besar kepada khalayak pengguna bahasa, terutama apabila ceramah disampaikan oleh seorang sasterawan besar. Saya tidak pasti adakah sesudah ceramah itu semua peserta dengan senang hati terus menggunakan bentuk jamak yang lewah mereka-mereka atau tidak. Namun itulah kesannya apabila orang yang keliru (barangkali peserta kursus atau ceramah saya atau barangkali juga pelajar saya di universiti) dijadikan sumber rujukan, maka kekeliruan pun tersebar. Sesudah peristiwa di Kota Bharu itu, ada lagi di beberapa tempat lain saya mendapat maklumat pemalsuan 'fatwa' tentang bentuk jamak itu. Malah ada lagi beberapa 'fatwa bahasa' lain yang kononnya saya keluarkan, tetapi ternyata bahawa hal itu tidak lain daripada salah faham atau kekeliruan khalayak tertentu dalam ceramah atau seminar yang tidak sampai atau tidak mampu akalnya mencerna kupasan ilmu. Alangkah baiknya sesuatu yang meragukan ditanyakan kepada orang yang dikatakan mengeluarkan 'fatwa' itu, daripada turut menjadi penyebar khabar palsu yang mengelirukan. Dalam tradisi ilmu, kita boleh berbeda pendapat, tetapi perbedaan itu mestilah atas asas yang sahih, bukan atas asas salah faham atau salah dengar.

- AS, Beijing (6.10 pagi, 22 April 2010)

Sunday, April 18, 2010

Kajian Islam di China: Langkah Merisik


19 April 2010 (Isnin) - Hajatku untuk menggerakkan kajian tentang Islam di China secara tidak berkala telah bermula dengan tinjauan umum di beberapa buah kota yang mempunyai penduduk Islam yang agak besar jumlahnya, seperti di kota Guangzhou, Shanghai, Hangzhou, Suzhou, Jinan, Xi'an dan pasti kota Beijing juga. Namun tinjauan umum itu terbatas pada kunjungan ke masjid di kota-kota berkenaan dengan sedikit catatan profil komuniti Islam di sekitarnya. Catatan itu akan kutulis dalam keluaran lain.

Untuk keluaran ini, aku ingin mencatat tinjauan awal di Niu Jie (Jalan Lembu), iaitu kawasan terbesar tempat tinggal masyarakat Islam di kota Beijng, tempat terletaknya masjid tertua dan masjid utama di Beijing (dibina pada tahun 996 Masihi, iaitu lebih seribu tahun lalu). Kawasan itu sudah sering kukunjungi sejak aku mula bertugas di Beijing pada awal 2008, khususnya untuk sesekali solat Jumaat di situ (jika tidak ke masjid lain) atau untuk membeli barang keperluan di pasar raya Islam. Namun kunjungan pada 8 April 2010 lalu secara khusus berputik daripada rancangan untuk mengumpulkan maklumat tentang masyarakat Islam di Niu Jie dan kehidupannya, iaitu sebagai salah satu aspek kajian Islam di China.

Dengan dua orang pelajar Malaysia yang mengikuti pengajian bahasa Mandarin di Beijing Foreign Studies University, Johan dan Fayyadh, aku menaiki bas dua tingkat nombor 5. Lebih kurang satu jam sampailah kami di Niu Jie dan langsung menuju ke Institut Pengajian Islam China untuk memulakan kajian awal tentang sistem pendidikan Islam masyarakat China. Pada awal ketibaanku di Beijing Januari 2008 dahulu, pernah sekali aku ke situ tetapi entah bagaimana timbul kekeliruan sedikit apabila yang kami temukan ialah pusat tadika Islam yang kompleks seakan-akan menyamai institut itu daripada segi seni binanya. Rupanya institut tersebut terletak lebih jauh sedikit di jalan yang sama. Agak hampa aku apabila diberitahu oleh staf institut yang kami temui di bahagian hadapan kompleks bahawa institut itu ditutup selama dua tahun untuk projek pembesaran bagi menampung jumlah pelajar sehingga 500 orang (selama ini sekitar 100 orang pelajar). Kompleks itu sendiri sudah cukup besar pada pelihatan mata kasarku, dengan seni binanya yang melambangkan seni bina Islam, terutama kubahnya yang sudah tampak dari jauh.

Namun rasa hampa itu segera hilang apabila kami diberitahu bahawa pelajar institut itu ditumpangkan di Insitut Pengajian Beijing, iaitu institut yang dibuka kepada warga Islam Beijing. Dengan menaiki teksi, kira-kira tiga atau empat kilometer (berdasarkan tambang 10 yuan) dari Niu Jie, sampailah kami di institut tersebut yang terletak di Fuchong Jie (Jalan Fuchong - mengingatkan daku akan 'Puchong' di Malaysia!). Kami sempat solat Zuhur berjamaah di masjid institut dengan pensyarah dan pelajar, dan sesudah itu sempat bertemu dengan beberapa orang pensyarah, staf umum dan pelajar institut. Antaranya termasuklah Ustaz Abdul Wahab (lulusan Universiti Al-Azhar), dan Haji Ibrahim (pakar khat berusia sekitar 75 tahun - hasil lukisan khatnya dipamerkan di ruang legar institut). Pelajar institut itu sendiri berjumlah kira-kira 50 orang, sementara pelajar Insitut Islam China yang menumpang di situ berjumlah kira-kira 100 orang. Kami tidak dapat bertanya banyak tentang kurikulum, kaedah pengajaran dan yang lain kerana dinasihati agar ke pejabat Institut Islam China yang terletak di belakang kompleksnya. Maka sekali lagi kami ke Niu Jie dan mencari pejabat berkenaan.

Alhamdulillah walaupun tidak membuat janji temu, dapat kami kunjungi dua orang pensyarah Institut Islam China di bangunan pejabat lapan tingkat yang turut menempatkan pejabat institut dan pejabat Persatuan Islam China.Pejabat institut terletak ditingkt dua, sementara pejabat persatuan di tingkat tiga dan empt. Ustaz Yunus merupakan pensyarah bahasa Arab sementara Ustaz Ismail pensyarah Sirah. Antara maklumat yang dapat saya catat daripada penerangan mereka, melalui pengantara bahasa Mandarin saya, Saudara Johan dan Sdr. Fayyadh (pelajar bahasa Mandarin dari Malaysia di Beijing Foreign Studies) ialah:

  • Di seluruh Republik Rakyat China (RRC) terdapat 10 buah institusi pengajian Islam, yang bertaraf universiti atau maktab, iaitu di Beijing dan di kota-kota lain yang mempunyai jumlah penduduk Islam yang besar.
  • Pengajian agama Islam untuk golongan kanak-kanak dan remaja serta orang dewasa biasanya diadakan di madrasah yang menjadi salah satu komponen penting masjid. Namun dalam kajian awal saya di Sanya, Hainan, terdapat sekolah khusus untuk pendidikan agama Islam, malah ada sekolah yang khusus untuk pelajar perempuan.
  • Pembiayaan institut pengajian Islam diurus oleh Persatuan Islam China yang juga mempunyai cawangan di provinsi-provinsi tempat terdapatnya penduduk Islam yang berjumlah besar, seperti Xinjiang, Ningxia, Lanjhou, Yunnan dan Shaanxi.
  • Institut Pengajian Islam China yang menerima pelajar lepasan sekolah menengah dari seluruh negara ditubuhkan pada tahun 1955 dan mengendalikan kursus ijazah pertama selama empat tahun. Kebanyakan imam yang bertugas di masjid di China merupakan lulusan institut ini, selain institut di provinsi-provinsi.
  • Lulusan institut ada yang melanjutkan pengajian ke Universiti al-Azhar di Mesir, universiti di Pakistan dan juga Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.
  • Banyak juga lulusan institut yang menjadi penerjemah China-Arab dan sebaliknya, di samping tidak kurang yang menceburkan diri dalam syarikat.
Meskipun tidak banyak maklumat rinci yang saya peroleh, namun pertemuan yang ibarat "adat merisik" itu membuka pintu kajian lanjut apabila Ustaz Yunus dan Ustaz Ismail menyarankan agar kami menghubungi pegawai perhubungan Persatuan Islam China (Abdul Hakim atau Abdullah) untuk sesi wawancara yang rasmi dengan Naib Presiden Persatuan Islam China, Ustaz Adil Haji Karim (atau nama Uyghurnya Adilijiang Ajikelimu), yang juga Naib Presiden (Timbalan Naib Canselor) Institut Pengajian Islam China. Kami pulang dengan rasa puas hati kerana langkah awal insya-Allah akan mempermudah langkah selanjutnya. Saya dengan penuh semangat menunggu tarikh janji temu dengan Ustaz Adli untuk sesi wawancara yang saya jangka akan memberikan maklumat rinci tentang masyarakat Islam di China, peranan dan kegiatan Persatuan Islam China serta isu-isu yang berkaitan dengan masyarakat Islam di China.

Seperti biasa, jika telah sampai di Niu Jie, acara penutupnya ialah ke Pasar Raya Islam Niu Jie untuk membeli barang keperluan, daripada barang dapur, makanan ringan dan yang lain. Di pasar raya itulah juga aku sering terserempak dengan pelancong Melayu dari Malaysia yang ternyata cukup ghairah membeli-belah, barangkali kerana itulah satu-satunya tempat untuk mereka mendapat barang halal (walaupun sebenarnya ada pasar raya dan kedai lain yang menjual barang halal, tetapi tidak sebesar dan semasyhur Pasar Raya Islam Niu Jie yang menjadi pusat masyarakat Islam terbesar di Beijing.

Saturday, April 10, 2010

Wawancara Budaya dalam "Suara Sutera" Radio China Antarabangsa


7 April 2010 (Rabu) - Kembara Bahasa diwawancara oleh Puan Atiah Salleh, pakar bahasa Melayu di Bahagian Bahasa Melayu, Radio China Antarabangsa (CRI), bersama-sama dengan tokoh budaya China, Prof. Fang Weibang untuk dua siaran rancangan "Suara Sutera". Isu wawancara pertama berkaitan dengan pantang larang dalam budaya Melayu dan China. Tampaknya meskipun berlainan bentuknya, pantang larang memang menjadi fenomena budaya yang sejagat sifatnya.

Pantang larang dalam masyarakat Melayu lama sebahagiannya menjadi suatu kaedah pendidikan secara tidak langsung. Niat dan tujuan pantang larang berkaitan dengan pemupukan sikap dan tabiat yang baik dalam kalangan generasi muda, sekalipun bentuk pantang larang itu tampak tidak masuk akal. Sebagai contoh, anak-anak dilarang duduk di atas bantal, kerana dikhuatiri akan kena penyakit bisul (bengkak yang bernanah pada anggota badan) di punggung. Nilai pendidikan yang ingin diterapkan ialah agar anak-anak menghormati bantal sebagai alat yang digunakan untuk meletakkan kepala, iaitu anggota badan yang dianggap paling mulia. Memang tidak sopan bantal yang digunakan untuk berbaring atau tidur tiba-tiba dijadikan alas duduk. Selain itu, dalam kalangan masyarakat Melayu dahulu, bantal turut menjadi ganti rehal tempat meletakkan al-Qur'an ketika anak-anak belajar mengaji. Dalam kes pantang larang ini, tujuannya adalah untuk mendidik generasi muda agar tahu memberikan nilai kepada sesuatu menurut yang sewajarnya.

Pantang larang yang menegah anak gadis menyanyi di dapur, kerana dipercayai menyebabkan gadis akan mendapat suami tua pula berasaskan tujuan untuk melatih anak gadis agar menumpukan perhatian kepada kerja di dapur, dan tidak leka dengan hiburan dan khayalan yang mungkin menyebabkan masakan mentah atau hangus! Ada banyak lagi pantang larang yang berkaitan dengan maksud yang positif.

Namun, pantang larang yang merupakan khurafat tidak kurang pula banyaknya. Contohnya ialah seseorang dilarang melangkah pulang walaupun tertinggal sesuatu kerana dipercayai orang itu akan mendapat musibah dalam perjalanan. Demikian juga pantang larang mengadakan majlis perkahwinan dalam bulan tertentu, terutama bulan Muharram dan bulan Safar ternyata tidak ada sandaran nas mahupun logika tertentu, selain kepercayaan karut.

Dalam masyarakat China, pantang membeli atau membina rumah yang bertentangan dengan simpang jalan kerana dipercayai pemiliknya akan mendapat sial. Bagi masyarakat nelayan, pantang semasa makan ikan dalam pinggan atau mangkuk diterbalikkan kerana dipercayai mengakibatkan perahu nelayan akan terbalik lalu kehilangan sumber rezeki. Di meja makan, muncung teko atau cerek tidak boleh dihadapkan ke arah meja, tetapi hendaklah dihadapkan ke arah luar meja. Saya belum mendapat penjelasan mengapa timbul pantang larang tersebut selain katanya perbuatan itu kurang sopan.

Dalam sesuatu jamuan yang disertai tamu utama, tempat duduk tamu utama yang tamu yang diraikan hendaklah yang menghadap pintu masuk, barangkali supaya semua orang yang masuk dapat menatap wajahnya dan memberikan tanda hormat. Saya sendiri tidak berani terus duduk dalam mana-mana majlis jamuan dan perlu menunggu ketetapan oleh tuan rumah atau penganjur majlis. Tetapi ada teman dari Malaysia yang tidak berusaha mempelajari pantang larang masyarakat China sedikit banyaknya terus duduk di kerusi tamu utama dan akibatnya majlis dianggap menjadi tidak begitu sempurna.

Pantang larang yang tidak menyalahi hukum syarak, yang masih dapat dirasionalkan kerana ada tujuan yang baik (walaupun tidak masuk akal) pada hemat saya tidaklah menjadi masalah untuk dijadikan salah satu unsur kebudayaan bangsa. Namun, yang jelas bertentangan dengan agama dan merupakan khurafat tidak ada alasannya untuk dipertahankan atas nama warisan kebudayaan bangsa.

II

Isu kedua yang menjadi inti wawancara ialah nilai dan ikatan kekeluargaan dalam kedua-dua budaya, khususnya dalam era globalisasi yang salah satu tandanya ialah meluasnya sikap individualistik dalam kalangan masyarakat. Jika tidak disebabkan faktor individualistiknya masyarakat moden sekalipun, perubahan corak kehidupan yang memerlukan migrasi dari desa ke kota atas faktor kerjaya atau untuk mobiliti sosial telah menyebabkan pola keluarga tradisional yang lebih banyak berbentuk keluarga besar (extended family) beransur-ansur ditandai oleh pola keluarga asas (ibu bapa beserta anak atau anak-anaknya tanpa datuk, nenek atau anggota keluarga yang lain). Fenomena ini sahaja sudah cukup mengurangkan keakraban kekeluargaan dengan maksud kaum kerabat atau sanak-saudara.

Untunglah semangat untuk berhari raya di kampung, baik disebabkan dorongan nostalgia atau memang benar-benar untuk menziarahi orang tua dan kaum kerabat sedikit banyaknya masih dapat menjadi penjalin nilai dan ikatan kekeluargaan. Pada setiap kali musim perayaan, berjuta-juta orang di kota pulang ke desa atau kampung halaman sehingga kota besar sepi dan 'aman' untuk tempoh seminggu dua.

Majlis kenduri-kendara, terutama kenduri kahwin sudah lama menjadi moden, dalam konteks sudah amat berkurangan tradisi bergotong-royong atau dalam bahasa Jawa 'rewang' sesama kaum kerabat dan jiran tetangga, seminggu dua sebelum berlangsungnya majlis, bermula dengan menebang buluh atau pohon untuk mendirikan balai, menyiapkan bahan untuk jamuan dan persiapan lain. Jamuan kenduri kahwin yang 'diswastakan' kepada penyaji jamuan bukan sahaja menjadi tradisi baharu di kota dan bandar, tetapi tampaknya sudah melarat ke desa. Malah sudah ada orang kampung yang mengadakan majlis kahwin di dewan dan hotel di bandar yang berdekatan.

Puan Atiah menimbulkan fenomena yang disebutnya 'masalah ikatan keluarga yang dibuat sendiri', dengan merujuk kepada perubahan gaya hidup sesetengah keluarga moden (dan yang berkemampuan) yang menyediakan bilik untuk keselesaan dan privasi seorang sebilik, berbanding dengan cara kehidupan dahulu yang menempatkan beberapa orang adik-beradik yang sama jantina dalam satu bilik, sehingga memungkinkan interaksi akrab sesama adik-beradik. Dengan ketagihan bentuk baharu, iaitu ketagihan kepada permainan video, internet dan sebagainya, semakin besar jumlah anak pada zaman ini yang mengasingkan dirinya daripada interaksi dengan anggota keluarga yang lain, hatta ibu bapanya sendiri.

Faktor itu diperburuk oleh pola kehidupan ibu bapa pada zaman ini yang kian terikat oleh pelbagai urusan kerjaya, urusan sosial dan rekreasi yang menyebabkan waktu untuk bersama keluarga kian terbatas. Teori bahawa yang penting ialah 'masa berkualiti bersama dengan keluarga, berbanding dengan masa daripada segi kuantiti, tampaknya lebih banyak tinggal sebagai teori kerana seringkali tiadanya atau kurangnya waktu bersama tidak memungkinkan timbulnya soal masa berkualiti. Menjadi fenomena yang agak lumrah kini bahawa meskipun tinggal sebumbung, belum tentu ayah dan ibu dapat bersua dengan anaknya, sama ada disebabkan berlakunya pengasingan dalam rumah sendiri mahupun disebabkan jadual kerjaya dan kegiatan lain yang tidak sejajar antara satu dengan yang lain. Tampaknya diperlukan perancangan yang agak formal lagi saksama untuk mengatur jadual harian atau jadual pertemuan mingguan, seperti makan bersama, membeli-belah bersama, berekreasi bersama atau sesekali melancong bersama.

Dalam masyarakat China, menurut Prof. Fang Weibang, dasar seorang anak bagi satu keluarga, sekalipun berjaya dalam mengatasi masalah negara dalam aspek pengawalan kepesatan pertumbuhan penduduk, kesan sampingan yang berdampak besar terhadap ikatan kekeluargaan menjadi harga yang mahal yang perlu dibayar oleh masyarakat dan negara. Kini seorang anak diberi perhatian dan kemanjaan oleh enam orang dewasa, iaitu datuk dan nenek sebelah bapa, datuk dan nenek sebelah ibu, serta ibu bapa si anak yang seorang itu. Sehingga demikian, si anak apabila menjadi remaja dan kemudian dewasa kelak memerlukan suatu anjakan yang radikal dalam pembinaan sahsiahnya, untuk menjadi orang yang betul-betul dapat berdikari dalam hal sikap, pendirian, pembuatan keputusan dan yang lain.

Demikianlah antara ujian besar yang melingkari nilai dan ikatan kekeluargaan pada zaman moden. Di Malaysia, pewujudan kementerian yang khas untuk menangani isu kekeluaragaan, iaitu Kementerian Pembangunan Keluarga dan Masyarakat perlu pertama-tamanya melakukan kajian tentang pola perkembangan nilai dan ikatan kekeluargaan sedalam-dalamnya untuk kemudian merangka perancangan yang rapi dan praktis bagi mengendalikan isu yang kian serius itu.

Friday, April 9, 2010

Kursus Bahasa Melayu Wajib kepada Pelajar Asing: Mengharapkan Susulan Konkrit

Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, Dato' Seri Mohd. Khaled Nordin di majlis Pertandingan Pidato Antarbangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri pada 5 Mac 2010 membuat pengumuman bahawa pelajar asing di IPT di Malaysia yang berjumlah 65,000 orang akan diwajibkan mengikuti kursus bahasa Melayu. Pengumuman itu pastilah menimbulkan rasa gembira dan syukur, khususnya dalam kalangan pejuang bahasa Melayu, kerana dengan mempelajari dan menguasai bahasa Melayu, meskipun pada peringkat komunikasi sehari-hari, pelajar asing dapat mengenal rakyat negara ini dengan lebih baik. Bahasa jiwa bangsa!

Daripada sudut martabat bahasa Melayu pula, memang sewajarnya pelajar asing diwajibkan mengikuti kursus bahasa Melayu kerana bahasa Melayu merupakan bahasa negara, yang sekali gus pula menjadi bahasa komunikasi dalam urusan rasmi, bahasa utama pendidikan dan bahasa perhubungan umum yang utama di negara ini. Di negara-negara lain, memang menjadi dasar negara bahawa pelajar asing perlu menguasai bahasa kebangsaan negara berkenaan, seperi di Jepun, di Jerman, di Korea dan di Republik Rakyat China. Di negara China, pelajar diwajibkan mengikuti kursus bahasa Mandarin selama satu tahun.

Selain memberikan manfaat kepada pelajar-pelajar itu sendiri, usaha mewajibkan bahasa Melayu kepada pelajar asing secara tidak langsung memungkinkan bahasa Melayu tersebar dan dikenal dengan lebih meluas di negara-negara asal pelajar itu. Kemungkinan pembukaan kelas bahasa Melayu di negara berkenaan, adakah untuk keperluan ekonomi, minat, diplomasi atau yang lain, senantiasa ada. Peluang ini wajar dimanfaatkan oleh Kedutaan Malaysia di luar negara untuk mempromosikan bahasa dan budaya Melayu, sebagaimana yang dilakukan oleh Indonesia, yang amat menitikberatkan peranan atase pendidikan dan kebudayaannya.

Saya masih ingat bagaimana minat dan kesedaran Duta Malaysia di Sri Lanka, Datuk Iskandar Sarudin pada sekitar tahun 200-2004 terhadap bahasa dan budaya Melayu telah memungkinkan kelas bahasa Melayu diadakan di Kedutaan, dengan isteri salah seorang pegawai Kedutaan menjadi munsyinya, dan Dewan Bahasa dan Pustaka membantu penyediaan modul dan bahan pengajaran. Apabila DBP mengadakan kursus untuk munsyi antarabangsa, beberapa orang lulusan kursus bahasa Melayu di Sri Lanka ikut serta dan kini merekalah yang menjadi munsyi bahasa Melayu kepada waris-waris Melayu di negara tersebut mempelajar bahasa Melayu.

Berbalik kepada pengumuman Menteri Pengajian Tinggi itu tadi, sebenarnya keputusan mewajibkan pelajar asing mengikuti kursus bahasa Melayu telah dibuat lama dahulu, sebagai susulan lulusnya Akta Pendidikan 1996 di Parlimen. Pada waktu itu Kementerian Pendidikan (yang turut bertanggungjawab dalam ehwal pengajian tinggi), melalaui Pusat Perkembangan Kurikulum telah membentuk panel penyusun sukatan kursus. Prof. Dr. Nik Safiah Karim dan saya sendiri dilantik menduduki panel tersebut, dan dua set sukatan kursus telah dihasilkan. Set pertama untuk pelajar Malaysia, sebagai usaha meningkatkan dan memantapkan penguasaan bahasa Melayu tinggi (bahasa ilmiah) mereka di IPT. Set kedua untuk pelajar luar negara, yang tertumpul lebih kepada komunikasi asas.

Saya menggunakan pengalaman saya ketika ikut serta menggubal sukatan kursus bahasa Melayu untuk pelajar Malaysia dan pelajar luar negara sewaktu diminta oleh Kementerian Pendidikan berkhidmat di Universiti Islam Antarabangsa pada tahun 1988. Di UIAM, pelajar asing diwajibkan mengikuti kursus bahasa Melayu dalam dua semester, dan alhamdulillah mereka dapat berinteraksi dengan masyarakat setempat dengan baik. Saya masih ingat En. Hishamudin Sujak yang ketika itu bertugas di Kedutaan bercerita kepada saya betapa terkejutnya ia apabila disapa oleh beberapa orang gadis di Mauritius dalam bahasa Melayu. Rupa-rupanya mereka itu bekas pelajar UIAM yang apabila bersua dengan orang Malaysia langsung teruja untuk berbahasa Melayu! Saya kurang tahu perkembangan mutakhir di UIAM, tetapi yakin bahawa dasar yang telah mula dilaksanakan pada sekitar tahun 1988 itu telah menjadi nilai tambah yang cukup bererti kepada pelajar universiti tersebut. Mudah-mudahan tidak ada mana-mana pihak yang memansuhkannya!

Saya kurang maklum tentang apakah yang terjadi kepada sukatan kursus bahasa Melayu yang telah disusun oleh Pusat Perkembangan Kurikulum, dengan bantuan pakar-pakar bahasa. Yang jelas pada saya ialah oleh sebab keputusan mewajibkan pelajar asing (dan juga pelajar setempat) mengikuti kursus bahasa Melayu di IPT tidak dilaksanakan, maka pastilah sukatan pelajaran itu tidak dapat dimanfaatkan. Ketika sedang hangat Akta Pendidikan 1996 dibincangkan pada waktu itu, seingat saya ada tiga kursus wajib yang diputuskan perlu diikuti oleh pelajar asing di negara ini, iaitu Bahasa Melayu, Kenegaraan Malaysia dan Moral.

Amat jelas bahawa ketiga-tiganya tidak dilaksanakan, entah atas alasan dan sebab apa. Hanya yang saya ingat, dalam salah satu persidangan IPTS di Hotel Legenda, Kuala Lumpur pada sekitar hujung tahun 1990-an, bergema suara daripada kebanyakan pengendali IPTS yang mengatakan bahawa keutamaan mereka ialah subjek akademik dan kemahiran khusus yang ditawarkan, bukan soal bahasa, ehwal kenegaraan dan moral. Saya sendiri membangkitkan bantahan kepada sikap sebahagian besar wakil IPTS dalam persidangan itu, tetapi mereka tampaknya seakan-akan mendapat dukungan pihak berwajib dalam mengingkari dasar pendidikan negara. Tidak ada IPTS yang ditegur, diberi amaran atau dikenakan tindakan kerana tidak mewajibkan pengajaran tiga kursus tersebut.

Bagaimanapun saya mengucapkan syabas kepada IPTS yang merupakan institusi di bawah syarikat kerajaan, seperti Universiti Multimedia, Universiti Tenaga Nasional, Universiti Petronas dan beberapa IPTS lain yang melaksanakan keputusan tersebut.

Oleh itu, pengumuman Menteri Pengajian Tinggi itu perlu disusuli dengan sesegera yang mungkin daripada segi pentadbirannya, kerana yang ditimbulkan oleh beliau itu sebenarnya dasar yang telah sedia ada, tetapi dialpakan dan diabaikan oleh IPT dan pihak berwajib yang sepatutnya memantau pelaksanaan dasar tersebut. Pada hemat saya, tidak perlu waktu dibazirkan dengan alasan hendak melakukan kajian lebih dahulu atau atas alasan yang seumpama itu kerana pelaksanaan dasar itu tidak memerlukan suatu penyediaan prasarana atau keperluan yang begitu sulit. Hanya dengan memasukkan ketiga-tiga kursus wajib itu, termasuk bahasa Melayu dalam kurikulum IPT, langkah melantik tenaga pengajar dapat terus dilaksanakan. Pengalaman UKM yang mempunyai kursus seumpama itu di Insitut Pengajian Umumnya, yang wajib diikuti oleh pelajar asing dapat dimanfaatkan. Demikian juga halnya dengan pengalaman UIAM, Universiti Multimedia, Universiti Tenaga Nasional dan beberapa IPT lain.

Pelaksanaan kursus bahasa Melayu wajib sebagaimana yang ditegaskan oleh Menteri Pengajian Tinggi itu tidak pula harus dilihat sebagai berkaitan dengan IPTS sahaja. IPTA sendiri mempunyai sejumlah pelajar asing. Semua IPTA perlu diberi penegasan supaya mewajibkan pelajar asing mengikuti kursus bahasa Melayu. Setahu saya, UKM dan UPM melaksanakan dasar tersebut, tetapi Kementerian Pengajian Tinggi perlu memastikan bahawa IPTA yang lain tidak mengabaikan dasar itu. Malahan, kursus bahasa Melayu wajib kepada pelajar negara ini, yang pernah diperkenalkan, seperti di UPM sejak awal penubuhannya hingga 1980-an, pada hemat saya perlu disyaratkan, kerana pelajar Malaysia sendiri memerlukan peningkatan penguasaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmiah yang meliputi pelbagai laras - kejuruteraan, perubatan, ekonomi, sains angkasa, pertanian, teknologi maklumat dan komunikasi, sains komputer dan sebagainya. Kelulusan bahasa Melayu pada peringkat SPM, meskipun dengan kelulusan A1 ternyata tidak dapat menjadi jaminan bahawa pelajar setempat telah menguasai bahasa yang memuaskan, terutama apabila kita bercakap tentang bahasa Melayu tinggi (bahasa Melayu ilmiah).