Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Monday, August 30, 2010

Soal Jawab Bahasa (6)

Apitan 'ke-...-an' yang Membentuk Kata Nama dan Kata Kerja

Ayat "Orang itu kekurangan tenaga" adakah tergolong dalam pola ayat FN + FN atau FN + FK?

- Zul

Sdr. Zul,

Untuk menentukan adakah predikat ayat itu frasa nama atau frasa kerja, perlu dikenal pasti adakah unsur inti frasa itu merupakan kata nama atau kata kerja. Sekilas lalu, kata 'kekurangan' merupakan kata nama, tetapi dalam konteks tertentu, kata yang menerima apitan 'ke-...-an' dapat juga berbentuk kata kerja.

Dalam ayat itu, jelas bahawa kata 'kekurangan' merupakan kata kerja pasif yang menerima apitan 'ke-...-an', iaitu dengan makna subjek ayat(orang itu) merupakan subjek penderita, bukan subjek pelaku. Subjek ayat "Orang itu" tidak melakukan sesuatu, sebaliknya mengalami keadaan kekurangan sesuatu, iaitu kekurangan tenaga.

Kata itu tergolong dalam kata nama jika digunakan sebagai subjek atau objek ayat, seperti:

1. Kekurangan tenaga asli yang dapat menjana elektrik menyebabkan kerajaan terpaksa mencatu bekalan elektrik. (Kata 'kekurangan' sebagai subjek)

2. Negara mengalami kekurangan hasil sejak beberapa tahun lalu. (Kata 'kekurangan' sebagai objek)

Kesimpulannya, kata yang menerima apitan 'ke-...-an' dapat berbentuk kata nama dan juga kata kerja (kata kerja pasif), bergantung pada konteks penggunaannya.

- Awang Sariyan

Sunday, August 29, 2010

Soal Jawab Bahasa (5)

Perihal Kata Pemerdagangan

From: Facebook
To: Kembara Bahasa
Sent: Sun, June 27, 2010 1:56:51 PM
Subject: Anwar Fadzil telah memberi komen terhadap nota anda "Pemansuhan UPSR dan PMR"...

Anwar Fadzil telah memberi komen terhadap nota anda "Pemansuhan UPSR dan PMR":

"Adakah "pemerdagangan" manusia?"

************************************************************************************


Sdr. AF: Bentuk kata 'pemerdagangan' itu terbit daripada kata kerja 'memperdagangkan', sama seperti kata kerja 'memperoleh' menjadi 'pemerolehan', 'mempersatukan' menjadi 'pemersatuan' dll. Memang mulanya dirasakan agak janggal penggunaan kata itu kerana kata itu baru sahaja digunakan dalam media massa.

Soal Jawab Bahasa (4)

Dua Golongan Kata bagi Kata "Dalam"

From: tan chin lee
To: awsr@yahoo.com
Sent: Thu, April 29, 2010 8:18:15 AM
Subject: kemusykilan bahasa

Apa khabar Sdr Awang? Harap Sdr sudi menjawab 2 pertanyaan yang saya kemukakan ini. Yang pertama, bolehkah kata sendi nama "dalam" diikuti oleh kata kerja, sebagai contohnya "dalam meningkatkan pencapaian ..."?

Yang kedua, bolehkah "Dalam pada itu" digunakan sebagai penanda wacana? Ada sesetengah orang mengatakan bahawa frasa itu tidak gramatis kerana terdapat dua kata sendi nama yang bergandingan iaitu "dalam" dan "pada".Apakah pendapat Sdr? Sekian, terima kasih.

*************************************************************************************
Sdr. Tan Chi Lee,

Kata 'dalam' dalam konteks yang pertama itu bukan kata sendi, tetapi kata hubung. Ada dua kelas kata bagi kata 'dalam', seperti juga bagi kata 'untuk'. Dalam frasa 'dalam hal ini', jelas bahawa kata 'dalam' memang tergolong dalam kelas kata sendi; tetapi dalam konteks contoh yang sdr. nyatakan itu, binaannya bukan frasa, tetapi klausa. Maka kata 'dalam' dalam klausa itu tergolong dalam kelas kata hubung, iaitu sebagai kata hubung komplemen dalam ayat pancangan komplemen seperti:

1. Dalam meningkatkan pencapaian dasar ekonomi negara, kerajaan merancang fasa-fasa pelaksanaan yang bersepadu.
('Dalam meningkatkan pencapaian dasar ekonomi negara' ialah klausa tak-bebas/ayat kecil/anak kalimat bagi klausa bebas/ayat induk/induk kalimat 'Kerajaan merancang fasa-fasa pelaksanaan yang bersepadu').

Penggunaan kata 'dalam' itu sama dengan penggunaan kata 'untuk', iaitu:

2. Untuk meningkatkan pencapaian dasar ekonomi negara, kerajaan merancang fasa-fasa pelaksanaan yang bersepadu. (Kata 'untuk' dalam ayat ini bukan kata sendi tetapi kata hubung.

Kata 'untuk' dan 'dalam' sebagai kata sendi jelas diketahui apabila unsur yang mengikutnya ialah frasa nama seperti 'untuk saudara' dan 'dalam hal ini'. Namun, ada aras sintaksis yang lebih tinggi penggunaan kedua-dua patah kata itu, iaitu pada aras klausa.

Tentang penggunaan frasa 'dalam pada itu', saya tidak pasti soal betul salahnya, namun memang dalam penggunaannya, ada bentuk itu digunakan sebagai penanda wacana. Saya akan meneliti isu ini lebih lanjut.

Awang Sariyan, Beijing

Soal Jawab Bahasa (3)

Pengwujudan atau Pewujudan?

Yakub Uton pada 04hb Ogos pukul 9.15 ptg:

Prof. yang mana betul; pengwujudan atau pewujudan? Terima kasih

Kembara Bahasa pada 04hb Ogos pukul 9.23 ptg:

Yang betul ialah 'pewujudan', iaitu kata nama terbitan daripada kata kerja 'mewujudkan' ('me' menjadi 'pe', seperti juga 'mem' menjadi 'pem', 'men' menjadi 'pen', 'meng' menjadi 'peng' dan 'menge' menjadi 'penge'.

Contohnya:['membeli' : pembelian; 'menjual': penjualan; 'mengambil': pengambilan; 'mengebom': pengeboman]

Soal Jawab Bahasa (2)

Perlaksanaan atau Pelaksanaan?


Adilah Shek Omar pada 12hb Ogos pukul 10.10 pagi:

Saya masih keliru tentang penggunaan "perlaksaanan" dan "pelaksanaan". Boleh Prof. jelaskan? Terima kasih. Selamat menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadan al-Mubarak.

Kembara Bahasa pada 12hb Ogos pukul 12.23 ptg:

Yang betul ialah 'pelaksanaan', iaitu kata nama terbitan daripada kata kerja 'melaksanakan'.

Formula atau rumus asasnya ialah: 'me' menjadi 'pe'; 'mem' menjadi 'pem'; 'men' menjadi 'pen'; 'meng' menjadi 'peng' dan 'menge' menjadi 'penge'.

Contohnya: melaksanakan (menjadi 'pelaksanaan'); membeli (menjadi 'pembelian'; menjual (menjadi 'penjualan'); mengambil (menjadi 'pengambilan'); mengebom (menjadi 'pengeboman').

Awalan 'per' biasanya digunakan jika kata kerjanya dalam bentuk kata kerja tak transitif yang berawalan 'ber', misalnya 'bersiar' menjadi 'persiaran', 'berkongsi' menjadi 'perkongsian', 'berlanggar' menjadi 'perlanggaran'.

Selamat beribadah jua. Wassalam.

Soal Jawab Bahasa (1)

Tentang Kata Kerja "Dibolehkan"


----- Original Message ----
From: Laurent Metzger
To: Sariyan Awang
Sent: Fri, July 23, 2010 2:21:12 PM
Subject: Dibolehkan ?

Sdr di M'sia,

Saya baru terbaca dalam suatu penerbitan Brunei kata kerja yang berikut
"Dibolehkan". Apakah bentuk ini digunakan dalam bahasa Melayu di M''sia?
Sekian, terima kasih.
Hormat saya.
dr.L.M.

Sdr. Dr. Laurent di La Rochelle,

Ya, kata kerja 'dibolehkan' ada digunakan juga di Malaysia, seperti dalam ayat
"Orang yang bermusafir atau dalam perjalanan dibolehkan berbuka puasa."

Awang Sariyan - Kuala Lumpur

Saturday, August 28, 2010

Kenangan kepada Ibu pada Ramadan Syahdu




Syahdu
bertemu denganmu, ibu

Sendu
kulihat wajahmu sayu

Siapatah yang dapat membaca hatimu
Meskipun terukir senyum di bibir

Siapatah yang dapat merasakan gejolak rasamu
Kendatipun sinar wajahmu terpancar

Siapatah yang dapat menduga resah rindumu
Sekalipun salam dan pesan bergilir datang

Sepimu, sunyimu, rindumu, sayumu, sendumu
Bertakung di kolam dadaku
Dekat dan akrab hatiku denganmu
Meskipun jasad jauh berantara
Kepada-Nya kuhadirkan munajat
Di tangan-Mu ibuku kupohon terikat
Ke hadrat-Mu hatinya kupohon tertambat

Sesudah Subuh, 19 Ramadan 1431/29 Ogos 2010

Tuesday, August 24, 2010

Ibu Patimah Murad dalam Kenangan

Nama Patimah Murad barangkali kurang dikenal dalam bidang penulisan dan penerbitan pada masa ini. Namun, pada tahun 1950-an dan 1960-an beliau merupakan salah seorang penulis dan wartawan wanita yang aktif, khususnya di Singapura. Beliau ialah isteri Allahyarham Pak Asraf (Hj. Mohd. Asraf bin Hj. Abdul Wahab), tokoh dan jurubicara ASAS 50, baik dalam bidang bahasa, terjemahan mahupun pemikiran tentang sastera.

Hajah Patimah dijemput oleh Allah pada hari Sabtu, 21 Ogos lalu, sesudah beberapa bulan uzur. Kali akhir saya menziarahinya di rumahnya di Subang Jaya ialah pada bulan Februari 2010, semasa cuti musim dingin. Ketika itu beliau baru keluar dari wad hospital.

Baru pada 20 Julai lalu, ketika bersua dengan Prof. Dr. Wan Mohd. Wan Daud, menantunya di UKM, saya mendapat khabar bahawa beliau telah mula pulih dan mula dapat menerima makanan. Saya bersyukur kerana pada saya beliau telah sekian lama menjadi ibu angkat saya, sejak tahun 1977 apabila saya mula bekerja dengan Allahyarham Pak Asraf di MacGraw-Hill FEP International, firma penerbitan di Petaling Jaya. Saya tinggal di rumah Pak Asraf di Kampung Tunku, Petaling Jaya selama kira-kira enam bulan sebelum pindah ke rumah sewa.

Meskipun menjadi suri rumah tangga sepenuh masa, bakat dan pengalaman yang dimiliknya dalam bidang penulisan dan penerbitan telah memungkinkannya dilantik sebagai editor sambilan sebuah penerbit yang menerbitkan majalah Juita pada sekitar tahun 1977 hingga 1980-an. Saya masih ingat, ada kalanya dari pejabat di McGraw-Hill FEP, Pak Asraf dan saya langsung mengiringi ibu menemui tokoh untuk diwawancara atau ke pejabatnya untuk menyelesaikan kerja-kerja editorial. Antara tokoh yang masih saya ingat kami kunjungi termasuklah Ustaz Ahmad Awang, bekas Yang Dipertua Persatuan Ulama' Malaysia dan Allahyarham Hussein Enas, tokoh ternama dalam bidang seni lukis, di Jalan Bellamy.

Untuk ruangan yang bercorak keagamaan, sesekali saya diminta oleh ibu menulis makalah panduan ibadah, khususnya ketika menjelang Ramadan dan bulan-bulan lain yang penting dalam konteks agama Islam.

Pergerakan Allahyarhamah cukup tangkas, baik dalam pekerjaan mahupun dalam urusan rumah tangga. Dapat dikatakan bahawa segala urusan rumah dilakukannya sendiri. Hanya sesudah usianya mula lanjut dan beliau mula uzur sedikit, baru beliau mengambil pembantu rumah.

Masakannya pun amat enak dan beliaulah yang bertungkus-lumus membeli barang mentah dan memasaknya, bukan sahaja untuk keperluan sehari-hari bahkan untuk menjamu tetamu. Allahyarham Pak Asraf memang terkenal dengan keramahan dan baik budinya dan agak sering mengadakan jamuan di rumah.

Walaupun saya kemudian bertukar kerja ke Dewan Bahasa dan Pustaka dan beberapa buah universiti, termasuk di Brunei Darussalam, hubungan dengan Pak Asraf dan Ibu Patimah tetapi terjalin mesra. Kami saling berkunjung dan seringkali perbualan kami mengambil waktu yang cukup panjang. Pak Asraf memang terkenal dengan keseriusan dalam soal bahasa dan perjuangan bahasa sehingga percakapan melalui telefon mungkin sahaja memakan waktu satu jam atau lebih.

Masih terdengar-dengar oleh saya suara ibu sayup-sayup dalam telefon mengingatkan Pak Asraf bahawa waktu bercakap di telefon telah cukup panjang dan beliau faham bahawa saya memang keletihan bercakap lama melalui telefon. Itulah tanda kasih beliau sebagai ibu angkat saya yang cukup mengambil berat akan diri saya.

Sebagai ibu, banyak nasihat yang diberikannya kepada saya dalam melalui babak-babak kehidupan. Tanda keprihatinan beliau kepada 'anaknya' sehingga hal yang tampaknya kecil, seperti mengingatkan saya supaya bergunting rambut apabila rambut saya sudah kelihatan 'gondrong' walaupun memang kesukaan saya pada waktu itu menyimpan rambut yang agak panjang, menurut kecenderungan anak muda pada zaman itu.

Apabila anak-anaknya telah berdikari, ibu banyak menghabiskan waktu melancong ke beberapa banyak tempat di dunia, selain mengerjakan umrah beberapa kali. Keuzurannya kemudian mengurangkan pergerakannya di luar dan lebih banyak masa dihabiskan di rumah.

Kemesraan hubungan dengan 'ayah' berlalu apabila Pak Asraf pulang ke rahmatullah dalam bulan November 1999, tidak lama sesudah pulang dari Makkah kerana mengerjakan ibadah umrah. Kini saya kehilangan pula 'ibu' yang selama lebih 30 tahun memberikan makna tersendiri dalam episod kehidupan saya dan keluarga.

Saya tetap sentiasa mendoakan kedua-duanya agar ditempatkan Allah di sisi golongan yang dikasihi-Nya. Takziah kepada anakanda mereka: Prof. Madya Dr. Ratnawati (pensyarah di Pusat Pendidikan, UIAM), Puan Elita (eksekutif bank), Jayawirawan (karyawan di Penerbit Sasbadi) dan Puspayanti serta menantu-menantu mereka dan cucunda-cucunda mereka. Al-Fatihah.

Sunday, August 22, 2010

ISLAM DI CHINA: SOROTAN RINGKAS


ISLAM DI CHINA: SOROTAN RINGKAS
Awang Sariyan



Pengenalan

1. Usaha saling mengenal bangsa dan tamadun lain merupakan tuntutan Allah kepada manusia. Isyarat itu dengan jelas difirmankan oleh Allah dalam al-Qur’an:

“Hai, manusia. Sesungguhnya Kami (Allah) menciptakan kamu daripada seorang lelaki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenal….” (al-Hujurat, 13)

2. Dalam hubungannya dengan masyarakat Islam di China, usaha mengenal mereka sebagai saudara seagama malahan menjadi keutamaan, sebagaimana kita perlu mengenal dan bekerjasama dengan umat Islam yang lain. Citra bangsa dan negara China yang pada umumnya dikaitkan dengan ideologi komunisme semata-mata sebenarnya tidaklah begitu tepat, kerana di Republik Rakyat China terdapat 23 juta orang penganut agama Islam (malah dipercayai lebih daripada itu), hampir-hampir menyamai jumlah penduduk negara Malaysia.

Sejarah Kedatangan Islam ke China

3. Kedatangan Islam ke China berlaku pada abad ke-7 Masihi dalam zaman Khalifah Uthman Ibn Affan di tanah Arab dan zaman Dinasti Tang di China. Alam Melayu pada abad itu masih dibawah pengaruh Hindu-Buddha, sebagaimana menurut catatan I Cing, pendeta Buddha China yang datang ke ibu kota Sriwijaya di Palembang dan bermukim selama enam bulan di situ pada abad tersebut.

4. Kedatangan Islam ke China melalui dua Jalan Sutera, iaitu Jalan Sutera Laut dan Jalan Sutera Darat. Jalan Sutera Laut dari Semenanjung Arab ke Guanzhou dan Guangzhou di tenggara China, sementara Jalan Sutera Darat pula dari Semenanjung Arab melalui Asia Tengah dan Xinjiang hingga ke Xi’an, ibu kota provinsi Shanxi.

5. Seorang daripada empat orang sahabat yang dihantar ke China melalui Jalan Sutera Laut ialah Saad Abi Waqas (tiba di Guangzhou dari Teluk Parsi pada tahun 627 Masihi. Selaras dengan Sunnah Nabi, beliau terus mendirikan masjid yang dikenal oleh orang China sebagai Masjid Huaisheng, iaitu masjid tertua di China. Makam Saad Abi Waqas dipercayai terdapat di Guangzhou, walaupun ada riwayat lain yang mengatakan beliau dimakamkan di bumi Arab.

6. Melalui Jalan Sutera Darat, Islam sampai di Xi’an dan sebuah masjid tua (Masjid Agung Xi’an) telah dibina pada tahun 742 M. dalam zaman pemerintahan Dinasti Tang. Kota Xi’an, ibu negeri Shanxi menjadi pangkalan Jalan Sutera Darat.

7. Orang Islam di China sering disebut orang Hui, kerana itulah etnik Islam yang terbesar, tetapi sebenarnya terdapat 10 kumpulan etnik. Orang Hui merupakan keturunan bangsa China yang mula-mula menerima risalah Islam dan perkahwinan campur antara pendakwah Islam dengan masyarakat setempat itulah yang kemudian digelar orang Hui. Selain orang Hui, orang Islam di China terdiri daripada kaum Uygur, Kazak, Kirgiz, Uzbek, Tatar, Tajik, Dongxiang, Sala dan Bao’an.

8. Dalam zaman Dinasti Ming (sekitar abad ke-15 M.), misi diplomatik dan perdagangan berlangsung dengan pesat. Hubungan China dengan negara-negara Islam di alam Melayu, India dan Arab amat akrab. Laksamana Zheng He (Cheng Ho) merupakan duta China beragama Islam yang mengetuai misi pelayaran rasmi kerajaan China ke bahagain lain dunia Islam. Di istana maharaja Dinasti Ming, ditubuhkan jabatan bahasa asing, dan bahasa Melayu diletakkan di bawah Jabatan Bahasa Islam, bersama-sama dengan bahasa Arab dan bahasa Turki.

9. Hubungan antara Dinasti Ming dengan Kesultanan Melaka sebagai kerajaan Islam amat akrab pada abad ke-15. Beberapa kunjungan antara kedua-dua pihak telah berlangsung. Tercatat juga dalam sumber China klasik bahawa Raja Brunei yang melawat ke China mangkat di kota Nanjing dan dimakamkan di situ.

Taburan Penduduk Islam di China

10. Angka rasmi Persatuan Islam China menunjukkan terdapatnya 23 juta orang Islam di China, tetapi dipercayai jumlahnya lebih besar daripada itu. Terdapat dua pola taburan penduduk Islam di China. Yang pertama ialah petempatan secara berpusat, iaitu adanya provinsi atau kota tertentu yang menjadi tumpuan mereka. Yang kedua ialah petempatan bercampur dengan orang Han, iaitu bangsa majoriti di negara tersebut.

11. Wilayah Autonomi Kaum Hui Ningxia (di barat laut China) ialah tempat bermastautinnya kaum Hui yang terbesar jumlahnya. Jumlahnya kira-kira 2 juta dan mewakili satu perlima orang Hui di seluruh China. Provinsi Ningxia dikenal sebagai Provinsi Muslim China.

12. Provinsi Xinjiang di barat laut China menjadi petempatan orang Islam yang terbesar di negara China. Di provinsi itulah terdapatnya umat Islam yang terdiri daripada kaum Uygur yang bentuk fizikal dan raut wajahnya lebih menyerupai orang Arab, Iran, Turki atau Aghanistan. Daripada 23 juta umat Islam, 10 juta terdapat di provinsi autonomi ini. Daripada kira-kira 40 ribu buah masjid di seluruh China, 23 ribu buah terdapat di provinsi itu.

13. Di provinsi Qinghai (di barat laut China), terdapat 100 ribu orang Islam yang terdiri daripada kaum Sala. Mereka berasal dari Republik Turkmenistan, kira-kira 700 tahun silam. Kedatangan mereka ke Qinghai dikaitkan dengan kisah unta putih yang membawa al-Qur’an sebagai pembimbing kaum itu menuju ke provinsi Qinghai. Kisah itu merupakan metafora penting tentang peranan al-Qur’an sebagai kitab pembimbing umat Islam.

14. Di provinsi Gansu terdapat penduduk Islam daripada kaum Dongxiang. Mereka berasal dari Asia Tengah dan dibawa oleh maharaja Dinasti Yuan (daripada kaum Monggol) yang menaklukkan beberapa banyak wilayah di Asia Tengah dan Asia Barat.

15. Orang Islam terdapat juga di Lanjhou dan di Yunnan. Di provinsi Yunnan, orang Islam banyak terdapat di kota Kunming (ibu kota Yunnan), di kota Shidian, di kota Shadian dan di Na Gu (Baldatun Na Gu). Penduduk Islam di Yunnan merupakan satu perlapan penduduk seluruhnya di provinsi itu.

16. Di pulau Hainan, umat Islam terdapat di daerah Sanya, di bahagian selatan pulau itu. Mereka terdiri daripada kaum Cam (Campa) dari Vietnam 700 tahun dahulu. Terdapat 10 ribu orang Islam di dua buah kampung di daerah Sanya, 6 buah masjid, beberapa buah sekolah serta beberapa buah hotel dan perniagaan milik orang Islam. Daripada pemerhatian saya, suasana di Sanya banyak menyamai suasana di Thailand selatan seperti Patani, Yala dan yang lain.

17. Di kota Beijing, iaitu ibu kota Republik Rakyat China, terdapat 250 ribu orang Islam, terutama di bandar Niu Jie (Jalan Lembu), yang lengkap dengan masjid (dibina pada tahun 996 M.), pasar raya Islam, rumah kebajikan, institut pengajian Islam peringkat ijazah, sekolah, kedai makan, dewan penyempurnaan jenazah dan prasarana yang lain.

18. Persatuan Islam China diiktiraf oleh pemerintah sebagai perancang dan penggerak segala aspek kehidupan penduduk Islam di negara tersebut. Terdapat cawangan persatuan di provinsi-provinsi yang menampung penduduk Islam yang besar jumlahnya seperti di Urumqi (Xinjiang), di Kunming (Yunnan), di Ningxia dan di Lanjhou.

19. Antara kegiatan persatuan yang utama termasuklah:

• Penulisan, penerjemahan dan penerbitan terjemahan dan tafsir al-Qur’an, hadith, khutbah dan buku bimbingan agama.

• Penubuhan institut pengajian Islam (yang terbesar ialah Institut Islam China di Beijing; yang lain terdapat di Lanzhou, Yinchuan, Shengzhou, Xining, Urumqi, Kunming dan cawangan di Beijing). Lepasan institut Islam itu sebahagiannya menjadi imam (terdapat 50 ribu imam/ Ahong, usahawan dan sarjana lanjutan di Madinah, Makkah, Mesir, Pakistan dan Malaysia).

• Menyelaraskan ibadah haji umat Islam di China.

• Bekerjasama dengan pelbagai badan Islam di peringkat antarabangsa.


Mudah-mudahan syiar dan syariat Islam terus mekar dan subur di bumi China.

Saturday, August 14, 2010

TAMADUN MELAYU DAN TAMADUN CHINA BERWACANA




TAMADUN MELAYU DAN TAMADUN CHINA BERWACANA

Awang Sariyan
(Inti sari Syarahan Sarjana Pelawat ATMA,Univerisiti Kebangsaan Malaysia, pada 20 Julai 2010 di Bilik Majlis UKM)

LANDASAN BICARA

Keperluan mengkaji tamadun lain dan usaha menjalin persefahaman antara tamadun berkaitan rapat dengan hakikat kejadian manusia yang diciptakan Allah berbangsa-bangsa untuk saling mengenal (al-Hujurat: 13). Erti ‘saling mengenal’ tidak terbatas pada usaha mengenal sifat-sifat asas bangsa dan tamadun lain semata-mata, sebaliknya turut mencakup maksud saling memanfaatkan segi-segi kekuatan bangsa dan tamadun lain, baik dalam soal ilmu, teknologi, ekonomi, budaya dan yang lain. Sisi lain yang penting daripada kerjasama ketamadunan antara pelbagai bangsa ialah pembinaan sikap saling menghormati dan bertolak ansur demi keharmonian sejagat dan terelaknya tindakan mengenakan hegemoni oleh mana-mana bangsa terhadap bangsa lain.

Interaksi antara Tamadun Melayu dengan Tamadun China

1. Sumber sejarah China terawal mencatat hubungan China dengan alam Melayu dalam zaman Dinasti Han sebelum tahun Masihi lagi. Han Shu – Di Li Zhi atau Kepustakaan Dinasti Han – Catatan Geografi memerikan pelayaran utusan Maharaja Wu Di (140 S.M – 87 S.M) ke India yang melalui Semenanjung Tanah Melayu dan sambil itu melakukan perniagaan barter dengan negeri-negeri di Asia Tenggara dan Asia Selatan (Liang Liji, 1996: 13-15).

2. Hubungan China dengan alam Melayu melonjak ke peringkat yang lebih tinggi sesudah munculnya Dinasti Tang (618-907 M) dan Empayar Sriwijaya di alam Melayu pada abad ke-7 (Liang Liji, 1996: 25-26).

3. Zaman gemilang hubungan tamadun Melayu-China berlaku dalam zaman Dinasti Ming pada abad ke-15. Hubungan kedua-dua tamadun dalam zaman itu mencapai puncak hubungan diplomatik yang halus dan teratur, baik dalam hubungan politik antara dua kuasa besar mahupun dalam hubungan perdagangan dan kebudayaan.

4. Melaka di bawah pemerintahan Raja Parameswara (Sultan Iskandar Syah) menjadi destinasi pertama misi Maharaja Ming Cheng Zhu ke alam Melayu pada tahun 1403. Sejarah pembukaan hubungan diplomatik antara China dengan Melaka itu tercatat dalam Ming Shi (Sejarah Dinasti China) (Liang Liji, 1996: 42).

5. Liang Liji (1996) merumuskan tiga perkara penting yang menjadi natijah interaksi dan hubungan antara dua tamadun besar itu:

 Terjalinnya hubungan persahabatan yang saling menghormati, saling memahami dan saling menghargai sehingga tidak berlaku perselisihan dan pertikaian yang dapat menjejaskan hubungan persahabatan dua bangsa itu.

 Wujudnya sikap yang sama dalam memupuk perdamaian dan keadilan, dengan menolak kekerasan dan perseteruan. Hal ini berbeda sama sekali dengan kedatangan armada bangsa Barat yang membawa niat dan misi penjajahan.

 Wujudnya kerjasama ekonomi dalam bentuk perdagangan dua hala melalui tiga sistem pada zaman itu, iaitu perdagangan antara raja (dalam bentuk persembahan ufti dan balasan anugerah pelbagai barang berharga), perdagangan antara kerajaan berdasarkan kontrak penjualan barangan tertentu hanya kepada Kerajaan China dengan harga yang menguntungkan Melaka, dan perdagangan awam dalam kalangan masyarakat umum.

6. Manfaat lain yang tidak kurang pentingnya ialah pengaruh dan peluasan penggunaan bahasa Melayu yang menjadi lingua franca pada zaman Kesultanan Melayu. Dalam zaman Sriwijaya memang telah ada perhatian pendeta Buddha China dalam mempelajari bahasa Melayu kuno; dalam dalam zaman Kesultanan Melayu pula bahasa Melayu dipelajari dan digunakan untuk urusan perdagangan dan kehidupan oleh orang China daripada golongan lain juga, khususnya pedagang.

7. Yang penting juga ialah adanya “perhatian diraja” pada pihak Dinasti Ming dengan penubuhan jawatankuasa jurubahasa (Da Tong Shi) untuk memenuhi kepentingan dan keperluan hubungan luar. Tong Shi atau jurubahasa yang berkhidmat dalam 18 jawatankuasa kecil (Xiao Tong Shi) berjumlah 60 orang, dan dua orang daripadanya khusus untuk bahasa Melayu, iaitu seorang untuk Melaka dan seorang untuk Sumatera.

8. Untuk melatih para jurubahasa, pada tahun 1405 Maharaja Ming Cheng Zhu menubuhkan akademi bahasa yang dikenal sebagai Si Yi Guan (Balai Bahasa Negeri-negeri Asing) di ibu negara Ying Tian Fu (kini Nanjing). Terdapat lapan jabatan di akademi bahasa asing itu. Bahasa Melayu dimasukkan di bawah Hui Hui Guan (Jabatan Islam yang meliputi Parsi, Arab, Melaka, Jawa dan lain-lain). Akademi bahasa asing itu bertahan melebihi 400 tahun, dan dilanjutkan dalam Dinasti Qing yang menggantikan Dinasti Ming walaupun namanya diubah pada 1748 menjadi Hui Tong Si Yi Guan.

9. Pentingnya bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan yang merentas tamadun turut menggerakkan usaha menyusun kamus dwibahasa yang penting untuk kegunaan pedagang dan orang China lainnya dalam interaksi di alam Melayu. Kamus China-Melayu disusun untuk keperluan Kerajaan China dalam Dinasti Ming dalam menjalin hubungan dengan Melaka dan hingga akhir abad ke-16 kamus itu masih menjadi rujukan, termasuk dalam penyusunan buku sejarah China.

10. Man La Jia Guo Yi Yu atau Senarai Perkataan Negeri Melaka meliputi kosa kata dari zaman awal bermulanya hubungan Dinasti Ming dengan Kerajaan Melaka, iaitu pada tahun 1403 hingga tahun jatuhnya Melaka di tangan Portugis pada tahun 1511. Kamus itu terdiri daripada 482 entri kosa kata China yang dianggap penting dan dikategorikan kepada 17 bidang (astronomi, geografi, musim dan masa, tumbuh-tumbuhan, unggas dan haiwan, rumah dan istana, peri kelakuan, tubuh badan, barang emas dan permata, kemasyarakatan dan sejarah, warna, hitungan, dan kata umum. Setiap entri diberi padanan bahasa Melayunya dengan tulisan China.

11. Hubungan Melayu-China yang kurang aktif disebabkan masalah dalaman kerajaan China dan penjajahan Barat di alam Melayu terjalin semula dalam abad 18/19, tetapi dengan pola yang jauh berbeda, kerana kedatangan orang Cina bukan diutus oleh pemerintah Cina atas hubungan diplomasi, melainkan diupayakan oleh penjajah Barat untuk memenuhi keperluan ekonominya, dengan kebanyakan pendatang itu dijadikan buruh di lombong bijih timah dan sebilangan yang lain mencuba nasib dalam perniagaan.

12. Sejarah, akhirnya, memberikan acuan kepada pola demografi dan sistem kemasyarakatan di Persekutuan Tanah Melayu dan kemudian Malaysia, apabila orang Cina dan orang India yang bermastautin diberi taraf kerakyatan pada waktu Persekutan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Kini orang Cina merupakan kira-kira 25 peratus daripada penduduk Malaysia, dan mereka turut mewarnai kepelbagaian kebudayaan di Malaysia melalui cara hidup dalam bidang kesenian, perayaan, makanan, busana, sistem kepercayaan dan yang lain.

13. Sinar baharu dalam hubungan antara alam Melayu dengan Republik Rakyat China muncul pada tahun 1970-an apabila timbul rasa saling memerlukan untuk menjalin hubungan diplomatik bagi kepentingan bersama. Malaysia merupakan negara di Asia Tenggara yang pertama yang menjalin hubungan diplomatik dengan Republik Rakyat China, iaitu pada tahun 1974. Hubungan yang pada mulanya lebih tertumpu pada bidang ekonomi, khusunya perdagangan dua hala, beransur-ansur melebar dalam bidang-bidang lain, seperti pelancongan, pendidikan dan kebudayaan

14. Sejak tahun 1946 bahasa Melayu varian Indonesia telah diajarkan di Institut Bahasa-bahasa Asing di Kota Nanjing dan dipindahkan ke Beijing pada tahun 1949 apabila Republik Rakyat China ditubuhkan. Hingga kini jurusan bahasa atau pengajian Indonesia masih menjadi salah satu fokus pengajian di Universiti Peking dan pada tahun 1961 menjadi salah satu bahasa asing yang diajarkan di Universiti Pengajian Asing Beijing (Beijing Foreign Studies University, atau singkatannya BFSU), sementara di Universiti Pengajian Asing dan Perdagangan Luar Guangdong di Guangzhou pula pada tahun 1970 (Zhao Yue Zhen, 1970).

15. Pada tahun 1961 juga BFSU mula menawarkan kursus bahasa Melayu varian Tanah Melayu dengan Prof. Wu Zong Yu sebagai tenaga perintisnya. Pada tahun 1998 bahasa Melayu mula diajarkan di Institut Bahasa Asing Luoyang dan pada tahun 2001 di Institut Penyiaran Radio Beijing (kini Universiti Komunikasi China). Pada permulaan tahun akademik 2008-2009 pula, iaitu dalam bulan September 2008, Universiti Bangsa-bangsa Peribumi Guangxi (Guangxi University for Nationalities) pula mula menawarkan kursus bahasa Melayu varian Malaysia, sebagai tambahan bagi jurusan bahasa Indonesia yang sedia diajarkan di situ.

16. Pada 20 Jun 1997, ditubuhkan Pusat Pengajaran Bahasa Melayu di BFSU sebagai hasil persetujuan antara kerajaan Malaysia dengan pemerintah Republik Rakyat China, khususnya untuk pengajaran bahasa Melayu di negara China. Pada 1 September 2005 pula ditubuhkan Pusat Pengajian Melayu China, dan dirasmikan oleh YAB Dato’ Seri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak yang ketika itu menjadi Timbalan Perdana Menteri Malaysia, sebagai pangkalan pengembangan pengajian Melayu di RRC.

18.Dengan peningkatan program pengajaran bahasa Melayu kepada program pengajian Melayu, Pusat Pengajian Melayu China secara rasminya menjadi pangkalan kegiatan ilmiah dan pengembangan pengajian Melayu di Republik Rakyat China, dan turut membantu penubuhan Program Bahasa/Pengajian Melayu di institusi pengajian tinggi yang lain di seluruh negara. Pengarah Pusat Pengajian Melayu China ialah Prof. Wu Zong Yu yang memulakan program pengajaran bahasa Melayu di BFSU sejak tahun 1961 dan terus-menerus menjalin kerjasama dengan negara-negara di dunia Melayu.

19.Satu lagi detik bersejarah dalam hubungan ilmiah dan pendidikan antara dua buah negara ialah penubuhan Kursi Pengajian Melayu Malaysia-Republik Rakyat China yang merupakan jawatan ilmiah kehormat yang ditubuhkan bersama antara kerajaan Malaysia dengan pemerintah Republik Rakyat China, sebagai pengiktirafan kepada peranan Beijing Foreign Studies University dalam menubuhkan dan mengembangkan program pengajian Melayu di Republik Rakyat China sejak tahun 1961. Penyandang pertama Kursi Pengajian Melayu Kerajaan Malaysia di Republik Rakyat China ialah Prof.Dr. Awang Sariyan, yang memulakan tugas pada awal tahun 2008.

20. Kursi ini antara lain berperanan memperkenalkan bidang-bidang baru dalam pengajian Melayu (bahasa, sastera, budaya dll), meningkatkan program ilmiah di peringkat ijazah pertama dan ijazah lanjutan, melaksanakan penyelidikan dan penerbitan, menganjurkan seminar serta membantu penubuhan dan peneguhan program bahasa/pengajian Melayu di institusi pengajian tinggi di Republik Rakyat China.

21. Perkembangan bahasa Melayu di RRC dalam bidang ilmiah hingga kini telah meliputi perkuliahan di enam buah universiti, iaitu Universiti Pengajian Asing Beijing (BFSU), Universiti Peking, Universiti Komunikasi China (CUC), Universiti Pengajian Asing Guandong, Universiti Bangsa-bangsa Guangxi dan Universiti Bangsa-bangsa Yunnan. Selain itu, bahasa Melayu turut diajarkan di Akademi Tentera di Louyang, provinsi Henan.

22. Dalam bidang penyiaran, Radio Antarabangsa China (CRI) mempunyai Bahagian Bahasa Melayu yang memaparkan hal ehwal China dan hubungannya dengan dunia luar dengan siaran berbahasa Melayu. Dengan sendirinya juga, CRI menjadi agen pengembangan bahasa dan budaya Melayu di RRC.

Cadangan Pelan Tindakan

1. Penyelidikan:

a. Hubungan antara Malaysia/alam Melayu dengan Cina dalam pelbagai aspek ketamadunan seperti politik, ekonomi, kebudayaan, bahasa dan falsafah/pemikiran, dari zaman dahulu hingga kini, terutama dengan berdasarkan sumber-sumber Cina dan Melayu sendiri.

Langkah: (i).Sumber-sumber Cina yang ada dalam tradisi istana dinasti-dinasti Cina itu dikumpulkan, diterjemahkan dan dibuat anotasinya, agar dapat diperoleh gambaran yang tuntas tentang sumber-sumber yang dapat dijadikan asas analisis.

(ii)Kemudian dipilih sumber-sumber yang primer untuk dijadikan asas analisis, dengan sokongan sumber-sumber sekunder. Hasil yang dapat dibayangkan ialah sebuah buku besar atau beberapa jilid yang memerikan hubungan ketamadunan Melayu-Cina dalam pelbagai ranah, secara kronologis dari zaman awal hingga zaman mutakhir.

b. Kajian sosiolinguistik dalam konteks persebaran bahasa Melayu di tanah besar Cina, dengan menyedari adanya komuniti yang menggunakan bahasa Melayu.

Yang paling menarik dan penting disegerakan ialah kajian bahasa dalam kalangan komuniti Cina yang lahir di alam Melayu, majoritinya di Indonesia, yang pindah atau lebih tepat pulang ke tanah lelulur mereka pada tahun 1950-an dan 1960-an, di beberapa provinsi seperti di Guangdong, Hainan, Fujian dan malahan di Beijing juga. Diberitakan bahawa mereka, khususnya kalangan yang berusia masih menggunakan bahasa Melayu varian Indonesia, dan malahan masih mengamalkan corak kehidupan di alam Melayu daripada segi makanan, busana, kesenian dan lain-lain. Kajian ini perlu disegerakan kerana generasi tua dalam komuniti itu kian berkurangan disebabkan faktor alamiah.

c. Aspek sosiolinguistik yang lain ialah penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan komuniti Cina di RRC. Antaranya termasuklah:

(i) peniaga yang berinteraksi dengan pelancong dari alam Melayu, baik di kaki Tembok Besar China mahupun di gedung-gedung beli-belah.

(ii) kalangan tenaga pengajar dan pelajar warganegara RRC di jurusan bahasa Melayu dan bahasa Indonesia di beberapa institusi pengajian tinggi di Republik Rakyat China. Di Nanning, provinsi Guangxi, malah ada sekolah rendah yang mengajarkan bahasa Melayu/Indonesia beberapa jam seminggu.

(iii) karyawan di institusi lain seperti di Bahagian Bahasa Melayu dan Bahagian Bahasa Indonesia, China Radio International (CRI).

d. Perkembangan Islam di tanah besar Cina dan kaitannya dengan pengislaman di alam Melayu

Aspek ini penting juga dikaji oleh sebab ada teori yang menyebut peranan pendakwah dari Cina yang turut mengembangkan Islam di alam Melayu. Beberapa orang daripada Wali Songo yang terkenal sebagai ulamak dan pengembang Islam di Indonesia pernah dikaitkan dengan usaha dakwah dari Cina dan ada daripada kalangan mereka yang dikatakan berketurunan Cina.

Selain itu, pengaruh seni bina Cina kepada seni bina masjid di Melaka amat jelas dan hal ini pasti ada kaitannya juga dengan pengaruh pendakwah dari Cina. Apatah lagi Laksamana Zheng He yang menjadi utusan Maharaja Cina ke Melaka merupakan tokoh Islam. Isu adakah Laksamana Zheng He sekadar menjadi utursan Maharaja China, atau sebenarnya berperanan juga dalam dakwah Islam perlu dikaji.

e. Kajian-kajian perbandingan yang berkaitan dengan pelbagai aspek dalam tamadun Cina dan Islam, terutama yang berkaitan dengan Islam di alam Melayu.

Analisis pernah dilakukan, misalnya, oleh Jaffary Awang (2005) tentang perbandingan antara nilai dan amalan budaya niaga Cina dengan nilai dan budaya niaga dalam Islam dan analisis Nasruddin Yunos (2005) menyentuh aspek kerohanian dan kebendaan dalam budaya bekerja masyarakat Cina.

f. Kajian perbandingan falsafah dan pemikiran Cina dengan falsafah dan pemikiran Melayu.

Pusat Dialog Peradaban, Universiti Malaya pernah mengadakan siri seminar perbandingan ketamadunan dan hasil seminar dan kajian yang telah dijalankan dapat menjadi titik tolak untuk diperdalam dan diperluas. Antara yang menarik dan penting termasuklah perbandingan Konfusionisme, yang menjadi salah satu asas tamadun Cina dalam hal pemikiran, dengan Islam yang yang menjadi tunjang tamadun Melayu.

g. Kajian perbandingan pelbagai aspek kebudayaan antara dua tamadun.

Antaranya: sistem nilai, kesantunan, lambang dan imej (objek alam, warna dll), kesenian (antaranya perbandingan wayang kulit Melayu dengan wayang kulit Cina), sastera (antaranya perbandingan antara pantun Melayu dengan puisi Cina yang menyerupai pantun), busana, permainan tradisi dan seni bina.

h. Kajian kontrastif tentang pelbagai aspek sistem bahasa Melayu dan bahasa Cina, seperti aspek fonologi, morfologi, sintaksis dan peribahasa.

Kajian kontrastif aspek fonologi, morfologi dan sintaksis dapat membantu pengajar dan pelajar dalam proses pengajaran dan pemelajaran bahasa Melayu, khususnya bagi pengajaran bahasa Melayu sebagai bahasa asing. Kajian perbandingan peribahasa pula lebih berkaitan dengan falsafah, pemikiran, sistem nilai dan pandangan sarwa masyarakat dan dapat dimanfaatkan untuk peneguhan penguasaan bahasa, terutama dalam aspek dinamis bahasa seperti dalam pidato dan karangan.

2. Penerbitan

a. Kamus dwibahasa bahasa Melayu-bahasa Cina, terutama kamus pelajar, yang menekankan latar budaya yang sesuai dengan keperluan pelajar; kamus yang disusun dengan berasaskan konsep medan makna (kerana kamus seumpama itu dapat membantu pemahaman unsur budaya atau tamadun dengan lebih berkesan); kamus ungkapan (bukan sekadar peribahasa, tetapi meliputi aspek ungkapan yang lebih luas), kerana inilah aspek penggunaan bahasa yang paling mencabar bagi pelajar asing.

b. Kamus di talian (online dictionary) yang memberikan kemudahan kepada pelajar membuat rujukan segera dan entri serta maklumat kamus pun dapat senantiasa dikemaskinikan dari waktu ke waktu, berbanding dengan kamus bercetak yang memerlukan waktu yang panjang untuk memperoleh edisi semakannya.
c. Buku pedagogi bahasa untuk rujukan dan panduan pengajaran bahasa Melayu kepada pelajar asing, secara bermodul. Yang berkaitan dengan buku pedagogi ialah buku tuntunan bahasa yang praktis untuk kegunaan pelajar dalam bentuk yang mesra pengguna (termasuk dalam bentuk komik dan aplikasi bahan tuntunan bahasa dalam realiti kehidupan), yang memperhitungkan latar budaya Melayu dan budaya setempat pelajar asing. Daripada segi bentuknya, buku bercetak memerlukan sokongan bahan terbitan elektronik seperti CD dan DVD.

d. Siri monograf kajian semasa yang memerikan aspek-aspek tertentu tamadun Melayu dan tamadun Cina untuk memupuk pemahaman dan persefahaman dalam kalangan pendukung dua tamadun itu. Dalam konteks ini, Kursi Pengajian Melayu di Pusat Pengajian Melayu China telah memulakan penerbitan siri tersebut. Siri itu dapat dimanfaatkan juga untuk memuat tesis dan disertasi yang dihasilkan oleh sarjana Melayu dan China tentang bidang pengajian Melayu (linguistik, sastera, budaya, sejarah, falsafah dll). Model yang dapat digunakan ialah siri penerbitan yang pada suatu waktu dahulu amat mengesankan, iaitu ILDEP (Indonesian Language for Development Project) yang diusahakan oleh Institut Antarabangsa Pengajian Asia Tenggara (IIAS) di Leiden, Belanda dengan kerjasama Pusat Bahasa Indonesia.

e. Portal atau laman web pengajian Melayu yang berpangkalan di Beijing untuk memuat berita, hasil kajian, penerbitan dan bahan-bahan tuntutan bahasa dll. Sebagai permulaan, Pusat Pengajian Melayu China telah bekerjasama dengan Bahagian Bahasa Melayu, Radio China Antarabangsa dalam pengisian blog yang disediakan oleh Laman Web CRI untuk Kursi Pengajian Melayu.


3. Kegiatan:

Contohnya pertandingan pidato dan penulisan wilayah Asia Timur, persidangan, seminar, kolokium dan siri kunjungan budaya ke lokasi-lokasi di tanah besar China, di alam Melayu dan lain-lain. Program pertukaran pelajar BFSU – UM yang bermula sejak tahun 2007 telah memperlihatkan kesan positif dalam konteks persefahaman antara tamadun melalui pengajian Melayu. Pelajar BFSU, di sisi memperoleh manfaat ilmu bahasa, sastera dan budaya Melayu sepanjang satu semester di Universiti Malaya turut menyertai program perambihan (homestay) di rumah keluarga Melayu, sambil melakukan penelitan dan menyediakan kajian. Pelajar Universiti Malaya pula selama sebulan setengah ditempatkan di BFSU untuk mempelajari bahasa Mandarin dan meninjau aspek-aspek kebudayaan masyarakat Cina di tanah leluhur sahabat-sahabat Cinanya di Malaysia.

4. Prasarana dan Jaringan Kerjasama:

1. Mengaktifkan semula Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) yang telah diluluskan oleh Jemaah Menteri Malaysia pada tahun 1997 dan telah mula digerakkan pada tahun 2000 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia, tetapi malangnya terhenti sesudah tahun 2004 atas alasan yang tidak jelas kepada anggota-angota MABM yang mewakili benua dan wilayah. MABM, dalam tempoh empat tahun bergerak telah berhasil membentuk rangkaian kerjasama antara negara, wilayah dan benua, sama ada melalui peningkatan program pengajian Melayu/Indonesia di serata dunia, pertukaran pakar dalam bidang bahasa, sastera dan budaya, penjanaan projek kajian, penerbitan jurnal antarabangsa Melayu, siri seminar antarabangsa beserta kunjungan budaya, program perambihan (homestay) pelajar bahasa Melayu/Indonesia antarabangsa di alam Melayu dan beberapa program lain lagi.

2. Pelbagai pusat pengajian Melayu yang ada di seluruh dunia perlu mengadakan jaringan kerjasama yang lebih akrab dan padu, seperti melalui penganjuran projek kajian dan penerbitan bersama (yang dengan sendirinya dapat menghemat kos). Direktori Pengajian Melayu Sedunia perlu diusahakan supaya semua sarjana pengajian Melayu dapat dikenal pasti, baik daripada segi bidang kepakaran, cara perhubungan mahupun pengemaskinian data peribadi.