Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Tuesday, November 30, 2010

Puisi: Maaf Hamba Bertanya

Maaf Hamba Bertanya


Maaf hamba bertanya:

Masihkah tuan hamba percaya?
tamadun kita lebih dua alaf usianya
sudah terbina sistem pemerintahannya
Wilayah takluknya hingga ke Senggora dan Langkasuka
Berita kebesarannya dan hubungan akrabnya sampai di Sri Lanka
Bahasanya menjadi wahana pentadbiran
juga bahasa dagang antara mancabangsa
dan bahasa para pendeta mengaji agama

Maaf hamba bertanya:

Masihkah tuan hamba percaya?
tamadun kita sudah cemerlang, gemilang dan terbilang
pada zaman kesultanannya
di serata pelosok alam Melayu wujud kerajaan dengan daulatnya
hidup bersendikan adat, adat bersendikan syarak
- Samudera Pasai, Melaka, Aceh, Patani, Kalimantan, Riau-Johor-Lingga
Dagang dan santeri memakmurkan iktisad dan ilmu bangsa
Ulama', pujangga dan pencerita menghasilkan karya
- perihal agama wahyu, ilmu duniawi, undang-undang peraturan, ketatanegaraan, kisah dan ceritera
dalam prosa dan puisi bermutu
Bahasa Melayu masyhur hingga ke Turki dan Parsi
dipelajari dan dikuasai menjadi syarat mendatangi negeri
diperikan menyamai bahasa Latin dan Perancis di benua atas angin

Maaf hamba bertanya:

Masihkah tuan hamba percaya?
tamadun yang kita warisi daripada keutuhan sejarah
kita jadikan asas kenegaraan kala menuntut pembebasan
agama tonggak kehidupan
bahasa wahana pemikiran
budaya teras peradaban
hak peribumi dikembalikan
hak saudara senegara diperkongsikan
raja nan adil dipertuankan

Maaf hamba bertanya:

Masihkah semua itu tuan hamba pertahankan
dalam mengemudikan watan?

~ Kembara Bahasa ~
30 November 2010, 10.00 malam
Beijing Shi

Tuesday, November 23, 2010

Islam di China: Misi ke Provinsi Henan (Bhg. 2)


Misi ke Provinsi Henan (Bhg. 2)

Sesudah solat Jumaat di Masjid Hua Yuan Jie (Masjid Jalan Taman), kami dibawa oleh Imam Musa (imam muda Masjid Hua Yuan Jie yang berusia 22 tahun dan dapat berbahasa Inggeris sedikit) ke Masjid Lu Zheng, kira-kira 200 meter sahaja dari Masjid Hua Yuan Jie. Masjid ini terletak di tingkat enam di bangunan tujuh tingkat milik masjid, tetapi jauh lebih kecil daripada Masjid Hua Yuan Jie. Tidak ada dataran atau halaman serba guna seperti Masjid Hua Yuan Jie. Saiz dewan solatnya pun kira-kira setengah saiz dewan solat Masjid Hua Yuan Jie.

Bangunan masjid itu pun merupakan bangunan baharu yang siap pada tahun 1994, kerana bangunan asal telah diruntuhkan untuk dijadikan tapak pembangunan perniagaan oleh pemerintah. Biaya pengurusan masjid adalah daripada sumber orang ramai, di samping kedai buku dan kedai serbaneka yang agak besar di tingkat tujuh dan beberapa ruang yang disewakan.

Kami sempat bertemu ramah dengan Imam Yusuf (48 tahun) yang berasal dari daerah Xinsiang, salah satu daerah di provinsi Henan. Beliau telah menjadi imam di beberapa tempat di Henan dan dua kali menjadi imam di Masjid Lu Zheng (kali pertama 1994-1997 dan kali kedua sejak tahun 2004). Pendidikan Islam dan bahasa Arab diperolehnya di Masjid daerah Wujeshian selama enam tahun.

Menurutnya, selain menjadi tempat solat fardhu dan solat Jumaat, masjid menganjurkan kursus agama pada petang Sabtu, khususnya kepada pelajar universiti di sekitar kota Zhengzhou yang pada sebelah paginya mengikuti kursus agama di Masjid Hua Yuan Jie. Selain itu, masjidnya turut mengendalikan kursus kepada bakal jamaah haji sekitar 50-60 orang.

Yang menarik, sebagaimana juga di Masjid Hua Yuan Jie, masjid ini diimarahkan lebih banyak oleh golongan muda daripada golongan tua kerana generasi lama sebahagian besarnya telah pindah ke kawasan di pinggir kota, sesudah kawasan di pusat bandar menjadi kawasan perniagaan yang tinggi kosn hidupnya. Namun, semasa solat sunat Idul Fitri dan Idul Adha, jumlah jamaah meningkat dengan banyaknya.

Namun, di balik bangga dengan Islam yang masih utuh bertahan, Imam Yusuf melahirkan rasa bimbang dengan sebilangan anggota masyarakat yang kian menipis imannya dan kurang menjaga Islam dalam aspek amalannya.

Kunjungan kami seterusnya ialah ke Masjid Kecil Zhengzhou yang asalnya siap dibina pada tahun 1910 tetapi diubah suai dan siap pada bulan Oktober 1999. Masjid ini pun terletak dalam kompleks bertingkat dan tidak berhalaman. Kami sempat beramah mesra dengan Bilal Musa. Sebagaimana di dua buah masjid tadi, golongan muda merupakan jamaah yang menghidupkan kegiatan di masjid, terutama dalam pengajian agama.

Jamaah kian banyak yang masuk ke pejabat Bilal Yusuf untuk bersedia menunaikan solat Asar. Kian banyak yang bertegur sapa dengan kami, dengan minat yang mendalam tentang Malaysia yang telah didengar atau diketahui oleh mereka serba sedikit. Salah seorang yang beramah mesra dengan kami ialah Haji Daud Ibrahim (68 tahun) yang berkali-kali menegaskan pentingnya umat Islam menjaga iman. Berbanding dengan kebanyakan yang lain, beliau tampaknya mempunyai pengetahuan dan iltizam yang amat tinggi dalam menegakkan syariat dan syiar Islam. Menantu perempuannya mengikuti kursus ijazah di Kolej Universiti Insaniah di Kedah.

Beliau meminta kami mengikutnya ke pejabatnya sesudah solat Asar. Setelah tiba di pejabatnya, barulah kami tahu bahawa beliau rupa-rupanya Pengetua Sekolah Nur Mukminin, iaitu sekolah rendah dan menengah agama persendirian di kota Zhengzhou. Tidaklah menghairankan mengapa sejak di pejabat masjid tadi beliau lebih banyak bercakap dan menampilkan diri sebagai pemikir.

Menurutnya, dahulu ada 15 buah sekolah agama tetapi telah dirobohkan untuk pembangunan kawasan perniagaan dan pejabat. Sekolahnya yang terdiri daripada bangunan enam tingkat telah beroperasi selama 20 tahun dan menampung 500 orang pelajar dengan penekanan pada bahasa Arab, pengajian al-Qur'an, hadith, tafsir dan sirah. Di sekolah Nur Mukminin, pelajar mengikuti kursus selama tiga tahun dan lepasan sekolah sebilangannya menjadi imam, guru dan pelajar pengajian lanjutan di luar negara.

Kebanyakan guru sekolah itu merupakan bekas pelajar yang dihantar melanjutkan pengajian di luar negara, terutama di Arab Saudi dengan pembiayaan daripada kerajaan Arab Saudi. Sejumlah kecil melanjutkan pengajian di Malaysia tetapi dengan biaya sendiri.

Sambil menjawab pertanyaan kami tentang sekolahnya, Haji Daud Ibrahim masih terus menegaskan pentingnya peningkatan iman dalam kalangan masyarakat yang kian tercemar oleh anasir-anasir buruk sehingga sebahagiannya menjadi kufur. Beliau menolak kecenderungan umat Islam sedunia yang terlalu mementingkan 'kebangsaan' masing-masing sehingga asal manusia daripada Nabi Adam a.s. seolah-olah dilupakan. Di China sendiri, katanya, banyak yang lebih menekankan jati diri sebagai etnik daripada sebagai penganut agama Islam.

Pengertian agama Islam yang berkaitan dengan makna 'selamat', menurutnya, mesti dijadikan asas oleh semua bangsa yang menganut agama Islam. Oleh itu, perjuangannya ialah membentuk generasi muda yang dapat diberi suntikan pemahaman dan penghayatan Islam yang sebenarnya.

Kami terpegun apabila beliau menunjukkan pelan bandar Islam di tengah-tengah kota Zhengzhou yang dirancangnya, dengan kos 500 juta yuan (kira-kira RM 250 juta). Namun, dengan kekangan kewangan, beliau bersikap realistik lalu menumpukan perhatian kepada fasa satu pelan tersebut, iaitu pembinaan kompleks serba guna Islam 12 tingkat yang kosnya 50 juta yuan (10 juta dolar Amerika).

Wacana kami ditangguhkan untuk solat Maghrib di Masjid Kecil Zhengzhou dan Haji Daud telah awal-awal meminta kami makan malam bersama-sama dengannya. Solat Maghrib diimamkan oleh imam yang bacaannya persis bacaan imam di Masjid al-Haram dan di Masjid Madinah.

Seperti yang dijanjikan, usai solat Maghrib, Haji Daud Ibrahim membawa kami, Imam Musa dan Sulaiman (calon Ph.D di Universiti Columbia yang berasal dari Tianjin) ke sebuah restoran Uyghur. Kami dijamu nasi goreng, sate kambing, roti nan dan sayur-sayuran. Sambil makan, kami meneruskan wacana ilmiah dengan Haji Daud yang cukup bersemangat dan serius dalam meningkatkan pendidikan Islam bagi masyarakat di Henan.

Perpisahan kami dengan Haji Daud Ibrahim, Pengetua Sekolah Nur Mukminin pada malam itu meninggalkan kesan yang mendalam apabila memikirkan bahawa di mana-mana juga pendidikan Islam kian terpinggir apabila kian besar jumlah anggota masyarakat mengutamakan kejayaan duniawi lebih daripada kejayaan yang hakiki. Di balik itu, kami bersyukur kerana masih ada penggerak seperti Haji Daud Ibrahim yang mengorbankan usia, tenaga, waktu dan hartanya untuk membentengi generasi muda Islam di Henan melalui pengukuhan institusi pendidikan. Ya, Allah, berikanlah pertolongan kepada hamba-hamba-Mu yang berusaha menegakkan risalah-Mu!

[Bahagian (3): Misi ke perkampungan Islam di Ma Gou di pinggir kota Zhengzhou dan perkampungan Islam Ke Tang Dian, tempat terdirinya Maktab Pengajian Islam Henan, melalui Sungai Kuning, sungai terpanjang di China. Penghargaan khas hamba kepada anakandan Fayyadh Azmi dan anakanda Syafiq Rahimi yang menjadi pembantu penyelidik sepanjang misi di Henan.]

Sunday, November 21, 2010

Puisi: Betapatah Tidak




Betapatah Tidak

Betapatah tidak sebak dadaku
menyaksikan saudara seagamaku berjiwa kental
menopang risalah Tauhid yang berakar sedari abad 7 Masihi
ketika agama penutup bagi insan sedang mekar di buana raya
di tangan Khalifah Uthman Ibn Affan diutus sahabat ke bumi itu
lewat dua Jalan Sutera nan masyhur dalam rakaman sejarah
- Jalan Sutera Laut dan Jalan Sutera Darat

Betapatah tidak sayu hatiku
menyaksikan saudara seagamaku berhati waja
menangkis kendala dan menangani mehnah
di bumi lebih sebilion umat
wujudnya bagai setitik dakwat di sumur
demi menegakkan syiar dan membudayakan umat
di bawah panji-panji al-Din penyelamat insan
meskipun diamuk badai nan bukan kepalang

Betapatah tidak sesal diriku
Saudara seagamaku di tanah leluhurku
ada yang alpa dengan cita dan syurga loka
ada yang terkesima oleh ujian laba dan bahagia semu
ada yang menempah syurga sendiri
tetapi lupa akan kewajiban berbakti
kepada yang menagih secebis perhatian dan keperluan asasi
ada yang meleburkan nikmat rezeki
untuk meraih harga diri dan martabat duniawi

Betapatah tidak terharunya aku
Mengenang bulatnya tekad para ahong*, khalifah dan sarjana
menyemarakkan upaya menungkapkan ilmu
dalam karya tulis asli dan terjemahan
tafsir, hadith dan pelbagai cabang ilmu ukhrawi
penyambung lidah Nabi, sahabat dan ulama' muktabar
tanpa institut terjemahan, tanpa dewan bahasa dan pustaka
atau dana negara
jua zahirnya madrasah, maktab dan jamiah
di tangan para ahli zuhud segalanya terencana dan terlaksana

Wahai saudara dan sahabat di tanah leluhur
kala daya masih kukuh
kala wewenang masih utuh
sanggupkah kalian mempersiakan nikmat
menanti sampai datangnya saat
kala semangat telah terkubur
kala cita telah kabur
kala wewenang telah lebur
dan kita baru mahu belajar membina jalur?

*ahong = imam

[Kembara Bahasa, Beijing, 10.23 malam, 21 November 2010]

Friday, November 19, 2010

Islam di China: Misi ke Provinsi Henan (Bhg 1)






[Keterangan gambar: (1) Di hadapan pintu utama Masjid Hua Yuan Jie/Syari` al-Riyadh; (2) Wawancara dengan Imam Ibrahim Nuruddin dan Imam Abdul Hakim; (3) Koleksi buku agama Islam di kedai buku masjid; (4) Solat Jumaat di Masjid Hua Yuan Jie

Misi ke Provinsi Henan (Bahagian 1)

Henan ialah provinsi di bahagian tengah China yang berpenduduk hampir 100 juta orang dan penduduk Islam, menurut catatan dalam Wikipedia, merupakan satu peratus daripadanya. Angka satu peratus memang kecil, tetapi jika dinisbahkan dengan angka sebenar, maka terdapat kira-kira satu juta umat Islam di provinsi itu.

Pada 11 November 2010, 10.38 malam, bertolaklah hamba dengan anakanda Fayyadh dan Syafiq (kedua-duanya pelajar Malaysia yang mengikuti kursus ijazah pengajian Mandarin sebagai bahasa kedua di Beijing Foreign Studies University) dari Stesen Kereta Api Barat Kota Beijing ke kota Zhengzhou, ibu kota provinsi Henan.

Pada awal pagi 12 November, sekitar pukul 7 pagi, tibalah kami di kota Zhengzhou lalu berjalan kaki menuju ke Masjid Hua Yuang Jie atau dalam bahasa Arabnya ditulis Masjid Syariq al-Riyadh bi Madinah Zhengzhou (Masjid Jalan Taman Kota Zhengzhou), yang jauhnya kira-kira 700 meter dari stesen kereta api. Anakanda Fayyadh telah lebih dahulu hamba minta berhubung dengan pihak masjid yang bakal menjadi pangkalan misi kami mengkaji masyarakat Islam di Henan. Syukur kerana dua minggu sebelumnya 119 orang pelajar Malaysia di BFSU telah dibawa ke Henan untuk lawatan sambil belajar dan sebilangan pelajar telah sempat singgah di masjid berkenaan dan dapat mencatat nombor telefon masjid.

Di hadapan pintu masjid, telah sedia menunggu Yusuf, salah seorang pegawai masjid (kemudian hamba ketahui ia salah seorang muazzin atau bilal). Sesudah meletakkan beg kami di pejabat masjid yang lengkap dengan komputer, kami dibawa oleh Yusuf ke sebuah kedai makan untuk sarapan. Tampaknya restoran itu popular kerana pelanggan berbaris untuk mengambil giliran membuat pesanan. Sarapan yang istimewa rupanya sup kambing (yang persiapannya mengambil waktu lima jam, kata Yusuf) dengan roti (seakan-akan roti nan). Restoran itu terletak di kawasan perniagaan orang Islam kerana dapat hamba saksikan banyaknya restoran dan kedai lain milik orang Islam di sekitarnya.

Setibanya kami di pejabat masjid semula, Yusuf tidak berlengah-lengah lagi mempertemukan kami dengan Imam Besar, Haji Ibrahim Nuruddin (50 tahun), anak watan kota Zhengzhou yang mendapat pendidikan ijazah pengajian Islam di Kuwait, dan sebelumnya di Institut Pengajian Islam Yunnan ketika berusia 18 tahun. Beliau telah 20 tahun menjadi imam di masjid itu. Salah seorang anaknya pernah belajar selama dua tahun dalam bidang penyiaran di Universiti Multimedia, Cyberjaya.

Masjid enam tingkat yang lengkap dengan hotel, kediaman imam, asrama pekerja dan musafir, tadika, perpustakaan, kelas, kedai buku, dewan solat lelaki dan dewan solat perempuan serta kemudahan lain itu merupakan kompleks masjid yang baru siap pada tahun 2006, dan terletak kira-kira 200 meter dari tapak asal masjid lama berusia 200-300 tahun. Tapak masjid asal diambil oleh pemerintah untuk pembangunan. Hotel milik masjid menjadi salah satu sumber dana utama untuk pengurusan masjid dan kebajikan masyarakat Islam setempat.

Apabila ditanya tentang kegiatan pengajian ilmu Islam di masjid itu, beliau menjelaskan bahawa pada setiap hari Sabtu diadakan pengajian agama yang dibimbing oleh imam-imam dengan kebanyakan khalayaknya ialah pelajar universiti di sekitar kota itu. Sesudah solat Jumaat pula diadakan kelas pengajian al'Qur'an dan hadith. Dalam cuti musim sejuk dan cuti musim panas, yang berlangsung kira-kira dua bulan bagi setiap musim, masjid menganjurkan kursus intensif pengajian agama untuk kanak-kanak dan remaja kerana tidak ada sekolah agama yang khas didirikan untuk pengajian sehari-hari. Tampaknya demikian juga yang diamalkan di provinsi-provinsi lain yang telah hamba kaji.

Institut Pengajian Islam Zhengzhou yang menawarkan kursus empat tahun terdapat di luar kota Zhengzhou dan lawatan ke institut itu kami lakukan keesokan harinya. Laporan lawatan itu akan hamba siarkan dalam bahagian selanjutnya.

Ketika wawancara sedang berlangsung, masuk seorang imam lain, iaitu Imam Abdul Hakim yang sejak berusia 8 tahun memang telah terdidik dalam pengajian agama kerana ayahnya merupakan imam di provinsi Ningxia sebelum pindah ke kota Xi'an. Beliau mendalami ilmu di Institut Pengajian Islam Monggolia selama tiga tahun dan telah menjadi imam di kota Xi'an selama 8 tahun sebelum menjadi imam di Masjid Hua Yuan Jie di Zhengzhou sejak 5 Oktober 2010.

Yang menarik, Imam Abdul Hakim pernah mewakili Republik Rakyat China dalam Tilawah Al-Qur'an Peringkat Antarabangsa di Kuala Lumpur pada tahun 2004. Bacaannya memang baik dan sempat kami hayati apabila beliau memperdengarkan bacaan ayat suci al-Qur'an sebelum solat Jumaat pada hari pertama ketibaan kami itu.

Kami teruskan wawancara dengan menanyakan beberapa aspek lain tentang masyarakat Islam di Henan. Menurut Imam Ibrahim Nuruddin, terdapat 16 buah masjid di kota Zhengzhou dan lebih seribu buah masjid di seluruh provinsi Henan. Penduduk Islam di kota Zhengzhou berjumlah 20 ribu orang dan di seluruh Henan berjumlah 300 ribu orang (jauh berkurangan daripada angka yang tercatat dalam Wikipedia, iaitu kira-kira satu juta orang).

Kebanyakan orang Islam di Henan berbangsa Hui Ze (etnik Hui), yang merupakan majoriti orang Islam di seluruh negara China. Terdapat sejumlah kecil orang Monggol, Uyghur dan etnik lain. Kebanyakan orang Islam di Henan tertumpu di bahagian timur dan selatan provinsi itu.

Tentang kedatangan Islam ke Henan, kami diberitahu bahawa Henan menerima risalah Islam pada zaman yang awal, sesudah Xi'an. Kajian hamba di Xi'an sebelum ini mendapati bahawa Xi'an telah menerima Islam pada abad ke-7 Masihi, tidak lama sesudah Islam sampai di Guangzhou. Islam sampai ke Guangzhou di bahagian selatan melalui Jalan Sutera Laut manakala ke Xi'an pula Islam sampai melalui Jalan Sutera Darat. Provinsi Shaanxi tempat terletaknya kota Xi'an memang bersempadan dengan Henan; maka munasabahlah bahawa Islam telah sampai di Henan sesudah sampai di Xi'an, iaitu pada zaman Dinasti Tang.

Berkaitan dengan pekerjaan masyarakat Islam pula, kebanyakannya menjalankan perniagaan dan kecil bilangan yang menjadi penjawat awam. Bagaimanapun Pegawai Daerah Zhengzhou ialah orang Islam.

Sesudah tamat wawancara, kami dibawa ke asrama pegawai masjid di tingkat lima. Niat asal kami untuk menginap di hotel milik masjid kami batalkan kerana diberi tawaran untuk tinggal di asrama pegawai masjid, sebuah bilik besar yang memuatkan 7 buah katil bujang, lengkap dengan tilam, bantal, cadar dan selimut tebal. Di balik kemudahan yang sederhana itu, kami bersyukur kerana dengan tinggal di situ, peluang kami untuk berinteraksi dengan pegawai dan jamaah masjid terbuka lebih luas.

Sesudah meninjau tadika masjid dan kedai buku, kami dipelawa makan tengah hari bersama-sama dengan pegawai masjid dan jamaah yang telah tiba untuk solat Jumaat. Di meja makan itulah kami berkenalan dengan Imam Ibrahim (imam ketiga) yang berusia 39 tahun, yang kemudian menjadi rakan akrab kami dan keesokannya mengiringi kami ke beberapa lokasi kajian.

Dewan solat yang terletak di tingkat empat dapat memuatkan kira-kira 200 orang jemaah lelaki dan 100 orang jemaah wanita. Dewan solat wanita terletak di bahagian belakang dan dipisahkan dengan tirai. Sesudah azan pertama (seperti di masjid lain di seluruh China azan dilaungkan di luar masjid atau dewan solat) dan solat sunat qabliah Jumaat, Imam Abdul Hakim membaca ayat-ayat suci al-Qur'an dengan bacaan yang fasih dan lagu yang menusuk kalbu.

Imam Ibrahim Nuruddin menjadi khatib dan imam bertugas pada hari itu. Berbeda dengan masjid-masjid lain yang telah hamba kunjungi sebelum ini yang khutbahnya dalam bahasa Arab, berdasarkan teks yang telah dicetak dalam bentuk buku, di Masjid Hua Yuan Jie atau Masjid Syari` al-Riyadh khutbah adalah bahasa Mandarin dan tampaknya Imam Ibrahim Nuruddin tidak berdasarkan teks tertulis. Kandungan khutbahnya menurut perkiraan hamba adalah tentang pengorbanan Nabi Ibrahim, sesuai dengan Idul Adha yang akan disambut dalam minggu berikutnya. Khutbah kedua disampaikan dalam bahasa Arab dan bahasa Mandarin.

Usai solat Jumaat, sempat kami menyaksikan kelas pengajian al-Qu'ran untuk muslimat yang dipimpin oleh Imam Abdul Hakim di salah sebuah kelas. Kami berehat sebentar untuk seterusnya ke beberapa buah masjid lain di kota Zhengzhou pada petang itu.

Tuesday, November 16, 2010

Inti Sari Khutbah Idul Adha


"Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, ya Allah. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu, Tuhan yang tiada sekutu bagi-Mu. Hamba-Mu datang menyahut panggilan-Mu. Sesungguhnya segala pujian, nikmat dan perintah adalah kepunyaan-Mu. Tiada sekutu bagi-Mu."

Gema talbiah sedemikian berkumandang sejak menjelangnya wuquf di Arafah pada 9 Zulhijjah, di tanah suci Makkah dan juga di mana-mana umat Islam berada. Talbiah itu menjadi ikrar lisan dan ikrar hati bahawa hanya Allah Tuhan yang berhak disembah dan diagungkan.

Talbiah itu bukan sekadar dendangan penyayu hati dan penyebak dada, sebaliknya penerusan ikrar setiap keturunan Adam yang telah dilafazkan di alam arwah sebelum ruh ditiupkan ke dalam jasad.

"Apabila Tuhanmu mengeluarkan zuriat daripada Adam dan meminta penyaksian tentang diri-Nya, dengan berkata, 'Bukankah Aku ini Tuhanmu?', maka mereka (keturunan Adam) berkata, 'Benar, kami bersaksi.' Kami lakukan yang demikian ini supaya di akhirat kelak kamu tidak mengatakan bahawa 'Kami ialah orang yang lalai akan hakikat ketuhanan Allah." (Al-A`raf, 172)

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah,

Idul Adha yang dikenal dalam masyarakat kita sebagai Hari Raya Haji dan Hari Raya Qurban merupakan salah satu perayaan yang disyariatkan oleh agama. Hal ini demikian kerana Idul Adha menandai salah satu Rukun Islam, iaitu menunaikan ibadah haji bagi orang yang mampu, sekali sepanjang hayat.

Ibadah haji dapatlah dianggap kemuncak Rukun Islam dan pelaksanaannya menuntut pengorbanan yang besar, bukan sahaja daripada segi wang ringgit, kemampuan jasmani, waktu dan keluarga, bahkan juga daripada segi jiwa dan ruhani.

Ibadah haji merupakan penghayatan suatu perjalanan atau kembara ruhaniyah kerana ibadah itu ditunaikan betul-betul di hadapan Baitullah atau rumah Allah dan di tempat-tempat yang telah ditentukan di tanah suci Makkah. Jamaah haji yang ikhlas dalam pelaksanaan ibadahnya pasrah dan memberikan jiwa raga sepenuh-penuhnya kepada Allah, dengan melupakan hal-hal duniawi yang sebahagian besarnya sering melalaikannya. Waktu digunakan seoptimumnya untuk taqarrub atau mendekatkan diri dengan Allah sebagai pencipta dan penguasa sekalian alam ini, memohon ampun atas segala dosa dan noda yang telah dilakukan, dan memohon jalan hidup selanjutnya diletakkan Allah di landasan hidayah dan taufik-Nya.

Segala ujian dan cabaran, baik yang berbentuk fizikal mahupun yang berbentuk psikologi perlu dilalui dengan tabah dan redha. Kekuatan dan keupayaan menghadapi pelbagai ujian itu memerlukan pengorbanan yang besar, terutama dalam usaha membuang tabiat-tabiat mazmumah seperti sifat angkuh, egoistik, riyak, takabbur, ujub, mementingkan diri, tidak perihatin kepada orang lain dan sebagainya.

Alangkah indahnya dan murninya kehidupan masyarakat Islam andai kata pengorbanan yang diamalkan semasa melaksanakan ibadah haji itu diterapkan dalam kehidupan bermasyarakat sepanjang masa.

"Adakah manusia mengira bahawa meereka dibiarkan mengatakan, "Kami telah beriman." sedang mereka tidak diuji?" (Al-Ankabut, 2).

Kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. dan puteranya Nabi Ismail a.s. serta isterinya Sarah dan Siti Hajar berulang kali disebut pada setiap kali umat Islam menyambut Idul Adha. Kisah tahap takwa dan penyerahan diri yang mutlak kepada Allah yang ada pada peribadi Nabi Ibrahim dan puteranya Ismail sehingga tidak berbetk di hati meraka rasa ragu atau ingkar apabila diperintahkan Allah agar Ibrahim menyembelih puteranya Ismail, sewajarnya dihayati oleh sekalian umat Islam dalam menunaikan penyerahan sepenuh-penuhnya ketaatan kepada Allah.

Firman Allah:

"Dan Aku jadikan jin dan manusia tiadalah lain kecuali untuk mengabdikan diri kepada-Ku." (Al-Zarriyat, 56).

Oleh yang demikian, sewajarnya kita menjadikan kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan Ismail itu sebagai peringatan untu secara menyeluruh menerima titah perintah Allah yang telah menyampaikan segala ajaran dan pedoman perihal kehidupan di dunia dan di akhirat melalui risalah Islam yang diwahyukan kepada kekasih dan pesuruh-Nya Nabi Muhammad s.a.w. Tiada harus terbetik di sanubari kita untuk mengingkari apa-apa jua yang difardhukan dan disyariatkan ke atas kita dan jua apa-apa yang dilarangnya.

Sabda Rasullullah s.a.w.:

"Sesungguhnya Allah telah menetapkan beberapa kewajiban, maka janganlah kamu abaikan. Allah juga menentukan peraturan hukum, maka jangan kamu melanggarnya. Allah mengharamkan beberapa perkara, maka jangan engaku melakukannya." (Riwayat Dar al-Qatni).

Demikianlah juga, kisah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s beserta isterinya Sarah dan siti Hajar sepatutnya menjadi teladan bagaimana hubungan kekeluargaan harus ditangani secara bijaksana dan penuh hikmah. Pengorbanan Siti Hajar yang perlu membesarkan anak di tengah-tengah gurun yang gersang dengan segala kesusahan hidup harus dijadikan iktibar kaum hawa dalam menunaikan tanggungjawab mengasuh dan memberikan perhatian kepada anak-anak.

Sekiranya teladan itu dihayati, maka kejadian jenayah pembuangan bayi yang kian leluasa tidak akan berlaku, kerana ibu bapa mengambil tanggungjawab terhadap zuriatnya sebagai amanah Allah. Demikian jua, anak-anak yang menghayati pengorbanan ibu bapa tidak akan rela membiarkan ibu bapa mereka menjadi warga yang terpinggir.

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah,

Allah tidak mensyariatkan agama Islam semata-mata untuk menjaga hubungan hambanya dengan Dia sebagai Khaliq. Allah mengatur supaya hamba-Nya menjaga hubungan sesama mereka dan makhluk lain. Maka itu, ibadah haji dan juga ibadah sunat qurban, di sisi berupa ibadah "hablum minallah" (hubungan dengan Allah) perlu difahami juga sebagai ibadah yang mempunyai dimensi sosial, "hablum minannas" (hubungan sesama manusia dalam kehidupan bermasyarakat).

Tabiat menjaga muhibah, maslahah dan keperluan bersama dalam melancarkan ibadah haji, sebagai contoh, amat penting sebagai asas kehidupan bermasyarakat yang memang memerlukan setiap anggota masyarakat bahu-membahu, tolong-menolong dan saling melengkapi. Demikian juga ibadah qurban yang pada satu sisi merupakan ibadah penyerahan kepada Allah, pada sisi yang lain mengingatkan kita peri pentingnya hubungan kemasyarakatan diberi perhatian, khususnya golongan yang kurang bernasib baik.

Dalam hubungannya dengan qurban haiwan ternakan seperti unta, lembu dan kambing, terkandung lambang pengorbanan untuk menghapuskan sifat-sifat haiwaniyyah yang sebahagiannya dimiliki oleh manusia. Mudah-mudahan dengan pemahaman itu, dapatlah kita memenuhi peranan sebagai khalifah Allah di muka bumi dan tidak pula kita terjerumus ke lembah kehinaan yang lebih rendah daripada haiwan.

Firman Allah dalam Surah al-Tin, ayat 4-5:

"Sesungguhnya telah Kami jadikan insan dalam acuan yang terbaik, kemudian telah Kami hinakan dia sehingga menjadi lebih rendah dan hina daripada yang paling rendah dan paling hina."

Oleh itu marilah kita bersegera mengikuti landasan fitrah yang telah disediakan oleh Allah melalui agama Islam yang salah satu maknanya 'selamat', agar jiwa dan raga yang dipinjamkan Allah kepada kita di dunia yang fana ini akan kembali ke haribaan-Nya di akhirat kelak sebagai golongan yang menerima kitab amal di tangan kanannya (ashab al-yamin).

Allah menegaskan:

"Dan bersegeralah kamu kepada amalan yang baik untuk mendapat keampunan Tuhanmu dan mendapat syurga yang luasnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan untuk orang yang takwa." (Ali Imran, 133)

[Kedutaan Malaysia di Beijing, 17 November 2010/10 Zulhijjah 1431]

Tuesday, November 9, 2010

Soal Jawab Bahasa (9): Seputar Masalah Penggunaan Kata

Seputar Masalah Penggunaan Kata

Soalan:

1. "Cadangan akan dimajukan kepada Kementerian Kewangan untuk kelulusan." Betulkah penggunaan kata dimajukan? Yang lebih gramatis bagaimana?

2. "Kertas kerja itu belum dibentangkan pada Mesyuarat Pengurusan KPKK." Kata sendi nama yang betul adakah pada atau kepada atau dalam. Yang manakah yang betul?

3. Saya kerap membaca minit mesyuarat KPKK yang berbunyi "...mengemukakan ulasan ke atas maklum balas jemaah menteri.." atau "...kunjungan hormat ke atas Menteri Penerangan...." Betulkah penggunaan kata sendi ke atas dalam ayat tersebut? Saya rujuk "Pusat Rujukan DBP" yang dalam talian. Maksud yang dipaparkan menunjukkan arah - 'ke atas', 'ke bawah'...

- ACO

Penjelasan:

1. Barangkali kata dimajukan yang digunakan dalam sebahagian dokumen rasmi itu diterjemahkan langsung daripada bahasa Inggeris forward. Kata yang lebih tepat ialah mengemukakan, mengetengahkan atau mengajukan. Kata mengajukan sesuai diajukan sebagai pilihan untuk menggantikan memajukan.

2. Dalam ayat itu, kata sendi nama yang tepat ialah dalam (dalam mesyuarat).

3. Dalam konteks dua ayat itu, betul penggunaan kata ke atas, sebagai pilihan bagi kata sendi nama terhadap dan kepada. Namun dalam ayat seperti "Atas perhatian dan kerjasama tuan.....", maka atas tidak perlu ditulis di atas seperti dalam sesetengah surat. Kata atas dalam ayat itu bererti 'kerana'.
Asalnya ke atas memang frasa sendi nama yang menunjukkan arah. Dalam perkembangan bahasa, timbul makna 'terhadap/kepada'.
Dalam bidang kehakiman, misalnya, ada ayat seperti "Hukuman penjara dijatuhkan ke atas (kepada) pesalah itu."

Wallahu a`lam

- Kembara Bahasa

Saturday, November 6, 2010

Mengenang Jasa Bakti Allahyarham Pak Asraf


Mengenang Jasa Bakti Allahyarham Pak Asraf

Tanggal 6 November 1999, iaitu 11 tahun lalu, bahasa dan persuratan Melayu kehilangan seorang tokoh yang hingga akhir hayatnya tidak berhenti-henti memperjuangkan martabat bahasa Melayu, baik dalam aspek tarafnya mahupun mutunya. Asraf atau nama penuhnya Mohd. Asraf bin Haji Wahab dijemput kembali oleh Allah pada waktu Zuhur pada tarikh berkenaan, beberapa hari sesudah tiba di tanah air dari tanah suci Makkah kerana mengerjakan ibadah umrah. Sebagai mengenang jasa baktinya kepada perkembangan bahasa dan persuratan Melayu sejak tahun 1950-an hingga akhir hayatnya, saya siarkan Ucap Jasa Penganugerahan Tokoh Pejuang Bahasa kepada Asraf yang saya sampaikan dalam Majlis Anugerah Tokoh Pejuang Bahasa Persatuan Linguistik Malaysia pada 26 Ogos 1997, bersempena dengan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-20 PLM. Al-Fatihah.


Asraf Tokoh Pejuang Bahasa Sepanjang Hayat


Nama Asraf dapat dikatakan bersinonim dengan perkembangan bahasa Melayu dalam era baharu. Asraf atau nama penuhnya Mohd. Asraf bin Haji Wahab telah mengabdikan dirinya kepada dunia persuratan Melayu kira-kira setengah abad, bermula dengan kerjayanya sebagai pemberita pada penghujung tahun 1949, kemudian sebagai subeditor dan seterusnya sebagai anggota redaksi di Utusan Melayu, ketua editor dan pengurus di Oxford University Press (1957 – 1970), pengurus redaksi dan kemudian pengarah eksekutif di McGraw Hill Far Eastern Publishers (1973 – 1977).

Barangkali tidak ada sesiapa pun yang percaya bahawa Asraf pada mulanya bukan orang yang cinta akan bahasa Melayu, bukan kerana is berketurunan Jawa, tetapi kerana ia tidak dapat melihat keindahan bahasa Melayu yang digunakan pada waktu itu. Tambahan pula, pendidikan yang diperolehnya melalui bahasa Inggeris menyebabkan Asraf tidak memandang tinggi akan bahasa Melayu, malah dilihatnya bahasa tersebut tidak lebih sebagai bahasa untuk komunikasi sehari-hari saja, seolah-olah bahasa Melayu tidak bersistem sama sekali. Kejelasan sistem bahasa Inggeris yang dikuasainya dengan baik, sehingga ia cukup mahir membuat analisis klausa (clause analysis) di hadapan kelas, kadang-kadang kerana menggantikan gurunya yang kehilangan suara, menyebabkan Asraf begitu kagum akan kehebatan bahasa Inggeris sebagai bahasa untuk pengungkapan pikiran.

Syukurlah, Allah kemudian membuka pintu hati Asraf kepada bahasa Melayu apabila ia terdedah kepada buku-buku roman atau novel dan buku-buku umum dari Indonesia. Ia seolah-olah menemukan satu bentuk bahasa Melayu yang baru, bahasa yang hidup dan memancarkan sistem yang teratur serta indah pula. Maka bertaubatlah Asraf atas ‘dosa’nya yang memandang rendah akan bahasa Melayu sebelum itu dalam perbandingannya dengan bahasa Inggeris. Mudah-mudahan akan bertaubat juga sekian banyak orang lain yang sehingga kini masih memandang rendah akan bahasanya sendiri dan memandang tinggi pula akan bahasa lain, lebih daripada kadar yang wajar.

Demikianlah, apabila telah dapat melihat potensi bahasa Melayu sebagai bahasa pemikiran dan pengungkapan rasa, Asraf mula memberikan perhatian kepada penulisan yang teratur, jelas dan berkesan. Karya sastera yang baik, pada pendapat Asraf, ialah yang baik bahasanya, di samping yang baik isinya. Dengan kesedaran akan pentingnya penguasaan bahasa sebagai alat utama untuk melakukan penerjemahan yang baik itulah maka Asraf berhasil menjadi penerjemah yang diakui kewibawaannya, baik dalam bidang sastera kreatif mahupun dalam bidang ilmu.

Sejak tahun 1970-an, Asraf terpaksa melupakan penglibatannya secara aktif dalam bidang sastera dan terjemahan, dengan menumpukan perhatiannya kepada ilmu bahasa, khususnya tata bahasa. Kesempatan untuk memperoleh pendidikan formal dalam bidang linguistik memang tidak mungkin didapatnya, kerana sebagaimana yang diakuinya, ia gagal dalam ujian Senior School Certificate pada akhir tahun 1948, kerana leka dengan cita-cita untuk turut dalam perjuangan politik. Ia mendampingi para pemimpin kiri seperti Sutan Djenain, Dr. Burhanuddin al-Helmy, Ishak Haji Muhammad, dan Ahmad Boestamam; malah ia turut menjadi anggota API (Angkatan Pemuda Insaf) pimpinan Ahmad Boestamam dan anggota PKMM (Partai Kebangsaan Melayu Malaya pimpinan Dr. Burhanuddin al-Helmy.)

Asraf tidak menjadikan masalah pendidikan formal itu sebagai batu penghalang untuk mendalami linguistik. Dengan kedudukannya sebagai ketua editor, dan akhirnya sebagai pengurus di Oxford University Press dari tahun 1957 hingga tahun 1970, dan juga sebagai pengurus redaksi dan kemudian sebagai pengarah eksekutif di McGraw Hill Far Eastern Publishers dari tahun 1973 hingga tahun 1977, terbukalah peluang yang cukup luas bagi Asraf menemukan beberapa banyak buku linguistik dari Barat, dengan pelbagai teori dan aliran pemikiran. Dibacanya dan dihayatinya sungguh-sungguh segala karya linguistik yang diperolehnya sehingga berjaya ia akhirnya merumuskan pemikirannya sendiri tentang asas tata bahasa Melayu. Rumusannya tentang tatabahasa Melayu banyak yang dijadikan dasar dalam penyusunan buku-buku tatabahasa Melayu dan juga buku-buku pelajaran bahasa Melayu.

Kewibawaannya sebagai pakar tatabahasa Melayu dihargai oleh Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas sebagai Ketua Jabatan Bahasa, Kesusasteraan, dan Kebudayaan Melayu (kemudian sebagai Pengarah Institut Bahasa, Kesusasteraan, dan Kebudayaan Melayu) di Universiti Kebangsaan Malaysia, lalu diundangnya Asraf mengajarkan Tatabahasa dan Gaya Bahasa Melayu kepada beratus-ratus orang mahasiswa, bukan sahaja daripada Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu bahkan daripada Fakulti Sains Kemanusiaan dan Kemasyarakatan serta Fakulti Pengajian Islam juga.

Dalam tempoh itulah (1971 – 1976), Asraf berusaha mengembangkan huraian tatabahasa Melayu dengan berasaskan teori transformasi generatif yang dipelopori oleh Noam Chomsky. Kerana asyiknya Asraf dengan Chomsky, mahasiswanya di Universiti Kebangsaan Malaysia ketika itu memberinya gelar ‘Chomsky Malaysia’. Jasa dan kewibawaan Asraf kemudian diiktiraf oleh Universiti Kebangsaaan Malaysia apabila pada tahun 1983 ia dikurniai Ijazah Kehormat Sarjana Sastera oleh universiti tersebut.

Generasi muda mungkin mengenal Asraf sebagai ahli tatabahasa semata-mata. Sebenarnya Asraf terlibat juga dalam perancangan bahasa Melayu, baik daripada segi perancangan taraf mahupun daripada segi perancangan korpus sejak tahun 1950-an. Sebagai salah seorang guru bicara ASAS ’50 yang lantang, Asraf telah mengemukakan gagasan penyatuan bahasa Melayu, khususnya antara bahasa Melayu di Tanah Melayu dengan bahasa Melayu di Indonesia. Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga pada tahun 1956 menjadi saksi akan iltizam dan kesungguhan Asraf menjadikan bahasa Melayu bahasa yang berwibawa sebagai bahasa negara, bahasa ilmu, dan bahasa pemikiran. Untuk kongres itu, Asraf menulis memorandum yang berjudul “Penyatuan Bahasa Melayu : Malaya dan Indonesia” dan dua buah kertas kerja yang berkaitan dengan perancangan korpus bahasa Melayu, iaitu “Ejaan Bahasa Melayu dengan Huruf Rumi” dan “Bunyi Bahasa Melayu dalam Ucapan”.

Terang bahawa upaya penyatuan bahasa Melayu pada tahun 1970-an yang diformalisasikan dalam bentuk Majlis Bahasa Melayu Indonesia-Malaysia (MBIM) dan kemudian diperluas menjadi Majlis Bahasa Melayu Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) telah diletakkan asasnya oleh Asraf kira-kira dua dekad sebelum itu. Demikianlah juga, penetapan sistem ejaan Rumi dan sebutan baku bahasa Melayu yang kita gunakan kini telah dikemukakan asasnya oleh Asraf lebih 40 tahun yang lalu. Prof. Dr. Anton Moeliono, salah seorang sarjana linguistik ternama di Indonesia ketika berforum di Dewan Bahasa dan Pustaka, bersempena dengan Sidang MABBIM pada tahun 1977, turut menyebut hal tersebut sebagai penghargaan yang tinggi kepada Asraf.

Dalam kemelut yang melanda taraf dan kehormatan bahasa Melayu belakangan ini, Asraf belum bersedia untuk mengaku kalah.Bersama-sama dengan pejuang-pejuang bahasa dan budaya yang lain, ia masih lantang bersuara untuk mempertahankan kehormatan bahasa Melayu. Dalam keadaan dirinya yang agak uzur disebabkan beberapa penyakit yang diidapnya, ia berusaha mengumpulkan tulisan-tulisan tentang perjuangan bahasa Melayu, menyusunnya, dan mengeditnya, malah mengurus pengaturan huruf, penyemakan pruf, dan aspek-aspek pengeluaran buku yang lain, sehingga terbitlah buku Manifesto Budaya : Pupus Bahasa Pupuslah Bangsa pada tahun 1996.

Sementara itu, usahanya menghalusi aspek-aspek tatabahasa Melayu yang pada hematnya belum beres betul terus-menerus dijalankannya. Kadang-kadang orang tidak dapat memahami mengapa ia begitu asyik dan serius terhadap soal bahasa, sekalipun tentang hal-hal yang tampaknya kecil. Saya sering mengatakan bahawa apabila seseorang telah sampai ke tahap zauq (merasakan kelazatan)dan sufi (dalam hal ini sufi bahasa), tidak ada hal yang dianggap kecil oleh orang itu. Saya agak Asraf telah sampai ke tahap itu.

Biar apapun, yang jelas ialah bahawa usaha Asraf meneliti dan mengembangkan bahasa Melayu itu selaras dengan tuntutan agar kita menyelidik sistem-sistem yang telah diciptakan Allah dalam alam sarwajagat ini, termasuk yang terdapat pada diri kita sendiri (dalam hal ini sistem bahasa) (Fussilat, ayat 53). Mudah-mudahan juga usaha penyempurnaan bahasa yang terus-menerus dilakukan oleh Asraf dapat memenuhi hakikat peranan bahasa sebagai ilmu asas dalam proses pemerolehan dan pengembangan ilmu, sebagaimana yang ditegaskan oleh al-Farabi dan al-Ghazali.

Dalam usaha meningkatkan ketrampilan berbahasa dalam kalangan ahli-ahli profesional, Asraf bergerak cergas mengendalikan penataran bahasa kepada pelbagai golongan profesional, terutama melalui penataran yang dianjurkan oleh Persatuan Linguistik Malaysia. Antara golongan profesional yang pernah dibimbingnya termasuklah hakim-hakim di Mahkamah Tinggi dan di Mahkamah Agung.

Dalam era kebangkitan usahawan Melayu, Asraf pernah mendirikan perniagaannya sendiri, mula-mula sebagai penerbit (Analekta Sdn. Bhd.) dan kemudian menceburi perusahaan dan perniagaan lain termasuk pengilangan bahan campuran PVC untuk penghasilan barang-barang plastik dan perniagaan perabot, sehingga Sasterawan Negara Dato’ A. Samad Said yang pernah berguru tentang bahasa Melayu dengan Asraf semasa di Singapura pada tahun 1950-an mengungkapkan pelibatan Asraf dalam dunia perniagaan sebagai “dari literature ke furniture dan dari linguistik ke plastik”. Ditakdirkan Allah, Asraf akhirnya menemui kegagalan kerana dikhianati rakan kongsinya. Di balik bencana itu, tersembunyi rahmat dan hikmah. Asraf tidak lagi memikirkan cita-cita untuk berjaya sebagai usahawan dan peniaga lalu menumpukan perhatian 100% kepada bidang bahasa, penulisan dan kegiatan perjuangan bahasa.

Berdasarkan baktinya yang cukup besar dalam pengembangan dan peningkatan martabat bahasa Melayu, dari dahulu hingga kini, Persatuan Linguistik Malaysia dan Public Bank Bhd. dengan ini menganugerahi Mohd. Asraf bin Haji Wahab Anugerah Tokoh Pejuang Bahasa Sepanjang Masa, bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-20 Persatuan Linguistik Malaysia.

- Awang Sariyan
26 Ogos 1997, Hotel J.W. Marriott, Kuala Lumpur

Friday, November 5, 2010

Himbauan Ibadah Haji: Menghayati Khutbah Akhir Nabi s.a.w



Himbauan Ibadah Haji: Menghayati Khutbah Akhir Nabi s.a.w

Musim haji bertandang lagi. Para tamu Allah mula mendatangi tanah suci Makkah dan Madinah, dengan membawa harapan dikurniai haji mabrur. Saat berhimpun di Padang Arafah menjadi kemuncak ibadah haji. "Tiada haji tanpa Arafah (wuquf di Arafah)". Demikian sabda Nabi. Peristiwa penting yang sewajarnya disedari oleh para tamu Allah di tanah suci Makkah ialah bahawa pada 9 Zulhijah tahun 10 Hijrah di Lembah Uranah, Gunung Arafah itulah Nabi s.a.w menyampaikan khutbah akhirnya atau khutbah selamat tinggalnya kepada umat yang dicintainya. Maka seyogialah sekalian tamu Allah (dan juga semua umat Nabi) menghayati khutbah penutup Nabi s.a.w itu.


"Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan. Aku tidak mengetahui adakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah kepada orang-orang yang tidak dapat hadir di sini pada hari ini.

Wahai manusia, sebagaimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak.

Jangan kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi.
Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan atas segala amalan kamu.

Allah telah mengharamkan riba; oleh itu segala urusan yang melibatkan riba kamu batalkanlah dari sekarang.

Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar; maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.

Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak ke atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka pun berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang.
Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik, berlemah lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu ke atas mereka ialah bahawa mereka sama sekali tidak boleh memberi masuk orang yang tidak kamu sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.

Wahai manusia, dengarkanlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah sembahyang lima kali sehari, berpuasalah dalam bulan Ramadan, dan tunaikan zakat daripada harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadat haji sekiranya kamu mampu.

Ketahuilah bahawa setiap muslim adalah saudara kepada muslim yang lain. Kamu semua adalah sama, tidak ada seorang pun yang lebih mulia daripada yang lain kecuali dalam taqwa dan beramal soleh.

Ingatlah bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan atas segala yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awaslah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.

Wahai manusia, tidak akan ada lagi Nabi dan Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kata yang telah aku sampaikan kepada kamu.

Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Qur'an dan Sunnahku.

Hendaklah orang yang mendengar ucapanku menyampaikannya pula kepada orang lain; semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku daripada mereka yang langsung mendengarnya daripadaku.

Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah kusampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-MU.

[Salawat dan salam ke atas Nabi s.a.w yang kita cintai]

Wednesday, November 3, 2010

Penyataan Media: Sokongan Penubuhan Bahagian Pembudayaan Bahasa di Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan


SOKONGAN PENUBUHAN BAHAGIAN PEMBUDAYAAN BAHASA DI KEMENTERIAN PENERANGAN, KOMUNIKASI DAN KEBUDAYAAN

Prof. Dr. Awang Sariyan
Penyandang Kursi Pengajian Melayu Malaysia-China
Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia - Universiti Pengajian Asing Beijing


Pengumuman Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia, Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim tentang penubuhan Bahagian Pembudayaan Bahasa di kementeriannya, dalam sidang media pada 28 Oktober lalu, menimbulkan kesegaran semangat dan emosi pada saya (dan saya yakin pada pejuang-pejuang bahasa yang lain juga) sesudah sekian lama luka di hati kian parah. Pengumuman itu menjadi siri berita yang menggembirakan sesudah Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan mengambil keputusan yang tepat dengan memansuhkan PPSMI.

Langkah itu merupakan iltizam yang bukan baharu pada salah seorang pemimpin negara yang cintanya kepada bahasa dan persuratan Melayu serta kesedarannya kepada peranan bahasa Melayu dalam pembinaan negara memang telah sekian lama diketahui. Sukar kita bayangkan bahawa langkah itu diambil oleh pemimpin yang jiwanya tidak mesra dengan bahasa dan persuratan, kerana kementerian berkenaan, dalam pelbagai nama sebelumnya telah sekian lama wujud, tetapi baru di bawah pimpinan menteri yang berkesedaran tinggi tentang peranan bahasa kebangsaan, juzuk pembudayaan bahasa diberi perhatian besar.

Penubuhan Bahagian Pembudayaan Bahasa di kementerian tersebut, jika dihayati oleh pelaksana di peringkat eksekutif kementerian dan semua jabatan di bawahnya dengan susulan dan tindak lanjut yang wajar, pasti memberikan dampak besar kepada pemartabatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa ilmu dan bahasa tamadun dalam semua bidang lain. Potensi Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan untuk memainkan peranan menjadi tonggak Dasar Bahasa Kebangsaan memang besar kerana kementerian tersebut menguasai media, terutama media penyiaran dan mempunyai kuasa dalam pengawalan undang-undang atau peraturan yang berkaitan dengan agensi-agensi komunikasi (termasuk swasta) selain cakupan bidang tugasnya yang meluas, apabila ‘komunikasi dan kebudayaan’ difahami dengan erti yang seluas-luasnya.

Masalah yang dahulu sukar diatasi apabila kuasa mengawal agensi-agensi komunikasi, seperti stesen televisyen dan radio swasta terletak di bawah kementerian yang terasing daripada Kementerian Penerangan kini tidak timbul lagi. Pastilah salah satu bentuk kawalan yang perlu diberi penekanan oleh Bahagian Pembudayaan Bahasa di kementerian tersebut ialah yang berkaitan dengan garis panduan penggunaan bahasa dalam siaran, baik daripada segi taraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, iaitu syarat minimum penggunaannya di stesen televisyen dan radio mahupun daripada segi kawalan mutu bahasa yang digunakan.

Tentu sahaja langkah penubuhan Bahagian Pembudayaan Bahasa itu tidak menjadi pertindanan dengan Dewan Bahasa dan Pustaka kerana sesuatu dasar negara perlu digemblengkan secara padu oleh sebanyak mungkin institusi. Dewan Bahasa dan Pustaka bertanggungjawab dalam bidang tugas memajukan bahasa Melayu dalam semua bidang, membakukan sistem bahasa Melayu, menerbitkan pelbagai bentuk penerbitan untuk pelbagai bidang dan mengembangkan bahasa Melayu kepada masyarakat. Fungsi pengembangan bahasa dan sastera Dewan Bahasa dan Pustaka memang terangkum dalam erti “pembudayaan bahasa”.

Namun, dengan adanya bahagian khusus di Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan yang menumpukan perhatian kepada aspek pembudayaan bahasa, dapat diyakini bahawa usaha memperteguh Dasar Bahasa Kebangsaan yang meliputi penggunaannya sebagai bahasa perpaduan, bahasa untuk urusan rasmi, bahasa utama dalam sistem pendidikan dan bahasa perantaraan dalam bidang-bidang kehidupan lain akan dapat ditingkatkan. Bahagian berkenaan pasti memerlukan kerjasama dan perancangan yang selaras dengan bahagian pengembangan bahasa dan sastera di Dewan Bahasa dan Pustaka. Penggemblengan usaha Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dengan Dewan Bahasa dan Pustaka diyakini dapat memperluas usaha pembudayaan bahasa Melayu di negara ini.

Dengan kedudukannya yang merentas semua bidang eksekutif pentadbiran negara, saya yakin bahawa Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan dapat berperanan besar dalam usaha melonjakkan taraf dan mutu bahasa Melayu dalam semua sektor (awam dan swasta) di negara ini.

Beijing, 3 November 2010

[Dua makalah berkaitan yang sesuai dibaca: (1) "Bahasa Berbudaya: Apakah Ertinya?" dalam siaran pada 21 Jun 2010 dan (2) "Strateti Pembudayaan Bahasa Melayu" dalam siaran pada 22 Jun 2010; kedua-duanya di bawah label "Bahasa"]