Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Thursday, December 30, 2010

Puisi: Selamanya Aku Tidak Mengerti


Selamanya Aku Tidak Mengerti

Selamanya aku tidak mengerti:
akan cita yang ditiupkan ke serata penjuru dunia
bahawa kita mahu setara dengan mereka
tetapi siapakah mereka?

Selamanya aku tidak mengerti:
akan nafsu yang membuak-buak
dilempiaskan lewat kertas projek berhias bedak
mengghairahkan si dewasa berakal budak

Selamanya aku tidak mengerti:
akan kelas dunia yang menjadi impian
kelas dunia manusia dikuasai haiwan?
kelas dunia manusia dipengaruhi syaitan?

Selamanya aku tidak mengerti:
ilmu dan ilmuwan yang sah dipinggirkan
ulama' dan sarjana semu jua yang dimuliakan
yang hak dan benar sudah jadi permainan

Selamanya aku tidak mengerti:
jati diri kurniaan Ilahi kian ternafi
sahsiah Nubuwah tak terlestari
asalkan hajat duniawi terpenuhi

Selamanya aku tidak mengerti:
bahasa dan budaya acuan peribadi dipandang sepi
takjub akan yang di luar diri
hilang "makna diri" jarang disedari

Selamanya aku tidak mengerti:
ke manakah kita akan dibawa pergi
kalau kita hanya pasrah menanti
kita perlu ada pilihan yang pasti

~Kembara Bahasa~
Beijing, 31 Disember 2010

Soal Jawab Bahasa (11): Perihal Makna "Adab"


Perihal Makna "Adab"

Salam Prof, saya masih samar dalam memahami hubungan adab dengan pemilihan pemimipin. Tidak dapat saya membuat perkaitan antara runtuhnya adab dan mengenal/mengakui pemimpin yang benar.

~MRA~


MRA: "Adab" yang difahami umum amat terbatas maknanya, iaitu hanya dikaitkan dengan sopan santun dalam perkataan dan tingkah laku, dan kurang dikaitkan dengan 'adab akliah/pemikiran' menurut yang digariskan oleh agama Islam.

"Adab" berkaitan rapat dengan ilmu. Hanya orang yang berilmu sahaja yang dapat mengenal adab (termasuk berlaku adil, iaitu meletakkan sesuatu/seseorang pada tempatnya).

Apabila adab (termasuk mengenal/mengakui pemimpin yang benar daripada yang palsu) tidak ada pada seseorang, maka berlakulah pemilihan,pelantikan atau pengundian yang salah.

Kesilapan memilih, melantik atau mengundi pemimpin itu menjadi punca kebejatan yang berlaku dalam segala bidang - ekonomi, sosial, pendidikan, politik, undang-undang dan yang lain.

Kupasan lanjut dan rinci dapat dibaca dalam buku Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas, "Risalah untuk Kaum Muslimin", terbitan ISTAC, 2001, terutama perenggan 58 dan 66.


[Gambar: Prof. Al-Attas memberikan tazkirah kepada murid-muridnya di rumah beliau, pada sekitar tahun 1975.]

Friday, December 24, 2010

Muhasabah untuk Menangani Kemelut Bahasa Melayu


Muhasabah untuk Menangani Kemelut Bahasa Melayu

Gambar: Konvensyen Tulisan Jawi 1984 di Kuala Terengganu (Penulis dan panitia penyelenggara lain bersama-sama dengan Allahyarham Prof. Dr. Syed Hussin Alatas)

Prof. Dr. Awang Sariyan
Penyandang Kursi Pengajian Melayu Kerajaan Malaysia di Beijing

Tirai tahun 2010 sudah hampir dilabuhkan. Bersempena dengan menjelangnya tahun baharu 2011, sesuai sekali kita bermuhasabah untuk merenung kesilapan dan kealpaan kita terhadap tanggungjawab memugar bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa ilmu dan bahasa perpaduan. Meskipun telah memasuki ulang tahun kemerdekaan yang ke-53, nasib bahasa Melayu sebagai bahasa negara masih jauh daripada terjamin, bahkan ada waktunya dalam keadaan seperti telur di hujung tanduk dan kedudukannya seolah-olah bagai melukut di tepi gantang.

Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan, Perkara 152 ada kalanya seakan-akan hanya jaminan dalam dokumen atau di atas kertas. Pihak yang terang-terang menentang semangat dan kedudukan sah bahasa Melayu, dengan membuat dasar dan melaksanakan program yang menggerhanakan bahasa Melayu malah sering menjadikan Perkara 152 itu sebagai hujah bahawa kedudukan bahasa Melayu tetap terjamin. Contoh yang jelas ialah bahawa apabila program PPSMI (pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris) dilaksanakan, hampir semua penggerak dan pembela program itu berhujah bahawa kedudukan bahasa Melayu tetap terjamin dalam Perlembagaan, dan PPSMI tidak akan mengurangkan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama dalam sistem pendidikan. Alangkah bercanggahnya pernyataan itu dengan hakikatnya!

Erti dan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan atau bahasa negara tidak benar-benar terjelma kerana kurangnya (malahan mungkin kerana tiadanya) rasa bangga dan hormat kepada bahasa negara. Di beberapa buah negara yang kuat semangat dan rasa hormat kepada bahasa negara, antaranya Jepun, Korea, Republik Rakyat China, Perancis, dan Indonesia, keutamaan diberikan kepada bahasa negara dalam majlis dan acara rasmi. Di Republik Rakyat China, pengutamaan bahasa negara dalam majlis dan acara, termasuk yang bertaraf antarabangsa, menjadi dasar negara dan asas protokol dalam pengendalian majlis dan acara rasmi. Perasmian Sukan Olimpik 2008 pun diisytiharkan oleh Presiden Republik Rakyat China dalam bahasa Mandarin. Pemerintah menubuhkan urus setia khas yang melibatkan puluhan jurubahasa dan penerjemah bagi puluhan bahasa sedunia kerana semua acara sukan dikendalikan dalam bahasa Mandarin. Ternyata bahawa sukan bertaraf dunia itu tetap berlangsung dengan gemilangnya.

Presiden dan Timbalan-timbalan Presiden universiti tempat saya ditugaskan kesemuanya fasih berbahasa Inggeris kerana Presiden ialah lulusan doktor falsafah dari Universiti Hawai, seorang timbalannya lulusan doktor falsafah ekonomi dari London dan yang seorang lagi malahan pemegang ijazah doktor falsafah dalam bidang linguistik Inggeris. Canselor universiti pun berpengkhususan dalam linguistik Inggeris. Namun, dalam semua mesyuarat dan majlis rasmi yang melibatkan perwakilan asing, mereka tetap mengutamakan bahasa Mandarin.

Syukurlah bahawa Perdana Menteri Malaysia ketika berucap dalam majlis perasmian Persidangan Antarabangsa Pengajian Melayu dan Penganugerahan Ijazah Doktor Kehormat Hubungan Antarabangsa di Universiti Pengajian Asing Beijing pada 3 Jun 2009, bersempena dengan ulang tahun ke-35 hubungan diplomatik antara Republik Rakyat China dengan Malaysia, berucap dalam bahasa Melayu sebagai bahasa negara. Tidak ada kejanggalan apa-apa pun, dan tidak cacat majlis gilang-gemilang itu, malah hal itu diterima dengan baik dan bangga oleh pihak pimpinan Universiti Pengajian Asing Beijing yang juga menggunakan bahasa Mandarin sepenuhnya dalam ucapan alu-aluan dan ucap jasa khas untuk Perdana Menteri Malaysia.

Pada sebelah malamnya diadakan sambutan ulang tahun ke-35 tahun hubungan diplomatik Malaysia-China, anjuran Persatuan Persahabatan Malaysia-China. Tayangan rakaman pemasyhuran hubungan antara kedua-dua buah negara pada tahun 1974 dengan jelas menunjukkan bahawa Allahyarham Tun Abdul Razak sebagai Perdana Menteri berucap dalam bahasa Melayu, dengan Presiden Chou En Lai berucap dalam bahasa Mandarin. Alangkah baiknya jika ucapan Perdana Menteri dalam majlis sambutan ulang tahun ke-35 hubungan diplomatik Malaysia-China itu pun disampaikan dalam bahasa Melayu, kerana tuan rumah tampaknya terus berbahasa Mandarin dalam ucapannya.

Kita mengharapkan bahawa pengutamaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dijadikan dasar negara dan asas protokol kerajaan untuk majlis dan acara rasmi negara yang melibatkan hubungan dengan pemimpin dan perwakilan negara asing. Penegasan kita ialah “pengutamaan”, bukan “pengharaman” penggunaan bahasa lingua franca sedunia, seperti bahasa Inggeris.

Sementara itu, tidak ada dalih dan alasan apa-apa pun dalam hal penggunaan bahasa Melayu dalam majlis dan acara di peringkat negara. Tabiat mengabaikan penggunaan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara dalam mesyuarat, majlis rasmi, pekeliling dan urusan rasmi yang lain sewajarnya tidak wujud lagi di negara yang telah lebih setengah abad merdeka. Setiap pemimpin dan penjawat awam, khususnya, perlu disyaratkan agar menghayati peruntukan Perlembagaan, Perkara 152 yang menetapkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dalam semua urusan rasmi di tiga peringkat pentadbiran negara, iaitu kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa awam.

Demikianlah juga halnya dengan penggunaan bahasa Melayu dalam bidang media am yang melibatkan media bercetak dan media elektronik. Badan penyiaran seperti radio dan televisyen sewajarnya diberi arahan yang tegas tentang dasar penggunaan bahasa Melayu dalam penyiaran agar stesen-stesen radio dan televisyen di negara ini menjadi agen yang menyemarakkan citra kebangsaan, bukan citra budaya asing.

Penggunaan bahasa Melayu di tempat awam pula, termasuk penamaan bangunan, jalan, kawasan dan iklan pula tampaknya masih menjadi barah yang belum selesai perawatannya. Pusat pentadbiran di Putrajaya, misalnya masih dengan nama yang bercitra asing apabila masih mengekalkan istilah seperti Parcel untuk menunjukkan kawasan.

Bersempena dengan Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri Malaysia musim keempat pada 5 Mac 2010 lalu, Menteri Pengajian Tinggi mengumumkan langkah untuk mewajibkan kursus bahasa Melayu kepada 65,000 orang pelajar asing di institusi pengajian tinggi (awam dan swasta) di negara ini. Keputusan itu sebenarnya telah diambil lebih 10 tahun lalu oleh kerajaan sebagai susulan lulusnya Akta Pendidikan 1996, dengan mewajibkan semua pelajar asing mengikuti tiga subjek, iaitu Hal Ehwal Malaysia, Bahasa Melayu dan Pendidikan Moral. Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan (pada waktu itu belum ditubuhkan Kementerian Pengajian Tinggi) dengan bantuan pakar-pakar bahasa telah menyusun dua sukatan kursus Bahasa Melayu (bagi pelajar Malaysia dan bagi pelajar asing) di IPT.

Oleh itu, pengumuman menteri berkenaan perlu disusuli dengan langkah segera oleh pihak pengurusan kementerian tersebut. Kita sebenarnya telah lewat lebih satu dekad dalam pelaksanaan dasar mewajibkan pelajar asing mengikuti kursus bahasa Melayu di IPT di negara ini. Hingga makalah ini saya tulis, pengumuman Menteri Pengajian Tinggi itu tampaknya tidak ada susulannya daripada segi perancangan pihak pentadbiran untuk melaksanakan rancangan beliau.

Isu bahasa yang saya bincangkan untuk muhasabah kita bersama itu bukan isu baharu, tetapi tampaknya perlu terus diketengahkan untuk difikirkan dan disusuli dengan langkah yang sewajarnya oleh semua pihak yang mengaku taat dan setia kepada negara. Kalau bukan kita sendiri yang memuliakan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi kita, siapatah lagi?

Beijing, 25 Disember 2010

Wednesday, December 22, 2010

Puisi: Wahai Teman


Wahai Teman

Wahai teman
usah sekali-kali kauingkari takdir
di luh mahfudz telah terukir
kita ini hanya musafir
mencari erti diri yang fakir

Wahai teman
usah dikau berhati walang
tiadalah pintu rezekimu terhalang
selagi hatimu tidak bersimpang
terbuka hati berdada lapang

Wahai teman
usah dikau cemas akan kelebihan taulan
setiap insan dilahirkan berbahagian
tiadalah tertutup bagimu jalan
yakinlah akan pengasih dan pemurahnya Tuhan

Wahai teman
sebermula ikhlaskan hatimu
usah dikau mencari seteru
kelebihan taulan jadikan sumbu
penyala lampu menerangi kalbu

Wahai teman
buah setangkai tidak serupa
bunga setaman manakan sama
demikianlah taraf antara manusia
Syukurilah hendaknya ketentuan Yang Esa

Wahai teman
Belailah hatimu nan gundah
Hiasilah hati dengan zikrullah
Yang kita cari hanyalah barakah
Di akhirat mendapat naungan rahmah

~Kembara Bahasa~
Beijing, 21 Disember 2010

Monday, December 20, 2010

Penjenamaan Semula Kurikulum dan Tuntutan Pengisiannya



Gambar: Allahyarham Tun Abdul Razak, arkitek dasar dan sistem pendidikan negara

Penjenamaan Semula Kurikulum dan Tuntutan Pengisiannya

Prof. Dr. Awang Sariyan
Penyandang Kursi Pengajian Melayu Malaysia-China
[Terbit dalam Klik Web DBP www.dbp.gov.my]

Sebagai susulan keputusan kerajaan, khususnya Kementerian Pendidikan Malaysia, memansuhkan PPSMI atau Program Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris bermula pada tahun 2012, telah dimasyhurkan proram MBMMBI, iaitu Program Memartabatkan Bahasa Melayu dan Meningkatkan Bahasa Inggeris.

Sebagai persiapan untuk menghadapi tahun 2012, telah direncanakan pengubahsuaian kurikulum yang hasilnya dikenal sebagai KSSR atau Kurikulum Standard Sekolah Rendah. Ada orang yang mempersoalkan nama kurikulum itu kerana sebelumnya telah ada Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan untuk peringkat sekolah menengah ada Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM).

Dalam hubungannya dengan sikap menghargai dan menghormati keputusan berani dan rasional kerajaan dalam hal pemansuhan PPSMI, di tengah-tengah gelombang kontroversi yang bersejarah, termasuk berulangnya perarakan ala Keranda 152 pada tahun 1960-an, pada hemat saya tidak perlulah isu nama dipolemikkan.

Saya lebih menilainya sebagai usaha penjenamaan semula kurikulum sistem pendidikan di negara kita yang mendukung hasrat untuk menghasilkan suatu bentuk transformasi budaya dan sosial. Dapat difahami bahawa apabila sesuatu proses transformasi atau reformasi akan dimulakan, salah satu langkah yang lazim dilakukan ialah mengetengahkan slogan yang diperkirakan dapat menggambarkan bentuk transformasi atau reformasi itu. Maka bagi saya, nama Kurikulum Standard Sekolah Rendah itu tidaklah lain daripada penjenamaan semula Kurikulum Bersepadu sekolah Rendah, dengan pengubahsuaian dan peningkatan aspek-aspek tertentu.

Dengan bersangka baik terhadap pengenalan kurikulum baru itu, tidaklah pula kita patut berpeluk tubuh tanpa berusaha menyemak kandungannya dan bagaimana pelaksanaannya berlangsung di sekolah. Kita patut memantau bahawa gagasan untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai salah satu aspek KSSR itu benar-benar dilaksanakan dengan ikhlas dan sungguh-sungguh pada semua peringkat, baik pada penyediaan bahan ajar, proses pengajaran dan pemelajaran (P&P) dan pengujiannya.

Penjenamaan semula kurikulum sekolah hendaklah disusuli dengan pengisian yang jelas dan terancang serta bersepadu sifatnya. Kita mengharapkan bahawa ciri kesepaduan kurikulum tidak diabaikan kerana matlamat pendidikan ialah untuk melahirkan insan yang cemerlang dalam semua aspek kehidupan. Selain cemerlang dalam bidang akademik, pelajar dituntut agar cemerlang dalam bidang akhlak, pemikiran, emosi, kreativiti dan sikapnya. Kesemua unsur itu menjadi inti pati sahsiah insan yang cemerlang.

Pemansuhan Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah dan pengubahsuaian Ujian Penilaian Sekolah Rendah yang akan lebih berdasarkan penilaian menurut sekolah diharapkan benar-benar berasaskan dorongan untuk membentuk sahsiah pelajar yang lebih bersepadu dan tidak lebih cenderung pada kecemerlangan dalam peperiksaan formal semata-mata. Kesempatan perlu diambil oleh pendidik dan pentadbiran sekolah agar kurikulum yang bersepadu diterjemahkan dengan tepat dalam proses pengajaran dan pemelajaran di bilik darjah.

Khusus tentang aspek bahasa pula, kesempatan pelaksanaan KSSR (dan kemudian KSSM pastinya) perlu diambil untuk membudayakan bahasa Melayu dalam kalangan murid dengan sebaik-baik dan seluas-luasnya. Pembudayaan bahasa mestilah dijuruskan kepada dua strategi penting. Yang pertama ialah pembudayaan bahasa Melayu untuk mengisi tarafnya sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu. Yang kedua pula ialah pembudayaannya daripada segi peningkatan mutunya.

Pembudayaan bahasa Melayu daripada segi tarafnya perlu menjadi asas kesedaran pentadbir dan pendidik di sekolah untuk merancang dan menetapkan peluasan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan dalam kalangan murid sesama murid dan antara murid dengan guru serta warga sekolah yang lain. Tidak sewajarnya timbul isu adanya sekolah yang mengedarkan surat kepada ibu bapa, contohnya, yang menggunakan bahasa asing kerana bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi.

Segala kegiatan di sekolah seharusnya dapat dinilai penggunaan bahasa perantaraannya, agar tidak mengurangkan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi meskipun dalam keadaan tertentu memang ada keperluan menggunakan bahasa lain. Pastilah pembudayaan taraf bahasa Melayu dalam sekitaran sekolah memerlukan iltizam seluruh warga sekolah itu sendiri, terutama pihak pentadbiran sekolah.

Cabaran yang lebih mendasar ialah pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, agar semua guru, tidak kira mata pelajaran apa yang diajarkannya, benar-benar dapat membudayakan bahasa yang memenuhi ciri laras bahasa ilmu, walaupun yang saya maksudkan bukan bahasa ilmiah seperti di pusat pengajian tinggi. Gagasan bahasa Melayu merentas kurikulum (BMMK) sewajarnya ditegaskan semula pelaksanaannya agar penguasaan bahasa Melayu, terutama sebagai bahasa ilmu, tidak diperoleh oleh murid hanya dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, tetapi dalam semua mata pelajaran.

Dalam hal pembudayaan mutu bahasa Melayu pula, KSSR hendaklah direncanakan pengisiannya agar dapat menjadi bahasa yang tidak simpang-perenang penggunaannya dalam kalangan murid. Selain aspek mekanik bahasa yang meliputi tatabahasa, sistem ejaan dan sebutan, peningkatan pembudayaan dalam penggunaan bahasa yang memanfaatkan aspek dinamik bahasa amat perlu ditekankan. Penguasaan bahasa kiasan dan gaya bahasa yang beragam hendaklah dipentingkan supaya dari awal lagi murid lazim menggunakan bahasa yang ada nilai estetik dan retoriknya.

Sementara itu, program meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris yang dikatakan menjadi punca kerjaaan pada tahun 2002 memutuskan pelaksanaan PPSMI hendaklah benar-benar diberi pengisian yang terancang. Dengan demikian, diharapkan tidak timbul keluhan atau kekecewaan mana-mana pihak dalam hal penguasaan bahasa Inggeris lepasan sekolah.

Kita amat berharap bahawa KSSR (dan kemudian KSSM) dapat menjadi wadah yang menangkis keperluan mana-mana pihak menyarankan pengajaran subjek-subjek sains dan matematik dalam bahasa Inggeris dengan alasan untuk meningkatkan penguasaan bahasa tersebut. Kurikulum yang dijenamakan semula itu mestilah dapat membuktikan bahawa dengan sukatan pelajaran, bahan ajar, proses pengajaran dan pemelajaran serta sistem pengujian yang tepat, bahasa tersebut dapat dikuasai dengan baik tanpa menjejaskan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang sejak semula berteraskan bahasa Melayu.

Sunday, December 19, 2010

Puisi: Permainan Apakah Ini?


Permainan Apakah Ini?

Kalau silat Si Tuah merebahkan Si Jebat
fahamlah hamba akan ceriteranya
kisah sahabat berebut cinta
Cinta Si Tuah kepada raja
Cinta Si Jebat kepada saudara

Kalau putera raja dahulu kala
sesama bersengketa di istana
merebut hati raja dan bunda
fahamlah hamba akan ceriteranya
masing-masing berebut takhta

Kalau Feringgi melanggar Melaka
Raja Mendeliar, Si Kitol dan yang sebangsa
membuat onar membawa petaka
fahamlah hamba akan ceriteranya
bangsa penjajah menanti leka

Kalau Raffles, Light dan yang sewangsa
diutus menembusi istana memperdaya raja
dengan gerak halus lulus jarum lulus kelindan semua
fahamlah hamba akan ceriteranya
kisah si lemah habuan si haloba

Namun kini hamba bertanya
Permainan apakah yang kami saksikan kini?
Air yang dicencang tampak biar sampai putus
Carik-carik bulu ayam sampai sungguh cariknya
Mandi bukan sampai basah tetapi sampai binasa bejana
Berdakwat bukan sampai hitam tetapi sampai patah pena
Menyeluk pekasam bukan sampai di pangkal lengan tetapi sampai di perdu hawa
Rotan biar terkerat, arang biar patah
Retak sudah menjadi belah
Mahu mati bergalang tanah
Mahu nasi biar menjadi bubur!
Sesat di hujung jalan tidak mahu kembali ke pangkal jalan
Yang keruh tidak dibuang yang jernih tidak diambil

Demkiankah suruhan Yang Esa?
Demikiankah ajaran Nabi junjungan kita?

Apakah sesungguhnya permainan yang kalian pamerkan kini?

~Kembara Bahasa~
Beijing, 19 Disember 2010

Wednesday, December 15, 2010

Puisi: Apabila Bila-bila


Apabila Bila-bila

Apabila bila-bila
akal tidak dijaga
kita bisa jadi gila

Apabila bila-bila
rasa merajalela
kita bisa gila kuasa

Apabila bila-bila
harta jadi utama
kita bisa jadi fana

Apabila bila-bila
usia sia-sia
kita bisa hilang redha

Apabila bila-bila
ikhlas hampa di jiwa
kita bisa jadi riyak

Apabila bila-bila
amanah diperkuda
kita bisa jadi pendaya

Apabila bila-bila
yang berhak tidak dibela
kita bisa menerima bala

Apabila bila-bila
keyakinan telah sirna
kita bisa hilang kuasa

Apabila bila-bila
hubuddunya bersarang di kepala
Tuhan sentiasa yang kedua

Apabila bila-bila
sampai bila-bila
demikian lakunya kita
Tunggulah kehancuran tanpa tunda

~Kembara Bahasa~
[Beijing, 15 Disember 2010, 8.20 malam]

Monday, December 13, 2010

Soal Jawab Bahasa (10): Suri Teladan


Perihal "Suri Teladan"

Daripada manakah timbulnya kata suri teladan yang Prof. gunakan dalam tulisan? Saya tertarik oleh penggunaan kata itu.

Penjelasan:

Ungkapan suri teladan telah ada dalam bahasa Melayu sejak lama tetapi sudah kian jarang digunakan atau tidak diketahui oleh kebanyakan pengguna bahasa. Pada hemat, saya konsep role model dalam budaya Barat yang digunakan dalam bahasa Inggeris itu sama sahaja dengan suri teladan dalam bahasa Melayu. Dalam Kamus Dewan, ungkapan itu diberi makna 'contoh yang baik (yang patut ditiru)'.

Tambahan pula, konsep suri teladan dalam bahasa Melayu bersandarkan nilai-nilai yang bertunjang pada agama. Contoh yang baik dalam budaya Melayu didasarkan pada ukuran baik menurut syarak, sedang contoh yang baik dalam budaya bukan Islam lebih berdasarkan akal atau adat kebiasaan semata-mata.

Baiklah diusahakan pengenalan dan pembiasaan penggunaannya dalam media am, baik media cetak mahupun media penyiaran. Wallahu a`lam.

~Kembara Bahasa~
13 Disember 2010

Saturday, December 11, 2010

Puisi: Aduhai Desaku!


Aduhai Desaku!


Aduhai desaku!
Kurindui dikau tanah leluhurku
Andainya dapat kuputar jalan hidupku
Sedia aku kembali ke dakapanmu

Aduhai desaku!
Gelisah dan resah jiwaku
setiap kali pulang melepaskan rindu
aku menjadi kelu dan keliru
Melihat kian kurang
anak-anak dihantar mengaji
menggali yang fardu
bertalaqi dan beramali bersama guru
menguasai tulis baca Jawi wasilah risalah

Aku menjadi gelisah dan resah
menyaksikan malam yang syahdu
tiada lagi suara merdu
anak-anak dipandu guru
a i u, ba bi bu, ta ti tu, tha thi thu
mengenal fathah, kathrah dan dhammah
tanwin dan sukun serta sabdu
daripada muqadam kepada mushaf yang sempurna

Rumah Allah kian sepi
Meskipun seruan mu`azzin kian meninggi
namun jamaah yang hadir terhitung dik jari

Aku sering bertanya sendiri
Petanda apakah semua ini
apabila kegiatan mengaji berganti ketagihan menonton tv
'sekolah petang' pembekal ilmu tanzil tidak meriah lagi
rumah Allah sudah kian kurang dikunjungi
Sudah majukah dikau wahai desaku?
Sudah modenkah dikau wahai desaku?
Aduhai desaku!

[Kembara Bahasa, Beijing, 12 Disember 2010, 12.45 pagi]

Friday, December 3, 2010

Islam di China: Misi ke Provinsi Henan (Bhg. 3)


Syiar nan Mekar di Ma Gou dan Ke Tang Dian

Hayat kami pada 13 November 2010 bermula dengan solat Subuh berjemaah di Masjid Syari` al-Riyadh, tempat kami menginap. Bacaan Imam Ibrahim Nuruddin sungguh menusuk kalbu dan menambah khusyuk solat. Usai solat, jemaah bergilir-gilir membaca terjemahan hadith dalam bahasa Mandarin daripada Kitab Riyadh al-Solihin. Yang menarik ialah bahawa sebahagian besar yang terlibat terdiri daripada jamaah belia. Sebagai penutupnya, Imam Ibrahim Wu Je Di, imam ketiga, memberikan tazkirah.

Perbincangan ringkas dengan Imam Ibrahim Wu Ji Di (39) dan salah seorang jamaah, Hj. Yaakub menghasilkan persetujuan untuk memenuhi harapan hamba agar kami dibawa ke petempatan Islam di luar kota Zhengzhou. Dengan ihsan Yahya, salah seorang jamaah, kami dan Imam Ibrahim Wu Je Di dibawa dengan keretanya ke Ma Gou di pinggir kota Zhengzhou. Destinasi pertama ialah Masjid Ma Gou Timur (Ma Gao Dongsi Qingzhensi) yang berusia sekitar 300 tahun. Tulisan dalam aksara Mandarin di gerbang masuk yang bererti 'Islam satu-satunya agama' (mungkin daripada ayat al-Qur'an "Innaddina `indallahil Islam") dikatakan ditulis oleh Maharaja Huang Ti. Belum dapat hamba pastikan Maharaja Huang Ti yang mana (mungkinkah Shih Huang Ti yang terkenal dalam sejarah?).

Kami sempat beramah mesra dengan Imam Ibrahim dan Khalifah Muhammad, dan meninjau dewan solat masjid yang menurut Imam Ibrahim lebih banyak diimarahkan oleh golongan tua di kampung itu. Antara yang menarik di masjid ini termasuklah menara tempat azan dan loceng yang digantung pada pohon yang besar. Rumah penduduk, kebanyakannya petani dan sebilangan kecil peniaga, meskipun amat sederhana, dihiasi di luarnya dengan tulisan Basmalah yang besar dan cantik. Demikian juga halnya bangunan kedai dan gedung perniagaan di pekan Ma Gou.

Destinasi selanjutnya ialah Rumah dan Sekolah Anak Yatim Ma Gou. Menurut Naib Mudirnya, Ustaz Ibrahim, rumah dan sekolah itu didirikan pada tahun 2002 di atas tanah yang diwaqafkan oleh seorang ahli korporat Islam. Penghuninya ialah 30 orang anak yatim lelaki dan 30 orang anak yatim perempuan dari beberapa daerah di provinsi Henan. Mereka berusia daripada 6 hingga 18 tahun. Asrama kediaman penghuni lelaki dan perempuan dipisahkan di blok yang berasingan. Terdapat sebuah blok 2 tingkat untuk bilik darjah di samping blok pejabat dan kediaman mudir dan guru. Selain di Zhengzhou (tempat yang kami kunjungi), terdapat rumah anak yatim Islam di daerah lain di provinsi Henan, iaitu di Ning Ling, Shandong, Tai Kang dan Xihua.

Terdapat 13 orang guru, iaitu 2 orang lelaki dan 11 orang perempuan. Dari hari Isnin hingga Jumaat, penghuni rumah anak yatim itu belajar di sekolah kebangsaan dan pada hujung minggu mengikuti kelas agama secara intensif, meliputi tajwid, tilawah al-Qur`an, bahasa Arab, ibadat dan tarikh (sirah). Kami sempat menyaksikan Ustazah Aisyah mengajarkan bahasa Arab dengan kaedah yang cukup menarik. Sesudah berusia 15 tahun, sebilangan pelajar dihantar ke Pakistan untuk melanjutkan pengajian.

Di seberang jalan, terletak Masjid Ma Gou Barat (Ma Gao Xisi Qinzhengsi)yang berusia lebih kurang 100 tahun. Kami sempat beramah mesra dengan Imam Isa dan Ustaz Muhammad Munir. Dari jauh sayup-sayup kedengaran suara Ustazah Laila, isteri Ustaz Muhammad Munir mengajar murid-muridnya di kelas pengajian. Kami hampiri kelas itu untuk menghayati pengajaran doa permulaan membaca al'Qur'an oleh Ustazah Laila dengan lagu yang merdu. Agak menarik bahawa doa itu ditulis di papan tulis dalam aksara Mandarin, tentu untuk memudahkan murid membacanya kerana belum menguasai tulisan Arab. Selain kelas pengajian agama, masjid itu turut membuka tadika.

Misi kami selanjutnya ialah petempatan Islam di Ke Tang Dian, kira-kira 100 km. dari Zhengzhou. Sesudah melalui perkampungan dan jambatan terapung Sungai Kuning, iaitu sungai terpanjang di negara China, tibalah kami di pekan Ke Tang Dian. Sesudah makan tengah hari, kami menuju ke Masjid Ke Tang Tian. Di sepanjang perjalanan, terpampang kain rentang yang mengingatkan pentingnya kehidupan beragama dilestarikan. Perjalanan kami terhenti selama sekitar 10 minit untuk memberikan laluan kepada perarakan pasangan pengantin Muslim yang diiringi oleh kumpulan pancaragam, sejumlah kereta dan bas pengiring. Kami menjangka pengantin itu tentu daripada keluarga yang berada.

Masjid Ke Tang Diang dapat memuatkan lebih 1000 orang jemaah, dengan dewan solat yang cukup indah dan bersih. Sebuah dewan solat tambahan yang dapat menampung 1000 jemaah lagi sedang giat dibina. Terdirinya masjid yang dapat menampung jumlah lebih 2000 orang jamaah membayangkan bagaimana mekarnya syiar Islam di petempatan yang terdiri daripada 2700 orang penduduk Islam di situ. Masjid asal dibina dalam zaman Dinasti Qing, iaitu dinasti terakhir, kira-kira 300 tahun lalu, tetapi telah melalui pengubahsuaian sebanyak tiga kali. Sebagaimana kebanyakan masjid lain di negara China, Masjid Ke Tang Dian menganjurkan kursus intensif fardhu ain sepanjang cuti sekolah pada musim sejuk dan musim panas untuk kanak-kanak dan remaja.

Sesudah solat Zuhur, kami beramah mesra dengan Imam Muhammad Munir (48 tahun), lepasan Institut Pengajian Islam Ke Tang Tian (1993) dan pernah mengikuti kursus bahasa Arab selama dua tahun di Beijing Foreign Studies University pada tahun 1984-85. Menurut Imam Muhammad Munir, pengetahuan agama kebanyakan penduduk di Ke Tang Dian agak baik dan mereka dapat mengajar anak-anak tentang agama di rumah. Majoriti penduduk merupakan kaum Hui dan sejumlah kecil kaum Sala dari provinsi Chinghai dan kaum Monggol. Ada juga sejumlah orang Han yang memeluk Islam.

Imam Muhammad Munir kemudian membawa kami ke Institut Pengajian Islam Ke Tang Dian yang terletak kira-kira 500 meter dari masjid. Kompleks institut itu hampir menyamai Institut Pengajian Islam China di Niu Jie, Beijing daripada segi saiznya. Dengan biaya persendirian daripada sokongan masyarakat Islam sendiri, tanpa bantuan pemerintah, institut itu didirikan pada tahun 1992 untuk menampung 500 orang pelajar.

Mudir institut, Haji Ibrahim Ming Xue (67 tahun) menjelaskan bahawa kursus 4 tahun yang ditawarkan meliputi bahasa Arab, bahasa Inggeris, bahasa Mandarin, pengajian Islam (tafsir, Qur'an, hadith, fiqah, tarikh), mata pelajaran teknikal, sukan dan seni khat. Lepasan institut menjadi imam, guru, penerjemah dan sebilangannya melanjutkan pengajian ke Pakistan, Jordan, Arab Saudi, Libya, Yaman dan Malaysia. Pelajar memulakan pengajian ketika berusia 16 tahun, iaitu sesudah tamat sekolah kebangsaan. Terdapat 24 orang pensyarah di institut itu. Institut dan masjid berpadu erat dalam melaksanakan kegiatan keagamaan di petempatan itu. Kehadiran 500 orang pelajar institut dengan sendirinya menjadikan masjid senantiasa diimarahkan.

Sejumlah pelajar institut yang baru selesai solat Asar mendatangi kami di pejabat masjid dengan sangkaan bahawa kami dari negara berbahasa Arab. Mereka terkejut kerana pertanyaan mereka dijawab oleh anakanda Fayyadh dan Syafiq dalam bahasa Mandarin. Itulah kali pertama barangkali mereka mengetahui wujudnya bangsa dan bahasa Melayu.

Perjalanan pulang ke kota Zhengzhou diiringi oleh waktu senja yang indah. Kami masih sempat solat Maghrib di Masjid Syari` al-Riyadh dan kemudian bergegas ke Masjid Qing Pin Li (terjemahan harafiahnya 'Masjid Selamat Halal') kerana telah berjanji dengan Haji Yaakub yang sebenarnya telah menunggu kami sejak tengah hari. Masjid itu hanya dihadiri oleh sekitar 50 orang jamaah sahaja untuk solat Jumaat kerana sebahagian besar penduduk telah pindah ke luar kota. Sesudah solat Isyak, kami beramah mesra dengan Imam Yusuf dan beberapa orang jamaah di pejabat masjid. Kepenatan sehari suntuk di Ma Gou dan Ke Tiang Dian tidak menghalang kami daripada menjelaskan hal ehwal Islam di Malaysia yang menarik minat mereka.

Setibanya di Masjid Syari` al-Riyadh semula, Imam Ibrahim Nuruddin dan sebahagian pegawai masjid sedang berbincang di pejabat masjid. Kami dipelawa menyertai majlis mereka dan kesempatan itu kami ambil untuk mengucapkan penghargaan yang tinggi atas bantuan dan kerjasama pihak masjid dalam menjayakan misi kami. Dua ekor ayam panggang dan beberapa botol air galian dibekalkan kepada kami untuk perjalanan lima jam dengan kereta api awal pagi keesokannya. Demikianlah kemuliaan budi sahabat kami di Zhengzhou.

Sesudah solat Subuh berjemaah, sekali lagi dengan kesyahduan bacaan Imam Ibrahim Nuruddin, kami segera ke stesen kereta api kerana kereta api bertolak pada pukul 7.20 pagi. Yusuf yang sejak awal ketibaan kami menjadi penyambut dan pembantu kami dengan murah hati mengiringi kami ke stesen kereta api. Rasa sebak dan sayu sukar kami bendung untuk meninggalkan Zhengzhou dan Henan yang meninggalkan bekas yang bukan kecil di sanubari kami - perihal subur dan mekarnya agama Allah didukung oleh para waris Nabi dan umatnya. Untuk mereka, hamba nukilkan penghargaan khusus puisi berjudul "Betapatah Tidak".

[Penghargaan kepada semua yang membantu menjayakan misi kami di Henan, terutama anakanda Fayyadh Azmi dan Syafiq Rahimi yang dengan gigih menjadi pembantu penyelidik, bertugas dari siang hingga malam sepanjang misi di Henan.]