Monday, September 26, 2011

Bahasa Melayu di PBB?




Bahasa Melayu boleh digunakan di PBB jika penutur sepakat

Berita Minggu 2011/09/25

BAHASA Melayu dan Indonesia mampu digunakan pada persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta menjadi bahasa rasmi Asia Tenggara dan Asia jika wujud kesepakatan di kalangan lebih 300 juta penuturnya.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata bahasa Melayu dan Indonesia mempunyai keupayaan tersendiri kerana jumlah penuturnya yang ramai di Malaysia, Indonesia, Singapura, Brunei Darussalam dan selatan Thailand.

Jika bahasa Perancis dan Jepun digunakan di PBB, mengapa tidak bahasa kita. Bahasa Melayu dan Indonesia mempunyai kedudukan tinggi kerana antara lima hingga enam bahasa dunia, katanya pada majlis perasmian Pertemuan Wartawan dan Budayawan Malaysia Indonesia di Dewan Sidang Hatta di sini, semalam.

Turut hadir, Menteri Komunikasi dan Informatika Indonesia, Tifatul Sembiring; Gabenor Sumatera Barat, Prof Dr Irwan Prayitno dan Wali Kota Bukittinggi, Ismet Amziz.

Pertemuan Wartawan dan Budayawan Malaysia Indonesia yang dianjurkan Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia Indonesia (ISWAMI) menjadi medan dialog sebagai hubungan antara masyarakat.

Antara delegasi dari Malaysia ialah bekas Menteri Penerangan, Tan Sri Zainudin Maidin; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Akhbar Malaysia (MPI), Datuk Chamil Wariya dan penerbit filem, Datuk Ahmad Tarmimi Siregar Kamaruddin.
Rais berkata, kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) perlu bekerjasama untuk menjadikan bahasa Melayu dan Indonesia sebagai bahasa ilmu, seni dan komersil di rantau ini, sekali gus memperjuangkannya sebagai bahasa rasmi Asia Tenggara dan Asia.

NGO seperti badan budaya dan persuratan perlu memberi sumbangan dalam hal ini manakala Jawatankuasa Peristilahan menjadi ejen bahasa dalam memperluaskan istilah yang bakal digunakan di Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei Darussalam, katanya.


Ulasan Kembara Bahasa:

Hasrat murni Dato' Seri Utama Dr. Rais Yatim itu patut disokong, terutama oleh seluruh kepemimpinan negara sendiri kerana usaha menjadikan bahasa Melayu/Indonesia sebagai salah satu bahasa di PBB sewajarnya merupakan agenda negara, bukan penyataan hasrat secara individu.

Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) yang diluluskan oleh Kabinet pada tahun 1997 dan mula digerakkan pada tahun 2000 (kerana ketika diluluskan ekonomi negara sedang meleset) telah memasukkan sasaran menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ASEAN dan kemudian bahasa di PBB pada tahun tertentu. Elok amat agenda MABM digerakkan semula dengan badan itu diaktifkan semula, untuk mendukung hasrat Kerajaan (dengan harapan penyataan Dato' Seri Rais Yatim akan dijadikan asas agenda Kerajaan). DBP yang menjadi urus setia MABM perlu diberi wibawa untuk meneruskan gerak kerjanya seperti yang telah berlangsung selama beberapa tahun sejak tahun 2000.

Mudah-mudahan hasrat dan cita-cita murni itu tidak tinggal sebagai gagasan sahaja dan perlu disusuli dengan tindak lanjut yang konkrit dan segera untuk menggrakkan gagasan murni dan penting seperti itu.

~Awang Sariyan~
26 September 2011

Wednesday, September 21, 2011

Peri Pentingnya Penegasan Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan dalam Bidang Penyiaran untuk Memperkukuh Asas Citra Kebudayaan Kebangsaan


PERI PENTINGNYA PENEGASAN PELAKSANAAN BAHASA KEBANGSAAN
DALAM BIDANG PENYIARAN UNTUK MEMPERKUKUH ASAS CITRA KEBUDAYAAN KEBANGSAAN


oleh Prof. Dr. Awang Sariyan
Penasihat Persatuan Linguistik Malaysia
Penyandang Pertama Kursi Pengajian Melayu Malaysia-China

[Kertas ucap utama Seminar Bahasa Melayu dalam Penyiaran, anjuran Kementerian Penerangan, Kebudayaan dan Komunikasi, di Institut Penerangan dan Penyiaran Tun Abdul Razak, 20 September 2011]

Latar Belakang

Teras pertama Dasar Kebudayaan Kebangsaan negara Malaysia ialah “kebudayaan asal rantau ini” yang dengan jelas bermaksud kebudayaan Melayu, iaitu kebudayaan yang telah menjadi asas tamadun besar di rantau alam Melayu (dan juga rantau Asia Tenggara, dalam konteks moden). Salah satu asas kekuatan kebudayaan Melayu yang menjadi tunjang tamadun rantau ini sejak zaman Sriwijaya pada abad ketujuh dan meningkat dengan amat jelasnya dalam zaman Kesultanan Melayu (bermula pada sekitar abad kesembilan atau kesepuluh) ialah bahasa Melayu yang menjadi wahana kehidupan umat Melayu dan umat lain yang sama ada bermastautin atau berurusan dengan rantau ini. Di Kepulauan Melayu, bahasa Melayu telah menjadi bahasa tonggak tamadun dengan peranannya sebagai lingua franca dan juga bahasa pengembangan ilmu, sastera, agama, sejarah, perubatan, undang-undang, dan juga sebagai bahasa perhubungan diplomatik.

Atas asas sejarah itulah telah termeterai kontrak sosial antara pemimpin kaum-kaum utama di negara ini menjelang kemerdekaan, yang antara lain menerima bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi bagi negara kita, yang ditetapkan dalam Perlembagaan Persekutuan, Perkara 152 ialah bahasa Melayu. Asas pemilihan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan banyak berkaitan dengan sejarah negara kita dan rantau ini, khususnya tentang peranan bahasa Melayu sebagai wahana tamadun besar sejak kira-kira dua alaf lalu.

Sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu menjadi asas makna diri atau jati diri dan juga citra negara, lebih daripada lambang-lambang kenegaraan yang seperti lagu kebangsaan, bendera kebangsaan dan bunga kebangsaan. Selain itu, kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan menjadikan bahasa Melayu asas persefahaman dan perpaduan melalui penggunaannya sebagai bahasa perhubungan umum dalam kalangan rakyat pelbagai keturunan dan bahasa. Demikianlah caranya bahasa Melayu menjadi unsur penyatuan dan perpaduan kebangsaan dalam membentuk satu rupa bangsa bagi negara yang berdaulat ini.
Sebagai bahasa rasmi pula, bahasa Melayu perlu digunakan dalam urusan rasmi pada peringkat kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, dan pihak berkuasa awam. Demikianlah yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Perkara 152(6). Hal ini bererti bahawa tiada kementerian, jabatan dan badan berkanun atau mana-mana pihak berkuasa awam (termasuk pihak berkuasa tempatan) yang boleh mengabaikan perihal penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, seperti yang kini masih agak leluasa. Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (Akta 32) pula menetapkan bahawa bahasa Melayu hendaklah digunakan bagi maksud-maksud rasmi dalam semua bidang, termasuklah bidang penyiaran di negara ini.

Perancangan Bahasa dalam Pembinaan Negara: Tumpuan kepada Bidang Penyiaran

Bagi negara-negara yang baru lepas daripada penjajahan dan mencapai kemerdekaan, diperlukan perancangan pembinaan negara (nation building), dalam rangka untuk membina acuan sendiri yang berasaskan jati diri dan keperluan negara baru. Demikianlah di negara kita, perancangan pembinaan negara berlangsung dalam semua bidang kehidupan bernegara, iaitu ekonomi, pentadbiran, bahasa, pendidikan, kebudayaan, undang-undang dan kehakiman dan yang lain. Beberapa dasar yang kita kenal sebagai Rancangan Pembangunan Lima Tahun, Dasar Ekonom Baru, Dasar Pembangunan Nasional dan yang mutakhir Model Ekonomi Baru (2011) berkaitan dengan pembinaan negara dalam bidang ekonomi. Demikian juga, kita mengenal adanya Dasar Bahasa Kebangsaan, Dasar Pendidikan Kebangsaan dan Dasar Kebudayaan Kebangsaan yang kesemuanya menjadi asas proses pembinaan negara yang merdeka dan berdaulat. Bidang bahasa ternyata tidak terkecuali peranannya dalam proses pembinaan negara dan hal ini menjadi salah satu asas kebijakan pimpinan negara apabila kemerdekaan tercapai, dan kebijakan ini mestilah terus dipupuk supaya tidak punah oleh sikap mana-mana pihak yang meremehkan peranan bahasa dalam pembinaan negara.

Dalam pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi, kerajaan telah menubuhkan badan yang khusus untuk memajukan dan mengembangkan bahasa tersebut. Setahun sebelum kemerdekaan, kerajaan yang ketika itu bertaraf kerajaan sendiri telah menubuhkan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan nama asalnya Balai Bahasa, khususnya berdasarkan keputusan Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga pada tahun yang sama (1956).

Sejak ditubuhkan pada tahun 1956, DBP sebagai agensi rasmi perancangan bahasa kebangsaan yang terletak di bawah bidang kuasa Kementerian Pelajaran Malaysia telah melaksanakan pelbagai usaha, sejajar dengan tanggungjawab yang diperuntukkan dalam Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (Ordinan 1959, Pindaan 1978, Pindaan dan Peluasan 1995).

DBP melaksanakan tanggungjawabnya melalui kerja pembinaan dan pengembangan bahasa kebangsaan. Kerja pembinaan bahasa dilaksanakan dalam bentuk penyelidikan bahasa dan sastera, penyusunan kamus ekabahasa dan kamus dwibahasa, serta penggubalan istilah dalam pelbagai bidang ilmu dan profesional, termasuk komunikasi dan penyiaran. Kerja pengembangan bahasa kebangsaan pula dilakukan melalui pengembangan bahasa di sektor awam, sektor swasta, kegiatan sastera dan penerbitan pedoman bahasa, karya ilmu dalam pelbagai bidang dan karya kreatif.

Bidang penyiaran menjadi salah satu tumpuan DBP dalam pengembangan bahasa kebangsaan. Kedua-dua sektor, iaitu sektor awam dan swasta terlibat dalam bidang penyiaran kerana fungsi penyiaran yang dikendalikan oleh kerajaan dan juga oleh pihak swasta. Radio Televisyen Malaysia (RTM), misalnya, merupakan badan penyiaran yang dikendalikan oleh sektor awam, manakala sejumlah stesesn radio dan televisyen lain dikendalikan oleh swasta, misalnya TV 3 dan TV 9 (kendalian Media Prima yang dahulu dikenal sebagai Sistem Televisyen Malaysia Berhad), NTV7 (Natseven TV Sdn. Bhd.), Astto Ria, Astro Prima, Astro Oasis, Astro Citra, Astro Warna (Measat Broadcast Network System Sdn. Bhd.), Radio Time Highway (THR.fm), dan Airtime Management & Programming (Radio Era). Ada pula badan penyiaran separuh kerajaan seperti Radio IKIM dan TV Al-Hijrah serta radio dan televisyen BERNAMA.

Bidang penyiaran diberi tumpuan perhatian oleh DBP melalui Bahagian Pengembangan Bahasa Sektor Swasta di bawah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera. Selepas pewartaan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (Pindaan dan Peluasan 1995), usaha meluaskan penggunaan bahasa kebangsaan, khususnya dalam sektor swasta telah dilaksanakan oleh DBP secara lebih terancang melalui Gerakan Bahasa Kebangsaan Sektor Swasta (GBKSS) yang dilancarkan oleh Menteri Pendidikan Malaysia pada 19 Ogos 1996.

GBKSS telah dilaksanakan dengan kerjasama dan sokongan, terutamanya daripada pihak berkuasa kerajaan, pihak swasta, dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). GBKSS dilaksanakan melalui kegiatan yang berbentuk pelaksanaan dan penguatkuasaan dasar bahasa, penghasilan dokumen, penataran bahasa, penggalakan, dan pengiktirafan.

Dalam bidang penyiaran, antara kegiatan utama yang telah dilaksanakan termasuklah Bengkel Penilaian Pelaksanaan GBKSS 1996-2000 dan Seminar Bahasa Kebangsaan dalam media Penyiaran. Di peringkat negeri Sabah seminar ini telah diadakan pada 25 Julai 2002 di Hotel Hyatt Regency, Kota Kinabalu, Sabah. Bengkel Penilaian Pelaksanaan GBKSS 1996-2000 telah diadakan pada 24 Mei 2000 di Palace of The Golden Horses, Seri Kembangan, Selangor. Bengkel ini bertujuan menilai pencapaian GBKSS sepanjang lima tahun pelaksanaannya, iaitu dari tahun 1996-2000.

Bengkel bagi kelompok bidang media elektronik dihadiri oleh wakil Kementerian Penerangan, Kementerian Tenaga, Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Penyiaran Malaysia, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Institut Penyiaran Tun Abdul Razak (IPTAR), TV3, dan NTV 7. Antara resolusi yang secara langsung berkaitan dengan bidang penyiaran di negara ini termasuklah perkara yang berikut:

i. DBP menganjurkan kursus kemahiran berbahasa kebangsaan untuk petugas di bahagian kawal selia televisyen.
ii. Usaha DBP mengekalkan penggunaan sebutan baku dalam bidang penyiaran dan pendidikan perlu disokong. Penyelarasan sebutan baku antara stesen televisyen perlu diadakan.
iii. Kementerian Penerangan dan Kementerian Tenaga, Komunikasi dan Multimedia (kini Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan) hendaklah memberikan arahan kepada semua stesen televisyen swasta agar menerima pakai Garis Panduan Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Media Elektronik Jabatan Penyiaran Malaysia - RTM
iv. DBP mencadangkan pelibatan Bahagian Penguatkuasaan (Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan) dan Kementerian Dalam Negeri dalam penamaan syarikat filem, video, dan muzik.
v. Syarikat rakaman, stesen televisyen, dan RTM hendaklah mengawal penamaan kumpulan muzik, kulit album, dan judul lagu dalam media penyiaran. DBP juga diminta menyediakan garis panduan penamaan tersebut.
vi. Penyeragaman tajuk karyawan dalam drama dan filem perlu diperluas kepada semua pihak yang terlibat.

Seminar Bahasa Kebangsaan dalam Media Penyiaran pula telah diadakan pada 8 hingga 9 Julai 2002 di Hotel Istana, Kuala Lumpur. Seminar ini anjuran bersama DBP, Kementerian Penerangan, dan Kementerian Tenaga, Komunikasi dan Multimedia. Majlis pembukaan telah dirasmikan oleh Y.B. Tan Sri Mohd Khalil Yaacob, Menteri Penerangan Malaysia pada masa itu, manakala majlis penutupan disempurnakan oleh Y.B Datuk Tan Chai Ho, Timbalan Menteri Tenaga, Komunikasi dan Multimedia (kini dinamakan Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Komunikasi). Peserta seminar ini terdiri daripada pengendali dan pengamal media dari Jabatan Penyiaran Malaysia, stesen radio dan televisyen swasta, pensyarah dan pelajar institut pengajian tinggi, maktab perguruan, dan orang perseorangan.
Satu ucap utama, tiga kertas dasar, dan 10 kertas kerja telah dibentangkan dan dibahaskan dalam seminar ini. Ucap utama telah disampaikan oleh Y.B. Datuk Seri Utama Dr. Rais Yatim, Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada masa itu. Kertas dasar ini juga telah dibentangkan oleh Ketua Pengarah DBP, Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran (Rancangan), Jabatan Penyiaran Malaysia dan Setiausaha Bahagian (kandungan dan pos), Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KTKM), manakala kertas kerja tersebut telah dibentangkan oleh wakil DBP, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (USM), TV3, NTV7, Astro, Radio ERA, Radio THR.fm dan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA).

Rumusan seminar telah dikemukakan kepada Setiausaha Kementerian Penerangan, Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Komunikasi dan Multimedia, dan semua stesen penyiaran swasta untuk makluman dan perhatian pihak berkenaan. Resolusi bengkel dan rumusan seminar yang telah dianjurkan oleh DBP memperlihatkan gambaran sebenar tahap penggunaan bahasa kebangsaan dalam media penyiaran di negara ini, serta masalah dan cabaran penggunaannya pada masa kini. Perbincancangan tentang rumusan seminar itu masih relevan hingga kini dan oleh itu dibincangkan dalam bahagian yang khas di bawah ini, iaitu isu-isu bahasa dalam penyiaran yang masih berbangkit.

Isu-isu Bahasa dalam Penyiaran yang Masih Berbangkit

Bahasa kebangsaan telah digunakan dalam media penyiaran melebihi setengah abad, iaitu sejak tahun 1946 dalam siaran radio (radio Malaysia) dan sejak tahun 1963 dalam siaran televisyen (televisyen Malaysia). Namun demikian, penggunaan bahasa kebangsaan dalam media penyiaran masih belum memuaskan. Penggunaan bahasa kebangsaan dalam media penyiaran yang masih belum memuaskan itu berpunca daripada perkara yang berikut:

i. Garis panduan penggunaan bahasa yang tidak seragam antara stesen penyiaran kerajaan dengan swasta (pada waktu itu disebabkan stesen penyairan awam di bawah Kementerian Penerangan dan stesen penyiaran swasta di bawah Kementerian Tenaga, Komunikasi dan Multimedia. Mudah-mudahan sesudah wujudnya Kementerian Penerangan, Kebudayaan dan Komunikasi, penyelarasan dalam penyeragaman garis panduan penggunaan bahasa bagi stesen penyiaran awam dan swasta dapat disegerakan).
ii. Garis panduan penggunaan bahasa yang tidak mantap dan tidak terperinci, misalnya dari segi penyediaan sari kata dan alih bahasa.
Mesyuarat susulan seminar yang telah diadakan pada 6 Ogos 2002 di Wisma Radio, Angkasapuri yang dihadiri oleh pihak DBP, Jabatan Penyiaran Malaysia, dan Kementerian Tenaga, Komunikasi dan Multimedia telah bersetuju untuk memantapkan penggunaan bahasa kebangsaan dalam media penyiaran, terutamanya dalam aspek sebutan, pengiklanan, dan sari kata.

Penggunaan bahasa kebangsaan yang betul dan baku perlu dinyatakan dengan jelas dalam undang-undang, akta dan kod yang berkaitan dengan penyiaran, termasuklah:

i. Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588)
ii. Garis Panduan Penyiaran
iii. Kod Pengiklanan 1998
iv. Kod Kandungan.

Pemantapan penggunaan bahasa kebangsaan dalam media penyiaran hendaklah dilaksanakan melalui peraturan pentadbiran berdasarkan Garis Panduan Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Media Penyiaran 2003. Semua stesen penyiaran sama ada stesen radio mahupun stesen televisyen di seluruh Malaysia, termasuk Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM), TV3, NTV7, Astro dan seumpamanya hendaklah menerima pakai garis panduan tersebut.
Pihak kerajaan, terutamanya DBP dan Kementerian Penerangan, Kebudayaan dan Komunikasi perlu memantau pelaksanaan dan penguatkuasaan garis panduan tersebut. Pemantapan dan pemantauan penggunaan bahasa kebangsaan dalam media penyiaran perlu dilakukan supaya bahasa itu kukuh, seragam,dan tekal dalam semua aspek bahasa, dan digunakan serta dikuasai oleh pengamal bidang penyiaran dengan sebaik yang mungkin.

Usaha ini memerlukan sokongan dan kerjasama semua pihak yang cinta akan bahasa kebangsaan dan citra negara serta perpaduan rakyat. Antara resolusi seminar yang berkaitan dengan bidang penyiaran secara khusus termasuklah perkara yang berikut:

i. Media penyiaran perlu sentiasa memastikan penggunaan bahasa Melayu yang baku dalam siarannya dan akan terus memantau serta sentiasa membetulkan kesilapan bahasa sekiranya ada.
ii. Aspek pencemaran bahasa, penggunaan bahasa rojak, serta kesalahan tatabahasa dan sisipan bahasa asing dalam siaran berita sentiasa diberi perhatian.
iii. RTM perlu mewajibkan penggunaan sari kata atau alih suara bagi tayangan filem atau rancangan asing dan juga ucapan yang disampaikan dalam bahasa asing dalam liputan majlis tertentu.
iv. Pemantapan bahasa kebangsaan dalam media penyiaran dapat dilaksanakan melalui pemantauan penggunaannya dalam penulisan sari kata, skrip filem, lirik dan lain-lain, mengadakan pertandingan mencipta lirik dan penulisan skrip, penggubalan istilah, anugerah dan pengiktirafan, kursus dan kegiatan kebahasaan, serta menjadikan media penyiaran sebagai teladan dalam penggunaan bahasa kebangsaan.
v. Peruntukan Seksyen 5 (v) Akta DBP (Pindaan dan Peluasan) 1995 patut dimandatorikan dan kuasa eksekutif patut diberikan kepada DBP untuk membetulkan penyalahgunaan bahasa dan semua pihak perlu menerima dan akur kepada ketetapan dan teguran DBP tentang kesilapan penggunaan bahasa.
vi. DBP mesti terus memantau dan membetulkan kesalahan bahasa dalam segala bidang, terutamanya bidang penyiaran yang ternyata amat besar pengaruhnya kepada masyarakat, terutama golongan muda.
vii. DBP dan Kementerian Penerangan, Kebudayaan dan Komunikasi perlu menangani konflik ketidakseragaman sebutan dalam media penyiaran dengan menyediakan semula garis panduan penggunaan sebutan baku yang pernah dilaksanakan.
viii. DBP perlu terus meningkatkan dan memperluas pedoman bahasa melalui Internet.
ix. Kursus dan taklimat bahasa Melayu untuk kakitangan dan karyawan badan penyiaran awam dan swasta perlu terus-menerus diadakan sebagai latihan dalam perkhidmatan.
x. Penapisan rancangan hendaklah dilakukan secara bersepadu dalam aspek akhlak, dasar negara, agama dan juga bahasa.
xi. Penyiaran rancangan penggalakan bahasa kebangsaan oleh DBP dalam media penyiaran hendaklah dikecualikan dari caj siaran, sebagai suatu bentuk tanggungjawab sosial badan penyiaran di negara ini.
xii. Stesen penyiaran perlu menguatkuasakan peraturan pentadbiran yang mewajibkan syarikat penerbitan dan iklan mendapat pengesahan bahasa daripada DBP sebelum iklan disiarkan.
xiii. Stesen penyiaran hendaklah bertindak lebih peka dalam meluluskan rancangan yang dikendalikan dalam bahasa kebangsaan.
xiv. Untuk mengembangkan bahasa Melayu di peringkat serantau dan antarabangsa, rangkaian bahasa asing perlu memperuntukkan rancangan belajar bahasa Melayu.
xv. RTM dan stesen penyiaran swasta perlu terus menyeragamkan kaedah sebutan dalam bahasa Melayu secara bertahap dalam siarannya.
xvi. Kertas Cadangan Penamaan Kumpulan Muzik yang berunsurkan kemelayuan dan kemalaysiaan perlu disediakan.
xvii. Pemantauan siaran oleh Jawatankuasa Sebutan dan Istilah di RTM perlu ditingkatkan, meliputi semua bentuk rancangan.
xviii. DBP hendaklah dilantik sebagai rakan penyiaran atau perunding penyiaran.
xix. Bahasa kebangsaan wajib digunakan secara rasmi dalam siaran radio di peringkat kebangsaan, negeri, dan antarabangsa (suara Malaysia).
xx. Semua laman web kerajaan hendaklah menggunakan bahasa kebangsaan, di samping bahasa Inggeris untuk capaian global.
xxi. Stesen penyiaran perlu membendung pengaruh yang tidak baik dalam siaran iklan dan rancangan terbitannya, termasuk dalam soal bahasa.
xxii. Stesen penyiaran perlu mempunyai pakar rujuk bahasa masing-masing.
xxiii. Stesen penyiaran swasta mesti berganding bahu dengan RTM untuk terus mendukung penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa penghantar utama.

Penutup

Demikianlah secara ringkas sorotan tentang bahasa Melayu dalam bidang penyiaran di negara ini, yang menekankan peri pentingnya bidang penyiaran sebagai salah satu sektor yang memberikan sumbangan besar dalam pengukuhan jati diri dan citra kebangsaan bagi negara ini. Pengukuhan jati diri dan citra kebangsaan itu bukan semata-mata dalam bidang kandungan siaran, bahkan turut meliputi bidang bahasa yang menjadi wahana untuk menyalurkan falsafah, pemikiran, sistem nilai, cita-cita dan harapan bangsa Malaysia. Proses globalisasi tidak sewajarnya dijadikan alasan mudah untuk bersikap pasrah dan permisif sehingga mengorbankan jati diri dan citra kebangsaan kita. Kata peribahasa Melayu, “Yang baik dijadikan teladan, yang buruk dijadikan sempadan”.

Dengan peningkatan kesedaran akan peranan pengendali bidang penyiaran tentang misi besar negara dalam pelaksanaan tugas dan kerjaya, yakinlah kita bahawa tidak ada mana-mana sektor di negara ini yang terkecuali daripada tanggungjawab mendukung cita-cita pembinaan negara yang berjati diri, bercitra dan bermaruah.

Gangsa bukan sebarang gangsa,
Gangsa saduran emas tempawan;
Bangsa sendi tamadun bangsa,
Dihina jangan dileburkan jangan.

Sriwijaya, Samudera, Aceh dan Melaka,
Pusat Gemilang tamadun kita;
Majukan bahasa majukan bangsa,
Baru negara terhormat di dunia.

[Petikan daripada kumpulan puisi penulis dalam blog kembarabahasa.blogspot.com]

~Kembara Bahasa~
22 September 2011

Monday, September 19, 2011

Buku Prof. Al-Attas "Historical Fact and Fiction" - Kupasan oleh Prof. Wan Mohd. Noor Wan Daud





FALSAFAH DAN METODOLOGI PENGKAJIAN SEJARAH
SYED MUHAMMAD NAQUIB AL-ATTAS

Oleh
Prof. Dr Wan Mohd Nor Wan Daud
Pengarah
Pusat Kajian Tinggi Islam, Sains dan Peradaban (CASIS)
UTM International Campus Kuala Lumpur


Dalam dunia Islam kontemporari, pada pandangan saya, hanya dua orang sarjana yang benar dapat dimartabatkan sebagai ahli falsafah sejarah, yakni almarhum Malek Bennabi dari Algeria (meninggal 1973) terutama melalui karyanya Islam in Society and History, dan sarjana kita Tan Sri Syed Muhamad Naquib al-Attas, melalui pelbagai karyanya terutama yang terakhir ini. Ramai yang menulis tentang sejarah dan menggunakan fakta-fakta sejarah, tetapi hanya dua orang ini yang cuba mengutarakan gagasan mereka mengenai sejarah yang bermakna dan berdaya-cipta. Di antara keduanya, Syed Muhammad Naquib ternyata lebih komprehensif dan luas dari segi falsafah dan kaedahnya yang juga membantu menyelesai beberapa masalah penting dan memutarakan tafsiran baru mengenai sejarah Islam di Alam Melayu.

Dalam buku terbaru Historical fact and Fiction ini, al-Attas telah mengemukakan tafsiran baru mengenai kisah Merah Silau; keterangan sejarah yang membuktikan Semut Besar adalah suatu yang benar, bukan rekaan; identiti raja Muslim pertama bagi kerajaan Samudra-Pasai; asal-asul perkataan Melayu bagi nama Sumatra; adat resam Melayu dalam amalan mewariskan takhta diraja ketika pertengahan abad ke-14 Masehi. Beliau juga memberi suatu penjelasan baru bila dan bagaimana Parameswara memperoleh gelaran diraja Jawa, iaitu Parameswara; apakah nama gelaran diraja Melayu ketika beliau memberontak menentang Majapahit; bila dan di mana beliau memeluk Islam, dan siapakah mubaligh yang mengIslamkannya; nama Muslimnya yang sebenar; peranannya yang utama berbanding dengan Adityawarman dalam menetapkan asas bagi kelahiran kerajaan Melayu yang baru; penubuhan Melaka, asal usul nama Melaka dan maknanya; cerita rekaan mengenai pohon melaka yang kononnya menjadi punca kepada penubuhan Melaka; makna sejarah dan faham utama tentang sejarah.

Di dalam buku ini Al-Attas juga menjelaskan bahawa identiti orang Arab adalah berasaskan silsilah, bukan berasaskan suku kaum; para pelopor yang membawa dan menyebarkan Islam di Alam Melayu pada zaman awal dan zaman kemudiannya serta nama-nama dan silsilah-silsilah mereka yang diperolehi melalui sumber-sumber Melayu, Jawa, Sulu, Moro, dan Arab (Hadrami); penyelesaian terhadap masalah mengenani sejarah Sulu dan Mindanao yang selama ini tidak dapat diselesaikan serta identiti sebenar Tuan Masha’ika dan Tuhan Maqbalu; kenyataan sejarah dan bukti yang bersifat badihi yang menunjukkan bahawa Islam yang tersebar di Alam Melayu adalah berasal dari Selatan Tanah Arab (Hadramaut); mubaligh-mubaligh Islam tersohor di Alam Melayu ketika abad ke-12 hingga abad ke-16; dan penciptaan abjad Melayu-Arab dan tulisan Jawi berasaskan sistem bunyi (vokal) Arab (Hadrami).

Sifat Istiqamah dalam Pemikiran dan Kaedah

Makalah ini cuba meringkaskan falsafah dan kaedah pengkajian sejarah seorang sarjana terbesar kita ini. Justeru kerana kesuntukan masa, makalah ini hanya mengutip beberapa contoh bagi membuktikan titik-titik persoalan yang dibincangkan. Buku terbaru beliau ini sesungguhnya menegaskan dan menambahbaiki lagi semua dasar-dasar penting yang dipeganginya selama lebih 40 tahun secara penuh istiqamah. Sikap istiqamah untuk sekian lama dalam kehidupan seseorang, terutama dalam kehidupan sarjana semasa memang jarang terdapat. Pegangan terhadap dasar-dasar penting kehidupan termasuk ilmu dan agama sering berubah-ubah, kononnya kerana berdepan dengan penemuan data-data baru dari seluruh pelusuk dunia dengan jumlah yang banyak dan kadar yang cepat.

Sebenarnya sikap istiqamah mencerminkan dua kemungkinan saling berlawanan. Satu yang tidak baik, satu lagi sebaliknya. Pertama ialah kejumudan luar biasa yang degil berubah walau diasak oleh data, tafsiran dan kebenaran baru yang lebih baik; kedua ialah kebenaran mutlak yang diyakini berdasarkan kerangka keilmuan lengkap dan mendalam sehingga tidak tergugat oleh segala maklumat dan tafsiran baru: malah data-data dan tafsiran baru hanya meneguhkan lagi tafsiran dan kebenaran sebahagian besar yang dipegangi selama ini. Perobahan dalam hal ini hanya melibatkan penghuraian, pemurnian, dan penghalusan dasar-dasar pemikiran dahulu, bukan melibatkan penukaran dasar. Terdapat kemungkinan ketiga yang sentiasa berobah-robah mengikut maklumat dan tafsiran terkini. Hal ini memang kerap berlaku yang menandakan kekeliruan dalam kerangka ilmu pengetahuan hasil dari pengelutan jiwa yang berada dalam keadaan syak dan zan.

Dalam konteks ini sikap istiqamah SMN al-Attas tentang falsafah dan kaedah pengajian sejarah termasuk dalam golongan kedua yang baik tadi. Sikap ini kerap digelar oleh pengkritiknya sebagai berfikiran sempit dan tidak dinamik kerana mereka gagal menumbangkan hujjah-hujjahnya secara ilmiah dan lebih munasabah.


Hubungan Pandangan Alam dengan Epistemologi

Tidak dapat dinafikan bahawa falsafah sejarah SMN al-Attas adalah cerminan dari pandangan alam serta epistemologi Islam, yakni kerangka ilmu yang muncul darinya. Islam menerima keupayaan panca-indera yang sejahtera, akal sihat dan laporan yang benar sebagai saluran ilmu pengetahuan yang sah bagi manusia. Hakikat ini jelas terakam dalam al-Qur’an dan hadis Rasullulah SAW dan di dalam kupasan akidah Islamiah khususnya yang disimpulkan oleh Abu Hafs Najmuddin al-Nasafi (kurun ke 12M) yang digunapakai di Alam Melayu selama ratusan tahun.

Seperti semua ilmuwan dan sarjana Islam yang berakar dalam tradisi Ahlussunnah Wal Jamaah ini, Syed Muhammad Naquib al-Attas juga menayangkan kerangka keilmuan ini dan diterapkan kepada falsafah dan metodologi pensejarahannya. Beliau menggunakan hujjah-hujjah yang berasaskan data emfiris, logika yang sangat berbekas, dan pengalaman-pengetahuan pribadi serta intuisi yang mencerahkan. Kerangka dan kaedah ini bukanlah sesuatu yang harus dipetak-petakkan, malah bagi al-Attas, pendekatan keilmuan yang difahami dan diamalkannya ialah bersifat tawhid (mempersatukan). (al-Attas, Prolegomena to the Metaphysics of Islam, 1995, ms 3-4)

Kedudukan Sejarah Yang Penting

Sejarah adalah suatu bidang yang amat penting bagi SMN al-Attas. Inilah yang pernah diisyaratkan sekitar 40 tahun lalu dalam muka Dedikasi bukunya yang sangat bermakna dan berpengaruh, Islam Dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu (1972). Ketetapan pegangannya itu terbukti apabila beliau mengulanginya dalam muka Dedikasi dalam buku terbarunya ini, Historical Fact and Fiction (2011):

“He in whose heart no History is enscrolled,
Cannot discern in life’s alloy the gold
But he that keeps the records of the Dead
Adds to his life new lives a hundredfold.”

“Hati yang hampa tiada mengandung Sejarah Bangsa
Tiadakan dapat tahu menilai hidup yang mulia
Penyimpan Khabar Zaman yang Lalu menambah lagi
Pada umurnya umur berulang berkali ganda”

(Dalam muka Dedikasi, Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu, 1972)

Beliau menganggap Sejarah sangat penting dari sudut memahami dengan sebenarnya perjalanan jauh sesuatu bangsa, memahami pencapaian-pencapaian agung dan mengelak kesilapan-kesilapan masa lalu, dan mengambil iktibar yang juga dianjurkan oleh Allah SWT dalam al-Qur’an dan ramai sarjana.

Sejarah begitu penting bagi beliau khususnya bagi para pemimpin umat Islam sejak beberapa abad kebelakangan ini kerana kejahilan dan kekeliruan tentang sejarah sebenar peranan Islam boleh menimbulkan keraguan tentang kebenaran ajaran Islam serta kebaikannya kepada manusia dan seluruh makhluk di Alam Raya ini. Bagi beliau sejarah Islam sebagai sejarah pengislahan manusia sejagat (Islam as World History) adalah fardu ain bagi golongan terdidik dari kalangan umat Islam bagi membuktikan dengan tepat bahawa Islam telah menyumbang secara bermakna dan berterusan bagi kebaikan umat manusia samada Muslim atau tidak, secara langsung atau tidak langsung.

Malah beliau juga menekankan peri pentingnya golongan terdidik Islam memahami sejarah bangsa-bangsa besar di dunia. Selain itu apabila beliau merencana dan melaksanakan kurikulum pasca-sarjana di ISTAC dari 1988-2002, sejarah bidang-bidang ilmu yang penting, di samping metodologi masing-masing, juga diajarkan kepada mahasiswa di Institut itu. Sikap ini tertayang pada jenis dan jumlah koleksi perpustakaan ISTAC yang sangat unik di negara Islam itu.

Keperihatinan tentang peri-pentingnya sejarah yang benar ini menjadi lebih berat apabila Islam dipersalahkan bagi menjelaskan kemunduran dan kelemahan Umat Islam sedunia sejak beberapa abad kebelakangan ini. Terakhir, Islam pula dikaitkan dengan keganasan. Perkaitan Islam dengan hal-hal negatif ini tidak pernah dilakukan terhadap agama-agama lain oleh sarjana dan media massa moden.

Justeru itu, beliau mensyaratkan agar seseorang sejarawan harus memiliki sejumlah ilmu, kemahiran dan kaedah berfikir yang komprehensif. Beliau menyatakan keperluan syarat-syarat yang jarang-jarang ditunjukkan oleh sebahagian besar sejarawan mengenai Islam di Alam Melayu:

Rational estimation is not mere conjecture. It pre-supposes…an authoritative knowledge of the religion under investigation, its worldview and the languages that project (it)…, its symbols and their correct meanings; its adherents and their cultural and traditional ways, its religious and intellectual tradition, and sound imagination and method of rational and empirical analysis….” (Historical Fact and Fiction, ms xiv)

Dalam semua karyanya tentang pelbagai perkara berkaitan Islam di Alam Melayu, terutama dalam karya terbaru yang amat penting ini, al-Attas membuktikan peranan positif agama ini kepada pengislahan jiwa dan rupa umat Islam di Rantau. Islam telah berjaya menyatukan ribuan pulau dan daerah serta suku bangsa di bawah suatu lingua franca ilmiah, Bahasa Melayu, suatu mazhab fikah Shafii dan mazhab akidah al-Asyaari; membawa perubahan kemanusiaan dan peradaban akli dan lebih sejagat; serta semangat kebangsaan yang lebih inklusif, tidak tribalistik dan jarang menzalimi orang-orang lain yang tak seagama.

Sejarah adalah Satu Bidang Ilmu

Salah satu teras Pandangan Alam Islam serta akidahnya ialah penekanan tegas keupayaan manusia mencapai keyakinan dalam ilmu, mengikut saluran-salurannya yang khusus. Pandangan Alam ini juga menolak sekeras-kerasnya sikap yang menafikan keupayaan manusia mencapai keyakinan, dan yang memuja agnotisisme, relativisme dan subjektivisme yang dida’ayahkan golongan Sofis dulu dan semasa. Aspek ini sangat mempengaruhi kaedah ilmiah al-Attas dalam semua bidang kajiannya termasuk bidang sejarah.

Dalam satu karya sejarahnya yang awal, The Correct Date of the Terengganu Inscription (1970), beliau menegur keras sikap yang memasarkan “keraguan yang merimaskan” (“pestilential doubt”) beberapa sejarawan Barat seperti C.O Blagden dan G.W.J Drewes mengenai tarikh sebenar yang tercatat pada Batu Bersurat Terengganu yang sangat penting dan bermakna itu. (Terengganu Inscription, ms 4).

Tentang laporan yang benar sebagai satu saluran ilmu pengetahuan yang menyakinkan, al-Attas contohnya menerima hadis yang sangat terkenal walaupun ditolak sebahagian ahli Hadis sebagai sahih dan historis. Bagi beliau, hadis “Tuntutlah ilmu walau ke negeri Cina” adalah sahih kerena “ tiada sebab yang sah bagi sejarawan menolak bahawa Baginda ( SAW) pernah melafazkan kata-kata yang membawa makna tersebut, kerana khabar yang datang dari para sarjana berwibawa dan terpecaya adalah termasuk bukti sejarah.” (HFF, 33). Di samping itu, negara Cina sudah terkenal sebagai sebuah tamadun ulung yang diketahui oleh orang Arab sejak dari zaman Nabi lagi. (HFF, 33).

Kaedah Emfiris-logika

Dalam buku ini al-Attas sekali lagi membuktikan penguasaannya tentang fakta empirik yang “self evident” atau badihi (HFF, ms 135) serta kehebatan pemikiran logik dan analisanya apabila beliau menghuraikan mengenai nama-nama bagi hari-hari dalam seminggu dalam bahasa Melayu, huruf Jawi yang bersifat Arab-Melayu, nama-nama orang Islam tempatan di Alam Melayu, bunyi bacaan bahasa Arab orang Islam tempatan, dan jumlah penduduk Arab dari keturunan Rasulullah SAW khususnya melalui Imam Ahmad Isa al-Muhajir (meninggal 961M) dan Imam Muhammad Sahib Marbat (m. 1156M) yang sangat ramai di Alam Melayu: semuanya membuktikan peranan pengislaman yang awal dan efektif oleh golongan mereka dari Hadhramaut terutama sejak kurun ke 12M. Terdapat sebahagian dari mereka yang datang melalui Campa, dan India.

Begitu juga tentang kesilapan sejarawan yang mengatakan bahawa al-Malik al-Salih ( wafat 1296M) adalah pemerentah Islam pertama Samudra-Pasai (HFF, ms 16), sedangkan al-Attas menggunakan laporan seorang sejarawan tempatan berwibawa Sayyid Alawi bin Tahir al-Haddad yang menziarahi perkuburan al-Malik al-Salih itu dan menemui sebuah kubor al-Malik al-Kamil berdekatan di situ yang wafat lebih awal, yaitu pada tahun 1210M. (HFF, ms 16-17).

Al-Attas juga mendedahkan bagaimana seorang sejarawan berpengaruh seperti SQ Fatimi yang memasukkan gambar batu nisan yang mengukir nama al-Malik al-Zahir dan tarikh wafatnya bersamaan 1326 M boleh menulis bahawa batu nisan itu menandakan kubur al-Malik al-Salih yang wafat 30 tahun terdahulu! (HFF ms 29-30)

Tentang asal nama Sumatra dari Semutraya yang terkaitkan dengan kisah Merah Silau melihat semut sebesar kucing. Al-Attas menggunakan bentuk-bentuk ejaan nama itu dalam teks-teks lama berbahasa Arab dan bukan Arab (HFF, ms 6-12). Beliau juga menggunaka laporan dari teks Arab, yaitu Ajaib al-Hind oleh Buzurg ibn Shahriyar dari abad ke 10M yang merakamkan laporan seorang yang bernama Muhammad ibn Babishah bahawa terdapat semut-semut yang sangat besar di utara Sumatera terutama di Pulau Lamri. (HFF, ms 12).

Cara mereka-cipta lima foneme Melayu dalam huruf Jawi: nya, ga, cha, nga, pa yang terilham olehnya dari huraian Ibn Khaldun dalam Muqaddimah, tentang penyebutan suara “g” dalam loghat bahasa Berber sebagai huruf Arab “kaf” dengan menambahkan satu titik dari huruf “jim.” (HFF ms 137-138).

Beliau menujukkan bunyi ch dalam abjad Melayu-Arab berada di antara huruf ta dan jim: 2 titik dari ta ditambah pada 1 titik di bawah jim menjadikan cha. Bunyi ng berada di antara huruf ghayn, nun dan kaf bertitik (yakni ga). Dengan menambahkan 1 titik dari nun dan 1 dari kaf bertitik (ga) pada 1 titik diatas gyan, maka terciptalah nga. Beliau juga menghuraikan bagaimana huruf-huruf lain diciptakan seperti nya, dan pa. (HFF, 137-138).

Kaedah Luas Pandangan Alam Islam dan Adat Resam Kebudayaan Islam dan Kerajaan Melayu Awal

Penguasaan beliau tentang tradisi dan kebudayaan Islam dipergunakannya bagi menyelesai beberapa perkara asas yang sekian lama dipermasalahkan oleh sebahagian sarjana.

Hadith pengislaman Alam Melayu yg terdapat dalam hikayat terawal berbahasa Melayu, Hikayat Raja Pasai, tidak diambil serius oleh sarjana samada Muslim atau bukan Muslim. Hadith ini mengisahkan Rasulullah SAW memerintahkan para sahabat membawa agama Islam ke Samudra selepas wafatnya SAW dengan membawa alat perkakas kerajaan. Mereka disuruh singgah ke Mengiri dan mengambil seorang fakir untuk di bawa bersama. Hikayat itu juga menceritakan selepas kewafatan Baginda Rasulullah SAW, Syarif yang di Mekkah mendapat berita tentang Samudra. Syarif itu diperintahkan oleh “Khalifah Syarif” membuat persiapan menghantar rombongan memenuhi suruhan Nabi itu (HFF, 3-4; Hikayat Raja Pasai, Yayasan Karyawan, ms 13-14).

Al-Attas menerima laporan ini dengan pegangan yang meyakinkan berdasarkan ajaran agama Islam tentang dakwah Islamiah dan tentang pengetahuan sangat baik orang-orang Arab tentang Alam Melayu lama sebelum Islam. (HFF, 2-5). Beliau juga memberikan pelbagai bukti bahawa di Mengiri (Monghyr) di Timur Jauh India sejak kurun 8-9M lagi telah terdapat sangat ramai orang-orang Arab Islam dari keturunan Abu Bakar dan Ali ibn Abi Talib (HFF, 19-23).

Beliau juga menggunakan ajaran dalam akidah Islam berteraskan bahawa Imam atau pemimpin haruslah dari golongan Quraish bagi menyelesaikan identiti dan gelaran beberapa pemerintah Muslim awal di Alam Melayu termasuk di Semudra-Pasai, yaitu al-Malik Muhammad al-Taymi al-Qurayshi (HFF, 2) bukannya Sultan Muhammad (HFF, 18-19, 25) , dan bukannya Merah Silau.

Begitu jugalah, pengetahuan mendalam tentang seni tulisan Jawi membantu beliau menyelesaikan masalah besar tarikh sebenar Batu Bersurat Terengganu. Apabila sarjana Barat menyatakan terdapat pelbagai kemungkinan perkataan tambahan selepas frasa tahun Hijiriah “Tujuh Ratus Dua”, beliau menegaskan bahwa bentuk kelonggaran tulisan “Tujuh Ratus Dua” (yang menyamai 1303M) yang merupakan tiga perkataan terakhir di tepi Batu ini menafikan kemungkinan adanya perkataan tambahan selepas itu. Ini kerana seni tulisan Jawi membenarkan penulis mengetatkan huruf-huruf supaya perkataan atau frasa penting tidak terputus. (Terengganu Inscription, ms, 9, 12)

Pengetahuannya tentang makna shahid yang luas dan mendalam memberikan keyakinan kepadanya menghuraikan istilah tersebut yang tertulis pada batu nisan Puteri Fatimah, puteri Raja Cermin, yg terdapat di Leran bertarikh hijriah bersamaan 1082M, dan yang terdapat pada batu nisan al-Malik al-Zahir bertarikh hijriah bersamaan1326 M. Beliau menegaskan bahawa istilah shahidah pada batu nisan Fatimah dan syahid pada batu nisa al-Malik al Zahir itu kerana mereka wafat jauh dari negeri masing-masing. (HFF, ms 27-28).

Begitu juga pengetahuannya tentang adat pertabalan Raja-Raja Melayu membantu beliau menyelesaikan masalah kekhilafan dalam teks Ibn Batutah tentang identiti Raja Samudera-Pasai yang ditemuinya. (HFF ms 31-32) Ibn Batutah dikatakan melawat Pasai dan menyaksikan perkahwinan seorang putera al-Malik al-Zahir bernama Ahmad pada tahun 1346M. Al-Attas menegaskan al-Malik al-Zahir telah wafat pada tahun 1326, tetapi para pembesar menamakan beliau sebagai Sultan yang memerintah pada waktu itu. Ini kerana mengikut adat pertabalan Raja-Raja Melayu, seperti di Melaka, seorang putera yang dewasa dari permaisuri hanya akan ditabalkan sebagai Sultan apabila putera itu melahirkan seorang anak lelaki yang bakal menggantikan beliau. (HFF, ms 31).

Fakta dan Kebenaran

Dalam karyanya yang sangat penting, Prolegomena to the Metaphysics of Islam, al-Attas membicarakan tentang Islam dan Falsafah Sains. Di dalamnya beliau menghuraikan betapa dalam pandangan alam Islam, fakta dan kebenaran itu tidak semestinya sama. Tidak semua fakta itu benar, jika fakta tersebut tidak ditafsirkan dan diperlakukan di luar pandangan alam Islam.

Dalam karya itu juga beliau mengutarakan satu gagasan sangat penting dan berguna dalam perencanaan dan kegiatan ilmiah termasuk bidang Sejarah. “Terdapat batas-batas kebenaran bagi setiap ilmu pengetahuan” (“There is a limit of truth to every object of knowledge”).

Gagasan ini memang terinspirasi dari ajaran al-Qur’an dan tradisi keilmuan Islam yang merumuskan gagasan ilmu bermanfaat dan skop ilmu kepada fardu ain dan fardu kifayah bagi mengelakkan pembaziran umur seorang mengkaji ilmu-ilmu yang tidak bermanfaat bagi dirinya dan bagi masyarakat seluruhnya.

Tentang fakta sejarah lampau, al-Attas menegaskan bahawa fakta harus ditafsirkan semata-mata bukan pada kehadirannya di luar minda, sebagai kewujudan yang objektif, tetapi harus diambil-kira nilainya:

“To test the accuracy of the explanation is not necessarily achieved by seeing whether the fact corresponds to a reality which is already known to us now. To find coherence in the explanation of facts described by history cannot be free of judgments that involve value.” ( HFF, ms xii)

Hakikat ini telah dinyatakan beliau pada tahun 1970an dalam Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu apabila mengkritik tren sesetengah sejarawan yang asyik mengumpulkan fakta, terutama yang bersifat runcitan. Katanya:

“ Bahawasanya ternyatalah konsep tugas seorang ahli sejarah itu bukanlah mengkaji, mencatat, dan melaporkan segala hal yang terjadi dalam meriwayatkan dan mentafsirkan kehidupan dan nasib sesuatu bangsa; akan tetapi ia harus memilih apa yang hendak dikajinya, ia harus mengasingkan apa yang hendak dicatatnya dari bahan-bahan tiada terbatas itu, ia harus merumuskan apa yang hendak dilaporkannya dengan tujuan bagi menayangkan gambaran yang terdiri daripada sifat-sifat tertentu yang akan merupakan hakikat bangsa itu.” (IDSKM, ms-2-3)

Dalam konteks alam Melayu, data-data sejarah lampau sangat berkurangan, justeru itu beliau mencadangkan bahawa kebanyakan dari tafsiran dan penjelasan kita tentang peristiwa-pristiwa lampau harus bergantung banyak kepada kaedah-kaedah akliah dan bukan inderawiah (empirical) (HFF, ms xiv). Jika tidak, sejarah keagamaan, keilmuan dan kebudayaan tidak akan dapat ditulis. (Ibid, ms xiv).

Teori Manusia Unggul/Great Man Theory

Al-Attas berpegang kepada teori Manusia Unggul sebagai aktor terpenting dalam Sejarah. (HFF, ms 72) Ini kelihatan berlawanan dengan pandangan seorang ahli fasafah Barat yang dilapor mengatakan: “anyman can create History, but only great man write History”.

Pegangan al-Attas ini mencerminkan ajaran Islam dan agama besar lainnya yang memusatkan pengislahan manusia melalui para Rasul. Dan jika kita mengenepikan akhlak mulia dari takrif keunggulan , greatness, dan mengekalkan kriteria perubahan dan pencapaian besar saja, maka semua pemimpim dan sarjana besar dari beberapa orang Firaun, Mesir Kuno, Hannibal, Shih Huang Ti, Hitler, Karl Marx, Mao Tse Tung, Genghiz Khan, Hulagu dan Lenardo da Vinci, Bill Gates, Osama bin Laden adalah Manusia Unggul yang mencipta sejarah kerana merobah kehidupan manusia.

Al-Attas menggunakan teori Manusia Unggul sebagai pelaku penting dan Pembina Sejarah dengan mengaitkan secara istimewa dengan penggunaan istilah “Shajarah” ( disebut “Sejarah” dalam bahasa Melayu) berbanding “Tarikh” dalam bahasa Melayu. Seterusnya beliau menjelaskan, sekali lagi buat pertama kali dalam sejarah keilmuan di sini, pertautan semantik dan sosial, antara konsep Shajarah/Sejarah dengan susur galur, urat akar kekeluargaan ulama’ dan umara’ penting di Alam Melayu yang berasal dari Imam Muhamad Sahib Marbat yang seterusnya bernasab dari Imam Ahmad Isa al-Muhajir, dan Saiyidina Husyain bin Ali bin Abi Talib.

Di antara ilmuwan Islam semasa yang kelihatan berfikiran sama dengan al-Attas tentang Great Man Theory ini mungkin ialah Muhammad Iqbal (m. 1938) dengan konsep Mard Momin, dan Muhammad Fethullah Gulen (lahir 1945) dari Turki. Muhammad Iqbal terinspisari dari al-Qur’an tentun, dan menggunakan gagasan “superman” Friedrich Nietzsche (m. 1900) untuk meneguhkannya. Gulen pernah menulis dalam Statue of the Human Souls (2009) bahawa kebangkitan umat memerlukan “a few dozen heroes.” (Statue, ms. 152,). Di tempat sama beliau juga menulis:

“…all renaissance worldwide have been the result of…few individual geniuses…; they did not arise from the effort and movement of the masses. Just as in the years immediately following the advent of Islam, some renewals and changes were the result of not more than a dozen exceptional souls and their intelligence and ideas” during the Umayyads down to or time”. (Statue, ms. 27)

Peranan Intuisi

Dalam pandangan alam Islam dan kerangka epsitemologinya, intuisi adalah sesuatu yang asas dalam mencapai keyakinan dan penerimaan ide-ide. Jiwa yang serius berfikir menyelesaikan masalah-masalah besar akan sentiasa memusatkan perhatiannya kepada masalah itu tanpa mengira tempat dan waktu.

Apabila beliau mahu menulis sesuatu, al-Attas akan sentiasa berfikir serius tentang hal itu. Selama dua tahun ketika menyiapkan manuskrip buku terbaru ini beliau akan sentiasa bercakap dan mengulangi tanpa jemu tentang beberapa aspek yang sedang dikajinya itu setiap kali saya menziarahinya di kediamannya. Beberapa orang muridnya menyatakan mengalami hal yang sama.

Apabila beliau sedang menyiapkan Syarah tentang karya Hujjatul Siddiq oleh Syeikh Nurudin al-Raniri pada awal 1980an, al-Attas membuat kajian di Perpustakaan Universiti Chicago. Dalam beberapa pertemuan dengan saya di sana beliau mengakui amat sukar tidur sebab memikirkan maksud penulis asal yang sedang disyarahkan itu. Dalam usaha bersungguh-sungguh memahami maksud sarjana aging yang dikajinya itu beliau seakan-akan berbicara dengan al-Raniri sendiri.

Beliau pernah menyatakan kepada saya apabila menulis tentang episod-episod sejarah, beliau seolah-olah dapat melihat dengan mata hatinya rentetan-rentetan semua peristiwa penting dalam episod berkenaan. Hal yang sama juga berlaku apabila beliau merancang dua kampus ISTAC di Jalan Damansara dan Persiaran Duta yang indah dan berperibadi unik itu. Beliau dapat membayangkan setiap sudut dari bangunan itu dan semua yang ingin diletakkan di dalamnya seperti seorang penghias dalaman dan juru lanskap.

Sebenarnya dalam ilmu jiwa Islam, akal insani memiliki beberapa kekuatan (quwwah) atau fakulti yang saling berkait. Jiwa (roh) adalah diri insan itu sendiri: akal, nafs, qalb dan roh. Gambaran yang rasional atau akli tentang sejarah silam dan tentang bangunan berseni terhasil dari kegiatan jiwa khususnya dari fakulti khayalan akli (cognitive imagination) dan khayalan seni (sensitive imagination).

Jiwa manusia mencapai ilmu pengetahuan atau ide-ide melalui proses intuisi. Apabila sesorang manusia memikirkan sesuatu secara bersungguh-sungguh, yakni memerah tenaga akalnya, menelusuri setiap bukti dan hujjah dalam fikirannya bagi menyelesai kebuntuan dan kekusutan tentang isu-isu yang difikirkan. Pembacaan, perbincangan, penyelidikan dan segala usaha memecah masalah itu sesungguhnya menyediakan jiwanya untuk menerima makna atau ilmu yang dianugerahkah Allah swt. Usaha-usaha ini disebut sebagai pergerakan jiwa mencapai makna tersebut.

Adab Ilmiah

Satu ciri falsafah dan kaedah ilmiah al-Attas, termasuk tentang Sejarah ialah adab yang mencerminkan sikap bijaksana, berani, sederhana dan adil. Malah inilah yang mencirikan seluruh perjuangan keilmuannya yang terzahir dari kehidupan peribadi dan kepimpinan institusinya. Beliau tidak membuang waktu menilai dan mengkritik tokoh dan sumber-sumber kecil, tetapi memusatkan kepada sumber dan tokoh-tokoh muktabar dalam hal-hal tertentu. Kritikan-kritikan yang tegas dan kadang-kadang keras terhadap penafsiran sesetengah sarjana (dari Barat atau Timur) atau aliran pemikiran tidak bermakna beliau tidak mengiktiraf beberapa kebaikan sumbangan mereka. Hal ini dinyatakan dengan jelas di awal buku ini:

“European historians of the Malay Archipelago…have meticulously researched and brilliantly elaborated their cogent findings with such diligent and inspiring scholarship that evokes due praise. We must sincerely acknowledge their wonderful intellectual contributions and affirm what is true in their interpretation of our history which they have gradually set in the crucible agreed among themselves. But there are certain problems of knowledge and methodology that we must question which they and their followers from among our own scholars have caused to arise in our understanding of our history….” (HFF, ms xi).

Penting ditegaskan bahawa pandangan alam Islam dan kerangka serta kaedah keilmuan al-Attas membuat beliau berlaku adil kepada sumber-sumbernya. Beliau tidak bersikap subjektif dan relatif (sofistis). Penegasannya tentang peranan Islam dalam sejarah dan kebudyaan Melayu bukan semata mata kerana beliau seorang Islam; pembelaannya kepada peranan orang Arab dalam pengislaman di Alam Melayu khususnya dari abad 8-16M bukan kerana hanya beliau berdarah Arab dan dari titisan darah Rasalulullah SAW; kritikannya terhadap sebahagian ilmuwan Barat yang berpengaruh bukan bermakna beliau anti-Barat. Yang amat jelas bagi saya, ialah penegasan dan pembelaan tersebut berdasarkan data-data emfiris, pemikiran logika yang tinggi dan pengalaman serta pengetahuan pribadi yang unik.

Penutup

Sesungguhnya sarjana yang menghasilkan buku ini adalah aset besar bagi Umat Islam khususnya bagi bangsa Melayu yang kelihatan baru mula memahami dan cuba mengiktiraf sumbangan dan jasanya dalam pelbagai dimensi.

Menghadapi gelombang besar globalisasi tanpa kefahaman sebenar dan mendalam tentang sejarah bangsa terutama yang melibatakan peranan Islam di Alam Melayu ini boleh menyumbang kepada kekeliruan kewibawaan Islam sebagai pemersatu dan pembina bangsa dan tamadun, dan akan merumitkan langkah-langkah kita ke hadapan dengan tegas dan yakin. Penerbitan hampir semua buku-bukunya di negara ini membuktikan bahawa karya bertaraf dunia bukan seharusnya diterbitkan oleh institusi luar Negara dan di Barat, malah oleh institusi tempatan jua.

Buku Historical Fact and Fiction ini harus diterjemahkan ke bahasa Melayu dan pelbagai bahasa Islam lainnya dan dibincangkan dengan serius.

Sekian


(CASIS)
UTM International Campus Kuala Lumpur


Kertas kerja yang dibentangkan pada Seminar Khas Sejarah Alam Melayu: Antara Fakta dan Khayalan, anjuran CASIS di Bilik Jemaah UTM International Campus Kuala Lumpur, 9hb Sept 2011. Seminar Khas ini bersempena pelancaran buku terbaru Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib al-Attas, Historical Fact and Fiction (Skudai: UTM Press, 2011) oleh DYMM Canselor UTM Tuanku Raja Zarith Sofiah bin Almarhum Sultan Idris Shah pada hari yang sama. Kertas ini akan dikemaskan lagi untuk tujuan penerbitan dalam waktu terdekat.

Thursday, September 15, 2011

Penyataan Media: Ulasan Gesaan JMM agar PPSMI Diteruskan





PENYATAAN MEDIA:
ISU PPSMI


Isu pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) tampaknya masih terus dibangkitkan oleh beberapa pihak meskipun Kementerian Pelajaran Malaysia telah memutuskan bahawa program tersebut akan dimansuhkan pada tahun 2012 dan digantikan dengan program Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBMMBI). Yang terkini ialah seruan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) agar PPSMI diteruskan atas alasan lebih 50 peratus ibu bapa setuju program itu diteruskan.

Saya menyokong ketegasan Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkhasi dalam menolak gesaan itu, atas asas bahawa pelaksanaan PPSMI tidak wajar didasarkan hanya pada kehendak sejumlah pihak; malah jumlah yang dikatakan melebihi 50 peratus ibu bapa itu cukup meragukan jika diperhitungkan seluruh ibu bapa yang ada di negara ini. Pemimpin PIBG peringkat kebangsaan, Prof. Madya Datuk Hasan Ali sendiri yang mewakili ibu bapa seluruh negara tidak dapat menerima pelaksanaan PPSMI.

Sebagai hujah ulangan yang telah sekian lama kita kemukakan, Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan merupakan dua daripada beberapa dasar negara yang bermatlamat membentuk makna diri atau jati diri dan juga perpaduan kebangsaan. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama dalam sistem pendidikan negara telah diperundang-undangkan dalam Akta Pendidikan 1961 dan kemudian Akta Pendidikan 1996.

Usaha meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar hendaklah diupayakan melalui pengajaran mata pelajaran bahasa itu, bukan melalui mata pelajaran lain. Cadangan peningkatan dan penambahbaikan dalam sukatan pelajaran, bahan pengajaran dan pemelajaran, kaedah pengajaran dan latihan guru bahasa Inggeris perlu dijadikan asas untuk mencapai harapan peningkatan penguasaan bahasa Inggeris para pelajar. Maka itu, MBMMBI yang diputuskan oleh Kementerian Pelajaran perlu diberi ruang dan kesempatan untuk dilaksanakan, bukan dengan berpatah balik kepada pelaksanaan PPSMI.

Kajian-kajian ilmiah telah dijalankan oleh beberapa orang sarjana dan badan berwibawa tentang kegagalan PPSMI dan kesemuanya telah dikemukakan kepada Kementerian Pelajaran dan telah disiarkan dalam media am. Kita perlu mengambil iktibar tentang kesilapan masa lampau yang mengorbankan sebahagian besar generasi muda kita melalui pelaksanaan PPSMI. Demikian juga, fakta yang dikemukakan oleh Dr. Mohd. Puad Zarkhasi, seperti PPSMI gagal meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris para pelajar, kemerosotan keputusan Sains dan Matematik di peringka Ujian Penilian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) pada tahun 2008 sewajarnya dijadikan renungan dan asas keinsafan.

Badan yang bergerak atas nama Melayu sebagai golongan teras negara ini sewajarnya berfikir dan bertindak atas dasar yang jelas, iaitu untuk mempertahankan dan memperkukuh dasar-dasar negara yang sebahagiannya berasaskan golongan teras itu, termasuk kedudukan dan peranan bahasa Melayu sebagai asas kenegaraan.

Prof. Dr. Awang Sariyan
Penasihat Persatuan Linguistik Malaysia.
Mantan Penyandang Pertama Kursi Pengajian Melayu Malaysia-China

15 September 2011

Tuesday, September 13, 2011

Antara "Semula Jadi" dengan "Fitrah" dan "Tabii"


Ungkapan semula jadi sudah sekian lama digunakan dalam wacana tulisan dan lisan bahasa Melayu. Pada waktu Falsafah Pendidikan Negara (kemudian Falsafah Pendidikan Kebangsaan) digubal, diusahakan pemurnian sejumlah kosa kata yang mendukung konotasi negatif atau yang dianggap menyalahi konsep. Antaranya termasuklah frasa semula jadi. Frasa itu mendukung konotasi bahawa ada kejadian atau ciptaan di alam ini yang terjadi sendiri. Yang seringkali dikaitkan dengan frasa itu ialah alam, sebagaimana yang terungkap dalam frasa alam semula jadi.

Pusat Perkembangan Kurikulum dan Biro Buku Teks ketika itu (sekurang-kurangnya itulah dua bahagian di Kementerian Pendidikan yang seingat saya menegaskan perlunya frasa itu digantikan) menyarankan frasa alam ciptaan Tuhan sebagai gantinya. Maka dalam buku teks yang disusun untuk kegunaan di sekolah, frasa alam semula jadi digantikan dengan alam ciptaan Tuhan untuk menegaskan bahawa alam dan segala unsur di dalamnya itu tidak terjadi atau tercipta dengan sendirinya. Sebagai penulis buku teks subjek Bahasa Melayu sekolah menengah, saya masih cukup ingat akan keputusan dan pelaksanaan hal itu.

Kini tidak dapat saya pastikan adakah masih dipertahankan frasa itu atau frasa yang asal, iaitu alam semula jadi telah meluas semula dan tiada saringan oleh pihak-pihak yang berkenaan di Kementerian Pendidikan. Eloklah hal itu disemak agar ketepatan istilah atau kosa kata yang digunakan dalam bidang pendidikan (setidak-tidaknya) dibersihkan daripada konotasi yang mungkin menyalahi akidah.

Frasa semula jadi merujuk kepada fitrah atau tabii. Maka untuk sesuatu yang dikaitkan dengan sifat itu, sebaik-baiknya kita gunakan kata fitrah atau tabii. Contohnya, sifat semula jadinya dapat digantikan dengan sifat fitrahnya atau sifat tabiinya. Frasa secara semula jadi dapat digantikan dengan secara fitrahnya atau secara tabiinya.

Walaupun barangkali tidak ada niat pada orang yang menggunakan ungkapan semula jadi itu untuk menidakkan kuasa dan peranan Allah dalam menjadikan segala sesuatu di alam ini, namun untuk mengelakkan keraguan dan untuk senantiasa mendekatkan diri kepada-Nya sebagai pencipta yang agung dan tidak berbanding, maka ungkapan itu perlu dielakkan dan digantikan dengan ungkapan yang lebih tepat. Wallahu a`lam

~Kembara Bahasa~
16 Syawal 1432/14 September 2011

Wednesday, September 7, 2011

Renungan Ruhaniyah: Dekatnya Allah dengan Hamba-Nya


Dekatnya Allah dengan Hamba-Nya

"Dan jika hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu (wahai, Muhammad) tentang Aku, sesungguhnya Aku dekat. Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa kepadaku. Hendaklah mereka memenuhi perintah-Ku dan beriman kepada-Ku agar mereka memperoleh kebenaran." [al-Baqarah, 2:186]

Betapa pengasih dan penyayangnya Allah kepada hamba-Nya dengan senantiasa berada dekat dengan hamba-Nya itu meskipun sekian banyak hamba-Nya yang sering tidak ingat akan keberadaan atau kewujudan Allah lantaran alpa dan leka oleh kesibukan dunia. Alllah senantiasa menunggu kesediaan hamba-Nya memohon segala sesuatu kepadanya untuk diperkenankan hajat hamba-Nya, dengan syarat memenuhi perintah-Nya dan beriman kepada-Nya.

Kisah benar yang terjadi kepada seorang kenalan menunjukkan betapa rahmat Allah tidak pernah putus kepada hamba-Nya. Kenalan itu pada satu waktu, barangkali kerana bersikap revolusionar dalam usaha mencapai kebenaran berdasarkan akal, putus asa dalam usaha mencari Tuhan. Seperti Nabi Ibrahim a.s., ia mengaitkan Tuhan dengan pelbagai kuasa yang ada di alam ini, termasuklah haba. Sayangnya ia bukan nabi yang pencariannya dipandu secara langsung oleh Allah dan akhirnya hanya dengan bersandarkan akal yang terbatas, rasa putus harapnya tidak menemukan Tuhan, ia sampai pada peringkat mempersoalkan kewujudan Tuhan, termasuk melalui puisinya.

Dalam bidang kerjaya dan kehidupannya, ia tampak berjaya dengan memegang jawatan penting demi jawatan penting dan menjalani kehidupan yang mewah. Namun, kehidupan beragamanya tidak jelas, terutama dalam pelaksanaan ibadah-ibadah khusus yang difardhukan kepada setiap mukallaf. Ditakdirkan Allah, pada puncak kejayaan kerjaya dan kehidupan duniawinya, perniagaannya punah oleh angkara penipuan rakan kongsinya sendiri, sehingga ia menghadapi tuntutan bayaran demi bayaran daripada beberapa buah bank yang memberikan pinjaman perniagaan.

Risiko rumah banglonya dirampas oleh bank dan ia diisytiharkan muflis kerana tidak mampu melunaskan bayaran balik kepada bank menjadi beban kehidupan yang amat berat apabila semua wang simpanan di institusi kewangan dan pendapatan daripada sumber-sumber lain akan ditahan oleh pemegang amanah raya dalam tempoh muflisnya. Dengan bantuan beberapa orang kenalan rapat, sebahagian besar harta dan wang simpanan dan hasil pelaburannya dapat diselamatkan apabila dipindahkan atas nama kenalan-kenalan baiknya. Maka selamatlah ia daripada kehilangan rumah dan harta yang lain.

Dengan kejatuhannya dalam perniagaan dan supaya tidak tampak hidup mewah, maka ia membeli sebuah rumah teres dan hidup dengan cara yang sederhana. Dalam tempoh kejatuhannya itulah ia menyambung usaha mencari Tuhan, kali ini tidak dengan bersandarkan akal dan pengetahuannya semata-mata, tetapi dengan berguru kepada beberapa orang ulama' dan berusaha mendekatkan dirinya dengan Tuhan melalui pelaksanaan ibadah-ibadah khusus yang telah sekian lama tidak dilakukannya. Kitab suci al-Qur'an yang sekian lama tidak disentuh telah menjadi teman akrab sehingga ia kemudian mampu menghafal sejumlah surah, sekurang-kurangnya surah dalam juzuk `amma. Beberapa kali saya sempat bermakmum kepadanya apabila berkunjung ke rumahnya dan tampaknya ia dapat dikatakan menguasai kaedah solat yang sempurna. Ibadah puasanya pun saya kira sempurna, meskipun sekian lama diabaikannya. Kemuncaknya ialah kejayaannya menunaikan Rukun Islam yang kelima, iaitu menunaikan fardhu haji.

Kehidupannya pun menjadi stabil semula walaupun tidak semewah dahulu dan tampak keseimbangan antara memenuhi tuntutan dunia yang sementara dengan tuntutan akhirat yang abadi. Diringkaskan cerita, kepulangannya ke rahmatullah berlaku sehari dua sesudah ia kembali dari Makkah kerana menunaikan ibadah umrah. Penilaian zahir menunjukkan bahawa ia pulang menghadap Khaliqnya dalam keadaan diri yang suci dan kembali kepada fitrahnya.

Demikianlah, walaupun pada satu masa ia pernah mempersoalkan kewujudan Allah, namun dengan usaha kembali dan mendekatakan diri kepada Allah, Allah menjadi demikian dekat dengan dirinya dan menunaikan permohonan ampunnya dan permohonan dikembalikan kepada kehidupan yang aman dan bebas daripada tekanan hutang-piutang dan tekanan orang lain. Syirik merupakan sebesar-besar dosa yang tidak diampunkan Allah; namun kesempatan memohon keampunan sebelum ruh dipisahkan daripada badan mudah-mudahan membersihkan diri daripada kemurkaan dan azab Allah di alam akhirat.

~Kembara Bahasa~
10 Syawal 1432/8 September 2011



Tuesday, September 6, 2011

Renungan Ruhaniyah: Adakah Sesuatu yang Berlaku secara Kebetulan?




Adakah Sesuatu yang Berlaku secara Kebetulan?


Seringkali kita dengar atau kita baca orang yang mengaitkan sesuatu kejadian dengan faktor kebetulan. Ungkapan seperti "Kebetulan saya berada di situ", "Secara kebetulan saya terdengar....", "Perkara itu satu kebetulan." dan sebagainya amat kerap dilahirkan.


Benarkah ada perkara yang terjadi kerana kebetulan? Persoalan ini bukan perkara remeh dan kecil. Mengaitkan sesuatu kejadian dengan faktor kebetulan sebenarnya bertentangan dengan Rukun Iman yang keenam, iaitu percaya akan qada` dan qadar Allah. Segala sesuatu yang terjadi adalah dalam ilmu Allah. Segalanya telah direncanakan dalam takdir-Nya.


Ilmu dan takdir Allah tidak bersifat umum tetapi sebaliknya bersifat khusus juga. Denyut nadi dan nafas yang kita hela adalah dalam ilmu dan kawalannya. Debu yang beterbangan itu pun dalam ilmu dan takdir-Nya jua. Demikianlah juga kejadian besar seperti gempa bumi, tsunami dan yang lain.


Selain itu, tidak ada sesuatu yang berlaku tanpa sebab atau secara kebetulan. Segalan yang terjadi adalah dalam perencanaan Allah meskipun mata zahir manusia melihatnya sebagai sesuatu yang tidak bersebab, kejadian remeh atau mungkin tidak masuk akal.


Maka itu, perlu ditukar penyataan "secara kebetulan" itu dengan "Dengan takdir Allah...." atau sekurang-kurangnya "Takdirnya...." supaya iman kita tidak tergelincir hanya kerana kesilapan cara mengungkapkan sesuatu yang bertentangan dengan tauhid.


~Kembara Bahasa~
8 Syawal 1432/6 September 2011

Friday, September 2, 2011

Renungan Ruhaniyah


Mudah-mudahan Ramadhan yang baru saja kita lalui dapat membentuk jiwa yang lembut, yang menyuburkan rasa kasih sayang dan saling menghormati sesama saudara dan sahabat, serta menghindari permusuhan.

Antara cara menyerlahkan rasa kasih kepada saudara dan sahabat atau kenalan termasuklah mendoakan kebaikan atau perubahan ke arah kebaikan, hatta untuk mereka yang berbuat onar, selain memberikan teguran menurut adab yang berlandaskan syariat.

~Kembara Bahasa~
5 Syawal 1432/3 September 2011