Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Thursday, February 24, 2011

Soal Jawab Bahasa (15): Bolehkah Kata Sendi dan Kata Hubung di Pangkal Ayat?


Saya ingin tahu bolehkah kata sendi seperti 'dengan', 'untuk' dan sebagainya, dan kata hubung seperti 'kerana' digunakan di pangkal ayat?

~NHA~

Kata sendi dan kata hubung boleh digunakan di pangkal ayat asal sahaja ada ayat utama atau ayat induk yang lengkap subjek dan predikatnya. Kata sendi dan kata hubung itu biasanya digunakan dalam bahagian yang disebut adjung atau keterangan ayat sahaja, iaitu sebagai unsur tambahan kepada ayat utama atau ayat induk.

Contohnya:

1. Dengan hormatnya saya maklumkan bahawa persatuan kami akan menganjurkan seminar tersebut.
2. Untuk mencapai pembangunan yang seimbang, pembangunan aspek dalaman perlu diberi perhatian.
3. Kerana berlaku banjir kilat, kesesakan jalan raya bertambah teruk.

Dalam ayat (1), ayat utama atau ayat induk ialah "Saya maklumkan bahawa persatuan kami akan menganjurkan seminar tersebut." Ayat itu lengkap subjek dan predikatnya. Frasa sendi "dengan hormatnya" hanya merupakan keterangan ayat yang tidak mengganggu binaan ayat utama itu.

Dalam ayat(2), ayat utama atau ayat induk ialah "Pembangunan aspek dalam perlu diberi perhatian." Ayat itu pun sempurna binaannya kerana lengkap subjek dan predikatnya. Klausa "Untuk mencapai pembangunan yang seimbang" merupakan keterangan ayat dalam binaan ayat majmuk pancangan.

Dalam hal ayat (2) itu, kata 'untuk' bukan kata sendi, tetapi kata hubungan pancangan, tidak sama dengan kata "untuk" dalam ayat seperti "Untuk tatapan umum, gambar itu akan saya paparkan kelak." Dalam ayat yang baru saya nyatakan itu, kata "untuk" memang kata sendi kerana diikuti oleh frasa nama. Jelas bahawa sebagai kata sendi, kata "untuk" pun tetap boleh digunakan di pangkal ayat.

Tentang ayat (3) pula, ayat utama atau ayat induk ialah "Kesesakan jalan raya bertambah teruk." Ayat itu pun sempurna binaannya. Klausa "Kerana berlaku banjir kilat" merupakan bahagian tambahan ayat sahaja. Ayat itu merupakan susunan songsang bagi ayat "Kesesakan jalan raya bertambah teruk kerana berlaku banjir kilat". Dalam susunan biasa (subjek di hadapan dan predikat di belakang), klausa keterangan sebab "kerana berlaku banjir kilat" diletakkan di bahagian hujung ayat. Dalam susunan songsang pula, bahagian keterangan itu diletakkan di bahagian awal ayat.

Mudah-mudahan dengan keterangan itu, tidak timbul salah faham dan andaian yang tidak berasas bahawa kata sendi dan kata hubung tidak boleh digunakan di pangkal ayat. Yang menyalahi tatabahasa ialah bentuk yang belum sempurna sebagai ayat, seperti:

4. *Dengan tiba-tiba tanpa diduga.
5. *Untuk mengatasi masalah yang kian parah itu.
6. *Kerana hujan yang turun dengan tiba-tiba dan terus-menerus.

Ketiga-tiga binaan di atas belum menjadi ayat yang sempurna kerana tiada subjek dan predikatnya. Kesemuanya merupakan klausa tak bebas (dependent clause) yang menjadi adjung atau bahagian tambahan ayat. Kesalahan ketiga-tiga binaan itu bukan disebabkan penggunaan kata sendi dan kata hubung, tetapi disebabkan binaannya tidak lengkap sebagai ayat.

~Kembara Bahasa~
25 Februari 2011

Monday, February 21, 2011

Pendidikan Bahasa dalam Pengembangan Akliah


Pendidikan Bahasa dalam Pengembangan Akliah

(Petikan daripada salah sebuah kertas kerja penulis)

oleh Awang Sariyan

Peranan pendidikan bahasa sebagai wasilah pengembangan potensi akliah manusia, khususnya anak didik, berasas pada hakikat bahawa bahasa merupakan salah satu ciri dualistik yang bersepadu pada diri batin atau diri keruhanian manusia. Ciri itu ialah akal dan bahasa.

Kedua-duanya itu merupakan milik diri batin atau diri keruhanian manusia yang realisasinya muncul pada diri yang zahir. Contohnya, kemampuan akal dizahirkan pada tindakan manusia melakukan uji kaji, menyelidik, membina, mereka cipta, melakukan inovasi, penerokaan dan sebagainya. Kemampuan atau potensi bahasa pula terzahir dalam bentuk pennyataan fikiran, perasaan, taakulan, tafsiran, penilaian, hujah, rumusan dan sebagainya yang sama ada disalurkan melalui lisan (dengan menggunakan organ-organ artikulasi) atau lambang-lambang grafem, iaitu tulisan.

Hakikat bahasa sebagai salah satu ciri utama makhluk yang diberi nama “manusia” telah dibincangkan sejak awal pertumbuhan dan perkembangan tamadun manusia, terutama dalam bidang falsafah di Yunani pada abad kelima sebelum Masihi, khususnya dengan cetusan pemikiran Plato dan Aristotle. Hingga kini perbincangan tentang hal itu masih subur dan menarik minat sejumlah ahli bahasa, ahli falsafah, ahli psikologi dan ahli dalam disiplin ilmu yang lain. Baik dalam tradisi ilmu Barat mahupun Islam, hal itu mendapat garapan yang mendalam.

Dalam konteks pendidikan bahasa, kita tidak dapat mengabaikannya oleh sebab kaitannya yang amat rapat dengan salah satu matlamat pendidikan bahasa, iaitu “pengembangan potensi akliah manusia”. Dengan perkataan lain, pendidikan bahasa bukanlah proses yang mekanis semata-mata sifatnya, iaitu yang sekadar memberikan kemahiran bahasa tanpa hubungannya dengan pengembangan akliah anak didik yang seterusnya menjadi anggota masyarakat.

Istilah “akliah” yang berasal daripada bahasa Arab berkaitan rapat dengan istilah “budi” dalam bahasa Melayu yang salah satu maknanya ialah ‘akal’, selain makna ’kesopanan’ dan ‘pekerti’. Bahkan makna “kesopanan” dan “pekerti” itu pun berasas pada makna akal, kerana tanpa akal tidak mungkin wujud kesopanan dan pekerti. Oleh itu, pendidikan bahasa yang ideal ialah yang tidak mengabaikan aspek pembinaan dan pengembangan akal atau budi, pekerti, kesopanan dan sahsiah.

Pada semua peringkat dan sektor proses sosialisasi, baik keluarga, rakan sebaya, institusi pendidikan, media dan masyarakat itu sendiri, bahasa menjadi wasilah penyerapan norma, sistem nilai, falsafah, pandangan sarwa (worldview) dan segala aspek kebudayaan masyarakat (aspek kebudayaan yang tampak, seperti seni bina, busana, peralatan dan juga aspek kebudayaan yang tak tampak, seperti falsafah, pemikiran, pandangan sarwa, sistem nilai dan sebagainya). Bahasa menjadi wasilah bagi berlangsungnya proses penyerapan dan pengamalan semua aspek kehidupan itu, dan pendidikan bahasa secara langsung menjadi bidang yang membidaninya.

Huraian linguistik yang berasaskan perspektif budaya, seperti Hipotesis Sapir-Whorf dan yang berasaskan perspektif mentalistik seperti Plato, von Humboldt dan Chomsky banyak memberikan rasional peri pentingnya bahasa dilihat sebagai unsur yang mesti dipertalikan dengan akal dan budaya.

Daripada perspektif Islam pula, hakikat bahasa sebagai juzuk penting diri batin manusia (yang menjadi paksi penguasa diri yang zahir, iaitu jasad) dihuraikan oleh ahli-ahli falsafahnya dengan berasaskan kata nutq yang menerbitkan ungkapan haiwan natiq atau haiwan yang berakal (rational animal).

Haiwan natiq atau rational animal merujuk kepada hakikat diri manusia yang ditandai oleh dua ciri utama, iaitu akal dan bahasa. Kata nutq yang menjadi akar kata natiq merujuk kepada akal dan bahasa sebagai suatu paduan, sehingga haiwan natiq bererti haiwan yang berakal dan berbahasa (al-Attas, 1995).

Paduan antara akal dengan bahasa inilah yang menjadi asas matlamat pertama pendidikan bahasa, iaitu untuk mengembangkan potensi akliah anak didik sebagai persiapan mereka menjalani kehidupan yang merentas pelbagai konteks dan bidang.

Sebagaimana yang telah disebut pada bahagian awal tentang matlamat pengembangan potensi akliah ini, pendidikan bahasa memungkinkan anak didik memahami, menakrifkan, menafsirkan, menganalisis, mensintesis, membedakan, membandingkan, merumuskan, menilai sesuatu (idea, objek, fenomena, konsep, fakta dll), dengan menggunakan akal dan menzahirkan semua kemampuan akliah itu melalui bahasa (baik lisan mahupun tulisan).

Mudah-mudahan dengan menghayati matlamat pendidikan bahasa sebagai wadah asuhan akal dan budi, anak didik dapat dibentuk menjadi manusia yang berfikir, bukan sekadar manusia yang berpelajaran. Biar dalam bidang apa pun mereka menceburkan diri sesudah tamat pendidikan formalnya, mereka diharapkan bukan sahaja menjadi birokrat, teknorat dan profesional, malahan menjadi pemikir yang dapat memulihara sifat keinsanan untuk mentadbir kehidupan di dunia, sebagai jambatan kehidupan di akhirat.

~Kembara Bahasa~
Kuala Lumpur, 21 Februari 2011

Monday, February 14, 2011

Soal Jawab Bahasa 14: Perihal Kata "Beda"


Perihal Kata "Beda"

Mengapakah Prof. dan sesetengah orang menggunakan kata "beda" dan bukan "beza"?

~ASO~

Penjelasan:

Kata "beda" berasal daripada kata Sanskrit "bheda". Perubahan bunyi /d/ menjadi /z/ mungkin disebabkan oleh faktor kebiasaan sesetengah orang yang kemudian meluas penggunaannya. Pendapat yang pernah dikemukakan oleh seorang kenalan bahawa kata "beza" berasal daripada kata "mumayiz" (kanak-kanak yang sudah dapat membedakan yang suci daripada yang najis dan yang baik daripada yang buruk) ternyata tidak ada asas etimologi (ilmu asal usul kata).

Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, kata "beda" telah dimasukkan sebagai entri dan diberi makna 'beza'. Ertinya ada pilihan bagi seseorang untuk menggunakan kata itu dengan ejaan "beda" atau "beza". Bagi saya yang telah memperoleh kepastian etimologi kata itu, maka saya memilih "beda". Sesiapa yang memilih kata "beda" sebenarnya tidak menyalahi aturan bahasa; lebih-lebih lagi itulah padanan yang lebih hampir dengan kata dalam bahasa sumbernya.

Isu yang sama berkaitan dengan sejumlah kata lain yang dibakukan atas prinsip etimologi. Antaranya termasuklah kata "agama" yang dahulu dieja "ugama" (bahkan di Johor lebih banyak yang menggunakan "igama", termasuk dalam sebutannya). Kata itu kemudian ditetapkan ejaannya sebagai "agama" atas prinsip etimologi.

~Kembara Bahasa~
15 Februari 2011

Puisi: Wahai Diri


Wahai Diri

Wahai diri
Kenallah dikau akan hakikat dirimu
daripada titisan air yang hina asal kejadianmu
daripada lembaga yang tidak berupa berdiam kaku
dilengkapi-Nya segala anggota dan deria ketika di rahim ibu
ditiupkan-Nya ruh ke dalam jasadmu menyempurnakan kalbu

Wahai diri
dimartabatkan-Nya dikau sebaik-baik kejadian
diangkat-Nya dikau sebagai khalifatul ardh mengatasi sekalian
diberi-Nya dikau tuntunan dan pedoman dengan al-Furqan
diberi-Nya dikau akal untuk membuat pilihan
agar kelak ditempatkan dikau dalam golongan yang kanan

Wahai diri
diutuskan kepada dikau sekaliannya suri teladan
penyampai khabar tentang yang hak dan yang batil sepanjang zaman
penyampai petunjuk jalan yang lurus dalam kehidupan
untuk kini di sini dan kehidupan hari kemudian
Itulah Rasulullah sumber syafaat insan nan ihsan

Wahai diri
Jikalau ada yang memberimu rasa bahagia
Usahlah terleka dikau oleh kehebatan diri
ingatlah bahawa nikmat itu daripada-Nya jua

Jikalau ada yang memberimu rasa duka
Usahlah teperdaya dikau oleh sebal kecewa
Ingatlah bahawa ujian itu daripada-Nya jua

Wahai diri
sarwa alam dan sekalian kandungannya
adalah dalam pentadbiran-Nya jua
hatta denyut nadi dan pernafasanmu yang bersela
Usah dikau ingkari takdir perencanaan-Nya

Wahai diri
akan kembali dikau ke haribaan-Nya
membawa amal untuk timbangan di neraca
di mahkamah tanpa saksi palsu, peguam negara dan peguam bela
sekalian dikau pasti mendapat keadilan yang tara

Wahai diri
merafak tunduklah dikau kepada Yang Empunya
justeru dirimu tiadalah bernilai sesuatu pun jua
melainkan abdi pengurus dunia yang fana
yang dijanjikan syurga dan neraka menurut perhitungan-Nya

Wahai diri
rebutlah peluang yang lima
sementara nafasmu masih bersisa
kerana dikau akan dijemput kembali entah bila-bila

~Kembara Bahasa~
12 Rabi`ul Awwal 1432/15 Februari 2011
(Maulidur Rasul)

Saturday, February 12, 2011

Pendidikan Bahasa dalam Menangani Isu Silang Budaya dan Globalisasi


Pendidikan Bahasa dalam Menangani Isu Silang Budaya dan Globalisasi

Awang Sariyan
(Petikan daripada salah satu kertas kerja penulis)


Masyarakat yang progresif dan terdedah pula kepada interaksi dengan masyarakat dan budaya lain tidak dapat tidak memerlukan anjakan dalam beberapa aspek budayanya. Lebih awal dalam kertas kerja ini telah dibincangkan tiga situasi budaya yang perlu dipertimbangkan dalam membina keutuhan dan ketahanan sesuatu masyarakat. Yang pertama ialah kelestarian budaya dalam aspek-aspek teras atau fundamentalnya. Yang kedua ialah dinamik budaya dalam konteks kreativiti, inovasi dan penambahbaikan aspek-aspek tertentu dalam budaya masyarakat, sejajar dengan perkembangan dan keperluan masyarakat itu sendiri. Yang ketiga ialah kelenturan atau fleksibiliti budaya, dengan erti kata kesediaan masyarakat menyerapkan unsur-unsur baharu dengan tidak pula sampai mengorbankan asas budaya yang teras.

Aspek kelestarian budaya yang teras dan patut dipertahankan sebagai asas jati diri bangsa terdapat, misalnya, pada sistem nilai, falsafah dan pandangan sarwa dalam budaya masyaraka itu. Bagi masyarakat Melayu, agama Islam telah mencorakkan sistem nilai, falsafah dan pandangan sarwa mereka dengan berasaskan dua aspek yang utama, iaitu akidah dan syariah. Sistem nilai, falsafah dan pandangan sarwa yang berasaskan agama Islam tidak boleh diubah oleh sebab sifat rabbani yang ada padanya, iaitu segala-galanya berpaksi pada konsep ketuhanan, baik untuk kehidupan di dunia mahupun untuk kehidupan di akhirat.

Tidak ada pemisahan atau dikotomi antara kehidupan duniawi dengan kehidupan ukhrawi, antara sains atau ilmu dengan wahyu, antara pembangunan dengan nilai kemanusiaan, antara kuasa dengan amanah, antara kekayaan dengan pengagihan nikmat kepada sesama manusia dan sebagainya. Demikianlah, ungkapan “Biar mati anak jangan mati adat” sebenarnya merujuk kepada adat yang bererti hukum, bukan adat yang difahami oleh umum sebagai kebiasaan semata-mata. Dalam perbilangan Melayu disebut bahawa “Adat bersendi hukum; hukum bersendi kitabullah”.

Apakah peranan dan sumbangan pendidikan bahasa dalam pelestarian aspek budaya yang teras? Antara yang jelas, proses “penyerapan nilai” dan “penyerapan ilmu” melalui pendidikan bahasa dapat memenuhinya (Awang Sariyan, 2004). Dalam nilai, aspek ketuhanan, hukum, akhlak, sahsiah, hubungan baik, kejujuran, keikhlasan dan segala yang dapat meletakkan manusia dalam keadaan “saadah” atau kebahagiaan sejati dapat diserapkan dalam pendidikan bahasa, terutama melalui bahan ajar dan proses pengajaran dan pemelajaran (P & P) yang dipertalikan dengan bahasa, seperti kosa kata dan bentuk-bentuk wacana yang sarat nilai (value-laden).

Demikian juga, peranan pendidikan bahasa dalam pelestarian aspek budaya yang teras dapat dilaksanakan melalui penyerapan ilmu, khususnya ilmu yang berkaitan dengan agama (ketuhanan, ibadah, akhlak, sirah atau kisah nabi, hubungan ekonomi dan sosial atau muamalah, sistem kekeluargaan atau munakahat, aturan keadilan dan kehakiman atau jinayat dsb.).

Salah satu contoh yang jelas bagaimana aspek budaya Melayu yang teras perlu dilestarikan ialah sistem panggilan atau sapaan. Budaya Melayu, selaras dengan konsep adab yang telah diserapkan melalui proses pengislaman, amat mementingkan penghormatan dalam interaksi sosial di peringkat mana pun. Meskipun tampak agak kompleks, namun sistem panggilan dalam bahasa Melayu benar-benar mencerminkan jati diri masyarakat yang meletakkan adab sebagai keutamaan. Kata hikmat dalam bahasa Melayu berbunyi “Yang tua dihormati, yang muda disayangi”. Maka itu, kekeliruan sejumlah pengguna bahasa, termasuk dalam media massa dalam penggunaan kata "beliau", sebagai contoh, yang disamaratakan untuk orang baik-baik dengan penjenayah, atau apatah lagi haiwan, memberikan isyarat bahawa pelestarian aspek budaya yang teras memerlukan perhatian yang berat dalam pendidikan bahasa.

Isu yang tidak kurang pentingnya diberi perhatian dan pertimbangan dalam perancangan, pelaksanaan dan penilaian pendidikan bahasa (sebagaimana juga dalam bidang pendidikan yang lain) ialah bagaimana kita harus menangani fenomena silang budaya dan globalisasi yang dapat dikatakan tidak terelakkan oleh mana-mana masyarakat dan budaya di dunia. Fenomena silang budaya dan globalisasi berkaitan rapat dengan dua lagi situasi budaya yang telah dibincangkan sebelum ini, iaitu dinamik budaya dan kelenturan budaya.

Dinamik budaya, selain dapat berlaku dari dalam masyarakat itu sendiri melalui kreativiti, inovasi, penemuan dan penambaikan oleh anggota-anggota masyarakat, dapat juga berlaku sebagai kesan fenomena silang budaya dan globalisasi. Biarlah penulis mengambil satu contoh yang agak mutakhir yang berlaku di Malaysia, berkaitan dengan penemuan seorang saintis di Universiti Sains Malaysia yang dapat menghasilkan bahan pembuangan racun daripada tubuh dengan menggunakan pangsa buah durian (Utusan Malaysia, 3 November 2008). Ini merupakan contoh bagaimana dinamik budaya dapat berlaku dalam bidang ilmu dan sains. Contoh lain ialah penggunaan DNA dalam penentuan kesahihan kes jenayah yang jelas merupakan unsur dinamik budaya dalam konteks mencari keadilan dalam masyarakat. Dalam bidang kesenian pula, misalnya, dinamik budaya dapat dikesan pada pertambahan dalam bentuk alat-alat muzik meskipun untuk menampilkan atau mempersembahkan muzik tradisional.

Selain dinamik budaya, kelenturan budaya pun berakibat daripada fenomena silang budaya dan globalisasi. Kelenturan budaya berbeda sedikit daripada dinamik bahasa, dalam konteks kelenturan budaya ada kalanya merupakan penerimaan unsur budaya luar yang tidak semestinya timbul daripada keperluan, tetapi terjadi sebagai kesan rempuhan yang global sifatnya. Contohnya, penangkapan ikan dan pertanian moden merupakan dinamik budaya yang diperlukan untuk peningkatan daya keluaran atau produktiviti; sebagai kesannya diusahakan penggunaan teknologi moden yang berbeda daripada teknologi tradisional sehingga, misalnya, keluaran padi dapat ditingkatkan apabila dilaksanakan penanaman padi dua kali setahun.

Sebaliknya kelenturan budaya terjadi sebagai kesan langsung fenomena silang budaya dan globalisasi yang sama ada memberikan kesan positif mahupun negatif. Sebagai contoh, program televisyen yang bersumberkan budaya asing (yang sebahagiannya tidak serasi dengan budaya kita) bukan unsur dinamik atau unsur yang timbul disebabkan keperluan masyarakat, tetapi merupakan salah satu unsur dalam globalisasi. Demikian juga pelbagai bentuk dan ragam iklan dalam media massa (media cetak dan media penyiaran) lebih merupakan unsur dalam globalisasi menurut ekonomi pasaran bebas.

Dalam menghadapi fenomena itu diperlukan kelenturan budaya, dengan pengertian kita harus dapat menanggap dan menanganinya secara positif, meskipun usaha itu bukan sesuatu yang mudah. Dengan mengambil iklan perniagaan sebagai contoh, banyak nilai dalam iklan perniagaan yang bercanggah dengan sistem nilai budaya kita, seperti eksploitasi wanita. Adakah kita patut terus menolak iklan perniagaan sebagai satu unsur budaya baru? Dalam hal inilah perlunya kelenturan budaya, iaitu berusaha menerima aspek positif unsur budaya baharu tetapi dengan berhemah melakukan pengubahsuaian yang didasarkan pada sistem nilai kita sendiri. Barangkali contoh yang jelas ialah bagaimana pihak berkuasa di Kelantan tetap mengiklankan produk yang berasaskan keperluan wanita dan dengan itu masih tetap mengizinkan pengiklan meletakkan gambar wanita dalam iklan tetapi dengan adab yang sepatutnya, iaitu menjaga aurat dan tidak dengan gaya yang merangsang.

Apakah kaitan antara perbincangan tentang dinamik budaya dan kelenturan budaya itu dengan bidang pendidikan bahasa? Dalam subjudul sebelum ini kita bincangkan matlamat pendidikan bahasa dalam konteks kehidupan yang menyeluruh. Pendidikan bahasa yang ideal ialah yang dapat menggarap seluruh aspek kehidupan dan memenuhi sifat kesemasaan. Antara isu yang berkaitan dengan sifat kesemasaan itu termasuklah fenomena silang budaya dan globalisasi. Oleh itu, pendidikan bahasa harus dapat menggarap dan menangani isu semasa itu, baik dalam konteks sukatan pelajaran, penyediaan bahan ajar mahupun dalam proses pengajaran dan pemelajaran.

Sebagai contoh, sms atau sistem pesanan ringkas merupakan salah satu unsur budaya baharu yang saya kategorikan dalam situasi kelenturan budaya. Ada aspek positif dan negatif sms, bergantung pada niat pengguna dan cara penggunaannya. Daripada segi bahasa, sering ditimbulkan masalah kerancuan bahasa yang berakibat daripada slanga sms. Maka menjadi tugas pendidik bahasa mengasuh anak didik menggunakan bahasa sms yang masih terkawal meskipun tidak perlu bertukar menjadi bahasa surat atau bahasa ilmiah.

Selain isu kandungan bahasa yang diakibatkan oleh fenomena silang budaya dan globalisasi, yang turut berkaitan ialah pemanfaatan teknologi moden dalam pendidikan bahasa, baik yang berbentuk perkakasan (hardware) mahupun yang berbentuk perisian (software). Pendidik bahasa tidak seharusnya mengabaikan pemanfaatan teknologi moden dalam proses pendidikannya selama teknologi itu dapat membantu proses pendidikan yang berkesan.

Monday, February 7, 2011

Penyataan Media Majlis Perundingan Islam Malaysia


MAJLIS PERUNDINGAN PERTUBUHAN ISLAM MALAYSIA
(MAPIM)


Kenyataan Media
2 Februari 2011

SOKONG KEBANGKITAN RAKYAT ARAB

Suatu era baru kini sedang tercetus di rantau Asia Barat . Rakyat massa bangsa Arab sedang bangkit untuk menjatuhkan kuasa imperialis dan agen-agennya iaitu. diktator dan para pemerintah kukubesi (despot) di Negara-negara Arab . Mereka mahu menghumban pemimpin-pemimpin zalim dalam bakul sampah sejarah menuju ke era kebebasan , demokrasi , keamanan dan keadilan. Massa bangsa Arab akhirnya bangkit setelah menderita berabad-abad lamanya ditindas , dieskploitasi , hidup dalam kehinaan ditangan kuasa imperialis , Zionis , para diktator Arab , pemerintah kukubesi dan para tirani.

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (SHURA) bersama seluruh NGO Islam di Malaysia menyambut dan menyokong kebangkitan dan intifadha rakyat di Tunisia , Mesir dan Yeman yang bermatlamat untuk menolak regim para diktator yang korup dan berjuang untuk menegakkan kerajaan berasaskan pilihan rakyat dan yang menjaga kebajikan rakyat.

Kami kagum dan menyatakan hormat kami kepada keberanian rakyat Tunisia , Mesir dan Yeman , kebanyakannya anak muda , yang tidak takut kepada kereta kebal dan peluru tentera dan dari pihak keselamatan, Kami menyampaikan ta’ziah kami kepada keluarga yang telah kehilangan ahli yang telah mempertaruhkan nyawa mereka untuk memperjuangkan kebebasan dan keadilan.Sehingga ini sudah lebih 150 orang terbunuh.

Revolusi ini mempunyai implikasi yang amat jauh bukan sahaja kepada rantau Asia Barat , malah kepada seluruh dunia. Kami percaya ini juga adalah permulaan kepada keruntuhan seluruh regim dunia Arab yang bersekongkol dengan Amerika Syarikat , juga pemerintah bekas republik soviet , Afghanistan dan Pakistan.

Dengan wujudnya kerajaan yang bebas dan merdeka , eskploitasi AS selama ini terhadap sumber negara-negara tersebut akan berakhir. Sekali gus ini akan berlarutan kepada krisis ekonomi AS yang lebih parah. Kebarangkalian rakyat di AS pula akan bangkit untuk merombak regim oligarki (pemerintahan yang hanya dipegang oleh sekumpulan orang yang berkuasa) yang hanya memperkayakan yang sedia kaya termasuk syarikat-syarikat gergasi.

AS sudah lama menjadi penyokong kuat diktator seperti Hosni Mubarak di Mesir dan Ben Ali di Tunisia. Mubarak telah mempertaruhkan kemerdekaan dan kedaulatan Mesir dengan hanya bantuan tahunan sebanyak USD 2 bilion dari AS. Beliau bersekongkol dengan Israel untuk menindas gerakan pelawanan Palestin dan gerakan Ikhwan Muslimin. Beliau menjadi subkontrator kepada AS untuk menyiksa “teroris” yang diculik oleh CIA yang kemudiannya dihantar ke Mesir . AS sangat maklum mengenai kezaliman yang dilakukan oleh pihak keselamatan Mesir ketika menyiksa mereka yang ditahan . Penyiksaan yang sangat brutal di penjara Mesir adalah rutin dan berpanjangan.

WikiLeaks’ telah mendedahkan dalam kabelnya , kedutaan AS tahu mengenai penyiksaan digunakan secara meluas oleh pihak regim Mubarak terhadap mereka yang disyakki dan ditahan sebagai penjenayah termasuk tahanan aktivis Islam , aktivis pembangkang dan para bloger. Namun tidak ada kritikan langsung dari Presiden Obama dan Setiausha Negara Hilary Clinton sedangkan kedua-duanya tidak henti-henti beretorika mengenai perlunya melindungi hak asasi manusia kepada Iran , China , Venezuala dan Negara-negara dunia ketika.

AS sedar mengenai bahaya sebuah revolusi terhadap kepentingannya di rantau tersebut . Kini ia sedang aktif mencatur kebangkitan yang berlaku agar kuasa akan beralih kepada tangan mereka yang akan bekerjasama dengan AS. Seorang bekas kedutaan AS di Mesir Frank G Wisner telah tiba di Kaherah untuk berunding dengan pemimpin-pemimpin Mesir agar menjamin kepentingan AS dan Israel tidak terjejas jika pihak pembangkang mengambil alih kuasa.

Bagi mencuba menyelamatkan regimnya , Mubarak telah memecat kerajaan sebelumnya dan telah melantik ketua intelligen Omar Suleiman sebagai Naib Presiden dan bekas ketua angkatan udara Ahmad Shafik sebagai Perdana Menteri dan pesara Ketua Polis Mahmoud Wagdi sebagai Menteri Dalam Negeri yang baru.

Kesemua mereka ini adalah bekas penjawat jawatan ketenteraan dan keselamatan yang senior dan sangat dekat dengan regim diktator Mubarak yang korup. Merekalah yang bertanggungjawab ketika melakukan penyiksaan dan pelanggaran hak asas manusia terhadap kelompok yang menentang regim Mubarak. Mereka juga sangat dekat berurusan dengan CIA Amerika Syarikat dan Mossad Israel . Mubarak tidak akan melantik mereka tanpa berkonsultasi dengan AS dan Israel.

Rakyat yang berdemonstrasi sekarang ini faham dan nampak dengan jelas muslihat Mubarak dan mereka menolak 3 orang yang dilantik ini dengan sebahagian mereka menjerit: “Suleiman, Suleiman, berambus , pergi dengan kapalterbang dan keluar malam ini juga “.

Koaliasi Nasional untuk Perubahan (The National Coalition for Change) telah memileh Mohamed ElBaradei, seorang pemenang Nobel Peace Laureate, supaya berunding dengan regim sekarang mengenai transisi kepada demokrasi.


Revolusi bangsa Arab baru bermula dan tidak akan lengkap sehingga semua aparatus para diktator dan despot semuanya dirombak. Massa rakyat Arab tidak lagi mahu kuasa yang akan menjadi pelanggan kepada kuasa Barat untuk mengganti regim yang korup dan menindas ini. Mereka mahu perubahan yang murni yang akan menjaminkan kedaulatan Negara dan hidup dalam keadaan bebas , merdeka dan mendapat keadilan untuk semua.

Kuasa imperialis seperti Perancis dan AS mempunyai ramai penyokong dalam kerajaan sekarang : polis , tentera , hakim , media , NGO dan kumpulan bisnes. Mereka sekarang sedang sibuk mencatur agar kuasa politik akan beralih tangan kepada golongan yang akan mengikut telunjuk agenda neo-kolonial dan anti-Islam. Kami mengharap agar Tunisia dan Mesir tidak mengalami nasib yang sama seperti Algeria dimana tentera , dengan bantuan AS dan Perancis telah membunuh proses demokrasi apabila FIS menang dalam piliharan raya.


Kami mendesak:

• Semua kerajaan dan gerakan demokrasi yang progresif menyokong revolusi (intifadhah) ini dan memastikan sebarang percubaan AS dan Perancis untuk menekan revolusi ini dan diganti dengan regim yang bersekongkol dengan mereka digagalkan.

• Mendesak regim Mubarak berunding dengan Koaliasi Nasional untuk Perubahan (the National Coalition for Change ) untuk peralihan kuasa secara aman kepada sebuah kerajaan transisi sehingga piliharanraya yang bebas diadakan.


• Mendesak regim Mubarak untuk menggugurkan undang-undang dharurat dan membebaskan semua tahanan politik.

• Mendesak tentera Mesir supaya menyokong revolusi ini demi kedaulatan , kebebasan , demokrasi , keadilan dan keamanan.


• Mengesa kerajaan Malaysia supaya menyokong revolusi ini dan menggunakan saluran diplomatik untuk memberi tekanan kepada regim Mubarak untuk berunding dengan Koaliasi Nasional untuk Perubahan (the National Coalition for Change ) agar peralihan kuasa berlaku dengan aman kepada kerajaan transisi sehingga piliharanraya yang bebas dan adil dilaksanakan.

• Menyeru semua rakyat Malaysia untuk mengadakan demonstrasi besar-besaran dihadapan kedutaan Mesir untuk menyokong revolusi ini.


Mohd Azmi Abdul Hamid
Setiausha Agung MAPIM


Diperakui oleh:

Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (SHURA)
Citizens International
TERAS Pengupayaan Melayu (TERAS)
Warga Permuafakatan Pertubuhan Islam Kedah (WEHDAH)
Jaringan Muafakat Pertubuhan Islam Perak (JAMA’IY)
Forum Umat Islam Pulau Pinang (FORUM)
Pergerakan Persaudaraan Muslimah (SALIMAH)
Institusi Pembangunan dan Pengemblengan Komuniti (IMPAK)
Muhammadiyyah International
Pemuda Masjid Malaysia
Lujnah Antarabangsa Dewan Pemuda PAS Pusat
E-Relawan
Perstauan Ulama Malaysia
Angkatan Belia Islam (ABIM)
Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM)
Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (GAMIS)
Balai Kuliah Tasawwur Islam Perak
Institut Penyelidikan dan Pengembangan Syariah Malaysia
Ikatan Siswazah Malaysia (ISMA)
Himpunan Lepasan Universiti Malaysia (HALUAN)

Thursday, February 3, 2011

Puisi: Suara yang Hilang


Suara yang Hilang
(Belasungkawa untuk sahabatku Allahyarham Haji Ali Mad yang dijemput kembali oleh Rabbul Izzati pada pagi 3 Februari 2011)

Kini tiadalah lagi suaramu berkumandang
pada setiap waktu disyariatkan bersembahyang
kerana suara itu telah hilang
pergi bersama-sama dengan ruhmu yang terbang

Lamun suaramu yang hilang
tiadalah sirna daripada kenangan
tiadalah sirna daripada keasyikan
jamaah yang setia menghadap Allah al-Rahman

Getar gegap laungan azanmu
akan terus mengundang rindu
akan terus tertancap di kalbu
mengingatkan kami akan waktu yang fardhu

Wahai pemilik suara yang hilang
Bersemadilah dikau jiwa nan tenang
di sisi Khalikmu semoga dikau bersenang
menikmati kehidupan yang tiada walang

Akan kami sekalian yang tinggal ini
pastilah menyusul menghitung hari
mengharapkan rahmat dan barakah Ilahi
di alam barzakh menanti kehidupan yang abadi

~Kembara Bahasa~
4 Februari 2011

Tuesday, February 1, 2011

Isu-isu Pendidikan Bahasa Melayu (Bahagian 3)


Isu-isu Pendidikan Bahasa Melayu (Bahagian 3)

Prof. Dr. Awang Sariyan
Kursi Pengajian Melayu Malaysia-China
Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia-Beijing Foreign Studies University

3. Isu Sistem Bahasa




Isu yang hingga kini masih menyelubungi minda sejumlah pendidik bahasa Melayu berkaitan dengan isu sistem bahasa, ialah kemantapan beberapa aspek bahasa yang menyentuh tatabahasa, kosa kata, ejaan dan sebutan. Isu yang lebih besar daripada itu ialah kurang jelasnya sebilangan pendidik tentang diglosia yang seharusnya menjadi kayu ukur dalam penentuan ketepatan berbahasa menurut konteks. Percampurbauran antara bentuk bahasa yang rasmi dengan yang basahan, baik dalam hal kosa kata, tatabahasa dan sebutan masih menjadi fenomena yang agak nyata.

Pada saat kita memperkatakan bahasa yang baik, timbul polemik tentang bahasa yang alamiah yang kononnya tidak perlu tertakluk pada rumus-rumus bahasa, yang malangnya kadang-kadang dikaitkan dengan tohmahan bahawa rumus-rumus bahasa itu dikhayalkan oleh ahli bahasa, bukan daripada realiti penggunaan bahasa. Masalah yang dihadapi oleh sesetengah pendidik dan pelajar ialah tidak dapat membuat garis pemisah yang jelas antara bentuk bahasa yang rasmi dengan bahasa yang basahan atau tidak rasmi. Tentulah dalam konteks bahasa yang basahan, seperti dalam perbualan, tidak terterap sepenuhnya segala rumus bahasa seperti tatabahasa dan sebutan baku.

Namun dalam bidang-bidang yang rasmi, profesional, ilmiah dan berkaitan dengan budaya tinggi, kod bahasa yang patut dipilih ialah yang mewakili kod “bahasa terbina”, bukan kod “bahasa terhad” (daripada istilah "elaborated code" dan "restricted code" yang diperkenalkan oleh Bernstein seperti yang telah dijelaskan dalam bahagian yang lebih awal).

Maka itu, kedengaran di sana sini orang yang masih mempersoalkan rumus tatabahasa yang berkaitan dengan binaan ayat aktif, ayat pasif, ayat majmuk dan sebagainya. Masih banyak ayat yang tidak keruan binaannya oleh subjek dan predikatnya tidak padu, seperti ayat yang berbunyi "Menurut Kementerian Sains dan Alam Sekitar menyatakan bahawa banyak sungai yang telah tercemar".

Masih terdapat di sana sini penggunaan ayat pasif yang bercampur aduk antara yang menerapkan rumus ayat pasif diri pertama dan diri kedua dengan rumus ayat pasif diri ketiga. Ayat pasif diri ketiga seperti "Perkara yang mereka bincangkan mendapat sambutan penonton." seakan-akan tidak dapat dikesan kesilapan rumus sintaksisnya sebagaimana masih agak leluasa juga orang mengungkapkan ayat pasif diri pertama seperti "Buku yang dibincangkan oleh kami itu penting sebagai asas pegangan hidup." yang jelas tidak memenuhi rumus sintaksis bahasa Melayu baku.

Masih juga nyaring suara tentang kekeliruan penggunaan imbuhan yang betul, seperti dalam hal imbuhan apitan "me-…-kan" dan "me-…-i" dan yang lain. Masih ada yang tidak dapat membedakan makna "mengirimkan" daripada "mengirimi", "menghadiahkan" daripada "menghadiahi" dan contoh-contoh lain yang sejenis dengannya. Masih nyata kekeliruan bilakah akhiran "-kan" perlu atau tidak perlu digunakan dalam contoh seperti "isikan borang ini" atau "isi borang ini", "tuliskan ringkasan karangan" atau "tulis ringkasan karangan", "berikan pendapat" atau "beri pendapat".

Dalam hal penggunaan kata berimbuhan yang lain, masih agak nyata kekeliruan tentang penggunaan variasi awalan "me-", iaitu sama ada "me-", "mem-", "men-", "meng-" atau "menge-". Maka berterusan isu kekeliruan adakah bentuk yang betul "memastikan
atau "mempastikan", "mencintai" atau "menyintai", "mewujudkan" atau "mengwujudkan", "meyakinkan" atau "menyakinkan" dan sekian banyak yang lain lagi.

Apabila dijelaskan bahawa bentuk kata terbitan yang betul ialah "berbahaya", bukan "merbahaya" (kerana tiada awalan "mer-" yang diimbuhkan pada kata "bahaya"), masih banyak orang yang ragu dan tidak faham akan alasannya. Tidak kurang juga yang terus keliru dengan mengatakan bahawa bentuk kata "pemelajaran" menyalahi rumus morfofonem bahasa Melayu kerana bunyi /b/ dalam kata "belajar" tidak patut dan tidak pernah dilenyapkan apabila menerima awalan "pe-", walhal kata "pemelajaran" terbit daripada kata kerja "mempelajari" yang sama sahaja polanya dengan bentuk "pemerhatian" (daripada kata kerja "memperhatikan"), "pemersatuan" (daripada kata kerja "mempersatukan"), "pemerolehan" (daripada kata kerja "memperoleh") dan beberapa patah kata lain yang menerima awalan rangkap "pemeR-", sebagai kata nama terbitan daripada kata kerja berawalan rangkap "mempeR-".

Ketiadaan atau kurang sedarnya sesetengah orang tentang konsep bahasa rasmi dan bahasa basahan turut menyebabkan timbul perbalahan tentang sebutan baku. Orang yang tidak melihat bahasa sebagai sistem yang bertatatingkat, iaitu menganggap bahasa setara belaka dalam semua hal, berasa pelik bin ajaib apabila diberi penegasan tentang perlunya sebutan baku digunakan. Seakan-akan tidak disedarinya bahawa sebutan baku itu ditegaskan penggunaannya dalam laras bahasa yang rasmi, bukan dalam perbualan, hatta dalam mimpi. Semua bahasa yang maju memiliki ragam sebutan formalnya, yang memang tidak sama betul dengan ragam sebutan bahasa sehari-hari.

Demikian juga, apabila ditekankan penggunaan kosa kata yang terpilih, sesuai dengan konteks rasmi, ada sesetengah kalangan yang beranggapan bahawa saran itu sama sekali tidak alamiah dan tidak praktis kerana kata-kata yang ‘terlarang’ itu lazim digunakan dalam perbualan sehari-hari. Maka ada orang yang mengatakan bahawa larangan penggunaan kata seperti "bikin" bagi "buat" sebagai perbuatan orang yang mengada-ngada. Orang seperti itu ternyata tidak mempunyai maklumat tentang bagaimana kamus dalam semua bahasa besar menetapkan, atau sekurang-kurangnya memberikan panduan tentang penggunaan kata yang rasmi, yang baku, yang basahan, yang larangan dan sebagainya. Dalam kamus bahasa Inggeris, hal sebegitu ternyata cukup diberi perhatian. Demkian juga dalam kamus bahasa Melayu yang baik.

Dalam pada itu, tetap saya akui bahawa memang ada beberapa aspek khusus yang belum mencapai tahap kebakuan yang tinggi. Hal ini tidak berlaku dalam bahasa Melayu sahaja, misalnya dalam hal kosa kata dan beberapa bentuk binaan kata terbitan dengan menggunakan imbuhan. Tentang kosa kata, memang mudah kita terjebak oleh fahaman sama ada bersikap tulen melulu atau terbuka melulu. Pada dasarnya kita perlu mengutamakan kosa kata yang sedia ada dalam bahasa Melayu, atau melakukan inovasi dengan menggunakan sistem morfologi bahasa Melayu. Bagi kata yang tiada padanan dalam bahasa Melayu, dibolehkan kita mencipta bentuk yang baru dengan mengambil bentuk asal kata itu tetapi diubahsuaikan menurut sistem sebutan dan morfologi bahasa Melayu.

Oleh sebab adanya beberapa aspek sistem bahasa Melayu yang belum mantap betul dan masih memerlukan ijtihad ahli-ahli bahasa, lalu terdapatlah pandangan yang berbeda dalam kalangan ahli bahasa, maka dibesar-besarkan orang perihal isu mazhab yang kononnya menyukarkan guru mengajar dan murid belajar bahasa. Dalam buku kecil "Penjelasan Isu Mazhab dalam Bahasa" (1996), saya telah membuktikan bahawa peratusan aspek bahasa yang belum seragam betul itu tidaklah besar dan dalam sesetengah aspek, seperti ejaan di bawah 0.1%.

Ada pula yang mengatakan bahawa perubahan daripada tatabahasa Za`ba menjadikan bahasa Melayu terlalu moden dan oleh itu sukar dipelajari dan diajarkan. Telah saya tunjukkan juga dalam beberapa banyak tulisan saya bahawa rumus bahasa yang dikemukakan oleh Za`ba sebahagian besarnya masih dipertahankan, tetapi mungkin dengan istilah yang berlainan, misalnya "ayat bangun membuat" menjadi "ayat aktif", "ayat bangun kena buat" menjadi "ayat pasif". Perubahan istilah itu sama sekali tidak mengubah rumus atau aturan yang dikemukakan oleh Za`ba. Sebilangan orang yang membesar-besarkan isu itu rupanya tidak pula mematuhi rumus bahasa Za`ba dan hanya memainkan sentimen bergantung pada nama besar beliau, tetapi sebaliknya menyimpang daripada tatabahasa susunan Za'ba.

Maka itu, amat penting para pendidik mempunyai kekuatan penguasaan sistem bahasa untuk diterapkan dalam pengajaran bahasa kepada anak didik. Sesudah lebih setengah abad sistem pendidikan kita berlangsung di negara yang merdeka, sewajarnya aspek-aspek asas sistem bahasa telah mantap. Tidak sewajarnya timbul lagi ajaran sesat di sesetengah sekolah seperti "Kata 'kerana', 'dengan', 'untuk' dan sebagainya tidak boleh digunakan di pangkal ayat". Dalam bahasa Inggeris dan bahasa-bahasa lain, tidak timbul masalah salah faham yang sedemikian berat sehingga mengatakan kata tugas seperti "with, to, because" dan lain-lain menyalahi tatabahasa.

Demikian juga, anak didik perlu dimantapkan penguasaan sistem bahasanya dan perlu senantiasa disedarkan tentang pentingnya menguasai ragam bahasa rasmi di sisi ragam bahasa basahan supaya mereka dapat menggunakan bahasa yang sesuai menurut konteks.

~Kembara Bahasa~
Kuala Lumpur, 2 Februari 2011