Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Thursday, June 30, 2011

ISU EPISTEMOLOGI DALAM LINGUISTIK (BAHAGIAN 4)


Isu Epistemologi dalam Linguistik (Bahagian 4)

oleh Awang Sariyan
[Petikan daripada salah sebuah kertas kerja penulis]

DISIPLIN LINGUISTIK BERSANDARKAN EPISTEMOLOGI ISLAM

Sudah sampai waktunya, pada hemat penulis, bahawa disiplin-disiplin ilmu kita, termasuk linguistik, ditanggap dan diberi oreintasi yang lebih cocok dengan keperibadian kita. Bahasa Melayu di alam Melayu berhak dihuraikan dengan berdasarkan pandangan sarwa yang telah ratusan tahun membentuk falsafah dan pemikiran, bahkan budaya umat di rantau ini, iaitu pandangan sarwa yang dicetuskan oleh agama Islam.

Islam telah memberikan rupa dan jiwa baharu tamadun Melayu dan telah membentuk bahasa Melayu baharu yang kita warisi hingga kini (al-Attas, 1972), selewat-lewatnya sejak abad ke-13, daripada bahasa yang sebelumnya begitu asing bentuk dan citranya dalam zaman kuno.

Dengan gagasan ini, bukanlah maksud penulis bahawa segala yang datang dari Barat perlu dihindari atau diperangi. Teori, kaedah dan dapatan yang bermanfaat dan tidak pula bertentangan dengan pandangan sarwa kita tentu sahaja perlu diterima dan dikembangkan, sebagaimana para saintis menerima temuan saintis Barat dalam hal ehwal yang berkaitan dengan fakta alam, seperti hakikat cakerawala, lapisan bumi dan perihal segala hidupan di dunia.

Maka demikianlah juga kita harus menerima wujudnya subdisiplin linguistik seperti dialektologi, linguisitik sejarah, tatabahasa, semantik, sosiolinguistik, psikolinguistik dan yang lain kerana kesemuanya itu dapat membantu kita meneroka kekayaan bahasa sebagai unsur penting pada manusia sebagai makhluk istimewa ciptaan Tuhan. Demikian juga kita tidak perlu menolak teori lingusitik Barat yang telah memberi kita jalur pemikiran dan kaedah penelitian yang sistematik, baik dalam subbidang linguistik mana pun.

Yang ditekankan dalam pembicaraan ini ialah keperluan kita mengolah huraian bahasa dalam pelbagai subdisiplin linguistik itu menurut kerangka epistemologi Islam. Sebagai contoh, kita tidak perlu terperangkap oleh epistemologi Barat yang menyebabkan timbulnya kontroversi yang melampau dalam mempertentangkan teori-teori yang ada sedangkan ada aspek-aspek tertentu dalam setiap teori itu yang dapat dipadukan untuk manfaat kehidupan manusia.

Tuhan justeru menciptakan pelbagai bangsa manusia dengan pelbagai bahasa untuk tujuan saling mengenal (al-Hujurat, 13). Demikian juga, tidak seharusnya kita mengikat sikap kita demikian ketatnya dalam menentukan sumber ilmu yang dalam tradisi Barat tergambar dalam bentuk dikotomi yang cukup terasing dan terpisah tanpa kompromi, iaitu sama ada rasionalisme atau empirisme.

Maka itu, gagasan yang amat relevan dalam rangka memenuhi judul pembicaraan ini ialah keperluan kita mengetengahkan linguistik menurut perspektif Islam setelah sekian lama kita bermakmum kepada linguistik Barat, setidak-tidaknya sebagai suatu alternatif.

Gagasan itu berkaitan erat dengan gagasan pengislaman ilmu yang melibatkan upaya meletakkan segala ilmu, termasuk linguistik dalam orientasi, objektif, dan fokus yang berasaskan tasawwur atau pandangan sarwa Islam.

Istilah linguistik Islam dalam konteks ini tidak harus dilihat sebagai suatu usaha mewujudkan konflik baru dalam linguistik, iaitu antara lingusitik Barat dengan linguistik Islam. Penggunaan istilah linguistik Islam tidak harus dicarikan antonimnya seperti linguistik bukan Islam, linguistik sekular, linguistik Kristian, apatah lagi linguistik kafir.

Penggunaan istilah linguistik Islam dalam pembicaraan ini tidak lain daripada usaha membina suatu kerangka falsafah dan pemikiran yang menayangkan ilmu bahasa atau linguistik yang mendukung epistemologi Islam, sesuai dengan gagasan pengislaman ilmu itu.

Sekali lagi, tidak harus timbul salah faham bahawa dengan mengutarakan gagasan linguistik yang berteraskan epistemologi Islam kita perlu menyirnakan konsep-konsep sejagat tentang bahasa yang selama ini dihuraikan dalam tradisi linguistik Barat, baik tentang unit-unit bahasa seperti fonem, morfem, kata, frasa, klausa, ayat dan wacana mahupun tentang pelbagai konsep seperti dialek, laras, gaya dan sebagainya.

Keperluan terhadap gagasan linguistik Islam lebih-lebih lagi nyata dengan meluas dan mendalamnya pengaruh sekularisme yang disemaikan oleh kebudayaan Barat melalui semua disiplin ilmu, hatta ilmu-ilmu yang berkaitan dengan agama. Linguistik Barat, sebagaimana disiplin-disiplin ilmu yang lain telah terperangkap dalam sekularisme sebagai kesan pembebasan ilmu daripada kewibawaan gereja sejak Zaman Kebangkitan (Renaissance), baik dengan berlandaskan rasionalisme mahupun empirisisme.

Sehingga demikian, linguistik dikaji sebagai disiplin yang bebas daripada pertaliannya dengan aspek keagamaan, dan penelitian terhadap bahasa tidak dihubungkan dengan matalamat mempelajari “tanda-tanda” kebesaran Pencipta alam sarwajagat sebagaimana yang diisyaratkan dalam al-Qur’an (Surah Fussilat, ayat 53). Demikian juga, konsep-konsep dasar yang berkaitan dengan hakikat bahasa tidak diasaskan pada rujukan agama atau sumber naqli, melainkan diasaskan pada spekulasi atau dapatan daripada kajian deskriptif.

Mohammad Akram A.M. Sa’Adeddin (1995:371) memberikan takrif yang tegas tentang linguistik Islam, iaitu “Kajian saintifik bahasa atau bahasa-bahasa Islam dan bakal bahasa atau bakal bahasa-bahasa Islam (‘the scientific study of Islamic and would be Islamic language[s]”). Ia menegaskan bahawa takrif ini sama sekali berlainan daripada takrif linguistik sebagai kajian saintifik tentang bahasa yang dikemukakan oleh John Lyons (1964) dalam syarahan perdana penerimaan gelar profesor linguistik umum yang berbunyi “kajian saintifik bahasa bermakna penyelidikan yang dibuat berasaskan pemerhatian secara empiris dan dengan merujuk kepada teori struktur bahasa yang umum” (Lyons, 1995:248).

Katanya lagi, berbeda daripada linguistik teoritis - deskriptif Barat, linguistik Islam mencakup aspek deskriptif dan preskriptif sekaligus. Linguistik Islam memberikan perhatian kepada aspek deskriptif kajian bahasa untuk memperoleh maklumat tentang ciri-ciri bahasa Islam, sementara aspek preskriptif diberi perhatian untuk menentukan strategi dan alat bagi penghasilan wacana Islam yang padu dan koheren.

Dengan kata-kata lain, sementara linguistik teoritis Barat menumpukan perhatian pada aras-aras konvensional dalam analisis linguistik, iaitu fonologi, morfologi, sintaksis, dan semantik, linguistik Islam berfokus pada akulturasi Islam, dengan memindahkan pusat perhatian daripada representasi permukaan bahasa kepada asas ilmu dalaman masyarakat Islam yang membayangkan pengalaman budaya mereka hingga ke peringkat pengungkapannya (Sa’Adeddin, 1995: 372).

Sementara dapat bersetuju dengan takrif Sa’Adeddin daripada segi semangatnya, pengkaji berpendapat bahawa linguistik Islam tetap dapat diterapkan untuk penelitian bahasa-bahasa manapun, tidak terhad pada “bahasa-bahasa Islam” sahaja. Hal ini demikian, kerana yang lebih utama dalam linguistik Islam ialah asas falsafahnya, iaitu bagaimana kita melihat dan menanggap bahasa itu. Korpus linguistik Islam haruslah bersifat sejagat, sesuai dengan hakikat kepelbagaian bahasa sebagai suatu sunatullah, sebagaimana yang diisyaratkan dalam al-Qur’an (Surah al-Hujurat, ayat 13).

Dengan demikian pengkaji mengemukakan suatu takrif lain tentang linguistik Islam yang berbunyi “suatu kajian saintifik tentang bahasa berdasarkan tasawwur atau pandangan hidup Islam”.

[bersambung....]

~Kembara Bahasa~
1 Julai 2011

Bukti pengaruh Islam bukan pada tinggalan purba!


Bukti pengaruh Islam bukan pada tinggalan purba!


Sebagai reaksi kepada kertas kerja saya tentang peranan Islam dalam pembentukan tamadun di alam Melayu (di salah sebuah universiti di luar negara), seorang peserta bertanya, "Di manakah kehebatan pengaruh Islam kerana tidak tampak tinggalan seperti Candi Borobudur dll?"

Saya jelaskan (berdasarkan hujah Prof. Syed Muhammad Naquib) bahawa bukti pengaruh Islam bukan pada tinggalan seperti itu, tetapi pada akal dan hati penganutnya yang beralih paksi daripada kepercayaan animisme dan akidah agama pra-Islam kepada akidah ketuhanan yang esa dan segala peraturan yang ditetapkan-Nya, sehingga dapat membina tamadun yang berasaskan ilmu dan pemikiran rasional dan saintifik.

Masih mengakar pada sebilangan orang bahawa bukti kegemilangan tamadun sesuatu bangsa terletak pada tinggalan binaan purba seperti piramid, taman tergantung di Babylon, tembok besar, candi dan sebagainya. Jika Nabi diutuskan untuk membina bangunan seumpama itu, maka pastilah Nabi lebih berhak diberi kehebatan oleh Allah untuk menghasilkan binaan yang tiada taranya.

Maka itu, cukuplah selama ini kita diberi suntikan halus oleh ahli sejarah Barat untuk mengagung-agungkan tinggalan purba yang sebahagiannya tidak mewakili jiwa insani itu, dan oleh itu tidak patut sekali-kali mencuba menyamakan Islam dengan agama atau tamadun lain. Warisan ilmu dalam bentuk khazanah persuratan itulah yang jauh lebih bererti daripada tinggalan binaan purba itu.

~Kembara Bahasa~
30 Jun 2011

Wednesday, June 29, 2011

ISU EPISTEMOLOGI DALAM LINGUISTIK (BAHAGIAN 3)


Isu Epistemologi dalam Linguistik (Bahagian 3)

oleh Awang Sariyan
[Petikan daripada salah sebuah kertas kerja penulis]

ASAS EPISTEMOLOGI ISLAM

Epistemologi Islam dapat difahami dengan mendalami bidang falsafah Islam kerana epistemologi merupakan salah satu bahagian kajian falsafah.. Istilah falsafah Islam membangkitkan kontroversi dalam kalangan sesetengah sarjana Islam, khususnya yang bersangkutan dengan etimologi kata falsafah itu sendiri dan juga kandungan bidang itu. Kedua dua isu yang menimbulkan kontroversi itu saling berkaitan. Sebagaimana yang telah dihuraikan lebih awal, kata falsafah dalam bahasa Arab merupakan kata serapan daripada bahasa Yunani philosophia yang bererti `cinta akan hikmah atau kebijaksanaan'.

Tradisi falsafah Yunani yang menjadi tunjang falsafah Barat memancarkan pandangan hidup orang Yunani dalam aspek teologi, kosmologi, dan etika atau aksiologi yang menurut pandangan Islam meraba raba dan senantiasa dalam pencarian yang tidak berkesudahan. Ketidakserasian konsep falsafah Yunani yang lebih disebabkan oleh kandungannya yang bertentangan dengan asas asas aqidah Islam dalam beberapa hal (seperti yang akan dihuraikan kelak) menyebabkan timbul keberatan pada sebilangan sarjana Islam untuk menerima istilah falsafah Islam.

M. Saeed Sheikh (lihat Zakaria Stapa dalam Ibrahim Abu Bakar, 1994: 7), misalnya, dengan tegas membedakan istilah falsafah muslim daripada falsafah Islam. Falsafah muslim mungkin saja bersifat tidak Islam apabila, misalnya, ahli ahli falsafah yang beragama Islam berusaha menyesuaikan falsafah mereka dengan falsafah yang berakar umbi dalam kebudayaan Barat. Demikianlah, citra falsafah yang disebut falsafah Islam pada peringkat awalnya memang ditandai oleh upaya menerapkan falsafah Yunani, khususnya Platonisme, Neo Platonisme, dan Aristotelisme. Inilah yang diusahakan oleh tokoh tokoh yang dikenal dalam sejarah sebagai falasifah, iaitu ahli falsafah Islam, misalnya al Kindi, al Farabi, Ibn Sina, dan Ibn Rushd (Zakaria Stapa dalam Ibrahim Abu Bakar, 1994: 1 2; Mahmud Hamdi Zaqzuq, 1993: 3 6; Shariff, M.M. 1992), sedang falsafah yang dikembangkan dengan berasaskan falsafah Yunani itu dipertikaikan, ditolak, atau malah dikafirkan oleh setengah setengah sarjana Islam.

Tokoh yang paling keras menganggap falsafah yang berasaskan falsafah Yunani itu sebagai sesat ialah al Ghazali (1058 1110 M) yang melalui karya seperti Tahafut al Falasifah (Kekacauan Ahli Falsafah) dan Al Munqidh Min al Dalal (Pembendung Kesesatan) memperlihatkan asas asas kesesatan aliran falsafah itu (lihat Mahmud Hamdi Zaqzuq, 1993: Pendahuluan dan 3 6). Dalam Tahafut al Falasifah Al Ghazali mengemukakan 20 kesalahan aqidah dalam falsafah yang dianut oleh al Farabi dan Ibn Sina, serta ahli ahli falsafah yang lain, dan tiga yang paling besar ialah:

a. Alam ini qadim dan azali;
b. Allah hanya mengetahui perkara perkara yang umum atau universal (al-kulliyat) dan tidak mengetahui perkara perkara yang khusus (al-juz'iyat);
c. Jasad manusia tidak dibangkitkan semula pada hari Kiamat; hanya roh yang akan menerima pembalasan.
(Zakaria Stapa dalam Ibrahim Abu Bakar, 1994: 2 dan Mahmud Hamdi Zaqzuq, 1993: 17)

Jelas bahawa yang menjadi keberatan sarjana sarjana Islam yang berusaha menjaga kemurniaan aqidah dan syariah Islam ialah aliran falsafah yang bernafaskan falsafah Yunani, sehingga falsafah sedemikian menurut M. Saeed Sheikh hanya layak disebut falsafah muslim kerana kebetulan dikembangkan oleh ahli ahli falsafah yang menganut agama Islam, tetapi belum mencapai konsep falsafah Islam. Apakah falsafah Islam? Menurut M. Saeed Sheikh, falsafah Islam mesti ditakrifkan sebagai upaya menerjemahkan dan membina semula pelbagai wawasan metafizik yang terdapat dalam al Qur'an dengan menggunakan bahasa dan gaya falsafah yang tidak terdapat di dalamnya sebarang unsur muhibah terhadap sesuatu yang tidak Islam (Zakaria Stapa dalam Ibrahim Abu Bakar, 1994: 7 8).

Dengan lebih mendalam, Alparslan (1994) menakrifkan konsep falsafah Islam sebagai "konsep saintifik yang muncul daripada pandangan hidup Islam, tetapi sebagai unjuran daripadanya, secara langsung melalui skema konsep saintifik Islam". Berasaskan takrif tersebut, beliau menggariskan tiga faktor yang mencirikan konsep falsafah Islam, iaitu:

a. pandangan hidup Islam sebagai perspektif yang seluas luasnya dan sebagai asas falsafah;

b. skema konseptual saintifik sebagai asas yang bersifat langsung dan rapat, yang dengannya ahli falsafah melaksanakan kegiatan kegiatannya;

c. kegiatan falsafah itu sendiri yang dilaksanakan melalui istilah istilah khusus yang disebut skema konsep saintifik yang khusus.

Faktor pertama, iaitu pandangan hidup merupakan suasana latar bagi kewujudan falsafah Islam. Pandangan hidup Islam yang melatari falsafah Islam dirumuskan oleh al Attas (1978: 41 42) melalui konsep pengislaman sebagai pembebasan manusia daripada kekangan tahayul, dongeng, animisme, tradisi budaya pribumi, dan sekularisme terhadap akal dan bahasanya. Oleh itu, segala kegiatan saintifik falsafah terlaksana dalam lingkungan suasana latar yang berasaskan pandangan hidup tersebut. Faktor kedua, iaitu skema konsep saintifik dikenal sebagai "konteks" falsafah Islam. Tatanama yang dihasilkan oleh sarjana Islam dengan berlandaskan pandangan hidup Islam melahirkan skema konsep saintifik Islam yang berbeda daripada skema konsep saintifik Barat. Mana mana kegiatan falsafah yang tidak berasaskan skema konsep saintifik Islam tidak dapat diterima sebagai hasil falsafah Islam. Antara skema konsep saintifik Islam yang penting termasuklah konsep ilmu, kebenaran, sains, penyataan saintifik, teori, dan kaedah (Alparslan, 1994: 27).

Akhirnya, faktor ketiga, iaitu skema konsep saintifik yang khusus ialah hasil penyelidikan sarjana dalam bidang masing masing yang bersifat khusus untuk bidang ilmu yang tertentu, tetapi kesemuanya tetap dalam kerangka pandangan hidup dan skema konsep saintifik Islam tadi. Sebagai contoh, konsep konsep dalam disiplin sains tabii mungkin berlainan daripada konsep konsep dalam sains sosial; namun kelainan itu semata mata bersebab daripada kelainan bidang tetapi tetap berasaskan skema konsep saintifik yang sama dalam hal ilmu, kebenaran, keadilan, teori, kaedah dan sebagainya.

Sejajar dengan kenyataan bahawa pandangan hidup Islam melatari falsafah Islam, Seyyed Hossein Nasr (1989) menegaskan ciri falsafah Islam sebagai suatu ilmu tabii yang merujuk serta berdasar pada tauhid sebagai doktrin induknya. Dengan sendirinya falsafah yang berlandaskan skeptisisme atau kesangsian yang menjadi kegiatan ego diri manusia untuk melampaui ilmu Tuhan tidak dapat diterima sebagai falsafah Islam. Bahkan tafsiran "keislaman" ahli falsafah muslim yang jelas terjerat oleh falsafah Barat seperti yang dilakukan oleh Iqbal, menurut S.H. Nasr masih tetap di luar konsep falsafah Islam (Nasr, 1989: 4). Senario falsafah menurut perspektif Islam tidak sesuai lagi disempitkan kepada konsep falsafah yang diamalkan oleh orang Yunani atau ahli ahli falsafah Barat moden seperti Descartes, Leibnitz, Locke, Hume, Kant, dan Hegel, ataupun falsafah yang melahirkan aliran pemikiran eksistensialisme, positivisme, dan mekanisme.

Bahkan falsafah Islam yang sering dikaitkan dengan Ibn Sina dan al Farabi itu pun belum sesungguhnya memenuhi konsep falsafah Islam sejati. Seperti kata Mahsin Mahdi (lihat Zakaria Stapa dalam Ibrahim Bakar, 1994: 9 10), falsafah Islam yang berasal usulkan tradisi Yunani sudah berupa suatu persoalan sampingan saja; pelbagai gantian telah dikemukakan sebagai pilihan yang lebih baik untuk mengisi falsafah Islam, iaitu teologi Islam, perundang undangan Islam, tasawuf Islam, dan sebagainya sehingga sekalian mutakallimin (ahli ilmu kalam atau teologi), ahli sufi, fuqaha, muhadithun (ahli hadith) merupakan pemikir yang sah untuk digelar sebagai ahli falsafah Islam.

Seyyed Hoesein Nasr (1987: 3 4 dan 21 25) memperkukuh pandangan itu dengan mengungkapkan bahawa yang difahami sebagai falsafah itu bukan semata mata falsafah menurut perspektif Barat, bahkan wujud juga dalam segala ilmu Islam yang lain seperti tafsir, hadith, kalam, usul fiqh, tasawuf, sains tabii, matematik, kosmologi, kesenian, psikologi, sains sosial, dan sains politik. Sesungguhnya konsep falsafah yang difahami umum, iaitu falsafah menurut kerangka atau skema pemikiran Barat itu merupakan kesan gerakan orientalisme yang menyemaikan kepercayaan melalui bidang ilmiah dengan teori kebangsaan12 bahawa Islam tidak mampu melahirkan ilmu falsafahnya sendiri melainkan mencedok falsafah tradisi Yunani (Mahmud Hamdi Zaqzuq, 1989: 84 89).

Daripada sudut penggunaan akal sebagai asas berfalsafah, tidak ada agama mana pun yang meletakkan akal manusia begitu tinggi kecuali agama Islam (Mahmud Hamdi Zaqzuq, 1989: 86). Allah memuliakan manusia dan melebihkannya daripada makhluk Nya yang lain dengan mengurniakan akal. Agama Islam meletakkan akal sebagai asas aqidah dan pertanggungjawapan manusia. Mengabaikan penggunaan akal dianggap sebagai satu kesalahan atau satu dosa. Hal ini ditegaskan dalam al Quran Surah al-Mulk, ayat 10 11. Jelas bahawa al Quran menyeru manusia supaya menggunakan akal fikirannya dan hal ini akan dihisab kelak, sesuai dengan penegasan al Quran dalam Surah al Isra’, ayat 36.

Dengan tegas Islam menolak taklid secara melulu dan sebaliknya mewajibkan penggunaan akal fikiran dalam segala hal yang bersangkutan dengan aqidah dan syariah Rasulullah S.A.W. menurut riwayat al-Tarmizi bersabda, "Jangan kamu menjadi pengikut buta." Dalam konteks inilah Taha Jabir al-Alwani (1993) menegaskan ijtihad sebagai keperluan mutlak dalam memastikan kelangsungan hidup syiar Islam. Di samping itu Islam menolak segala bentuk khurafat, sihir, tilik menilik, dan segala perbuatan yang tidak bersandar pada akal yang terpimpin. Inilah asas yang memungkinkan terbentuknya tamadun dan pemikiran Islam yang menurut al-Attas berasaskan intelektualisme dan rasionalisme (1965, 1972, dan 1979).

Dalam konteks pengembangan falsafah sebagai suatu disiplin ilmu, al-Quran menyeru manusia menyelidik sekalian yang ada di langit dan di bumi serta yang ada pada diri manusia sendiri untuk mengenal hakikat kebenaran. Dalam konteks pembicaraan ini, bahasa sebagai bahagian penting diri manusia merupakan sesuatu yang perlu dikaji untuk mencapai pengenalan tentang kekuasaan dan keperkasaan Tuhan. Salah satu ayat al-Quran yang berkaitan dengan hal ini terdapat dalam Surah Fussilat, ayat 53. Jika kita pertalikan persoalan pokok yang digarap oleh ahli ahli falsafah sejak zaman awal, iaitu yang berfokus pada hakikat alam dan hakikat diri, jelas bahawa Islam memang menganjurkan penelitian yang sedemikian.

Berkaitan dengan doktrin falsafah, al-Quran menyajikan aspek aspek yang sempurna, iaitu meliputi hal ehwal duniawi dan hal ehwal ukhrawi. M.M. Shariff (1994) dalam kupasannya tentang doktrin falsafah dalam al Quran menggariskan aspek aspek yang berikut:

a. Hakikat muktamad (Allah dan sifat sifat Nya).
b. Tuhan dan alam.
c. Hubungan Tuhan dengan manusia.
d. Hakikat ruh.
e. Teori ilmu (epistemologi).
f. Kuasa manusia.
g. Kebebasan manusia.
h. Perihal mati.
i. Hidup sesudah mati.

Jelas bahawa cakupan falsafah Islam tidak terkeluar daripada perkara perkara dasar yang berkaitan dengan aqidah. Inilah yang membedakan falsafah Islam daripada falsafah Barat.

Khusus tentang epistemologi Islam, beberapa prinsip yang penting tentang ilmu dapat dirumuskan daripada huraian Jurjani dalam kitabnya Ta`rifat (Muhammad Zainy Uthman, 1989) seperti yang berikut:

1. Ilmu didasarkan pada pegangan (iktikad) yang teguh bertepatan dengan hakikat.

2. Tibanya rupa sesuatu pada akal (al-Attas mengungkapkannya sebagai “ketibaan makna pada diri”).

3. Ilmu merupakan suatu sifat yang ada pada diri manusia yang membolehkannya mendapat dan mengenal kulliyat dan juz`iyyat.

Tentang sumber ilmu pula, kitab Aqaid al-Nasafi yang menjadi sumber rujukan utama Ahli al-sunnah wal-Jamaah menetapkan tiga sumber utama ilmu, iaitu pancaindera yang lima, khabar yang sadiq atau benar dan akal. Jelas bahawa menurut epistemologi Islam, asas untuk merumuskan sesuatu ilmu (termasuk dapatan dan analisis kajian) tidak disandarkan semata-mata pada pancaindera sebagaimana yang begitu ditekankan dalam epistemologi Barat.

[bersambung....]

~Kembara Bahasa~
29 Jun 2011

Monday, June 27, 2011

Perlunya Audit Bahasa


BERNAMA.COM
27 Jun, 2011 14:33 PM

Bahasa Melayu: Mengapa Tidak Bangga kepada Bahasa Sendiri?

Oleh Melati Mohd Ariff

Lebih separuh abad bebas daripada belenggu penjajahan, polemik bahasa Melayu berterusan. Terpinggir atau dipinggirkan? Apakah nasib bahasa ibunda ini? Adakah akan tinggal sekadar bahasa percakapan, bahasa basahan atau bahasa pasar?

Rencana tujuh siri ini merungkai beberapa isu mengenai Bahasa Melayu.

Bahagian kedua ialah sambungan pandangan pejuang bahasa Prof Dr Awang Sariyan mengenai penggunaan bahasa Melayu, khususnya dalam kalangan masyarakat Melayu sendiri.


KUALA LUMPUR, 27 Jun (Bernama) -- Audit bahasa? Mungkin pelik dan aneh! Bagi tokoh bahasa Dr Awang Sariyan, ia melihat audit bahasa sebagai satu usaha yang semakin perlu disegerakan.

Beliau pernah melontarkan cadangan ini beberapa tahun lalu apabila memandangkan penggunaan bahasa Melayu yang semakin luntur.

Bagaimanapun, setakat ini beliau boleh dikatakan masih bertepuk sebelah tangan kerana cadangan yang dilontarkan masih belum disambut!

Kecelaruan yang mewarnai polemik bahasa Melayu hari ini membuatkan Dr Awang mengungkap kembali cadangan beliau.

"Perlu ada audit bahasa kebangsaan kerana soal bahasa kebangsaan ini bukankah dasar negara," tegasnya kepada Bernama dalam satu wawancara di kediamannya yang terletak di pinggir bandar Kuala Lumpur baru-baru ini.

KAEDAH AUDIT

Ditanya mengenai kaedah atau modus operandi audit bahasa yang diperjuangkan itu, katanya, pelaksanaannya mudah sahaja dilakukan meskipun ada pihak yang mempunyai pandangan yang bertentangan tatkala beliau membuat cadangan audit bahasa itu.

"Contohnya, setiap jabatan dan kementerian diaudit bahasanya. Mesti ada pasukan seperti audit negara yang lebih kepada menilai pengurusan kewangan.

"Audit bahasa ini menilai dari sudut pencapaian penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Kumpulkan minit-minit mesyuarat, terbitan, pekeliling dan sebagainya untuk setiap jabatan," kata beliau.

"Audit bahasa itu akan memperlihatkan dua aspek penting, iaitu pelaksanaan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa urusan ramsi dan mutu bahasa yang digunakan. Laporan perlu diserahkan kepada pihak berwibawa, sama ada Ketua Setiusaha Kementerian dan perlu juga sehingga Ketua Setiausahasa Negara."

"Secara terancang, perlu juga diadakan pemantauan bersemuka dari waktu ke waktu seperti majlis-majlis rasmi, sama ada dilaksanakan dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi atau sebaliknya. Demikian juga aspek mutu bahasa yang digunakan. Dari situ peningkatan penggunaan Bbahasa Melayu dan mutunya saya yakin dapat ditingkatkan."

"Jika perihal audit bahasa yang berkaitan dengan salah satu dasar negara itu dipandang remeh dan lucu, maka remeh dan luculah Dasar Bahasa Kebangsaan kita!"

Dr Awang kini memegang jawatan Penyandang Pertama Kursi Pengajian Melayu kerajaan Malaysia di China, berpangkalan di Universiti Pengajian Asing Beijing (BFSU) yang mempunyai Pusat Pengajian Melayu dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri sebagai penaungnya sejak tahun 1997, ketika menjadi Menteri Pelajaran.

Program ini adalah kerjasama antara Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dengan BFSU, iaitu Kursi Pengajian Melayu ketiga sesudah di Leiden, Belanda dan di Wellington, New Zealand.

Antara jawatan lain yang pernah disandang oleh anak kelahiran Kampung Teluk Kerang, Pontian, Johor termasuk Profesor di Jabatan Bahasa Melayu, Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya dan Profesor Linguistik dan Perancangan Bahasa, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, di samping menjadi tenaga akademik di beberapa buah universiti lain, termasuk Universiti Brunei Darussalam.

Beliau juga banyak menulis rencana ilmiah, kertas kerja dan rencana bimbingan Bahasa Melayu untuk pelajar serta pengguna bahasa yang lain serta menghasilkan puluhan buku ilmiah, buku panduan bahasa, buku umum, dan kamus. Di Beijing, beliau bekerjasama dengan tenaga akademik di negara China menyusun beberapa buah kamus dwibahasa Melayu-China dan dengan Universiti Northern Illinois, Amerika Syarikat, beliau membantu Prof Dr James T. Collins, Pengarah Pusat Pengajian Asia Tenggara universiti itu dalam projek Kamus Bahasa Melayu Dalam Talian.

MENYEDIHKAN

Dr Awang sendiri pernah mengetuai satu kajian pada tahun 2007 mengenai penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pentadbiran dan mutu bahasa di jabatan-jabatan kerajaan.

Apabila ditanya hasil kajian terhadap dua aspek, iaitu taraf pelaksanaan dan mutu bahasa yang menjadi fokus kajian itu, jawapannya ringkas: "Menyedihkan".

Antara hasil kajian yang dibuat Dr Awang dan kumpulan penyelidiknya menunjukkan ada jabatan atau kementerian yang mencapai hanya 65-70 peratus daripada segi penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

"Kalau jabatan kerajaan 65 peratus, apa lagi sektor swasta. Dari segi mutu bahasa pula, keadaannya lebih parah. Masih banyak kesalahan bahasa dari segi ejaan, penggunaan perkataan, istilah dan struktur ayat," tambahnya.

Beliau berkata terdapat juga kecenderungan untuk berbahasa rojak dalam mesyuarat.

"Sekerat ular, sekerat belut, seperti yang pernah diungkapkan oleh Datuk Rais Yatim". Sekerat bahasa Melayu dan sekerat bahasa Inggeris. Bahasa Inggeris pun bukan bahasa Inggeris baku tetapi bahasa basahan.

"Jadi martabat kita daripada segi pentadbiran dan daripada segi nilai budaya tidak begitu tinggi," tegasnya.

BOLEH DILAKSANAKAN

Bercakap lebih lanjut mengenai audit bahasa, beliau menegaskan modus operandi yang dicadangkannya itu adalah praktikal jika kita betul-betul mahu menobatkan bahasa Melayu.

"Orang mungkin tidak suka pada peringkat awal tetapi dia akan melaksanakannya juga oleh sebab arahan daripada Ketua Setiausaha Negara dan diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

"Jadi kalau audit bahasa dibuat, hasilnya boleh dilaporkan dan dibentangkan dalam kabinet.

"Jabatan atau kementerian yang masih agak lemah dari segi pelaksanaan bahasa kebangsaan dan mutu bahasanya boleh ditegur seperti yang dilakukan oleh juruaudit negara dalam bidang kewangan," kata Dr Awang.

TIDAK YAKIN

Secara keseluruhannya, kekecewaan Dr Awang dengan sikap sesetengah anggota masyarakat, termasuk orang Melayu sendiri yang masih tidak yakin dengan kemampuan Bahasa Melayu masih berakar tunjang hingga ke hari ini.

Menurutnya wujud segolongan pemimpin, golongan elit, golongan menengah, kumpulan eksekutif, kumpulan pelaksana dasar yang hati mereka masih terpaut dan tertawan oleh kehebatan bahasa Inggeris.

Bagi golongan itu, seolah-olah hanya bahasa Inggeris yang dapat menjulang tamaddun yang hal itu menjadikan penggunaan bahasa Melayu semakin luntur dan menjadikan bahasa Inggeris lebih dominan berbanding bahasa kebangsaan.

"Ada yang berhujah buku bahasa Melayu tidak cukup. Kita akui masih ada masalah tetapi hal itu dilalui oleh semua bahasa. Bahasa Inggeris sendiri melalui tempoh 200 tahun untuk menjadi bahasa yang hebat.

"Bahasa Melayu selepas merdeka hingga sekarang baru lebih setengah abad dan kita sudah ada sejuta istilah, ribuan tenaga akademik dan penerbitan. Usaha mesti diteruskan, bukan berpatah balik ke belakang hanya kerana masih ada beberapa masalah." katanya yang pernah memegang jawatan Pengarah Jabatan Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka (1999-2004).

PERLU BANGGA

Orang Melayu perlu berasa bangga dan lebih mengutamakan Bbahasa Melayu apabila berhubung atau berkomunikasi, termasuk dengan rakan bukan Melayu.

Cara yang demikian, pada pandangan Dr Awang akan mendorong mereka dalam gerakan untuk mendaulatkan bahasa Melayu.

Beliau lalu menegur sikap sesetengah orang Melayu kelas menengah yang gemar berbahasa Inggeris ketika berbual dengan orang bukan Melayu, seolah-olah rakan kita yang bukan Melayu itu warganegara asing.

"Yang paling mudah sebutan nama; kalau Melayu boleh sebut 'encik' tetapi kalau orang Cina terus panggil Mr Lim. Kenapa tak boleh sebut Encik Lim?

"Itu sendiri sudah semakin menjarakkan hubungan atau pun perasaan penerimaan, seolah-olah mereka tidak diterima sebagai rakyat negara ini."

"Dengan orang India juga mereka berbahasa Inggeris. Kenapa tidak dalam bahasa kebangsaan?" soalnya.

"Dalam kalangan golongan biasa pula, apabila bercakap dengan orang bukan Melayu, timbul kecenderungan berbahasa pelat sama seperti orang yang dilayan bercakap. Jadi, kita tidak membantu rakan-rakan kita itu berbahasa dengan lebih baik dan bahasa kita pula jadi rosak."

HORMAT BAHASA

Beliau mengungkapkan senario menarik tentang komunikasi antara pegawai Inggeris dengan Yap Ah Loy, kapitan Cina yang diuar-uarkan sebagai bertanggungjawab membangunkan Kuala Lumpur sebagai pusat perlombongan dan komersil.

Komunikasi antara kedua-duanya berlangsung dalam bahasa Melayu, berkemungkinan menggunakan jurubahasa, katanya.

Terdapat juga surat pegawai Inggeris itu kepada Yap Ah Loy dalam bahasa Melayu tulisan Jawi. Surat itu pernah disiarkan dalam majalah Mastika beberapa tahun lalu.

Dr Awang berkata bangsa asing pada masa itu begitu menghormati bahasa Melayu sebagai bahasa lingua franca.

Lalu beliau menyoal bagaimana dalam keadaan sebuah negara yang sudah merdeka ada yang masih menganggap bahasa Melayu bahasa yang tidak mampu.

"Jadi inilah yang saya katakan sikap dan krisis keyakinan dalam kalangan masyarakat kita dan malangnya sebahagiannya adalah bangsa teras, iaitu bangsa Melayu sendiri, keluhnya.

"Abdullah Munsyi pada tahun 1822 pernah meluahkan rasa hairannya melihat bangsa Melayu yang tidak memberikan perhatian kepada bahasanya sendiri.

"Beliau berkata tidak mungkin ada bangsa di dunia yang bahasanya dapat maju kalau kita tidak memuliakan atau tidak mempelajarinya. Jadi apa yang dikatakan Abdullah Munsyi masih berlaku sampai sekarang. Orang Melayu meremehkan bahasanya sendiri, " kata Dr Awang.

HARUM BAHASA

Jika ada orang Melayu yang tidak bangga berbahasa Melayu, di peringkat antarabangsa pengajian bahasa Melayu ternyata berbeza keadaannya.

Dr Awang berkata di seluruh dunia terdapat sekitar 120 institusi sama ada mengajarkan bahasa Melayu atau setidak-tidaknya mempunyai pusat penyelidikan tentang bahasa dan sastera Melayu. Di Eropah, di Amerika Utara, di Oceania, di Asia Timur dan juga di beberapa tempat lain terdapat pusat pengajian Melayu.

Di China sendiri, kata beliau, program pengajian Bahasa Melayu semakin rancak berjalan. Terdapat enam buah universiti yang ada program Bahasa Melayu, tiga buah di Beijing, sebuah di Ghuangzhou, sebuah di Nanning dan sebuah di Kunming. Sebuah akademi tentera di Louyang turut menawarkan kursus Bahasa Melayu.

Di BFSU tempat beliau ditugaskan, umpamanya, program itu kini ditawarkan sehingga ke peringkat Ijazah Sarjana.

Paling membanggakan pelajar BFSU, Zhang Song atau Noriah, nama Melayu yang diberikan oleh Dr Awang, muncul sebagai juara Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri Malaysia 2010 bagi kategori antarabangsa luar Nusantara.

"Di Universiti Beijing kesemuanya ada 54 bahasa asing diajarkan dan Bahasa Melayu ialah antara bahasa yang popular dan mendapat sambutan baik.

"Tapi jangan sahaja nama harum di luar negara sedangkan di dalam negara bahasa Melayu tidak berbau harumnya," tegas Dr Awang.

-- BERNAMA

Bahasa Melayu: Jangan Tunggu Nasi Menjadi Bubur



BERNAMA.COM
Artikel
27 Jun, 2011 12:40 PM

Bahasa Melayu: Jangan Tunggu Nasi Menjadi Bubur

Oleh Melati Mohd Ariff

Lebih separuh abad bebas daripada belenggu penjajahan, polemik bahasa Melayu bagai air laut, sekejap pasang sekejap surut. Terpinggir atau dipinggir? Apakah akan tinggal sekadar bahasa percakapan, bahasa basahan atau bahasa pasar?

Rencana tujuh siri ini merungkai beberapa isu mengenai Bahasa Melayu.

Bahagian pertama menjejak antaranya kegemilangan Bahasa Melayu sebagai bahasa lingua franca seawal lebih satu alaf atau lebih 1,000 tahun lampau bersama tokoh bahasa Prof Dr Awang Sariyan.

KUALA LUMPUR, 27 Jun (Bernama) -- Terpinggir atau dipinggirkan? Jika diambil kira senario ratusan tahun lampau, malah hampir dua alaf lalu, nasib bahasa Melayu tidaklah seburuk itu. Bahasa Melayu malah diiktiraf bahasa 'lingua franca' atau bahasa perantaraan umum dan bahasa antarabangsa!

Begitu tingginya martabat bahasa ibunda tetapi mungkin ramai yang sudah lupa dan alpa.

Di samping menjadi bahasa ilmu, falsafah, pemikiran, undang-undang, ketatanegaraan, seni sastera dan pensejarahan, bahasa Melayu dalam zaman Kesultanan Melayu lebih 700 tahun dahulu juga unggul sebagai bahasa penting perhubungan diplomatik.

Demikian rumusan Prof Dr Awang Sariyan, tokoh bahasa yang tidak asing lagi dalam membicarakan kemelut Bahasa Melayu dalam satu wawancara dengan Bernama di kediamannya yang terletak di pinggir kota di sini baru-baru ini.

BAHASA PASAR

Justeru apabila kemampuan tinggi Bahasa Melayu kembali dipersoal selepas lebih setengah abad negara merdeka dan dasar penggunaannya seperti air laut yang pasang surut, sudah tentu isu itu meruntun hati, terutamanya pejuang bahasa seperti Dr Awang, Penyandang Pertama Kursi Pengajian Melayu Kerajaan Malaysia di China, berpangkalan di Universiti Pengajian Asing Beijing.

Rasa gusar seakan-akan tidak cukup untuk mentafsirkan kebimbangan dan kekecewaan yang membuak di dada dan jiwanya.

Bagaimana pula dengan kita? Berkerutkah dahi apabila kedudukan bahasa Melayu dikatakan kini seperti "telur di hujung tanduk"? atau bagaikan yang "dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran" ?

Atau pun mungkin seperti "kera di hutan disusui, anak di rumah mati kelaparan" jika polemik ini dibiar tanpa noktah!

Atau kita "bila terhantuk baru tengadah" atau hanya tersentak apabila "nasi sudah menjadi bubur."?

Terdapat andaian bahawa pada akhir abad ini, antara 50 peratus hingga 90 peratus daripada kira-kira 6,000 bahasa yang ada di dunia akan pupus kerana tidak lagi dipelajari.

Dr Awang bagaimanapun optimis Bahasa Melayu tidak termasuk dalam andaian tersebut kerana terdapat hampir 300 juta pengguna bahasa Melayu di mayapada ini.

"Namun yang paling merisaukan, kalau pun tidak pupus, Bahasa Melayu tidak berfungsi sebaik atau sewajarnya sebagai bahasa tamaddun, terutama sebagai bahasa ilmu. Bahasa Melayu mungkin tidak menjadi bahasa undang-undang, tidak menjadi bahasa pentadbiran dan tidak menjadi jadi bahasa pemikiran lagi, jika kita tidak berjaga-jaga.

"Bahasa Melayu wujud lebih sebagai bahasa pasar untuk keperluan perhubungan yang asas atau sehari-hari. Kalau jadi bahasa pasar, samalah tarafnya dengan bahasa Orang asli atau puluhan bahasa kaum peribumi di Sabah dan Sarawak, sedangkan Bahasa Melayu ialah bahasa negara," keluhnya.

SOROTAN SEJARAH

Sejak abad ke-7 pada zaman Sriwijaya (di Sumatera), Bahasa Melayu sudah menjadi bahasa yang bukan kecil peranannya.

Bahasa Melayu telah diangkat dan dinobatkan sebagai bahasa pentadbiran bagi Sriwijaya dan seluruh jajahan takluknya, wilayah kerajaan kuasa kelautan yang sangat besar pada waktu itu.

"Dan sebagai kuasa besar, Sriwijaya bukan sahaja menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pentadbiran, malah sebagai bahasa perdagangan dan juga bahasa pengajian agama pada masa itu. Itulah saatnya peranan Bahasa Melayu sebagai lingua franca atau bahasa perhubungan umum di rantau alam Melayu.

"Dengan sendirinya Bahasa Melayu tidak terpinggir, maknanya telah digunakan oleh semua bangsa, tidak hanya oleh bangsa dalam kalangan alam Melayu, bahkan oleh orang dari India dan China," demikian tegas Dr Awang.

Begitu tingginya kedudukan Bahasa Melayu ketika itu boleh disimpulkan juga bersaksikan pelbagai dokumen dan penulisan jika mahu digarap dari sudut sejarah.

Antaranya catatan pengembara Cina I-Ching yang juga seorang pendeta Buddha mengenai pusat pengajian agama Buddha di Sumatera yang menggunakan bahasa Melayu.

I-Ching dalam misi penjelajahannya telah bermastautin selama enam bulan di Sriwijaya pada sekitar abad ke-7.

"Ini jelas menunjukkan Bahasa Melayu telah digunakan sebagai bahasa ilmu meskipun untuk pengembangan agama Buddha di ibu negeri Sriwijaya kerana pada waktu itu syiar Islam belum sampai di alam Melayu," ulas Dr Awang.

BAHASA DIHORMATI

Beliau turut berkongsi pengamatan yang dibuat oleh Van Linschotten, seorang pegawai Belanda yang bertugas di Indonesia antara 1586 hingga 1592 tentang kebesaran Bahasa Melayu sebagai teras bahasa tamaddun tinggi.

"Van Linschotten menulis bahawa bahasa Melayu pada masa itu bukan sahaja amat harum namanya tetapi juga dianggap bahasa paling dihormati antara bahasa-bahasa negeri timur.

"Dia menyatakan mereka yang tidak tahu akan bahasa Melayu di Kepulauan Melayu boleh dibandingkan dengan orang yang tidak tahu akan bahasa Perancis di negeri Belanda pada zaman itu," jelasnya.

Menurut Dr Awang, seorang ahli sejarah Belanda Francois Valentijn yang banyak menulis mengenai Kepulauan Melayu menulis pada awal abad ke-18 bahawa Bahasa Melayu difahami di mana-mana sahaja oleh setiap orang di seluruh Kepulauan Melayu seperti bahasa Perancis atau bahasa Latin di Eropah.

"Kesimpulan menarik yang ditulis Valentijn ialah orang yang datang ke alam Melayu mahu tidak mahu perlu mempelajari Bahasa Melayu.

"Sesiapa yang tidak dapat berkomunikasi dalam Bahasa Melayu dianggap sebagai golongan tidak terpelajar.

"Jadi ertinya nilai orang asing, termasuk orang Barat kepada Bahasa Melayu cukup tinggi, sedang ada dalam kalangan orang Melayu sendiri yang memandang rendah," kata Dr Awang.

PUNCAK GEMILANG

Zaman kesultanan Melayu (meliputi antaranya Melaka, Acheh, Sumatera, Pasai) sekitar abad 13 hingga 19 sesudah kedatangan agama Islam menyaksikan bahasa Melayu menjangkau puncak kegemilangan sebagai bahasa tamaddun Melayu.

Seperti kata Dr Awang, peranan Bahasa Melayu meliputi pelbagai ranah atau bidang tamadun, baik dari segi ilmu, pentadbiran, perdagangan, undang-undang dan juga sebagai bahasa hubungan diplomatik.

"Bahasa Melayu pada waktu itu sudah menjadi bahasa yang sangat luas penyebaran dan penggunaannya, bukan sahaja oleh orang Melayu bahkan bangsa-bangsa lain, seperti Arab, India, China, Parsi dan Eropah.

"Kita tahu di alam Melayu terdapat pelbagai kelompok bangsa asing, termasuk Eropah yang datang, baik untuk tujuan penjajahan, tujuan perdagangan dan tujuan penyebaran agama, masing-masing menggunakan Bahasa Melayu.

"Jadi Bahasa Melayu sudah merentas semua bidang tamaddun ketika itu, apa sahaja termasuk undang-undang, sudah ada hukum kanun dari kurun 15 ke atas, seperti Hukum Kanun Melaka yang amat terkenal itu, di samping Undang-undang 99 Perak, Undang-undang Johor, Undang-undang Siak dan sebagainya," kata Dr Awang.

Beliau lalu merujuk kepada seorang ulamak besar dari Gujerat, Nuruddin al-Raniri yang datang ke alam Melayu sekitar abad ke-16 dan dilantik sebagai mufti oleh Sultan Acheh.

"Yang menariknya Nuruddin al-Ranini ini menulis kitab-kitab agama dalam Bahasa Melayu walaupun dia bukan orang Melayu. Ini memang strategi dakwah yang dianjurkan oleh Islam sendiri kerana para Nabi dan Rasul diutuskan Allah dalam bahasa kaumnya masing-masing, seperti disebut dalam ayat 4 Surah Ibrahim."

"Ini menunjukkan kekuatan Bahasa Melayu. Sesiapa sahaja yang datang ke alam Melayu perlu belajar dan menguasai Bahasa Melayu, hendak mentadbir pun dalam Bahasa Melayu, hendak berhubung dalam perdagangan pun dalam Bahasa Melayu dan hendak menjadi ulamak pun dalam Bahasa Melayu," kata Dr Awang yang pernah menyandang Pengarah Jabatan Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka (1999-2004).

MULA TERPINGGIR

Kegemilangan Bahasa Melayu beransur pudar dengan penjajahan kuasa-kuasa Barat ke atas Tanah Melayu dan wilayah lain di alam Melayu.

Soal peminggiran Bahasa Melayu ini semakin ketara ketika penjajahan Inggeris dan nilai Bahasa Melayu diturunkan ke darjat yang rendah.

"Kalau dulu Bahasa Melayu merentas semua bidang tetapi dalam kes pendidikan, misalnya, Bahasa Melayu disamatarafkan dengan bahasa vernakular Cina dan India.

"Maka yang ada sekolah vernakular Melayu, sekolah vernakular Cina dan sekolah vernakular India. Sekolah Inggeris ketika itu dianggap sebagai sekolah elit, iaitu sekolah yang tinggi tarafnya dan hanya anak orang bangsawan yang boleh ke sekolah itu.

"Kurikulum untuk sekolah Melayu pun sangat terbatas dan matlamat pendidikan Inggeris untuk sekolah Melayu tidak lebih daripada menjadikan anak-anak Melayu itu lebih pandai sedikit daripada ibu bapanya sebagai petani dan nelayan. Hal ini disuratkan dalam dokumen penjajah Inggeris."

"Ada juga catatan lain yang mengatakan paling tinggi anak-anak Melayu ini cukup jika dapat menjadi kerani atau peon, itu sahaja. Tidak ada satu rancangan penjajah Inggeris hendak menjadikan sekolah Melayu sebagai batu loncatan untuk peningkatan masyarakat atau mobiliti sosial orang Melayu," kata Dr Awang.

Menurut beliau, tempoh belajar di sekolah Melayu ketika itu juga dipendekkan daripada enam tahun menjadi empat tahun sahaja. Pilihan untuk ke peringkat pendidikan lebih tinggi ialah sekolah Inggeris dan peluang untuk memasuki sekolah ini amat tipis!

"Jadi fasa pertama peminggiran Bahasa Melayu ialah kerana penjajahan. Apabila timbul perjuangan kebangsaan dan kemerdekaan serta desakan pejuang-pejuang kebangsaan, akhirnya kemerdekaan melonjakkan semula Bahasa Melayu, peranan serta kedudukannya," jelasnya.

DASAR BAHASA

Sebelum negara mencapai kemerdekaan, Bahasa Melayu melalui Jawatankuasa Pelajaran Razak 1956 (Tun Abdul Razak, Perdana Menteri kedua) menetapkan Bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama sistem pendidikan negara. Jawatankuasa Penyemak Pelajaran Abdul Rahman Talib 1960 kemudian memperkukuh dasar itu. Itulah dasar negara terawal yang memartabatkan Bahasa Melayu.

Dasar itu sebenarnya menjadi satu daripada asas penggubalan Akta Pendidikan 1961 dan kemudian akta itu dipinda dan diperkukuh pada tahun 1996.

Menurut Dr Awang, Bahasa Melayu juga dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi di bawah Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.

"Bahasa Kebangsaan bermakna bahasa untuk semua rakyat. Ini cukup jelas dalam perlembagaan, iaitu bahasa yang digunakan bagi semua maksud rasmi, maksudnya segala urusan seperti mesyuarat, perhimpunan, surat rasmi, pekeliling, penggunaan bahasa di tempat awam dan juga dalam sistem pendidikan.

"Urusan negara meliputi pentadbiran persekutuan (kementerian, jabatan dan semua agensi kerajaan), kerajaan negeri serta pihak penguasa awam seperti Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan juga badan-badan berkanun," katanya.

Jika sudah jelas kedudukan tinggi Bahasa Melayu dalam perlembagaan, lalu mengapa masih ada yang memperlekehnya?

Bagi Dr Awang, ibu kepada masalah ini ialah apabila perlembagaan tidak dihormati atau mungkin tidak difahami, tidak dihayati dan natijahnya tidak dilaksanakan seperti sewajarnya.

"Ia tinggal sebagai dokumen bertulis sahaja sedangkan salah satu prinsip Rukun Negara ialah Keluhuran Perlembagaan.

"Jadi apa ertinya Keluhuran Perlembagaan apabila pelaksanaan itu tidak menepati peruntukan perlembagaan," katanya sinis.

JAUH BERBEZA

Jika Bahasa Melayu masih menjadi isu debat dan bahas, senario di negara-negara seperti Jerman, Jepun, China, Rusia mahu pun negara jiran terdekat Indonesia dan Thailand ternyata jauh berbeza.

Mengambil contoh Indonesia, Dr Awang berkata meskipun dengan lebih 6,000 kumpulan etnik tetapi azam politik yang kuat membuatkan negara yang merdeka pada 1945 itu berjaya memartabat satu bahasa yang tinggi.

Beliau yang juga pernah menjadi profesor tamu di Jerman memberitahu bahawa bahasa Jerman masih menjadi bahasa utama, baik dalam pentadbiran, pendidikan serta bahasa peragaan di tempat awam.

"Ada bahasa Inggeris tetapi hanya sebagai bahasa sampingan," jelasnya sambil menambah kajian singkat yang sempat dilakukannya di Perancis dan di Belanda juga menunjukkan hasil yang sama.

Begitu juga pengamatan Dr Awang di negara kuasa besar China, tempat beliau bertugas selama tiga tahun setengah.

Meskipun ada penggunaan bahasa Inggeris, tetapi bahasa itu tidak dijulang atau ditonjolkan sebagai bahasa utama, dan digunakan sekadarnya saja menurut keperluan.

"Ini tidak bererti mereka tidak mempelajari bahasa Inggeris. Di China bahasa Inggeris giat dipelajari malah pelajar wajib lulus di peringkat sekolah menengah.

"Tetapi kerajaannya tidak pernah mengubah dasar pendidikan, misalannya mengajarkan sains dan matematik dalam bahasa asing kerana menganggap bahasa Cina tidak mampu.

"Kita dapati teknologi China cukup tinggi. Baru-baru ini mereka mencipta Kereta api terlaju di dunia antara kota Wuhan dan kota Guangzhou. Mereka juga tidak begitu memerlukan orang asing dan tidak bergantung kepada orang asing dalam pembangunan teknologi mereka kerana mereka mempunyai kekuatan sendiri, termasuk bahasa mereka yang merentas segala bidang canggih," kata Dr Awang.

ADA POTENSI

Pengamatan yang dibuat pejuang bahasa ini menunjukkan mana-mana bahasa ternyata mempunya potensi untuk maju dengan syarat ada usaha untuk memajukannya.

Cuma seperti kata Dr Awang, untuk membudayakan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, perlu dipastikan tidak ada gangguan dan dasar yang sering berubah.

"Bahasa Melayu yang kita gunakan itu pun bahasa Melayu yang belum mencapai tahap bahasa Melayu tinggi yang sepatutnya pada sesetengah kalangan, kerana masih banyak dipengaruhi bahasa pasar."

"Kadang-kadang ada aspek Bahasa Melayu tinggi yang sudah mula terbudaya melalui sistem pendidikan dan penyiaran, tetapi dicantas. Contohnya sebutan bahasa baku yang dimansuhkan pada 2000, sedangkan semua bahasa yang maju memiliki satu bentuk sistem sebutan rasmi yang merentas pelbagai dialek dan ragam bahasa. Salah satu tugas DBP sendiri, seperti dalam Akta DBP ialah membakukan ejaan, istilah dan sebutannya.

"Jadi Bahasa Melayu yang digunakan, malangnya dalam sebahagian sektor rasmi seperti dalam mesyuarat dan beberapa program penyiaran (seperti wawancara) adalah Bahasa Melayu pasar, Bahasa Melayu untuk hubungan komunikasi biasa sahaja," katanya.

"Usaha membudayakan Bahasa Melayu tinggi atau Bahasa Melayu yang rasmi masih memerlukan lonjakan yang bersungguh-sungguh oleh semua sektor, baik pentadbiran, penyiaran, media cetak, pendidikan dan yang lain."

Dr Awang melihat bidang pendidikan sebagai teras untuk pemajuan bahasa dan Bahasa Melayu perlu dikembalikan peranannya sebagai bahasa penghantar utama bukan sahaja di sekolah tetapi juga di institusi pengajian tinggi. Sehingga ini, hanya Universiti Kebangsaan Malaysia yang cukup jelas dasar bahasanya, sehingga tesis peringkat doktor falsafah pun kebanyakannya ditulis dalam Bahasa Melayu, sebagai bukti kemampuan Bahasa Melayu menjadi bahasa ilmu tinggi.

Bahkan, katanya, menurut Akta Pendidikan 1996, institusi pengajian tinggi swasta juga masih tetap tertakluk kepada penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama. Ketetapan mengajarkan tiga mata kuliah teras di IPTS, iaitu Bahasa Melayu, kenegaraan Malaysia dan agama atau moral tampaknya menjadi dokumen tersurat sahaja kerana kebanyakan IPTS mengabaikan ketetapan itu, kecuali IPTS milik kerajaan seperti Universiti Multimedia, Universiti Tenaga Nasional dan Universiti Petronas.

Beliau turut menekankan supaya pengajaran mata pelajaran sains dan matematik dalam Bahasa Melayu juga kembali dilaksanakan seperti yang diuar-uarkan sebelum ini tanpa sebarang penangguhan lagi.

KALAU SESAT

Adakah Bahasa Melayu akan hanya layak dikenal sebagai bahasa pasar? Adakah kegemilangan bahasa tamadun Melayu dan negara ini akan tinggal sekadar kenang-kenangan? Setakat gah di atas lembaran dokumen dasar atau gemilang dalam lipatan sejarah? Atau setakat menjadi bahan kajian pelajar, ilmuan dan sarjana?

Bukankah "Bahasa Jiwa Bangsa" dan "Hilang Bahasa Hilanglah Bangsa?

Tidak mustahil Bahasa Melayu akan tinggal setakat bahasa percakapan dan bahasa pasar sekiranya, seperti yang dibimbangi pencinta dan pejuang bahasa, polemik Bahasa Melayu dibiar berterusan?

"Apa hal pun kerajaan terutamanya mestilah balik kepada landasan, kepada dasar. Kita ada Dasar Bahasa Kebangsaan, kita ada Dasar Pendidikan Kebangsaan yang menjurus kepada keutamaan Bahasa Melayu," katanya.

-- BERNAMA

Bahasa Melayu di Persimpangan: Kembali ke Pangkal Jalan


www.Bernama.com
June 27, 2011 12:48 PM

Malay Language At Crossroads: Going Back To Where We Started

By Melati Mohd Ariff

This seven-part series dwells on critical issues relating to the fate of the Malay language.

Part 1 discusses the views of Prof Dr Awang Sariyan on the Malay language as the Malay Archipelago's lingua franca, and its diminishing role as the language of knowledge.

KUALA LUMPUR, June 27 (Bernama) -- The Malay language has played a prominent role throughout history, especially as the Malay Archipelago's lingua franca, and the language of trade and diplomacy.

It was also the language of knowledge, philosophy, law, civics, arts and history.

However, after half a decade of independence, the Malay language has lost its distinction as a language of unity, knowledge and communication. It has, consequently, lost its dominance.

The sad fate of the Malay language is a cause of concern for Malay language advocates and experts, such as Prof Dr Awang Sariyan, the first Malay studies chair at the Beijing Foreign Studies University.

Dr Awang is perturbed with the current state of the country's official language and the mother tongue of the Malays.

He expressed his concerns during an interview with Bernama here, recently.

THE PIDGIN LANGUAGE

Language advocates have painted a grim picture of the future of non-dominant languages, saying between 50 and 90 per cent of over 6,000 languages in the world will become extinct by the end of the decade.

Dr Awang, however, is optimistic that the Malay language is not on this extinction list, considering it is the mother tongue of 300 million people.

"What is more worrying is, even if it does not become extinct, the Malay language will no longer be the language of civilisation, especially the language of knowledge. If the current decay continues, the Malay language may no longer serve as the language for administration, jurisprudence and even philosophy," Dr Awang said.

"The Malay language will then, probably, become the pidgin language for daily communication. If this happens, the Malay language will be considered equivalent to the languages of the Orang Asli, or the languages of the numerous indigenous communities in Sabah and Sarawak," he lamented.

INCREASINGLY CAST ASIDE

"If, previously, the use of the Malay language transcended all fields, now its position is at par with the Chinese and Tamil language taught in vernacular schools, while English reigns supreme," said Dr Awang.

According to him, although the Malay language has been accorded the status of the nation's official language under Article 152 of the Federal Constitution, its dominant position is only on paper and not in practice.

"Being the national language, it is the language for all. This is clearly stated in the constitution. It is the language for all official undertakings - meetings, gatherings, official documents, circulars, public places, and also the education system," he said.

If the dominance of the Malay language is enshrined in the Constitution, why is it losing favour among people?

According to Dr Awang, the primary reason for this change is a lack of respect for, and understanding of the constitution, and poor implementation of its tenets.

FAR DIFFERENT

Indigenous languages are given precedence over foreign languages in countries like Germany, Japan, China, Russia, and neighbouring Indonesia and Thailand.

Citing the example of Indonesia, Dr Awang noted that though the vast nation has over 6,000 ethnic groups, a strong political will has helped the Indonesian language remain dominant after the country gained independence in 1945.

Dr Awang, who was previously a visiting professor in Germany, said German was the dominant language in administration, education and public places in the country.

"English is used, but as a second language," he said, adding that the short studies he conducted in France and Netherlands also confirmed his observations.

Dr Awang observed the same in China, where he has been working for the last three years.

Though English is still used, the foreign language is not given precedence, and used only when necessary.

"However, this does not mean they do not learn English. In China, English is taught extensively, and students have to pass English at the secondary level," he said.

"But their government never made changes favouring English to the education policy, such as teaching science and mathematics in a foreign language, based on the premise that the Chinese language is not adequate," he added.

"We see that China is technologically advanced. Recently, they built the fastest train in the world, which will serve the Wuhan and Guangzhou route. They don't depend on foreigners to develop their technology, as they have their own strengths, including their own language, used widely in many fields," noted Dr Awang.

THERE IS POTENTIAL

This advocate of the Malay language pointed out that any language has the potential develop further, as long as there were efforts to do so.

Dr Awang said, to consolidate the Malay language as the language of knowledge, there should be no disruption and changes in the policy favouring it.

"The Malay language that we are using is yet to achieve the desired standard of command in certain sections of the society, with the pidgin language prevailing in the streets," he said.

"At times, when efforts are made to push for higher standards for the Malay language through the education and broadcast system, it ends abruptly. An example is the 'bahasa baku' pronunciation system that was abolished in 2000."

"Therefore the Malay language used in official events like meetings and broadcast programmes (like interviews) is more of the pidgin Malay that would suffice only for ordinary conversations."

"To push for higher standards of the language, and Malay as the official language, earnest efforts are needed from all sectors, such as administration, broadcasting, print media, education and others," he said.

Dr Awang sees the education sector as critical in developing the Malay language, since it is the primary medium of instruction in schools and higher-education institutions.

So far, only UKM has a clear policy for language. Most thesis for the philosophy honors doctorate at UKM are written in Malay, a testimony to the fact that Malay can function as a language of knowledge.

Private higher-education institutions are required to teach three Malay subjects - Bahasa Melayu, Kenegaraan Malaysia and Pengajian Islam or Moral. However, except for the government-linked institutions among them, such as Universiti Multimedia, Universiti Tenaga Nasional and Universiti Petronas, these institutions often ignore this requirement.

Dr Awang also said institutions should, without delay, revert to Malay as the medium of instruction for science and mathematics.

In conclusion, the Malay language must regain its rightful place, as enshrined in our language policies - the National Language Policy and the National Education Policy.

-- BERNAMA

Perihal Raja dan Rakyat



Perihal Raja dan Rakyat


‘Adapun raja-raja itu umpama api, segala perdana menteri umpama kayu, kerana api itu jikalau tiada kayu tiada akan nyala…ra’ayat itu umpama akar, raja itu umpama pohonnya; jikalau tiada akar nescaya pohon tiada akan dapat berdiri. Demikian raja-raja itu dengan segala ra’ayatnya …jikalau kau bunuh ia (ra’ayatmu) dengan tiada dosanya, bahawa kerajaanmu binasa’.

[Sulalat Al-Salatin atau ‘Sejarah Melayu’ (1612), episod wasiat Sultan ‘Alauddin Syah kepada anaknya yang bakal menggantikannya setelah ayahnya meninggal dunia]

Dalam wasiat ini, pengarang (melalui watak Sultan ‘Alauddin) cuba menjelaskan konsep permuafakatan antara raja dengan para pegawainya melalui analogi ‘kerjasama’ (seolah-olahnya) antara ‘api’ dengan ‘kayu’. ‘Api’ mempunyai kuasa membakar, kuasa memusnahkan, tetapi kuasa alamiah (‘natural’) ini tidak dapat wujud (menyala) dengan sendirinya melainkan ada ‘alat’ lain, misalnya ‘kayu’, untuk melahirkan atau menyalakan api itu. Jadi maksud metaforanya ialah, raja tidak berupaya (yakni, tidak berkuasa) memerintah negeri seorang diri tanpa para pegawai sebagai tenaga sokongannya.

Kemudian, raja diumpamakan sebagai ‘pohon’ manakala rakyat disamakan dengan ‘akar’. Maksudnya ialah, raja tidak akan ada tanpa rakyat, sebagaimana pokok tidak akan tumbuh atau berdiri tanpa akar. Jadi, melalui metafora ini, pengarang menyampaikan konsep raja sebagai payung atau sebagai tempat naugan rakyat, dan konsep bahawa kedudukan rakyat bukanlah semata-mata sebagai hamba raja tetapi sebagai asas (= akar) atau tonnggak kedaulatan raja.

[Dipetik daripada kertas kerja Dato' Dr. Hassan Ahmad yang dibentangkan dalam Persidangan Teori dan Pemikiran Melayu Serantau, pada 12 – 14 Disember 2002, di Tanjung Balai Karimun, Indonesia]

Sunday, June 26, 2011

Puisi "Seloka Pedoman"


Seloka Pedoman

Kalau hendak berguru
Usah kepada yang dungu
Kelak dikau ragu dan keliru

Kalau hendak berteman
Usah mencari yang tidak siuman
Kelak dikau hidup tidak aman

Kalau hendak menabur budi
Usah kepada yang tidak sudi
Kelak dikau duka sendiri

Kalau hendak memberikan nasihat
Usah kepada yang akalnya tidak sihat
Kelak dikau pula yang tersesat

Kalau hendak meminta pendapat
Usah kepada yang kosong makrifat
Kelak dikau terjerumus kepada fasad

Kalau hendak menjadi pendidik
Usah kepada yang berasa dirinya terlalu cerdik
Kelak dikau tidak habis pelik

Kalau hendak meminta bantuan
Usah kepada yang berharap balasan
Kelak dikau berhutang harapan

Kalau hendak berjual beli
Usah dengan yang tidak berbudi
Kelak dikau di pihak yang rugi

Kalau hendak melantik ketua
Usah memilih yang tidak takwa
Kelak dikau mendapat bencana

Kalau hendak menumpahkan taat
Usah kepada yang tidak berberkat
Kelak dikau mendapat kualat

~Kembara Bahasa~
Subuh, 27 Jun 2011

Saturday, June 25, 2011

ISU EPISTEMOLOGI DALAM LINGUISTIK (BAHAGIAN 2)


Isu Epistemologi dalam Linguistik (Bahagian 2):
Asas Epistemologi Barat


oleh Awang Sariyan
[Petikan daripada salah sebuah kertas kerja penulis]

ASAS EPISTEMOLOGI BARAT

Kenyataan yang tidak dapat ditolak dalam perkembangan kegiatan ilmiah, bahkan dalam hampir seluruh kehidupan manusia ialah besarnya pengaruh kebudayaan Barat, yang mula tumbuh dalam zaman Yunani beberapa abad sebelum Masihi kepada kebudayaan manusia sedunia, termasuk dalam masyarakat Islam.

Dapat dikatakan bahawa seluruh bidang ilmu, baik ilmu sains tabii mahupun ilmu sains kemanusiaan disandarkan pada tradisi ilmu Barat, termasuk dalam hal epistemologi. Tradisi ilmu yang kukuh dalam zaman gemilang Islam, terutama dalam zaman Abbasiyah, sejak diambil alih oleh kebudayaan Barat hampir-hampir tidak kelihatan kesannya dalam perkembangan ilmu di dunia. Hanya sesudah timbul gerakan pengislaman ilmu yng secara nyata bermula pada tahun 1970-an, barulah tampak sedikit banyaknya perkembangan ilmu yang berasaskan epistemologi dan kerangka falsafah Islam.

Oleh sebab hampir keseluruhan perkembangan ilmu sedunia hingga kini dapat dikatakan berteraskan kerangka falsafah kebudayaan Barat, termasuk aspek epistemologinya, maka ada baiknya lebih dahulu diberikan gambaran secara ringkas inti sari falsafah Barat yang secara langsung mempengaruhi epistemologi dan perkembangan ilmu sedunia.

Falsafah Barat yang diasaskan oleh orang Yunani sejak 600 tahun sebelum Masihi di Miletus di pantai timur laut Aegean bertitik tolak daripada semangat untuk memahami alam di sekeliling manusia dan alam dalam diri manusia sendiri (White, 1991: iv). Pada para pemikir Yunani purba, falsafah merupakan bahagian penting kehidupan manusia kerana falsafah berkaitan dengan tiga soal asas, iaitu apakah hakikat alam di sekeliling manusia, bagaimanakah fikiran manusia bekerja, dan apakah jalan mencapai kebahagiaan.

Matlamat praktis falsafah orang Yunani ialah memahami isu-isu asas yang berkaitan dengan kehidupan manusia, dengan akal menjadi alat utama untuk melaksanakan penyelidikan falsafah itu. Demikianlah maka sejarah perkembangan falsafah Barat dari zaman kuno yang diwakili oleh orang Yunani ke zaman pertengahan, dan kemudian ke zaman moden ditandai oleh kegiatan akal untuk mencari dan memahami hakikat diri dan alam di sekitarnya.

Usaha manusia Barat mencari hakikat itu dapat dilihat dalam bidang yang dikenal sebagai metafizik, epistemologi, etika, logika, dan falsafah politik (White, 1991: 13 14). Metafizik yang disebut oleh Aristotle sebagai "falsafah pertama" menggarap isu-isu asas seperti hakikat, kewujudan, kemanusiaan, kebebasan lawan ketentuan, dan sebagainya. Bidang ini dikenal juga sebagai teori hakikat kewujudan. Hal ini sesuai dengan etimologi kata metafizik daripada bahasa Latin (meta bererti belakang; oleh itu metafizik berkaitan dengan apa-apa yang ada atau dipercayai ada di belakang sesuatu) (Sidi Gazalba, 1974: 70).

Epistemologi (daripada kata episteme yang bererti ilmu dan logos yang bererti kajian atau sains) ialah bidang falsafah yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan dan konsep-konsep yang berkaitan dengannya. Bidang ini dikenal juga sebagai teori ilmu. Sementara itu, etika yang dikenal sebagai falsafah moral ialah bidang yang berkaitan dengan isu benar, salah, dan aspek aspek lain yang berkaitan dengan penilaian tingkah laku manusia.

Selanjutnya, logika ialah bidang falsafah yang mengkaji alasan dan struktur hujah, dan menjadi asas setiap penyelidikan falsafah. Akhir sekali, falsafah politik merangkum isu-isu yang timbul dalam kehidupan manusia sebagai anggota masyarakat, termasuk isu kekuasaan politik, utopia, keadilan, dan masalah pengharmonian antara kebebasan dengan tanggungjawab.

Inti sari falsafah Barat yang berkisar di sekitar lima bidang itu tergambar dalam sejarah falsafah Barat dari zaman awal hingga zaman moden. Albert William Levi (1991) membahagi sejarah falsafah Barat kepada empat zaman, iaitu:

a. falsafah zaman silam atau kuno (zaman aristokrat);
b. falsafah zaman pertengahan (zaman paderi);
c. falsafah zaman moden (zaman gentleman);
d. falsafah kontemporari (zaman profesional).

Pembahagian Levi itu membayangkan evolusi falsafah Barat yang bermula dengan peneguhan sistem aristokratik dalam zaman Yunani lalu berkembang kepada penguasaan gereja Roman dalam zaman pertengahan (abad 5 15 M.), dan selanjutnya kepada kemajuan sains dalam zaman moden yang bermula pada abad ke 17.

Menurut analisis Levi (1991: 449), keempat-empat zaman itu menayangkan sejarah dan situasi politik, agama, sains, dan semantik yang dilalui oleh masyarakat Barat dari zaman kuno hingga zaman moden. Falsafah zaman kuno yang dicetuskan oleh Plato, yang dianggap oleh Whitehead sebagai pencetus dan pemuka citra falsafah Barat melalui ungkapan "keseluruhan tradisi falsafah Barat ialah siri nota kaki kepada Plato" (Levi, 1991: 3), menimbulkan soalan "Bagaimanakah aristokrasi dapat dipulihkan?" Saint Thomas Aquinas yang mewakili zaman falsafah gereja pula menimbulkan soalan "Bagaimanakah gereja Roman dapat mencapai kejayaan?" dalam rangka menyediakan institusi serta ideologi yang memungkinkan tercapainya kemapanan sosial secara teokratik.

Selanjutnya, falsafah zaman moden yang diwakili oleh Rene Descartes mengajukan soalan "Bagaimanakah sains dapat berkembang maju dan mencapai kepastian?" sebagai upaya membebaskan falsafah dan pemikiran daripada belenggu paderi ke tangan cendekiawan dengan premis kerjanya berdasarkan kuasa akal dan diri, bukan Tuhan dan ciptaan-Nya.

Betrand Russell (1993) pula membahagi sejarah falsafah Barat kepada tiga zaman, iaitu:

a. falsafah purba yang meliputi zaman pra Socrates (mazhab Miletus, Pythagoras, Heraditus, Parmenides, Empedocles, Anaxygoras, ahli atom, dan Protagoras), zaman Socrates, Plato, dan Aristotle, dan zaman pasca Aristotle (aliran Cynic dan Sceptic, fahaman Epicurus, fahaman Stoik, dan Plotinus);

b. falsafah Katolik yang meliputi zaman paderi (agama Kristian sepanjang empat abad yang pertama, doktor-doktor gereja, iaitu Saint Arubrose, Saint Jerome, Saint Augustine, dan Pope Gregory) dan zaman ahli mazhab (zaman gelap sistem pemerintahan Paus, John The Scot, pembaruan gereja pada abad ke 11, Saint Thomas Aquinas, mazhab Franciscan, dan zaman gerhana Paus).

c. falsafah moden dari zaman pembaharuan hingga zaman Hume (zaman pembaharuan Itali, Machiavelli, Erasmus dan More, islah Katolik, kebangkitan sains, Francis Bacon, Leviathan Hobbes, Descartes, Spinoza, Leibniz, Liberalisme berfalsafah, teori ilmu Locke, falsafah politik Locke, Berkeley, dan Hume) dan dari zaman Rosseau hingga kini (gerakan Romantik, Rosseau, Kant, aliran pemikiran abad ke 19, Hegel, Byron, Schopenhauer, Nietzshe, golongan utilitarian, Karl Marx, Bergson, William James, John Reney, dan falsafah analisis logika).

Zaman falsafah purba yang mengalami ketidaktentuan tentang hal-hal yang berkaitan dengan teologi dan kosmologi bermula dengan ahli-ahli falsafah mazhab Miletus seperti Thales, Anaximender, dan Anaximenes yang spekulasinya bersifat saintifik kepada mazhab falsafah di Itali Selatan yang lebih bersifat keagamaan, dengan Pythagoras sebagai pemukanya; kemudian kepada falsafah keagamaan dan politik (ketaatan kepada negara) yang diwakili terutamanya oleh Socrates, Plato, Aristotle di satu pihak dan golongan Stoik (yang lebih mementingkan hubungan ruh dengan Tuhan lebih daripada hubungan rakyat dengan negara; dan diakhiri oleh Plotinus yang memulakan metafizik Tritunggal Suci (Holy Trinity).

Falsafah Katolik yang menandai tahap kedua evolusi falsafah Barat memperlihatkan konflik antara tugas kepada Tuhan dengan tugas kepada negara dalam bentuk pertentangan antara gereja dengan raja. Pada zaman ini kehidupan intelek diisi oleh kaum paderi. Tempoh keagungan pertama falsafah Katolik dikuasai oleh Saint Augustin sementara tempoh kedua diakhiri oleh Saint Thomas Aquinas. Dari abad ke-4 sehingga abad ke-14, kaum paderi memonopoli falsafah secara mutlak dan dengan itu falsafah ditulis berdasarkan sudut pandangan gereja (Russell, 1993: 362).

Tahap ketiga evolusi falsafah Barat, iaitu falsafah moden ditandai oleh kebangkitan sains yang secara nyata dipelopori oleh Rene Descartes yang di samping menjadi ahli falsafah merupakan ahli matematik dan ahli sains juga. Dalam falsafah, perhatian Descartes tertumpu kepada diri individu dan peranan akal, yang diungkapkannya sebagai "Corgito, ergo sum" ("saya berfikir kerana itulah diri saya"). Dalam hal pengasasan epistemologi Barat moden, Descartes mengemukakan kaedah kesangsian (kesangsian Cartesian) yang ternyata menjadi asas falsafah ilmu dan perkembangan ilmu orang Barat sehingga kini yang menjelma dalam bentuk fahaman subjektivisme, relativisme, dan bahawa tidak ada kebenaran yang mutlak dan muktamad.

Perbincangan tentang inti sari falsafah Barat yang jauh lebih bererti daripada perbincangan tentang perkembangan evolusi falsafah Barat ialah yang berkaitan dengan hasil kegiatan berfalsafah orang Barat dalam pengutaraan asas pemikiran tertentu yang berpengaruh sebagai kerangka falsafah dan pemikiran umat sedunia, tidak terkecuali umat di dunia Islam. Pemahaman akan kerangka falsafah dan pemikiran Barat yang berpengaruh ini penting dalam konteks membebaskan falsafah dan pemikiran umat Islam daripada kerangka falsafah Barat yang tidak cocok dengan pandangan sarwa atau weltaanschauung Islam.

Dalam rangka melaksanakan gagasan pengislaman ilmu, kesedaran dan pemahaman akan kerangka falsafah Barat yang dominan dalam perkembangan ilmu dan sistem pendidikan umat Islam perlu dijadikan titik tolak strategi. Demikianlah, falsafah bahasa yang menjadi tumpuan pembicaraan ini sebagai bahagian falsafah yang penting memerlukan orientasi semula dengan lebih dahulu mengenal pasti falsafah bahasa yang berasaskan kerangka falsafah Barat.

Hasil langsung kegiatan berfalsafah orang Barat dalam konteks pembinaan kerangka falsafah dan pemikiran yang mendasari segala kegiatan intelektual dan ilmiah sehingga kini ialah munculnya fahaman rasionalisme, empirisisme, dan positivisme.

Rasionalisme dan empirisisme menjadi dua paksi asas ilmu yang berada pada dua ekstrem dalam tradisi ilmiah Barat, sehingga tidak ada ilmu yang dibincangkan dengan tidak berasas atau bersandar pada dikotomi salah satu fahaman itu. Sementara itu, positivisme merupakan suatu bentuk empirisisme tulen (pure empiricism) yang bermula dengan pengalaman sebagai asas ilmu tetapi sesudah memperoleh teori dan kaedah tertentu persoalan metafizik tidak dianggap penting lagi (Alparslan, 1994: 8).

Rasionalisme ialah fahaman bahawa sekurang kurangnya sebahagian ilmu manusia bersumber daripada akal tanpa bantuan deria, dan oleh itu manusia dapat mengetahui sesuatu yang tidak dapat dinyatakan oleh deria (Wolff, 1992: 29). Bibit fahaman ini telah bermula pada zaman Plato sehingga beliau disebut sebagai orang yang pertama dalam sejarah yang berusaha memberikan penerangan yang sistematik tentang struktur akal atau mental (Hase, 1992: 91).

Beliaulah yang mempelopori doktrin bahawa "... tidak ada apa-apa yang wajar disebut `pengetahuan' yang dapat diperoleh daripada deria, dan bahawa pengetahuan yang sebenarnya berkaitan dengan konsep" (Russell, 1993: 182). Dalam teori ideanya, Plato membedakan pengetahuan daripada pendapat, dengan menegaskan bahawa pengetahuan tidak mungkin salah, sedang pendapat mungkin saja salah. Satu lagi aspek penting teori idea Plato ialah bahawa sesuatu yang ketara (apparent) hanya merupakan tanggapan yang berasaskan idea atau bentuk unggul. Dengan kata-kata lain Plato mendasarkan tanggapan tentang sesuatu pada konsep. White (1991: 337 341) merumuskan rasionalisme Plato sebagai yang berikut:

a.Terdapat persamaan dan pertalian antara falsafah dengan matematik dalam mencapai kebenaran;

b. Selain alam fizikal yang dapat ditanggap oleh indera, ada dimensi lain tentang hakikat yang dapat ditanggap hanya oleh akal;

c. Alam tampak penuh dengan objek-objek matematik yang disebut Plato bentuk-bentuk. Bentuk sukar dinyatakan dengan beberapa patah kata kerana sifatnya yang bukan benda, model unggul sesuatu yang wujud, dan abstrak. Bentuk mewakili bukan saja benda konkrit bahkan juga sifat seperti keadilan, kecantikan, dan kebaikan;

d. Ilmu tentang bentuk merupakan sebenar benarnya ilmu dan ilmu ini hanya dapat diperoleh oleh akal. Maklumat yang diperoleh oleh deria rendah martabatnya kerana bersifat sementara dan berubah terus, sedang ilmu daripada akal memenuhi ciri kebenaran (truth), kekekalan (permanence), kemantapan (stability), ketahanan (duration), dan ketentuan (certainty).

Rasionalisme mendapat garapan yang lebih mendalam, sistematis, dan utuh di tangan Rene Descartes (1596 1650 M.) pemuka falsafah moden Barat, khususnya yang berkaitan dengan konsep ilmu, sehingga epistemologi atau teori ilmu terangkat menjadi tumpuan kajian falsafah (White, 1991: 341). Pendekatan Descartes menjadi ikutan sejumlah ahli falsafah ternama dalam pemecahan soal bagaimana akal manusia bekerja sebagai alat yang menghasilkan ilmu. Pendekatan Descartes yang mempengaruhi sebilangan ahli falsafah Barat dikenal sebagai "Kesangsian Radikal" (Radical Doubt).

Kata radikal merujuk kepada kesangsian yang asas dan juga yang ekstrem, kerana bagi Descartes, kebenaran mestilah pasti dan tidak goyah. Tidak boleh ada sama sekali kesangsian, walaupun sedikit, dalam akal; sesuatu idea perlu ditolak jika timbul kesangsian (White, 1991: 342).

Sebagai lawan rasionalisme yang berteraskan akal, empirisisme ialah fahaman yang menegaskan bahawa semua pengetahuan manusia bersumber daripada bukti atau pengalaman deria yang lima, dan bukan hasil operasi akal (Wolff, 1992: 29 dan White, 1991: 348). Kalau bibit rasionalisme telah tersemai sejak Plato, maka bibit empirisisme telah bermula lima abad sebelum Masihi juga, iaitu pada zaman Aristotle apabila timbul ungkapan "Tidak ada yang dapat difahami kalau tidak terlebih dulu kita tangkap dengan pancaindera" (Scruton, 1989: 18).

Gagasan Aristotle kemudian mempengaruhi falsafah pada Zaman Paderi selama dua abad (abad ke-11 dan 12 M) dengan tokohnya yang terkenal ialah Saint Thomas Aquinas. Dalam zaman falsafah moden Barat, fahaman itu digarap dengan lebih mendalam dan sistematis oleh John Locke (1632 1704 M) dan ahli-ahli falsafah yang sealiran dengannya.

Dua rukun empirisisme ialah:

a. Ilmu datang melalui deria;
b. Fakta mesti dapat diperhatikan dan diuji (observable and testable).

Pemerhatian yang tidak memenuhi dua ciri ini dianggap palsu dan bukan ilmu yang tulen.
(White, 1991: 348)

Golongan empiris menolak pegangan golongan rasionalis atas dasar bahawa ilmu yang berasaskan pendekatan rasional tidak memberikan sesuatu yang baru, sebaliknya ilmu empiris menghasilkan sesuatu yang belum diketahui sebelumnya.

Asas yang membedakan kedua-dua pendekatan itu ialah bahawa golongan rasionalis menghasilkan penyataan analitis (analytic statements) sementara golongan empiris menghasilkan penyataan sintesis (synthetic statements) (White, 1991: 348 350).

Yang dimaksudkan penyataan analitis ialah penyataan yang memberikan sifat kepada sesuatu dan bahawa sifat itu sedia implisit dalam takrif objek atau konsep itu, misalnya "satu segi sama mempunyai empat sisi" atau "Orang bujang ialah orang yang belum kahwin". Penyataan sintesis pula memberikan sifat kepada sesuatu, tetapi sifat itu di luar takrif benda atau konsep yang berkenaan, misalnya "Kertas ini putih", dengan sifat putih bukan sifat yang sedia terkandung dalam takrif kertas (kerana kertas dapat berbagai-bagai warnanya).

John Locke, ahli falsafah Inggeris yang terkenal dengan Teori Perjanjian Masyarakat (Social Contract) menolak gagasan bahawa akal dapat menanggap pati semesta yang tidak nyata dan bahawa akal telah dilengkapi idea nurani (innate ideas), kerana menurutnya akal tidak lain daripada sehelai kertas kosong yang kemudian menerima tulisan ilmu dari dunia di luarnya. Setiap sesuatu yang ada dalam akal ialah hasil pengamatan (dengan deria) atau refleksi (pemikiran tentang pengamatan).

Pandangan Locke ini diperkukuh oleh seorang lagi ahli empirisisme David Hume yang percaya bahawa objek-objek di dunia menghasilkan kesan (impressions) dalam akal yang jika berkekalan menjadi idea (White, 1991: 351). Kesan rasionalisme dan empirisisme dalam konteks falsafah bahasa dan pendidikan bahasa akan dihuraikan kemudian.

[bersambung....]

~Kembara Bahasa~
26 Jun 2011

Friday, June 24, 2011

ISU EPISTEMOLOGI DALAM LINGUISTIK (BAHAGIAN 1)


Isu Epistemologi dalam Disiplin Linguistik (Bahagian 1)

oleh Awang Sariyan
[Petikan daripada salah sebuah kertas kerja penulis]

PENDAHULUAN

Dari waktu ke waktu dalam sejarah tamadun manusia, banyak timbul isu dan polemik dalam kalangan ilmuwan tentang hal ehwal yang berkaitan dengan ilmu, baik yang bersifat teoritis mahupun yang bersifat penerapan. Sering berlaku perdebatan tentang teori mana dalam sesuatu bidang ilmu, termasuk dalam bidang linguistik, yang lebih benar atau lebih tepat – adakah teori linguistik tradisional, teori linguistik struktural, teori linguistik generatif atau pun teori linguistik fungsional?

Sering juga timbul polemik tentang asas penentuan kesahihan data analisis, sehingga wujud garis pemisah antara data primer dan data sekunder dan wujud pula istilah data sebenar dan data buatan. Biasa juga kita dengar atau kita baca pembicaraan sesetengah ilmuwan tentang hasil analisis yang objektif dan hasil analisis yang subjektif, yang intuitif atau impresionistik dan yang empiris.

Demikian juga, sering sekali timbul polemik tentang preskriptifisme dan deskriptifisme sebagai asas penentuan dapatan dan rumusan penelitian dalam sesuatu bidang ilmu. Kecenderungan yang berlaku dalam kebanyakan polemik ilmiah itu ialah terbinanya dikotomi antara dua konsep atau fahaman yang seolah-olah atau diperlihatkan bertentangan antara satu dengan yang lain.

Pada hemat penulis, terjadinya hal yang sedemikian itu sebenarnya disebabkan adanya isu yang lebih asas yang membentuk pola pemikiran dan sikap yang ditandai oleh ciri, antara lainnya:

1. lebih cenderung untuk berkonflik daripada untuk mengusahakan pemaduan antara fahaman (seperti antara preskriptisme dengan dekskrptifisme);

2. terpengaruh oleh pengasingan atau pemetakan unsur-unsur tertentu yang pada hakikatnya merupakan suatu kesatuan (seperti sumber ilmu yang disandarkan mutlak pada pancaindera dan sumber lain seperti intuisi dianggap tidak ilmiah;

3. lebih cenderung menghormati dan meraikan sesuatu yang lebih baharu (teori, konsep dsb.) daripada yang sedia ada, sehingga pada peringkat yang ekstrem bidang ilmu diperlakukan seolah-olah sebagai fesyen;

4. kehilangan matlamat yang jelas dan hakiki dalam keasyikan dan zauq melaksanakan kerja ilmiah;

5. kepercayaan bahawa ilmu berubah terus-menerus dan tiada kebenaran yang pasti.

Isu asas yang menimbulkan fenomena tersebut, pada hemat penulis, berkaitan rapat dengan epistemologi, iaitu cabang dalam falsafah yang berkaitan dengan teori ilmu. Antara yang tercakup dalam epistemologi termasuklah asal atau sumber ilmu, sifat ilmu, kaedah dan had-had ilmu (J. Dancy dan Ernest Sosa, 1993 dan Muhammad Zainy Uthman, 1998). Memahami epistemologi, yang bersumber daripada tamadun Barat (yang berakar pada zaman Yunani pada abad ke-5 S.M lagi) dan juga yang bersumber daripada agama Islam cukup penting supaya para ilmuwan dapat membuat pertimbangan yang jelas asasnya dalam semua kegiatan ilmiahnya.

Isu yang lebih penting daripada sekadar memahami epistemologi ialah isu mencari arah untuk perkembangan linguistik Melayu yang semestinya perlu memiliki citranya sendiri, terutama yang bersumberkan asas tamadun Melayu, iaitu Islam, meskipun tidak semestinya berlainan sama sekali dengan mana-mana tradisi lingusitik di bahagian lain di dunia ini.

Yang saya maksudkan bukan pembinaan teori linguistik Melayu yang asal sahaja berbeda daripada teori yang sedia ada atau yang datang dari bahagian lain, Barat khususnya, dan bukan pula suatu angan-angan atau impian untuk bersikap parokial dan taksub wilayah. Yang saya maksudnya ialah perlunya pembinaan suatu kerangka falsafah dan pandangan sarwa yang cocok dengan keperibadian kita di alam Melayu. Kerangka falsafah dan pandangan sarwa itu amat rapat kaitannya dengan epistemologi yang kita jadikan asas dalam mengembangkan ilmu, termasuk dalam disiplin linguistik.

[bersambung....]

~Kembara Bahasa~
24 Jun 2011

Saturday, June 18, 2011

Puisi: Doa Kudus untukmu



Doa Kudus untukmu

[Kenangan kepada ayahanda yang pulang ke rahmatullah pada 9 Jun 2010]

Dalam istirahahmu di alam barzakh
Doaku semoga Dia melimpahimu rahmah
Setahun berlalu ingatan daku tiada berubah
Kerana dikaulah pahlawan daku yang gagah

Dalam pahit getir mencari penghidupan
Ikhtiarmu tak bertepi akalmu tak berputusan
Membesarkan kami meskipun sering tiada kecukupan
Syukur redha kami menikmati segala mujur dan ujian

Dengan ajaranmu kami mengenal alif ba ta
Mengenal tajwid dan melancarkan kalamullah
Dikau korbankan waktu malam pengganti lelah
Demi memberi kami perdu tarbiyah

Ilmu yang dikau wariskan
Sedekah jariah yang dikau infakkan
Semoga menjadi saksi berkekalan
Doa kami zuriatmu semoga ditunaikan

Ya Rabb
Ya Tuhan
Ampunilah kami dan ibu bapa kami
Kasihanilah ibu bapa kami
sebagaimana mereka mengasihani kami

Wahai ayahanda tersayang
Dalam ingatan masih terbayang
Pesanmu tak putus tentang sembahyang
Agar hidayah tak akan hilang

Wahai ayahanda tersayang
Tiadalah dapat daku membilang
Jasamu laksana bintang gemilang
Gemerlapan di langit terang-benderang

Tiadalah bekal yang mampu kami hulurkan
Melainkan munajat kepada Yang Menjanjikan
Akan segala kebajikan yang dikau kerjakan
Semoga oleh-Nya senantiasa diperhitungkan


~Kembara Bahasa~
19 Jun 2011

Puisi: Kisah Emak Si Randang


Puisi Kisah Emak Si Randang

Baik budi emak Si Randang
Dagang lalu ditanakkan
Tidak berkayu rumah diruntuhkan
Anak pulang kelaparan
Anak di pangku diletakkan
Kera di hutan disusui.

[Harun Mat Piah (Peny.), Pusi Melayu Tradisional, Nasihat dan Pengajaran, DBP, 2004]

Thursday, June 16, 2011

Strategi Pengajaran Bahasa kepada Pelajar Asing (Bahagian 5)


Pengajaran Bahasa Melayu kepada Pelajar Asing (Bahagian 5): Isu Varian Malaysia dan Varian Indonesia

oleh Awang Sariyan
[Petikan daripada salah sebuah kertas kerja penulis]


Umumnya ada dua variasi bahasa Melayu yang dominan, iaitu variasi Malaysia dan variasi Indonesia. Bahasa Melayu Brunei masih amat rapat dengan variasi Malaysia jika dibandingkan dengan variasi Indonesia dan oleh itu dapat dikelompokkan dalam variasi Malaysia. Fakta menunjukkan bahawa bahasa Melayu yang dipelajari dan diajarkan kepada penutur asing di sebahagian besar pusat pengajian di negara asing ialah bahasa Melayu variasi Indonesia yang dikenal sebagai bahasa Indonesia.

Nama jurusannya pun lebih banyak yang dikenal sebagai Pengajian Indonesia (Indonesian Studies) daripada Pengajian Melayu (Malay Studies), kecuali di Universiti Leiden (Belanda), di Universiti Victoria, Wellington (New Zealand), di Universiti Pengajian Asing Beijing (Republik Rakyat China) dan di Universiti Pengajian Asing Hankuk (Korea Selatan), kerana adanya Kursi Pengajian Melayu yang ditubuhkan oleh kerajaan Malaysia.

Bahasa Melayu variasi Malaysia diperkenalkan di beberapa pusat pengajian di Asia Timur, seperti di Universiti Pengajian Asing Beijing (sejak tahun 1961), di Universiti Komunikasi China (sejak tahun 2002), di Universiti Bangsa-bangsa Guangxi (sejak tahun 2008), di Universiti Bangsa-bangsa Yunnan di kota Kunming (sejak September 2010) serta di Universiti Pengajian Asing Hankuk dan Universiti Pengajian Asing Busan, kedua-duanya di Korea Selatan serta di beberapa buah universiti di Jepun.

Di Eropah, masih agak baru dimulakan usaha memperkenalkan bahasa Melayu variasi Malaysia apabila Universiti Frankfurt, Jerman mengendalikan kursus bahasa Melayu yang disertai oleh pelajar dari seluruh Eropah dan juga Rusia bermula pada tahun 2004. Dalam kursus kali pertama itu, Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan dilantik oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia untuk memenuhi permintaan Universiti Franfkurt itu, khususnya oleh Pengarah Pusat Pengajian Asia Tenggaranya pada waktu itu, Prof. Dr. Bernd Nothofer.

Dua tahun berturut-turut, iaitu pada tahun 2006 dan 2007, universiti tersebut melanjutkan usaha mendedahkan bahasa Melayu varian Malaysia kepada pelajar peringkat Magister (sarjana) dengan mengundang Prof. Dr. Awang Sariyan memberikan kuliah intensif, dengan penekanan kepada sosiolinguistik bahasa Melayu, tatabahasa dan sistem sebutan.

Di Universiti La Rochelle, Perancis, dengan usaha Dr. Laurent Metzger yang selama lebih dua dekad bertugas di Universiti Malaya dan beberapa tahun di Universiti Kebangsaan Singapura, usaha mendedahkan bahasa Melayu variasi Malaysia telah dimulakan pada tahun 2002.

Di Oceania, Universiti Melbourne, Australia, melalui usaha Prof. Alexandaar Adelaar, bahasa Melayu variasi Malaysia turut diperkenalkan walaupun variasi Indonesia masih cukup dominan. Universiti Deakin, di Melbourne, Australia pula baru pada tahun 2005 memulakan pendedahan pelajarnya kepada bahasa Melayu variasi Malaysia apabila pelajarnya dihantar ke Malaysia untuk mengikuti kursus bahasa Melayu di Universiti Putra Malaysia dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka. Tinjauan yang pernah saya lakukan di Victoria State, Australia pada sekitar tahun 2000, terdapat kira-kira 120 ribu orang pelajar yang mengikuti kursus bahasa Melayu, dari peringkat sekolah rendah hingga universiti, tetapi dapat dikatakan bahawa hampir kesemuanya berdasarkan varian Indonesia.

Pada hemat pemakalah, isu ini tidaklah terlalu besar dan tidak harus dijadikan halangan untuk mengembangkan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa. Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) telah memutuskan bahawa bahasa Melayu yang didukung oleh majlis tersebut ialah bahasa Melayu supranasional, yang tidak ditandai oleh ciri khusus varian mana-mana negara secara ketat. Meskipun tampak mudah, tetapi rumusan itu memang kurang realistik, kerana variasi Indonesia dan variasi Malaysia akan tetap tampak wujudnya, terutama dalam aspek kosa kata, selain nyata juga dalam beberapa aspek tatabahasa, sebutan dan retorik.

Di Universiti Pengajian Asing Beijing, sejak tertubuhnya Kursi Pengajian Melayu kerajaan Malaysia pada tahun 2008, subjek Perbandingan Bahasa Melayu Varian Malaysia dan Varian Indonesia menjadi salah satu mata kuliah yang dititikberatkan untuk membekalkan maklumat dan kemahiran kepada pelajar yang sebilangannya akan berkhidmat di dunia Melayu (terutamanya di Malaysia, di Indonesia dan di Brunei Darussalam).

Maka itu, jalan sebaik-baiknya ialah memperkenalkan kedua-dua variasi itu supaya pelajar asing memperoleh manfaat untuk keperluan dan destinasi yang berbeda, iaitu Malaysia dan Indonesia. Terbitnya Kamus Bahasa Melayu Nusantara (DBP Brunei Darussalam, 2003) yang memasukkan lema variasi di Malaysia, di Indonesia dan di Brunei Darussalam banyak membantu pemahaman pelajar asing tentang perbedaan yang wujud, terutama tentang makna kata yang berbeda.

Daripada sudut ejaan, dapat dikatakan bahawa tidak wujud perbedaan yang terlalu besar dan pelajar asing tidak akan menghadapi masalah besar berhadapan dengan teks dalam bahasa Melayu variasi Malaysia dan variasi Indonesia. Demikian juga istilah dalam pelbagai bidang ilmu sebahagiannya telah diselaraskan. Kedua-dua aspek itu, iaitu sistem ejaan dan istilah bagi bahasa Melayu mencapai keselarasan yang relatif tinggi berkat kerjasama kebahasaan serantau melalui Majlis Bahasa Brunei Darussalam - Indonesia - Malaysia (Mabbim) yang telah bermula pada tahun 1972.

Namun aspek kosa kata umum dan juga gaya bahasa tampaknya perlu ditangani dengan lebih terancang dan giat. Perkembangan kosa kata yang relatif tinggi kadar perbedaannya dalam dua varian itu tidak perlu dikekang kerana ada keperluan tertentu dan khusus bagi kedua-dua kelompok penggunanya. Yang perlu diupayakan ialah penyebarluasan maklumat tentang kosa kata yang berbeda itu dalam bentuk kamus, glosari dan bahan terbitan serta bahan siaran (media cetak dan media elektronik), agar pelajar asing dapat memahami dan menghayati konteks penggunaannya dalam interaksi dengan kedua-dua kelompok pengguna bahasa Melayu itu.

Kewujudan bahasa Melayu varian Malaysia dan varian Indonesia tidak seharunya dijadikan isu untuk memperkecil daerah penyebaran, pengajian dan pengajaran bahasa Melayu di peringkat antarabangsa. Hakikat kewujudan kedua-dua varian itu perlu diakui dan didedahkan sebaik-baiknya kepada pelajar asing, dengan menunjukkan segi-segi persamaan dan perbedaannya.

~Kembara Bahasa~
16 Jun 2011