Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Saturday, June 29, 2013

Puisi "Mengintai Erti Kemutlakan-Mu"

"Mengintai Erti"

Dari celah-celah daun kehidupan
kuintai makna kebahagiaan
kurenung hakikat ciptaan
kutaakul erti di balik takdir kejadian

Segalanya mutlak dalam genggaman-Mu
lalu siapatah daku untuk menyoal-Mu?

Syuruk Ahad, 30 Jun 2013

Tazkirah kepada diri: elakkan resmi ikan keli dalam tempayan

Untuk menjadi bangsa yang kuat, elok elakkan resmi ikan keli dalam tempayan yang saling menyengat. Selagi dapat, bekerjasamalah, saling membantu, bahu-membahu, sama-sama menyelesaikan masalah tanpa sengketa, dan yang terpenting berpegang pada tali Allah dalam merungkai segala masalah.

Kembara Bahasa
29 Jun 2013

Puisi "Jalan yang Kita Lalui"

Memang jalan yang kita lalui
berliku-liku
beronak, berduri, juga berpaku
Namun usah keliru
kerana kita dipandu
oleh niat yang satu

Kembara Bahasa
29 Jun 2013

Friday, June 28, 2013

MBMMBI di Institut Perguruan

Perihal MBMMBI:

Munsyi Mohamad Musip menulis kepada hamba - Datuk KP DBP, sekadar makluman, kami di Jabatan Pengajian Melayu IPG sedang menggerakkan upaya melatih guru-guru BM bawah Dasar MBMMBI. Dalam pengetahuan dan tindakan saya, ada empat kaedah digunakan:
1. Kursus Pendek Kelolaan Institut (kini kelolaan Jabatan Pelajaran Negeri);
2. Program Kolaboratif DBP-BPG;
3. Kursus Intensif Bahasa Melayu 40 + 5 Jam;
4. Kursus Pemantapan Tatabahasa 10 Jam (diberikan dalam Kursus Intensif BM untuk tajuk yang selain ptajuk Pemantapan Tatabahasa).

Setiap kaedah itu tersedia senarai tajuk kursus yang disampaikan dalam bentuk modul latihan ke arah memantapkan pengetahuan dan kefahaman serta amalan profesional BM dalam kalangan pendidik bahasa. Saya sendiri dan beberapa orang rakan terlibat dalam penyediaan modul tatabahasa. Penganjur keempat-empat kaedah pelaksanaan kursus ini ialah Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pendidikan Malaysia. Selain itu, DBP turut membantu menyediakan jurulatih bagi tajuk-tajuk bawah program kolaboratif BPG-DBP. Jabatan Pelajaran Negeri pula menjadi pengelola di peringkat negeri, manakala IPG menyediakan tenaga jurulatih utama.

Dari sudut ini, jurulatih sebenarnya berupaya memupuk kesedaran guru-guru supaya mewibawakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta mata pelajaran Bahasa Melayu di sekolah sebagai wahana ilmu untuk membina jati diri dan amalan santun berbahasa. Elemen yang menjadi punca kuasa kepada keutuhan bahasa Melayu, pada persepsi saya ialah:

1. Akta 152 Perlembagaan Persekutuan dan DBP sebagai agensi perancanan bahasa;
2. Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Rukun Negara;
3. KSSR (mulai 2011) dan KSSM (mulai 2017);
4. Pelan Pembangunan Pendidikan 2013-2025;
5. Kemahiran Alaf 21 (Pengetahuan Kandungan Berasaskan Teknologi dan Pedagogi/TPCK).

Slaid persembahan saya mengutarakan kesemua yang saya tanggapi ini.

Kembara Bahasa
Sabtu 29 Jun 2013, 3.52 pagi

Batu Bersurat Bertulisan Jawi di Songkla, Thailand

Sahabat hamba di Songkla, Bapak Islyas Mahyudin, pensyarah di Universiti Thaksin melaporkan bahawa:

Di Kauseng, Songkhla, terdapat prasasti bertulisan Jawi bertarikh 2388 B / 1845 M, kini terletak di kawasan Sonkhla Rajanagarindra Psychiatric Hospitlal, Songkhla, selatan Thailand.

Kembara Bahasa
29 Jun 2013, Sabtu, 3.49 pagi

Beberapa Ikhtiar Pemantapan Bahasa Melayu oleh DBP


Kemas Kini Status Laman Facebook
Oleh Awang Sariyan

Di sana sini timbul keluh-kesah tentang nasib bahasa Melayu. Melahirkan rasa bimbang dan perihatin tindakan yang terpuji. Di samping itu, ikhtiar strategis perlu terus dirangka dan digerakkan. Antara yang sedang digerakkan oleh DBP termasuklah Program Audit Bahasa dan Program Penarafan Bintang di Pihak Berkuasa Tempatan.

DBP sudah memulakan Program Audit Bahasa di jabatan dan agensi kerajaan dalam fasa pertama dan akan ke syarikat berkaitan kerajaan dan swasta dalam fasa selanjutnya. Audit Bahasa menilai peratus penggunaan bahasa kebangsaan dalam urusan rasmi dan juga mutu bahasa yang digunakan. Hasil Audit Bahasa diharap dapat melonjakkan kesedaran, semangat dan iltizam penjawat awam dan pengendali sektor lain dalam pengutamaan bahasa kebangsaan dalam urusan rasmi, selaras dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan juga penggunaan bahasa yang baik.

Untuk penggunaan bahasa di tempat awam, DBP bersama-sama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan memulakan Program Penarafan Bintang dalam aspek penggunaan bahasa mulai bulan Jun 2013. Program ini diharap dapat membentuk citra kota dan bandar di neara ini berdasarkan ciri kebangsaan, yang salah satunya berasaskan penggunaan bahasa kebangsaan.

Untuk media massa, sesudah pelancaran buku "Garis Panduan Penggunaan Bahasa Kebangsaan dalam Media Massa" awal tahun lalu, kerja pemantauan diakukan oleh DBP. Penguatkuasaan bahasa Melayu daripada segi keutamaan dan mutunya akan digerakkan bersama oleh jawatankuasa pemantauan yang melibatkan Institut Penyelidikan dan Penyiaran Tun Abdul Razak, DBP dan pengendali-pengendali utama stesen tv dan radio.

Cabaran pasti terus wujud, tetapi usah sekali-kali berputus asa dan berhenti berikhtiar. Tidak ada perjuangan tanpa pengorbanan.

Kembara Bahasa
28 Jun 2013

Pemerkasaan Sekolah Kebangsaan Turut Meningkatkan Bahasa Inggeris

Asakan dan desakan sesetengah kalangan agar diwujudkan semula sekolah aliran Inggeris agak kuat. Menteri Pendidikan Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin menegaskan bahawa Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia memberikan penegasan peningkatan penguasaan bahas Inggeris melalui pelbagai inisiatif yang melibatkan transformasi kurikulum, latihan guru, bahan ajar dll.

Penubuhan Pusat Pendidikan Bahasa Inggeris (ELTC) adalah antara langkah terawal. Rancangan beliau (kerajaan) ialah memperkasakan sekolah kebangsaan dengan memperkukuh penguasaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris serta memperkenalkan bahasa Mandarin dan Tamil di sekolah kebangsaan agar akhirnya majoriti anak-anak Malaysia berada di bawah bumbung sekolah kebangsaan untuk perpaduan yang lebih utuh.

Kembara Bahasa
28 Jun 2013

Thursday, June 27, 2013

Inti Pati Ucapan Dasar Dialog Borneo-Kalimantan




Hamba menyampaikan ucapan dasar Dialog Borneo-Kalimantan XI di Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan, 27 Jun 2013. Antara yang hamba ungkapkan:

1. Peranan bahasa dan sastera sebagai tunjang tamadun yang perlu dipadukan secara seimbang dengan aspek-aspek lain tamadun seperti ekonomi dan prasarana.

2. Tamadun Melayu besar atau Melayu mahawangsa telah membentuk tamadun penting di rantau ini sehingga dihormati oleh bangsa-bangsa dari luar.

3. Bahasa, persuratan dan budaya menjadi tonggak tamadun Melayu besar itu dan kekuatan itu wajar dipertahankan dalam zaman globalisasi kini. Karyawan ilmu dan susastera berperanan besar dalam hal ini.

4. Isu-isu semasa yang merapuhkan asas kekuatan negara, terutama kontrak sosial, yang antara lain berteraskan bahasa kebangsaan, Islam sebagai agama Persekutuan, Raja-Raja dan hak istimewa Melayu dan Bumiputera perlu diberi fokus khas oleh penulis agar seluruh warganegara faham dan mempertahankannya.

5. Kebudayaan Kebangsaan yang berteraskan kebudayaan asal rantau ini, unsu kebudayaan luar yang wajar dan sesuai serta Islam kian pudar dan sirna, dihimpit oleh hegemoni kebudayaan yang tidak menentu. Karyawan bertanggungjawab mengetengahkan isu itu melalui karya untuk membantu seluruh lapisan masyarakat menghayati dan melaksanakan Dasar Kebudayaan Kebangsaan.

6. Sastera dalam konteks pembangunan tidak wajar dilihat daripada sudut estetiknya semata-mata atau sebagai sumber hiburan belaka. Kekuatan karya sastera perlu dipadukan antara sudut kandungan dan bentuk atau persembahannya. Sastera mesti dijadikan penggerak pembinaan dan pembangunan fikiran, sikap dan tindakan positif, rasional dan dinamis bagi bangsa.

7. Sastera meskipun memang berasaskan estetik tidak dapat terlepas daripada asas ilmu. Oleh itu penulis wajib menjadikan ilmu sebagasi asas penghasilan karya agar dapat membantu terbentuknya bangsa yang berilmu, rasional, progresif dan berdaya saing. Penulis mesti menerapkan adab dalam olahan karyanya.

8. Dialog Borneo-Kalimantan diharap sapat menggerakkan agenda perpaduan, persefahaman dan peneguhan tamadun Melayu mahawangsa serantau dengan mengetepikan hal-hal kecil dan lokal yang lebih bersendikan geopolitik atau sempadan negara.

Ucapan Dasar Dialog Borneo Kalimantan Ke 11 yang disampaikan oleh Datuk Prof.Dr. Hj.Awang Sariyan, Ketua Pengarah DBP Malaysia.

Wednesday, June 26, 2013

Dialog Borneo-Kalimantan Ke-11 di Labuan

Dialog Borneo-Kalimantan Ke-11 di Wilayah Persekutuan Labuan pada 27-28 Jun 2013 memadukan kekuatan karyawan bahasa dan persuratan tiga buah negara (Malaysia, Indoesia dan Brunei Darussalam) untuk membincangkan tema "Merekayasa Citra Sastera Borneo". Penganjurnya GAPENA, DBP, Perbadanan Labuan, Universiti Maaysa Sabah dan Persatuan Penulis Wiayah Persekutuan Labuan (Perwila).

Semoga kearifan setempat dapat diangkat dalam karya penulis di Borneo dan Kalimantan untuk menambah kekuatan persuratan kebangsaan dan serantau. Kertas ucap utama akan disampaikan oleh Ketua Pengarah DBP Malaysia dan Ketua Satu GAPENA.

Kembara Bahasa
27 Jun 2013

Tuesday, June 25, 2013

Tazkirah kepada diri: Redha akan ujian-Nya



Aduhai, taulan! Usah dikau bimbangi kegagalan dan kesengsaraan yang belum pasti mendatang. Seandainya dikau ditakdirkan mengalaminya kelak, terimalah dengan redha kedua-duanya itu sebagai ujian daripada-Nya.

Kembara Bahasa
25 Jun 2013

Monday, June 24, 2013

Tazkirah kepada diri: Tunduk kepada takdir

Tazkirah kepada diri:

Mengapakah hendak dilawan takdir Allah? Kita sebagai makhluk-Nya perlu pasrah. Usaha dan ikhtiar jika dilakukan sudah, kepada-Nya kita tunduk berserah.

Kembara Bahasa
25 Jun 2013

Saturday, June 22, 2013

Dialog Labu dan Labi (3)



Dialog Labu dan Labi (3):

Labu: Aku perhatikan orang kita banyak yang suka "mengambil tahu" dan suka pula "memberitahu".

Labi: Itu sifat yang baik - perihatin.

Labu: Isunya bukan kerana perihatin, tetapi mengambil tahu untuk jadi modal dia memberitahu orang lain tentang keburukan orang.

Labi: Itu dapat jadi pengajaran.

Labu: Menghebahkan aib orang bukan cara memberikan pengajaran. Yang tak ada kadang-kadang direka. Yang sesudu dijadikan sebelanga. Yang seinci dijadikan sehasta, ditokok tambah untuk menambah ramuan cerita.

Labi: Itu sudah jadi kebiasaan orang kita.

Labu: Kebiasaan yang perlu dihentikan untuk keharmonian. Ambil tahu sesuatu yang baik. Memberitahu pun biarlah tentang sesuatu yang berfaedah. Kalau ada bakat kreatif, tulislah novel, cerpen atau drama. Itu jauh lebih bermakna daripada kreatif secara negatif.

Kembara Bahasa
23 Jun 2013

Friday, June 21, 2013

Dialog Labu dan Labi

Dialog Labu dan Labi:

Labu: Wah, buruk benar fiil orang yang kauumpat itu!
Labi: Aku tahu luar dan dalam fiilnya, memang teruk sangat.
Labu: Engkau pasti semua itu betul, atau sangkaanmu semata-mata?
Labi: Pasti atau sangkaan, puas hati aku.
Labu: Pernah engkau menasihati dia supaya dia menjadi baik jika betul fiilnya buruk?
Labi: Tak kuasa aku.
Labu: Tampaknya engkau kurang sihat, maksudku hatimu kurang sihat. Engkau berasa puas hati kerana dapat menceritakan keburukan orang sedangkan tak ada faedah yang kaudapat. Itu penyakit pertama. Engkau tidak tahu dengan pasti fiilnya benar-benar buruk. Buruk sangka itu penyakit kedua. Kalau betul fiilnya buruk, engkau tidak pernah pula berusaha menasihatinya. Engkau tidak ada perasaan kasih kepada saudara, sedangkan orang yang beriman itu bersaudara. Itu penyakit hatimu yang ketiga.
Labi: Sakit hati aku bercakap dengan engkau.
Labu: Memang aku tahu hatimu sakit, tidak sihat. Itu yang aku katakan tadi, bukan? Kalau engkau sedar hatimu sakit, rawatlah hatimu segera.

Kembara Bahasa
21 Jun 2013

Dialog Labu dan Labi (2)

Dialog Labu dan Labi (2):

Labi: Tengok kawan kita itu; monyok sahaja. Tentu ada yang tak kena. Seperti orang tak betul aku tengok.
Labu: Mengapa engkau suka sangat menjaga tepi kain orang?
Labi: Itulah namanya mengambil berat dan perihatin kepada kawan.
Labu: Mengambil berat dan perihatin bukan dengan membuat sangkaan buruk begitu. Siang-siang engkau mengatakan dia sudah tidak betul. Tak elok begitu. Jika dia ada masalah bantulah.
Labi: Sendiri buat sendirilah tanggung.
Labu: Isy, apa yang telah dibuatnya? Engkau tahu?
Labi: Tentulah ada. Kalau tidak, masakan dia seperti ayam berak kapur.
Labu: Berdosa buruk sangka kepada orang. Kita nampak yang zahir, hakikatnya kita tak tahu.
Labi: Aku ada 'the sixth sense', dapat agak apa yang berlaku pada diri orang lain.
Labu: Dua dosa sekali gus engkau dapat. Pertama buruk sangka. Kedua riyak dan ujub, meniai diri sendiri hebat.

Kembara Bahasa
21 Jun 2013

Friday, June 14, 2013

Puisi "Taklif Bahasa"

Ketika sedekad lalu disediakan makam
untuk mengistirahatkan
bahasa jiwa bangsa
bahasa tonggak tamadun kita
bahasa wahana perpaduan negara
sekalian kita
yang faham akan makna diri
dan asas peribadi
tidak mungkin memaafkan
si algojo pemancung
yang memisahkan
jiwa daripada raga bangsa
konon atas nama kemajuan bangsa
konon atas cita bangsa ternama

Biarkanlah sejarah hitam itu
terpadam oleh azam dan tekad baharu
Biarkanlah parut luka di hati itu
terhapus oleh cita dan rencana padu
Asalkan tidak leka kita oleh gembira sementara
Tidak alpa kita oleh bicara enak pelipur lara

Di tangan kita terletak amanah
Di pundak kita terpikul nasib sejarah
Jangan ada yang berpaling tadah
Jangan ada yang ragu tidak sudah-sudah
kerana bahasa kita berabad-abad menyerlah
menjadi wahana dalam segala ranah

Tertaklif kepada kita kini
mengangkatnya menjadi teras bangsa madani
pengungkap dan pengembang ilmu yang kulli
wasilah penjana kreativiti dan inovasi

Tinggalkanlah mereka yang masih bermimpi
untuk menjadi agung tanpa acuan sendiri
Bukankah dalam kalamullah telah terperi
Setiap bangsa dikurniai bahasa sendiri
Rasul diutuskan dalam bahasa yang difahami

Lupakanlah mimpi sedih yang lalu
Rawatlah luka lama itu
Kita ke garis hadapan
mengibarkan panji-panji harapan
memastikan bahasa roh bangsa
tidak dikorbankan
sebaliknya dinobatkan

Kembara Bahasa Melayu Mahawangsa
15 Jun 2013

Saturday, June 8, 2013

Puisi "Sesekali Diam"

Sesekali Diam

Apabila sesekali diam
bukan ertinya daku tenggelam
alpa dan lupa akan luka semalam
tetapi mencari akal dan jalan
memilih kaedah berkesan
menyusun hala gerakan
untuk mengisi janji
dan hasrat perjuangan murni
ketika ada ruang dan peluang
sesekali berpaling ke belakang
untuk belajar daripada sejarah
lebih banyak memandang ke hadapan
dengan rencana yang mapan
kerana mata alamat perjuangan belum kesampaian

Kembara Bahasa
9 Jun 2013

Monday, June 3, 2013

Puisi "Mendakap Nikmat"

Nikmat
yang didakap
dengan syukur
yang kejap
tanpa silau melekat
semoga meningkatkan berkat

Kembara Bahasa
3 Jun 2013/24 Rejab 1434

Saturday, June 1, 2013

Hakikatnya ialah anugerah kepada bahasa

Meskipun anugerah darjah Panglima Jasa Negara (PJN) dikurniakan oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong kepada hamba bersempena dengan hari keputeraan baginda pada 1 Jun 2013, namun hamba menilainya sebagai salah satu bentuk penghargaan kepada bidang bahasa dan persuratan yang menjadi tunjang tamadun dan juga penghargaan kepada DBP sebagai benteng bahasa dan persuratan kebangsaan.

Alhamdulillah, segala puji dan syukur kepada Allah. Terima kasih kepada semua sahabat dan kenalan yang menyokong gerakan bahasa dan persuratan.

Kembara Bahasa
2 Jun 2013/23 Rejab 1434