Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Thursday, February 27, 2014

Di Denai Kerjaya (2)



Di Denai Kerjaya (2)

Dengan memiliki diploma pendidikan sebagai tambahan ijazah Sarjana Muda Persuratan (Kepujian), kerjaya yang terbuka bagiku ialah pendidik. Aku telah pun menyempurnakan tugas sebagai guru pelatih dengan opsyen guru Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu selama empat bulan di Sekolah Tinggi Muar.

Takdir Allah menentukan perubahan hala kerjayaku apabila Pak Asraf bersungguh-sungguh meminta aku bekerja sebagai editor di McGraw-Hill FEP International untuk membantunya. Maka bermulalah kerjayaku sebagai editor. Ketika itu penerbit berkenaan menerbitkan buku rujukan pelbagai bidang dan buku teks sekolah, di samping susastera kanak-kanak dan remaja.

Sebagai editor, tugasku pada asasnya meliputi dua perkara utama. Pertama, menyelaraskan bahan terbitan di peringkat dalaman dan juga dengan pihak luar, terutamanya Kementerian Pendidikan, penulis, dan pelukis. Kedua, melakukan penyuntingan manuskrip dan menyelaraskan aspek pengeluaran dengan editor pengeluaran dan pencetak.

Yang paling mengesankan ialah tugas yang berkaitan dengan penyuntingan manuskrip kerana tugas yang lain berkaitan dengan pentadbiran dan kerja mekanis. Penyediaan manuskrip yang sempurna kandungan dan bahasanya menjadi keutamaan Pak Asraf. Beliau amat tegas dalam memastikan bahawa manuskrip bukan sahaja mesti tepat maklumat dan faktanya bahkan mestilah jelas, tersusun rapi dan menarik. Kata kunci yang berkali-kali disebutnya dalam sesi latihan dan penilaian manuskrip ialah "clarity" dan "brevity" yang merujuk kepada pentingnya kejelasan dalam penyampaian ilmu dan fakta. Di bawah seliaan beliau, aku dan editor lain seringkali bukan sekadar menyunting manuskrip bahkan diminta mengolahnya semula disebabkan manuskrip asal yang dihasilkan penulis tidak jelas dan kemas penyampaian isinya. Dalam pengalamanku hingga kini, memang ketara kurangnya penulis yang dapat menulis dengan baik, terutama dalam hal organisasi fikiran dan maklumat dan juga bahasa, sehingga "editing" (penyuntingan) tidak jarang menjadi "rewriting" (penulisan semula). Maka ada masanya editor yang bersungut tidak puas hati apabila hanya penulis yang dihargai dalam sesuatu anugerah atau hadiah buku atau penerbitan.

Dalam soal bahasa, beliau tidak pernah bertolak ansur walaupun tentang hal yang pada orang lain remeh. Kesilapan bahasa yang ditemukan dalam tulisan yang telah terbit menimbulkan amarah yang serius dan kritik itu diulang-ulang dalam setiap kesempatan yang ada. Aku masih ingat akan rungutan beliau yang berterusan selama seminggu hanya kerana kata "pandangan" dicetak menjadi "padangan". Walaupun ada masanya kesilapan berlaku pada peringkat jurutaip atau pembaca pruf, editor tetap dianggapnya bertanggungjawab. Aku pernah menerima tempias amarahnya apabila kata "kelautan" ditaip sebagai "Kelantan"dalam manuskrip sejarah. Beliau tidak menegur jurutaip tetapi menegurku kerana menurutnya, editor bertanggungjawab mengawal seluruh proses penerbitan. Dalam penyemakan pruf, beliau sanggup membayar 20 sen bagi setiap kesilapan yang dapat dikesan dan Tajudin Busu (Allahyarhamhu) yang menjadi pembaca pruf sering menerima rezeki kerana ketelitiannya.

Beliau melatih kami menyunting manuskrip secara intensif. Itulah yang aku sebut kepada staf apabila kemudian aku dilantik menjadi Ketua Editor "kaedah bekerja secara berjemaah", iaitu perkongsian kerja penyuntingan dalam kalangan editor. Semasa aku menjadi Editor Jurnal Dewan Bahasa di Dewan Bahasa dan Pustaka kemudian, kaedah kerja itu kuterapkan bersama-sama dengan timbalan editor dan penolong-penolong editor. Dengan kaedah penyuntingan secara berjemaah, piawai dan mutu kerja penyuntingan dapat dicapai dan tidak bergantung pada cita rasa editor, tetapi berasaskan ilmu bahasa dan prinsip penerbitan.

Bimbingan Pak Asraf tidak terhad di pejabat. Seringkali beliau meminta aku ke rumahnya untuk melakukan kerja penyuntingan dan beliau kemudian melakukan penyemakan dan memberikan teguran mana-mana bahagian yang masih tidak rapi. Dengan cara itu aku dapat sentiasa meningkatkan "rasa bahasa", satu lagi kata kunci yang sering disebutnya. Rasa bahasa yang ditegaskannya bukan sekadar berkaitan dengan binaan bahasa yang gramatis bahkan juga pentingnya pemilihan binaan yang tepat bagi sesuatu konteks. Hal itu berkaitan dengan satu lagi kata kunci yang sering disebutnya dalam konteks penulisan yang berkesan, iaitu "flair" atau kelancaran yang melibatkan pemilihan kata atau diksi dan pemilihan ayat yang wajar untuk menyampaikan sesuatu fikiran atau maksud.

Oleh sebab agak kerap berulang ke rumahnya, ada masanya hingga lewat malam, akhirnya beliau memintaku tinggal sahaja di rumahnya di Kampung Tunku, Petaling Jaya dengan bayaran minimum untuk makan minum. Pada waktu itu banyak projek buku teks yang perlu ditangani untuk bersaing dengan penerbit-penerbit lain. Ketika itu penerbit yang berdaftar untuk menyediakan buku teks perlu bersaing secara terbuka. Kira-kira enam bulan aku tinggal di rumahnya dan sepanjang tempoh itu aku benar-benar "dibancuhnya" sehingga dalam tempoh itu "rasa bahasa" yang sering disebut-sebutnya itu dapat kurasakan peningkatannya.

Selain melakukan penyuntingan, aku diminta menulis buku bersama-sama dengannya untuk memperoleh "flair" atau kelancaran berbahsa dalam penulisan. Ketika itu buku yang kami tulis ialah buku teks sejarah untuk tingkatan satu hingga tingkatan tiga dan tatarakyat untuk tingkatan empat dan tingkatan lima. Pengalaman menulis di bawah bimbingannya benar-benar memberikan kesan kepada pelibatanku dalam penulisan secara lebih berdisiplin walaupun sebelum itu aku sudah biasa menulis untuk pelbagai majalah dan akhbar semasa menuntut di universiti.

Kira-kira lapan bulan bertugas, beliau melantikku sebagai Ketua Editor dan beliau kemudian meninggalkan syarikat penerbitan berkenaan untuk menubuhkan syarikat penerbitan sendiri bersama-sama dengan rakan kongsinya. Beban tugasku bertambah berat, terutama kerana mengetuai jabatan editorial dan banyak kerja pengurusan yang perlu kulaksanakan di samping tugas sebagai editor. Hampir setiap hari aku balik pada waktu malam untuk menyelia staf menjalankan tugas lebih masa untuk memenuhi jadual Kementerian Pendidikan. Tugas memastikan pintu pejabat dikunci, suis lampu ditutup dan aspek keselamatan staf termasuk dalam jadual tugas Ketua Editor sehingga akulah orang terakhir yang meninggalkan pejabat sesudah memastikan semua staf keluar. Begitulah budaya kerja di firma swasta.

Waktu untuk aku bergerak dalam persatuan dan untuk memberikan ceramah kian terbatas. Perhatian betul-betul tertumpu pada tugas di syarikat. Aku berasa agak tertekan dengan ketiadaan ruang untuk beraktiviti dalam persatuan dan menunaikan undangan berceramah, kegiatan yang telah mendarah daging sejak aku di kampus lagi. Mentorku pun telah berhijrah. Ada hasratnya untuk menawarkan kerja di syarikat baharunya tetapi keadaan syarikat yang baru ditubuhkan tidak memungkinkan tawaran itu diberikan. Tambahan pula aki perlu menunaikan amanahnya untuk menyambung tugas yang ditinggalkannya.

Kian hari aku kian gelisah kerana kehidupanku seolah-olah hanya untuk syarikat dan ruang untuk bergerak dalam kegiatan perjuangan bahasa kian terbatas. Begitu jua halnya dengan keperluan untuk memenuhi undangan ceramah, seminar dan yang lain. Dilema melanda diriku kerana aku perlu memilih satu daripada dua pilihan yang ada. Adakah aku patut kekal sebagai Ketua Editor, jawatan yang tidak mudah kuperoleh, lebih-lebih lagi dalam tempoh tidak sampai setahun bertugas atau adakah patut aku mencari kerja lain yang memberiku ruang untuk dapat bergiat dalam perjuangan bahasa dan memenuhi undangan berceramah dan berseminar?

Sesudah berfikir panjang, aku mengambil keputusan untuk berhijrah ke tempat yang membuka ruang yang lebih luas untuk aku menyumbangkan bakti, terutama dalam perjuangan bahasa. Setahun di badan penerbitan swasta memang singkat. Namun aku telah berpeluang bekerja di bawah bimbngan tokoh bahasa dan penerbitan berwibawa dan bimbngannya memberikan makna yang cukup besar kepada kerjayaku selanjutnya. Setahun di situ aku berpeluang mempelajari kaedah pengurusan dan perundingan dengan pelbagai pihak di sektor awam dan swasta. Setahun di situ aku berpeluang mengenal sejumlah sosok hebat dalam bidang penerbitan di luar syarikat.

28 Februari 2014

Tuesday, February 25, 2014

Soal Jawab Bahasa: "Mini Parlimen" atau "Parlimen Mini"?


Apabila timbul nostalgia kepada sidang parlimen kanak-kanak yang dipimpin oleh seniman Jamal Mohamad yang dikenal dengan nama mesra Pakcik Jamal, maka timbul pertanyaan daripada beberapa orang kenalan. Adakah "mini parlimen" atau "parlimen mini" istilah yang tepat?

Saya masih ingat bahawa pada tahun 1970-an di Kuala Lumpur diperkenalkan pengangkutan awam yang dikenal sebagai "bas mini". Itulah istilah yang tepat menurut jalan bahasa Melayu walaupun dalam bahasa Inggerisnya memang "minibus". Dalam bahasa Melayu, "mini" bertaraf kata walaupun dalam bahasa Inggeris bentuk itu bertaraf awalan. Maka dalam bahasa Melayu ada kata "pasar mini", "karipap mini", "murtabak mini", "bas mini" dan mungkin beberapa yang lain.

Kes yang sama berlaku pada kata "anti" dan "pro" yang dalam bahasa Inggeris bertaraf awalan tetapi dalam bahasa Melayu kedua-duanya dapat menjadi kata, di samping sebagai awalan. Maka ada bentuk seperti "ia sangat anti kepada unsur asing yang bertentangan dengan agama dan budaya setempat" dan "Ia membayangkan sikap pro kepada liberalisme" disamping ada bentuk "antikomunis" dan "proliberalisme".

Dalam kes isu yang berbangkit itu, maka bentuk yang tepat ialah "parlimen mini".

Kembara Bahasa
26 Februari 2014

Di Denai Kerjaya (1)

Di Denai Kerjaya (1)

Kerjayaku bermula dengan tugas sebagai tutor sambilan kursus Tatabahasa dan Gaya Bahasa Melayu semasa aku dalam tahun kedua pengajianku di kampus sementara UKM di Pantai Baharu. Pensyarahnya ialah Pak Asraf atau nama penuhnya Mohd. Asraf bin Hj. Abd Wahab, tokoh ASAS 50 yang terkenal juga sebagai ahli bahasa, penulis dan penerjemah. Ketika itu beliau ialah Pengarah dan Pengurus Redaksi McGraw-Hill Far Eastern Publication cawangan Malaysia. Beliau dilantik oleh Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas, pengasas dan Pengarah Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu UKM memberikan kuliah Tatabahasa dan Gaya Bahasa Melayu atas kekuatan bahasa yang ada pada Pak Asraf dan pengalamannya dalam dunia kewartawanan dan penerbitan.

Sebagai peneraju syarikat penerbitan, Pak Asraf tidak mempunyai waktu yang banyak untuk memberikan tutorial, terutama kerana pelajar yang mengambil kursus itu ratusan orang jumlahnya, bukan sahaja pelajar IBKKM bahkan pelajar Fakulti Sains Kemanusiaan dan Kemasyarakatan (FSKK), Fakulti Pengajian Islam dan Fakulti Ekonomi. Berdasarkan rekod keputusan ujian dan peperiksaan kursus yang diajarkannya, oleh sebab katanya aku sentiasa mendapat markah yang tertinggi, maka beliau mengusulkan pelantikanku sebagai tutornya dan pentadbiran universiti meluluskan usul itu. Betapa serba salahnya dan gelisahnya aku untuk berhadapan dengan pelajar tahun pertama sedangkan aku hanya setahun lebih senior sahaja. Usiaku baru sekitar 20 tahun. Yang menjadikan aku lebih serba-salah ialah adanya sebilangan pelajar tahun pertama yang terdiri daripada bekas guru atau penyandang jawatan lain yang tergolong dalam "mahasitua", menurut ungkapan popular pada masa itu.

Namun dengan keyakinan yang diberikan oleh Pak Araf serta gaya pengajarannya yang cuba kutiru, Alhamamdulillah dapat kulaksanakan tugas sebagai tutor itu. Pada tahun ketiga aku meneruskan tugas itu untuk pelajar tahun kedua pula. Kaedah pengajaran Pak Asraf yang memadukan teori dengan amali kuikuti dengan rapi. Beliau sering menerapkan rumus-rums tatabahasa dalam kerja penyuntingan teks, baik daripada akhbar mahupun majalah dan buku. Ternyata bahawa kaedah itu lebih berkesan daripada sekadar penguasaan teori dan rumus tatabahasa kerana dalam setiap teks, pelbagai rumus tatabahasa dapat diterapkan sekali gus.

Bimbingan Pak Asraf tidak terbatas pada ehwal yang berkaitan dengan kuliah. Beliau menyerahkan manuskrip yang akan diterbitkan oleh McGraw-Hill FEP untuk kusunting sebagai latihan memperkuat "rasa bahasa". Katanya, rasa bahasa akan membantu persembahan fakta dengan bahasa yang bukan sahaja gramatis bahkan berkesan gaya bahasa dan retoriknya. Hasil kerja penyuntinganku disemaknya dan mana-mana yang belum cukup rapi ditunjukkannya cara penyuntingan untuk menjadikan manuskrip lebih kemas dan sesuai dengan khalayak pembaca. Setiap penyuntingan yang dilakukan perlu ada alasannya dan beliau tidak akan menerima suntingan tanpa sebab atau penjelasan menurut rumus tatabahasa dan asas gaya bahasa. Daripada asuhannya itulah aku sering mengingatkan pelajar dan peserta kursus yang kukendalikan di pelbagai jabatan dan firma agar kerja "menyunting" mesti dibedakan daripada kerja "menconteng", kerana ada editor yang menyunting manuskrip asalkan ada tanda pembetulan (atau lebih tepat contengan) tetapi apabila ditanya asasnya, tidak dapat ia memberikan alasan atau sebabnya.

Sesudah tamat pengajianku dan UKM pindah ke kampus tetap di Bangi, aku meneruskan tugas, dengan pelantikan sebagai pensyarah sambilan pada setiap hari Sabtu kerana sesudah bergraduasi, aku dilantik oleh Pak Asraf bekerja sebagai editor di syarikat penerbitan tempatnya bertugas. Alhamdulillah langkah awalku di denai kerjaya yang bermula dengan tutor sambilan semasa aku masih dalam pengajian banyak mencorakkan kerjayaku selanjutnya. Al-Fatihah untuk Allahyarhamhu Pak Asraf.

25 Februari 2014

Saturday, February 22, 2014

Puisi "Nilai Siang dan Malam"

Nilai Siang dan Malam

Siang dan malam
bukan pertentangan
tetapi fitrah kesatuan
pelengkap sunatullah aturan Tuhan
Siang disediakan
untuk aneka kegiatan
peri kehidupan insan
mengimarahkan anugerah Tuhan
selaku khalifah Allah di bumi hamparan
dengan penuh ihsan
mengurus sarwa alam
Malam disediakan
untuk ketenangan
memohon keampunan
merafak dengan penuh harapan
menghitung laba dan rugi seharian
dalam mengutip pahala dan habuan
atau dosa yang bakal menjadi bebanan
Siang dan malam
pelengkap kehidupan insan

23 Februari 2014

Thursday, February 20, 2014

Puisi "Takwil Hujan Petang"

Takwil Hujan Petang

Manik-manik titisan air
pada penghujung hujan petang
mengalirkan rahmat al-Rahman
kepada sarwa alam dan sekalian isinya
membasahi bumi dan hati
mendinginkan bahang mengapi
berkat sabar menanti
berkat tunduk kepada takdir Ilahi

12 Februari 2014

Puisi "Hati yang Keras"

Kerasnya batu
lebih keras hati
yang berkematu
Kepada-Mu kami memohon
hati yang lembut
menerima segala ketetapan-Mu

14 Februari 2014

Puisi "Si Pemburu"

Si pemburu
dan buruan
adalah dalam permainan
yang namanya pemburuan
Si pemburu tidak selamanya memburu
Ia mungkin bertukar menjadi buruan
oleh pemburu yang tadinya buruan

15 Februari 2014

Tazkirah kepada diri: Nikmat tidak dapat dibeli

Salah satu yang mengesankan dalam tazkirah baru-baru ini: Nikmat tidak dapat dibeli kerana tidur di atas tilam yang empuk belum pasti menjanjikan tidur yang lena dan makan juadah yang lazat belum pasti menenuhi selera. Pengalaman hidup mengesahkan hakikat itu. Ketika kecil dalam kedaifan hidup, meskipun makan nasi dengan lauk ala kadarnya selera tetap terbuka. Kini lauk-pauk yang tampak lazat belum tentu membuka selera selain perlu berpantang. Subhanallah.

Renungan ruhaniyah


Kembara Bahasa Melayu Mahawangsa
16hb Februari
Kocakan air di kolam sekadar memecahkan bayang wajahmu, bukan wajahmu yang sebenarnya.

Puisi "Mujahadah"

Berusaha
dan terus berusaha
menjadi baik
walaupun tidak sempurna
Mujahadah memang tidak mudah
kerana syurga tidak percuma

16 Februari 2014

Tazkirah kepada diri: Hidup berpada

Penghuni rumah besar atau rumah kecil akan akhirnya ke kediaman kecil. Mengingat hakikat itulah selalu hamba kekang niat untuk menambah yang tidak begitu perlu di rumah. Berpadalah dengan yang ada.

Tazkirah kepada diri: Kuasa Allah

Dialah yang berhak memberikan kuasa dan segalanya dan Dialah yang berhak menarik kuasa dan segalanya. Dialah yang memuliakan sesiapa yang dikehendaki dan mendatangkan kehinaan kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya.

Tazkirah kepada diri: Bersyukur dan Bersabar

Tazkirah kepada diri: Mendapat kesenangan bersyukur, mendapat kesusahan bersabar; mendapat untung bersyukur, kerugian bersabar; sihat bersyukur, sakit bersabar; naik pangkat bersyukur, belum naik pangkat bersabar. Itulah antara sifat orang yang benar-benar beriman yang dihuraikan oleh penceramah dalam cd yang hamba dengar sesudah Asar. Sukar dicapai tetapi perlu diusahakan.

Tazkirah: Ketentuan Allah

Kalau telah ditetapkan Allah, siapatah yang dapat menghalang seseorang dikurniai rezeki, kedudukan atau apa-apa sahaja? Kewajiban manusia berusaha tetapi pergantungan akhir adalah kepada-Nya.

Tazkirah kepada diri: Sampaikan walaupun satu ayat

Saling mengingatkan dengan ikhlas dituntut oleh agama. Kata Nabi, sampaikanlah sesuatu daripadaku walaupun satu ayat.

Puisi "Di Sini"

Di sini
aku masih tetap menanti
meskipun kabur penuh misteri
kerana yang berlaku esok belum pasti
namun aku perlu menemukan erti
bagi segala babak kehidupan kini
agar pada saat aku kembali
terpenuhi pengabdian hakiki
yang dikehendaki Ilahi

17 Februari 2014