Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Friday, March 28, 2014

Puisi "Takluk Takdir II"

Takluk Takdir II

Seandainya demikian
dikau dan semua yang kaubawa
berakhir sejarah dan hayatnya
di Lautan Hindi yang bergelora
dan penuh rahsia
bukan di tanah laluan jalan sutera
sebagaimana asalnya terencana
maka siapatah yang dapat atau perlu
menafikan suratan takdir-Nya
Hanya Dia yang maha tahu
isyarat dan ibrar di balik peristiwa
tidak terjangkau oleh manusia yang menduga-duga
biarpun pelbagai telahan dan andaian
dizahirkan menurut akal fikiran
Ya, Rabbi
Takdir ketentuan-Mu mengatasi segalanya
teknologi canggih reka cipta makhluk manusia
radar primer dan radar sekunder
kawalan berkala dari menara
pakar penerbangan dan aeroangkasa
takluk oleh kuasa yang esa
Insaflah kami
dan mengakulah kami
tiada daya dan upaya kami
melainkan dengan izin dan bantuan-Mu
dan tidak sama sekali kami ingkari
qada' dan qadar-Mu
melainkan tunduk patuh
meredai suratan takdir-Mu
Semoga waris dan kerabat
penumpang dan petugas MH 370
menerima suratan dengan sabar
kerana apabila telah sampai janji
tiada sesaat lebih awal dan lewat semua pasti kembali
kepada-Nya yang wujud azali abadi

Kembara Bahasa Melayu Mahawangsa
24 Mac 2014

Puisi "Teka-teki"

Teka-teki

Teka-teki
lumrah kehidupan insan
justeru demikianlah sifat ciptaan
dengan sejumlah kekuatan dan banyaknya kelemahan
Akal bisa memandu
namun akal juga bisa menjadikan insan keliru
Padukan akal dengan naqal
Padukan ilmu dengan wahyu
Padukan ikhtiar dengan tawakal
nescaya payungan rahmah dan barakah
daripada pemilik ilmu yang tiada batas
yang tiada teka-teki bagi-Nya
bisa melindungi diri daripada sifat gegabah
bisa menghindarkan diri daripada resah gelisah
mendidik diri tunduk pasrah
berharap dan berserah
kepada perencana yang tidak pernah salah
Maha suci Allah

Kembara Bahasa Melayu Mahawangsa
22 Mac 2014

Tuesday, March 18, 2014

Puisi "Kuteruskan Munajat"





Kuteruskan Munajat

Biarpun detik waktu berlalu
dan dikau masih dalam simpanan rahsia-Nya
tidak ketahuan keberadaanmu
sedang kaum kerabat dan sahabat handai
terus berharap
semua insan yang menyertaimu
selamat dan afiat
daku tetap bermunajat
memohon berkat dan syafaat
ke hadrat-Mu yang memiliki kudrat dan iradat
semoga semua akan ditemukan
dalam keselamatan dan kesejahteraan
untuk didakap oleh waris dan taulan
dengan penuh kesyukuran
Seandainya Dia masih akan menguji
kesediaan dan kesabaran
sekalian yang menanti dan yang dinanti
maka berikanlah kekuatan dan keimanan yang jazam
bahawa betapa pun kedukaan
tidak terperikan
dan keperitan tidak terbendungkan
ketetapan-Mu adalah pasti
dan kami tiada memiliki daya upaya
melainkan dengan izin dan bantuan-Mu
Allahumma ya Allah
tiadalah kuasa dan tempat pergantungan lain selain-Mu

Kembara Bahasa Melayu Mahawangsa
Maghrib 18 Mac 2014




Puisi "Tiada Kalau Apabila Tiba Saatnya"


Tiada Kalau Apabila Tiba Saatnya

Terlalu banyak berkalau
dalam kehidupan di dunia
Masih kuingat semasa di bangku sekolah
arahan guru kepada murid
menulis karangan tentang "Kalau saya menjadi itu dan ini."
Maka muncul berbagai-bagai kalau

Kehidupan dewasa pun masih banyak kalau
"Kalau aku kaya...."
"Kalau aku berjaya...."
"Kalau aku itu dan ini."
Terlalu banyak kalau
sehingga cita menjadi melampau
angan-angan tidak terjangkau
kehidupan menjadi kacau
ada kalanya menyebabkan sasau
Ketentuan Ilahi pun disyaratkan berkalau

Tiada kalau apabila tiba saatnya
Janji Dia adalah pasti
Tiada yang dapat lari
Tiada yang mampu menghindari
Semua akan dijemput-Nya kembali
ke alam yang abadi
Ketika itu hanya ada satu kalau
Beroleh sakinah kalau diredai-Nya

Kembara Bahasa Melayu Mahawangsa
1 pagi 17 Mac 2014




Thursday, March 13, 2014

Puisi "Munajat"

Munajat

Daku yakin
dikau tidak bercanda
membiarkan kami berteka-teki
membiarkan kerabat ternanti-nanti
Daku yakin
dikau tidak bermain sembunyi-sembunyi
di balik awan dan di langit biru
Di luar daya khayal kami
menelah keberadaanmu
entah di angkasa raya
entah di dasar samudera
entah di rimba raya
Sungguh kita sedang diuji
oleh Rabbul Izzati
pasti supaya lebih mengerti
akan makna qada' dan qadar Ilahi
akan nilai sabar dan reda selaku abdi
akan batas upaya diri
dan kuasa mutlak yang azali
Ya, Rabbi
Kausingkaplah hijab
yang menutup mata kasar kami
biarpun dengan bantuan teknologi
Kaumunculkanlah
pesawat terbang MH370 dan insan
yang dibawanya
Kasihanilah mereka
dan kerabat serta sahabat
Dikaulah yang menentukan
menurut perencanaan-Mu
Kami reda menerimanya.

Kembara Bahasa
13 Mac 2014

Wednesday, March 12, 2014

Puisi "Takluk Takdir"

Takluk Takdir
(Dedikasi kepada penumpang dan petugas MH370 yang hilang pada awal pagi 8 Mac 2014)

Kami makhluk-Mu
aduhai Khalik
takluk kepada takdir dan tadbir-Mu
bagi setiap yang tampak zahir baik dan buruk
ada isyarat di baliknya
untuk kami renung dan pelajari
Tiada yang sia-sia
dan tiada yang tidak sengaja
segala kejadian dan peristiwa
segalanya dalam ilmu dan rencana
Dikau penguasa sarwa alam
Kami tunduk menerima
sambil mencuba membaca
erti di balik kesemuanya
Seandainya takdir-Mu itu
kafarah atas kesalahan kami
maka Kauampunilah kami
Wala haula wala quwata illa billahil 'aliyilazim

Kembara Bahasa
9 Mac 2014

Wednesday, March 5, 2014

Puisi "Kita Berbeda"

Di dunia fana
kita mungkin berbeda
kerana memang fitrah
atau kerana perbedaan yang kita ciptakan
Di alam sana
kita mungkin berbeda
kerana sebilangan menerima kitab amal di tangan kanan
dan sebilangan menerima kitab amal di tangan kiri
Di mizan timbangan mungkin berbeda
Rahmat-Nya sahaja
yang memungkinkan kita bersama
di taman syurgawi
Ya, Rabbi anugerahilah kami
kehidupan yang baik di alam sementara
dan kehidupan yang baik di alam kekal tak berkala

Kembara Bahasa
1 Mac 2014

Puisi "Sesudah Mati"

Tazkirah kepada diri:

Sesudah mati

Sesudah mati
ke manakah harta akan diinfakkan
jika ketika hidup
diri hanya leka menghimpunkannya
memenuhi sandang pangan
tanpa pernah puas dan cukup
mengabaikan asnaf yang delapan
kikir kepada yang fakir
Sesudah mati
ke manakah harta akan dibelanjakan
oleh waris yang hati budinya belum ketahuan
Wahai diri
Usah dikau menunggu tibanya saat itu
kerana ketika itu tiada upaya lagi
untuk diri berinfak

4 Mac 2014

Puisi "Relakan Ia Kembali"

Relakan Ia Kembali

Sapulah air mata
pada saat ia pergi
kerana pada hakikatnya
ia kembali
kepada pemiliknya
Relakan ia pergi
menemui pencipta
segala yang tampak nyata
mahupun yang terhijab oleh mata
Relakan ia pergi
dari alam permainan
ke alam hakikat kehidupan
Dalam kalam-Nya telah terungkap
Segala yang bernyawa akan sirna
Iringi ia dengan doa dan munajat
Semoga diterima pengabdiannya
dan dikurniai maghfirah atas rahmat-Nya

Kita yang masih di sini
pun sedang menanti saat kembali

Kembara Bahasa
5 Mac 2014