Selamat berkunjung ke blog Kembara Bahasa. Bahan dalam blog ini boleh dimanfaatkan asal sahaja dinyatakan sebagai sumber rujukan atau petikan. Bagaimanapun Kembara Bahasa tidak bertanggungjawab atas apa-apa jua implikasi undang-undang dan yang lain daripada penggunaan bahan dalam blog ini.



~Kembara Bahasa~

Pendukung Melayu Mahawangsa berteraskan risalah Ilahi




Saturday, April 12, 2014

Puisi "Tazkirah kepada Diri"


Tazkirah kepada Diri

Wahai diri
silap perasaanmu itu
kala dikau merasakan
dirimu sudah di mercu puncak
lalu berasa puas
tiada bukit untuk kaudaki lagi
tiada denai untuk kaurentas lagi
kerana perjalananmu
dan perjuanganmu
bukan berakhir di situ
Dikau belum sebenarnya
sampai di puncak makna
mujahadahmu masih belum sempurna
belum tiba di makam mahmudah
terumbang-ambing di samudera
ganas bergelora
sesekali dikau menang
tetapi tidak jarang dikau kecundang
Maka usah kaulayan perasaan
dan bisikan
bahawa dirimu telah diapung awan-gemawan
dalam keselesaan
sedang cabaran dan jaminan
untuk diterima ke pangkuan
di alam kebenaran
yang abadi belum ketentuan
Usah dikau alpa dan terpesona
oleh puji dan puja
yang dizahirkan manusia
kerana justeru yang tepat mengira
segala amalmu hanya Dia
entah diterima entah sia-sia
meskipun tampak zahir kerja mulia.
Wahai diri
persiapkan bekalan
untuk perjalanan
ke puncak kehidupan
nan sebenar pada hari kesudahan

Kembara Bahasa Melayu Mahawangsa
6 April 2014

Friday, April 11, 2014

Puisi "Atas Nama Kesabaran"

Atas nama kesabaran
dan harapan
akan adanya perubahan
sesudah ikhtiar yang panjang
dan tawakal yang tidak berselang
pujuk sahaja kerongkongan
menelan dakwaan
tohmahan dan sindiran
semoga akhirnya muncul kemanisan
hasil perjuangan
untuk cicipan
Allahaumma amin
Lahaulawala quwataillabillah

7 April 2014

Tazkirah kepada Diri: Sabar membawa kemenangan

Wahai diri, pada saat dikau merasakan dirimu alah oleh sesuatu keadaan, dikau sebenarnya menang apabila dikau dapat sabar menghadapi keadaan itu!

Jumaat 11 April 2014

Tazkirah kepada Diri: apabila rembulan tidak bersinar


Apabila rembulan tidak bersinar, suluhlah malam yang gelap pekat dengan makrifat.

Jumaat 11 April 2014

Puisi "Gurindam Dinihari"

Gurindam Dinihari

Orang bersuara tentang yang hak
kaupersenda sambil tertawa terbahak-bahak

Orang berbicara tentang maruah bangsa
kaucebik bibir konon mengada-ada

Orang bercakap tentang nasib generasi muda
kausediakan hiburan melampau penyebab lagha

Orang memperjuangkan budaya dan jati diri
kauhina konon ketinggalan dalam era globalisasi

Orang menegaskan pentingnya budi bahasa dipugar
kauanjurkan pekerti perlunya kurang ajar

Orang bermuafakat mencari berkat
kau berseteru mengikut hati yang karat

Orang lain maju dengan persaingan ekonomi yang sihat
kau berbuat onar dengan pukau dan khurafat

Orang mengoptimumkan masa dengan bekerja
kau leka dengan fitnah dan adu domba

Orang mengukuhkan ukhuwah dan persahabatan
kaupecahbelahkan menurut hasutan syaitan

Orang lain membina rangkaian bangsa besar
kau berebut warisan kebudayaan
yang dahulunya milik bersama tersebar

Ayuhai taulan berhentilah berperi laku dan berfikiran sendat
bagai ikan keli dalam tempayan yang saling menyengat
Berpeganglah pada tali Allah dan sunah Nabi yang berkat
selamat di dunia selamat di akhirat

Kembara Bahasa Melayu Mahawangsa
2 pagi 10 April 2014

Puisi "Sejahteralah Dikau"

Kutitipkan doa
jika masih ada hayatmu
sejahteralah dikau
biar di mana dikau berada
jika takdirnya dikau telah kembali
ke pangkuan-Nya
sejahteralah jua
di bawah payungan rahmat-Nya

8 April 2014

Puisi "Menaruh Harapan"

Menaruh Harapan

MH370
aku rindu rupa
aku rindu rasa
kerana dikau yang setia
untuk sekian lama
membelah angkasa
menaupkan dua negara
dalam persetiaan berdasawarsa
Tetap kunanti dikau kembali
meskipun mungkin tidak di alam realiti
di alam ruhani kerinduanku terpenuhi

Kembara Bahasa Melayu Mahawangsa
7 April 2014

Puisi "Ladamg Warisan"

Ladang Warisan

Apatah pilihan yang ada
Ladang nan diamanahkan
tanahnya kian kehilangan baja
sebahagiannya gersang merekah
keras separa batu tidak gembur
pepohon tidak cukup rimbun lagi
kehijauan dedaunnya bertukar kekuningan
Lamun ladang perlu terus diusahakan
kerana itulah satu-satunya
sumber penakatan kehidupan
untuk generasi kini dan mendatang
Mudah-mudahan ladang akan subur semula
dibajak dan dibaja dengan kudrat yang ada
untuk penerusan bibit disemai
tunas menjadi pucuk dan dedaun menghijau
bebunga mekar semula
buah-buahan ranum untuk nikmat semua

Kembara Bahasa Melayu Mahawangsa
5 April 2014

Puisi " Bara dalam Dada"

Dalam dada ada bara
lamun bukan untuk bersengketa
onak dan duri di sepanjang jalan melata
akan kutempuh hingga ke hujung sana

29 Mac 2014

Thursday, April 3, 2014

Imbasan Kenangan

Imbasan kenangan:

Pada malam begini pada suatu waktu dahulu, hamba meniarap menyelesaikan kerja rumah dan mengulang kaji pelajaran, berbantukan cahaya lampu cimni yang suram. Di sisi hamba, ibunda sambil tersengguk-sengguk kerana keletihan bekerja sepanjang hari menemani hamba meskipun tidak hamba pinta. Ya, Allah rahmatilah ibundaku.

3 April 2014

Puisi "Kembali Seorang Diri"

Kembali Seorang Diri
(Iringan doa untuk sahabatku Allahyarhamhu Sahlan Mohd. Saman)

Dikau kembali
sorang diri
tidak diketahui
oleh anak dan isteri
dalam kehidupan yang sunyi
dalam pencarian rezeki
Jasadmu disemadikan
pada larut malam
di daerah dikau lama berbakti
setelah melalui perjalanan yang panjang
dari Negeri Di Bawah Bayu
Bersemadilah
Beristirahatlah
daripada ujian
dan permainan
dalam kehidupan
yang sementara
dalam naungan rahmat-Nya
di alam peralihan barzakh
untuk ke alam abadi

Dikau kembali
seorang diri
memang demikian janji
dan ketetapan Ilahi
setiap diri
dikau dan kami
kembali seorang diri
menemui pemilik yang hakiki

Kembara Bahasa Melayu Mahawangsa
2 April 2014

Puisi "Mencari Dalil"

Mencari Dalil
(Renungan sesudah syarahan di IPGM Sultan Abdul Halim, Sungai Petani)

Mengapatah
dikau masih mencari-cari dalil
untuk keyakinan yang jazam
akan anugerah Tuhan
kepada umat pilihan
dengan kurnia iman
ilmu dan ihsan
peradaban insan
berlunaskan risalah al-Rahman
yang membentuk jiwa kesatuan
merentas kabilah ratusan
di persisiran, daratan dan kepulauan
dengan ulama, pujangga dan pemuka kawakan
pencetus dan pemugar sistem kehidupan
dalam manca lapangan
pemerintahan, ilmu, perdagangan
penggerak nadi peradaban insan
di paksi alam ketimuran
terpateri dalam sejarah persuratan

Lalu dalil apatah lagi
yang dikau cari
untuk meyakinkan diri
bahawa kita mewarisi tamadun bestari
sejak zaman bahari
melampaui dua alaf di muka bumi
yang kini perlu kita pugar rapi
dalam menyongsong alaf penuh duri dan api
untuk memaknai peribadi sejati

Kembara Bahasa Melayu Mahawangsa
Kangar
3 April 2014