Saturday, May 29, 2010

Dato' Hj. Abdul Rahim Bakar dalam Kenangan

Kepulangannya ke rahmatullah pada 24 September 2009 mengejutkan dan menghibakan saya, meskipun takdir Allah pasti saya redhai. Saya seakan-akan sukar mempercayai berita yang saya terima melalui sms Sdr. Salehuddin Abg Shokeran (teman saya di DBP) sewaktu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dari Beijing, menjelang tengah malam hari Khamis itu. Kemudian masuk sms daripada isteri saya pula ketika saya di dalam teksi, mengkhabarkan berita duka yang sama.

Usianya baru 66 tahun, usia yang pada zaman moden ini masih dianggap muda. Allahyarham tidak menghidap penyakit yang serius dan masih aktif bermain tenis di Kelab Taman Bunga Kuala Lumpur. Kegiatannya sebagai Pengerusi syarikat kerjasama Shamelin pun masih berterusan dan baru beberapa bulan sebelum kepulangannya ke rahmatullah itu beliau dilantik menggantikan Prof. Diraja Ungku Aziz sebagai Yang Dipertua ANGKASA, badan induk syarikat kerjasama Malaysia. Demikianlah, tepat janji Allah bahawa apabila sampai ajal seseorang, tidak dicepatkan atau dilewatkan walaupun sesaat detik itu.

Dalam kehibaan itu, saya bersyukur kerana ditakdirkan pulang untuk memenuhi undangan membentangkan kertas kerja di Johor Bahru pada 28-30 September 2009, dan sempatlah saya menziarahi jenazahnya pada pagi Jumaat 25 September, dalam perjalanan pulang ke Johor.

Saat kepulangannya ke rahmatullah merupakan saat yang manis. Beliau sedang menunggu waktu berbuka puasa sunat Syawal apabila tiba-tiba mengadu sakit dada dan tidak lama kemudian dijemput oleh Allah menghadap-Nya. Malam itu pula malam Jumaat. Berbahagia dan sejahteralah mudah-mudahan roh Allahyarham di sisi Khaliqnya. Sewaktu menziarahi jenazahnya, tampak jelas senyuman menguntum di wajahnya. Sayu hati saya kerana tidak dapat menunggu hingga saat penyempurnaan jenazahnya oleh sebab keluarga ikut serta untuk pulang menziarahi orang tua saya di kampung, di Pontian, Johor. Itulah 'pertemuan' akhir dengannya walaupun daripada Sdr. Salehudin dan Puan Asiah Kasim, bekas setiusahanya di DBP, Allahyarham ada berpesan supaya memberitahunya apabila saya pulang bercuti di tanah air kerana beliau hendak mengatur sesi sembang santai, seperti lazimnya. Malahan Allahyarahm sudah menentukan jamuan ikan bakar untuk sesi sembang santai itu, menurut Sdr. Salehuddin. Benarlah bahawa manusia hanya bisa merancang, dan Allahlah yang menentukan segala-galanya. Apabila saya sampai di rumah pada malam ketibaan dari Beijing itu, saya terus melihat surat-surat yang sampai; mata saya terus terpaku pada sekeping sampul berwarna kuning buah pic yang di luarnya tercetak nama Allahyarham - kad ucapan Idulfitri terakhir daripadanya. Saya sendiri tidak dapat menyambut Idulfitri di tanah air dan oleh itu tidak sempat membalas kad itu.

Tempoh perkenalan dan persahabatan saya dengan Allahyarham tidaklah begitu panjang. Meskipun nama, ketokohan dan kehebatannya sebagai ahli politik yang berani menegakkan kebenaran sudah lama saya ketahui sejak tahun 1980-an lagi, terutama sesudah berlakunya krisis pentadbiran di negeri yang diterajuinya sebagai Menteri Besar sehingga beliau perlu berpindah ke pentadbiran kerajaan pusat - suatu bentuk pengorbanan besar beliau. Secara dekat Allahyarham baru saya kenal pada sekitar tahun 1990-an, apabila beliau dilantik menjadi Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, menggantikan Tan Sri Musa Mohamad. Interaksi sekali-sekala dalam seminar, mesyuarat dan kegiatan bahasa, sastera dan penerbitan dengan beliau menjadikan saya lebih kenal akan keperibadiannya. Apabila saya dilantik menjadi Pengarah Jabatan Bahasa, DBP pada bulan November 1999, perhubungan saya dengannya bertambah akrab, mula-mula sebagai pegawai dengan majikan, tetapi kemudian beransur-ansur sebagai sahabat. Di balik ketegasan dan keseriusan Allahyarham dalam menjalankan tanggungjawab, terserlah sifat kemesraan dan kesediaan untuk menjalinkan hubungan lebih daripada sekadar hubungan rasmi.

Oleh sebab Allahyarham hampir setiap hari datang ke pejabatnya di DBP, beliau dapat dikunjungi untuk dirundingi dalam hal-hal yang berkaitan dengan dasar DBP, dasar bahasa kebangsaan dan strategi pemasyarakatan bahasa yang berkesan. Hubungannya yang rapat dan luas dengan pelbagai pihak di luar DBP memungkinkan beliau sering menjadi jambatan antara kami di DBP dengan kementerian, jabatan dan agensi kerajaan serta organisasi swasta untuk melancarkan gerak kerja bahasa, sastera dan penerbitan. Allahyarham sentiasa bersedia di bawa ke tengah dan ke tepi, ada masanya sebagai ketua delegasi atau ketua rombongan untuk perundingan dengan pemimpin negara dan pemimpin institusi awam dan swasta, dan ada masanya sebagai salah seorang tenaga yang bersama-sama menggerakkan sesuatu program. Dalam kerja-kerja yang berkaitan dengan bidang bahasa, antara program yang saya ingat benar beliau terlibat secara aktif termasuklah Program Ziarah Bahasa, Program Penyelarasan Pengembangan Bahasa dengan Sektor Swasta, Program Bulan Bahasa dan Sastera Negara (termasuk program utamanya Kembara Bahasa), Penerbitan Dokumen Perjuangan Bahasa, Program Wacana Perjuangan Bahasa. Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) dan Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM).

Dalam Program Ziarah Bahasa, bersama-sama dengan Ketua Pengarah, Dato' A. Aziz Deraman atau secara bergilir-gilir, Allahyarham sering menjadi ketua delegasi DBP untuk menjalinkan kerjasama dengan kementerian, jabatan dan agensi kerajaan dan juga institusi swasta. Program itu pada dasarnya lebih merupakan gerakan pemasyarakatan bahasa kebangsaan dalam kalangan kepemimpinan supaya dengan adanya pelibatan kalangan tersebut, usaha pemasyarakatan bahasa kebangsaan di peringkat yang lain diharapkan lebih berjaya. Dalam Program Kembara Bahasa, iaitu konvoi berkereta di seluruh negara untuk menggerakkan kempen bahasa, sastera dan ilmu di tengah-tengah masyarakat, beliau dengan bersemangat menjadi ketua salah satu kumpulan (ketika itu dirancang pergerakan dari arah timur, selatan, utara serta Sabah dan Sarawak), sejak dimulakan pada tahun 2000 hingga tahun 2004 (kerana sesudah itu program yang amat berkesan itu entah mengapa dihentikan oleh kemepimpinan DBP). Beliau pernah memberitahu saya bahawa dalam Lembaga Pengelola ada individu yang tidak menyetujui program itu kerana kononnya membazirkan wang, namun dengan keyakinan beliau tentang relevannya dan berkesannya program itu dalam menyuntikkan semangat dan kesedaran masyarakat di seluruh negara tentang peranan bahasa, sastera dan ilmu dalam pembinaan tamadun, beliau tidak mengendahkan kritikan itu. Dalam bidang penerbitan, keberaniannya memberikan sokongan kewangan memungkinkan dokumen Keranda 152 yang terhasil daripada gerakan perjuangan bahasa kebangsaan pada tahun 1960-an dapat diterbitkan oleh Persatuan Linguistik Malaysia, dalam keadaan kesukaran mendapat pencetak yang berani mencetak dokumen tersebut.

Demikianlah juga, apabila pada tahun 2000 Kabinet, entah atas sebab apa, memutuskan untuk memansuhkan pelaksanaan penggunaan sebutan baku dalam sistem pendidikan dan media penyiaran, Allahyarham bersama-sama dengan Lembaga Pengelola dan pengurusan DBP mengeluarkan pernyataan bantahan kerana program itu telah berlangsung selama 12 tahun dalam sistem pendidikan negara (sejak 1988) dan penting dalam konteks pemantapan sistem bahasa Melayu rasmi. Bahkan dalam Akta DBP tugas pembakuan dalam aspek sebutan dinyatakan dengan jelas. Kabinet kemudian menimbangkan bantahan DBP tetapi hanya mengecualikan keputusan awal itu untuk pengajaran mata pelajaran Bahasa Melayu. Kesan keputusan itu kini menunjukkan bahawa sebutan baku hampir-hampir tidak dipedulikan lagi dalam pengajaran bahasa sekalipun dan usaha selama lebih dua dekad merancangnya menjadi sia-sia. Demikianlah buruknya kesan keputusan yang dibuat dengan tidak memperhitungkan dasar yang telah diputusan dan pelaksanaan yang telah berlangsung sekian lama serta mendatangkan manfaat yang jelas.

Dalam era Allahyarham menjadi Pengerusi Lembaga Pengelola DBP jugalah timbul krisis besar yang melibatkan Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Pada tahun 2002 kerajaan di bawah kepemimpinan Dr. Mahathir Mohamad mengambil keputusan untuk melaksanakan pengajaran subjek-subjek berteraskan sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI). Sekali lagi Allahyarham bersama-sama dengan Lembaga Pengeloa dan pengurusan DBP, Persatuan Linguistik Malaysia dan badan-badan bukan kerajaan yang lain terpaksa menentang arus. Pertemuan dengan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Pendidikan, pemimpin-pemimpin parti pemerintah dan yang lain diadakan. Forum, seminar, dialog dan penghantaran memorandum kepada kerajaan digiatkan. Allahyarham merupakan salah seorang tokoh yang sering tampil di pentas forum dan mengeluarkan pernyataan media yang tegas. Bersama-sama dengan beliau, saya mengusahakan pengumpulan makalah-makalah perjuangan bahasa dan menerbitkannya sebagai buku, dengan judul Suara Pejuang Bahasa (Persatuan Linguisitik Malaysia, 2005). Dengan sokongan Allahyarham dan Dato' A. Aziz Deraman jugalah penerbitan Siri Bicara Bahasa yang merupakan penerbitan buku kecil perjuangan bahasa tulisan sarjana dan pejuang bahasa dapat saya usahakan. Kira-kira 20 judul dapat diterbikan dalam tempoh kritikal pejuang bahasa menghadapi pelaksanaan PPSMI.

Saya mengagumi dan menghargai keikhlasan Allahyarham dalam perjuangan, walaupun ketegasan sikap dan keberanian beliau mengkritik pelaksanaan dasar yang bertentangan dengan semangat Perlembagaan, Akta Pendidikan dan Akta Bahasa Kebangsaan pasti menyebabkan ada pihak yang tidak senang dan malah menghukumnya kolot, jumud, fanatik dan malah kononnya petualang kemajuan bangsa (seperti yang dilaporkan oleh salah sebuah akhbar perdana ketika itu). Beliau menyedari bahawa beliau berhadapan dengan risiko tidak akan disambung khidmatnya sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola DBP kerana ketegasan dan kelantangan suara perjuangannya, dan ternyata dugaannya itu memang benar-benar terjadi. Bagaimanapun, pengiktirafan tentang kemuliaan perjuangannya tidak dapat disembunyikan apabila pemimpin-pemimpin negara, termasuk Perdana Menteri sendiri, mengakui Allahyarham sebagai tokoh pejuang bahasa yang teguh pendiriannya.

Dalam tempoh yang panjang saya masih merasakan kehilangannya, sebagai tokoh pejuang bahasa dan bangsa dan juga sebagai sahabat sejati. Restoran di Kelab Taman Bunga Kuala Lumpur, restoran di Kelab Golf Jalan Tun Abdul Razak, medan selera KLCC, kedai makan di Taman Shamelin, Restoran Secret Recipe dan kedai mamak di Desa Pandan berhampiran dengan rumahnya, merupakan beberapa tempat yang meninggalkan kenangan manis kerana di situlah, saya dan dua tiga orang teman lain bersama-sama dengannya sering bersembang santai (tetapi sebahagiannya tentang isu-isu yang serius) sambil makan-makan atau minum-minum. Sekali-sekala apabila Allahyarham berasa bosan atau letih memikirkan sesuatu, segera beliau menelefon atau mengirimkan sms untuk bersua di mana-mana warung atau kedai makan. Beberapa kali dalam bulan Ramadhan, sesudah selesai solat Isyak dan tarawih, kami berjumpa di kedai mamak di Desa Pandan, tidak jauh dari rumahnya di Jalan U Thant. Demikian juga, rumah kampungnya di Beserah, Kuantan yang sesekali saya singgahi apabila beliau berhujung minggu di sana kerana berkebun, menjadi tempat yang cukup meninggalkan kenangan. Yang tidak kurang mengimbau kenangan ialah rumahnya di Janda Baik yang menjadi tumpuan anak buahnya dari DBP ketika musim buah-buahan, terutama musim durian.

Biografi Allahyarham amat perlu diusahakan penyusunan dan penerbitannya, kerana banyak kisah yang bukan sahaja menarik tetapi penting dalam konteks lakaran kepemimpinan politik, bahasa dan persuratan dan juga sosioekonomi di negara ini. Allahyarham terlibat dalam kepemimpinan politik, sebelumnya dalam Perbadanan Ekonomi Negeri, kemudian pernah menjadi Pengerusi MARA, Pengerusi Shamelin dan Yang Dipertua Angkasa, dan yang penting juga dalam kepemimpinan bahasa dan persuratan, di peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa. Saya tahu bahawa sejak tahun 2000 ada projek Jabatan Penerbitan DBP untuk menghasilkan biografinya, daripada seorang penulis kepada penulis yang lain, tetapi hingga akhir hayatnya tampaknya buku itu belum terbit. Kini pada hemat saya sudah sampai masanya penerbitan biografi tokoh yang berjasa besar itu diterbitkan untuk menjadi teladan dan sumber inspirasi kepada pemimpin muda dan bakal pemimpin di negara ini.

Alfatihah untuk Allahyarham Dato' Abdul Rahim bin Abu Bakar; semoga rohnya ditempatkan di sisi golongan yang dirahmati Allah.

1 comment:

  1. Salam, Prof;
    Harimau mati meninggalkan belang, gajah mati meninggalkan gading. Seelok-eloknyalah biografi beliau segera diusahakan oleh pihak DBP, khususnya. Memang banyak orang yang mengagumi beliau kerana tidak banyak orang yang berkepentingan berani menyongsang arus seperti beliau. Al-Fatihah.

    ReplyDelete