Wednesday, May 12, 2010

Kajian Islam di China: Institusi Masjid


Kajian tentang Islam di negara China telah dilakukan oleh sarjana setempat dan sarjana luar, termasuk dari Barat. Sudah ada terbitan dalam bentuk buku dan jurnal tentang hal itu. Namun, tujuan saya melakukan kajian tentang Islam di China adalah untuk meninjaunya dengan mata kepala saya sendiri, khususnya masyarakat, sistem dan institusi-insitusi yang wujud. Salah satu institusi yang tidak dapat dipisahkan daripada Islam dan masyarakat Islam ialah masjid.

Amat banyak aspek yang dapat dikaji tentang masjid di China, daripada segi sejarahnya, seni binanya, pengurusannya dan apatah lagi daripada segi peranannya dalam melestarikan syiar Islam melalui pendidikan dan pelaksanaan ibadah khusus dan umum. Dengan terhadnya waktu dan kekangan tugas ilmiah yang lain, terutama perkuliahan dan penyelidikan lain tentang perbandingan aspek-aspek kebahasaan antara bahasa Melayu dengan bahasa Mandarin serta hubungan tamadun Melayu dan tamadun China, kajian tentang masjid di China hanya dapat saya lakukan menurut waktu yang terluang dan ketika berkunjung ke kota-kota tertentu di luar Beijing.

Sukar untuk dibayangkan kemungkinan terlaksananya kajian yang tuntas tentang masjid di China kerana menurut sumber Persatuan Islam China, terdapat lebih daripada 40,000 buah masjid di seluruh negara, dengan lebih daripada 50,000 orang imam. Di Beijing sahaja terdapat 72 buah masjid. Berdasarkan pengalaman setakat ini, satu sesi kajian sehari hanya memungkinkan kunjungan dan tinjauan ke dua atau tiga buah masjid sahaja. Maklumlah, keluasan Beijing menyamai keluasan negeri Selangor! Jarak antara sebuah masjid dengan sebuah masjid kebanyakannya tidaklah begitu dekat dan seringkali faktor perjalanan dengan bas,kereta api bawah tanah dan teksi mengambil waktu. Mencari lokasi sebilangan masjid pula tidaklah begitu mudah walaupun berpandukan peta dan maklumat di internet.

Secara beransur-ansur saya lakukan kajian masjid-masjid di Beijing sahaja dahulu, dengan tambahan tentang masjid-masjid yang sempat saya kunjungi ketika bertugas di luar kota Beijing.

Masjid Madian

Saya mulakan laporan kajian profil masjid di China dengan Masjid Madian yang merupakan sebuah daripada tujuh buah masjid di daerah Haidian. Masjid itu terletak di Jalan Madian Selatan dan merupakan salah sebuah masjid yang besar, dengan keluasan dewan solatnya 3800 meter persegi. Masjid ini dibina dalam zaman pemerintahan Maharaja Kangxi dalam Dinasti Qing, lebih daripada 300 tahun lalu. Malah menurut Imam Imaduddin (lulusan Institut Islam Beijing, tidak jauh dari Niu Jie) yang saya wawancara pada 14 April 2010, usia masjid itu menjangkau 400 hingga 500 tahun. Di pekarangan masjid itu terdapat sebatang pohon yang dikatakan berusia 800 tahun.

Seni binanya membayangkan seni bina tradisional China dalam zaman dinasti-dinasti dahulu kala, yang menunjukkan wujudnya paduan yang erat antara unsur budaya setempat dengan imej Islam yang tertampil pada seni khat dan unsur-unsur penting masjid seperti mihrab dan mimbar. Seperti kebanyakan masjid lain di China, Masjid Madian dilengkapi pejabat imam dan pejabat am, ruang tamu, bilik pengajian, bilik wudhuk dan tandas serta dapur.

Masjid Madian menjadi pusat kegiatan ibadah khusus seperti solat jamaah lima waktu, solat Jumaat dan solat sunat Idulfitri dan Iduladha. Semasa solat Jumaat, ratusan orang hadir, sementara pada hari raya jumlahnya mencecah sehingga seribu orang. Di samping itu, diadakan sambutan keagamaan yang lain seperti Maulidurrasul dan ibadah qurban. Kelas pengajian agama diadakan pada hari Jumaat dan Ahad dan kebanyakannya disertai oleh golongan dewasa, dengan penyertaan sejumlah orang muda dan kanak-kanak pada hari Ahad.

Pada masa tinjauan saya lakukan, terdapat tiga orang imam (dalam kalangan masyarakat setempat, imam disebut A Hong) yang bertugas di Masjid Haidian, iaitu Imam Imaduddin, Imam Syamsuddin dan Imam Ismail dengan bantuan muazzin. Terdapat siak yang sepenuh masa bertugas menjaga masjid.

Sekitaran Masjid Madian meriah dengan kedai daging halal dan kedai makan Islam yang dikendalikan oleh orang Islam dari Hebei, Lanjhou dan Xinjiang, di samping oleh orang Hui(majoriti orang Islam di China) sendiri.

Untuk rakan dan kenalan yang hendak ke masjid itu dengan teksi, saya petik ayat anjuran Haji Zaharuddin Pilus di laman web China Radio International:

"Wo xiang qu ma dian qing zhen si" (saya hendak pergi ke Masjid Maidian). Usah terkejut apabila mengetahui bahawa kata qing zhen si bagi "masjid" dalam bahasa Mandarin secara harafiah bererti 'kuil halal'!

[Penghargaan kepada anakanda Izzuddin dan Ahmad yang menyertai kajian saya sebagai jurubahasa dan jurufoto]

2 comments:

  1. Salam, Prof,
    Besarnya Beijing! Di Selangor, jumlah masjid yang ada pasti lebih daripada 72 buah, tetapi di Beijing tentulah bilangan umat Islamnya kurang daripada bilangan umat Islam di Selangor.

    Kajian dan pengalaman Prof sangat berguna kepada pembaca, termasuk saya, kalau suatu hari nanti bercadang untuk berziarah ke Beijing.

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum Prof Awang.

    Saya, Fadhilah, pelajar Universiti Malaya dan sedang di dalam proses membantu adik-adik di sebuah madrasah di Singapura yang akan menyertai peraduan Bahas 4PM yang diadakan setiap tahun antara institusi tinggi di seluruh Singapura.

    Saya ingin mendapat beberapa pandangan atau bahan yang boleh dirujuk untuk membahaskan tajuk di bawah.

    Kedwibahasaan Mendatangkan Kesan Buruk Kepada Salah Satu Bahasa yang Digunakan.

    Sangat mengharapkan Prof dapat memberikan bahan atau sumber yang boleh dirujuk.

    Terima kasih.

    :)

    Fadhilah. ym saya: fedhilah@yahoo.com.sg

    ReplyDelete