Tuesday, June 1, 2010
Kajian Islam di China: Menjejaki Warisan Islam di Kunming (2)
Haji Muhammad Ishak @ Ma Shao Tan - Tokoh Islam yang Zuhud
Saya langkau beberapa episod lain dalam misi menjejaki warisan Islam di kota Kunming kerana ada kisah yang penting dan menarik yang ingin saya perkongsikan dengan pembaca. Kisah ini berkaitan dengan salah seorang informan kajian saya di Masjid Shun Cheng di Jalan Shun Cheng, Kunming pada 6 Mei 2010.
Nama Islamnya Haji Muhammad Ishak, sementara nama Chinanya Ma Shao Tan. Usianya sudah menjangkau 83 tahun. Beliau saya temui secara kebetulan sewaktu saya dan keluarga berkunjung ke masjid tersebut pada kira-kira pukul 9 pagi sesudah sarapan. Perkenalan bermula dengan sapaannya kepada salah seorang puteri saya dalam bahasa Inggeris, "Malaysian?" dan "Muslim?". Oleh sebab saya memang memerlukan informan untuk mendapat maklumat tentang masjid tua yang berusia 400 tahun itu, saya terus meminta Laila @ Liang Yan (pelajar sarjana saya di BFSU) menerjemahkan pertanyaa-pertanyaan yang berkaitan dengan beberapa maklumat tentang masjid dan hal lain tentang Islam di Kunming.
Maklumat itu akan saya paparkan dalam makalah lain, kerana untuk makalah ini sorotan saya tertumpu pada keperibadian tokoh yang saya temui itu. Daripada maklumatnya sendiri dan daripada maklumat sepasang suami, Haji Ali (68 tahun) dan Hajah Fatimah (67 tahun)yang merupakan anggota jamaah masjid dan jiran beliau, Haji Muhammad Ishak merupakan peniaga kedai jed bertaraf pemborong di Kunming. Beliau memiliki tiga buah kedai jed di kota itu. Apabila saya tanyakan di manakah beliau belajar bahasa Inggeris sehingga dapat bertutur sedikit banyaknya dalam bahasa itu, beliau menjelaskan bahawa beliau tamatan Universiti Bangsa-bangsa Yunnan (Yunnan Nationalities University). Beberapa kali beliau menyebut nama Almarhum Tunku Abdul Rahman dan Dr. Mahathir untuk menjelaskan bahawa beliau tahu akan sesuatu tentang Malaysia. Kebetulan seorang cucunya sedang menuntut di Malaysia, di Universiti Multimedia, Cyberjaya dalam bidang pengurusan perniagaan.
Sesudah mendapat beberapa maklumat asas tentang Islam di Kunming, termasuk tentang masjid Shun Cheng yang kami kunjungi itu, saya dan keluarga mengambil kesempatan memasuki dewan solat masjid dan melaksanakan solat sunat Tahiyatul Masjid serta solat sunat Dhuha dan kemudian mengambil gambar beberapa sudut di dalam dan di pekarangan masjid. Dengan murah hati, Haji Muhammad Ishak mempersilakan kami ke rumahnya untuk minum teh dan berkenalan lebih lanjut. Oleh sebab pada pagi itu kami tidak ada acara lain dan kemesraan pula telah berputik antara kami sekeluarga dengan beliau dan pasangan suami isteri jirannya itu, kami terima pelawaannya itu dengan senang hati.
Rumahnya terletak tidak jauh dari masjid, di tingkat lima sebuah flat sederhana. Kami dihidangi teh 3-dalam-1 dan beberapa jenis kuih tradisional. Saya menjadi begitu terharu apabila mengenang bahawa sebagai orang yang kaya-raya, Haji Muhammad Ishak selesa tinggal di flat yang amat sederhana serta mengurus makan minum dan segala keperluan hidupnya sendiri dalam usia selanjut 83 tahun. Isterinya telah meninggal dunia. Ruang tamunya penuh dengan kabinet yang berisi naskhah Qur'an dengan terjemahan dalam bahasa China, kitab-kitab agama dan pelbagai dokumen tentang Islam.
Rupa-rupanya beliau mempunyai sebuah yayasan yang khas mencetak dan mengedarkan bahan-bahan pendidikan agama Islam, termasuk al-Qur'an ke masjid-masjid dan madrasah-madarasah. Yayasannya itu diberi nama Huiguang Nation Culture Charitable Fund. Selain itu, beliau mengeluarkan biaya membaiki dan membina semula masjid perempuan yang terletak di sisi masjid Shun Cheng itu.
Betapatah tidak terharu dan sebaknya saya apabila mengenang bahawa Haji Muhamamd Ishak telah benar-benar menyalurkan kekayaannya untuk mencari keredhaan Allah, dengan menyumbangkannya kepada masjid dan madrasah serta masyarakat Islam di kota itu. Beliau tidak menggunakan kekayaannya untuk kehidupan yang mewah. Keadaan rumahnya, kelengkapan yang ada di dalamnya dan penampilan dirinya cukup membayangkan betapa zuhudnya beliau. Tiada terpancar ujub dan riyak di wajahnya. Tiada sedikit pun tergambar rasa bangga dan sombong kerana harta kekayaan yang dimilikinya. Senyuman dan ketawanya ikhlas. Perkataannya jujur lahir dari sanubari yang bersih dan tidak berkarat oleh hubbuddunya (kecintaan kepada dunia).
Senaskhah al-Qur'an dengan terjemahan dalam bahasa China menjadi hadiah paling berharga yang saya terima daripada beliau. Tiga orang puteri saya dan cucu saya yang baru berusia setahun sembilan bulan pula masing-masing mendapat hadiah gelang jed daripada 'datuk' angkat mereka. Perkenalan saya dengan Haji Muhammad Ishak pada hari itu merupakan takdir Allah yang cukup besar hikmahnya. Saya bukan sahaja mendapat seorang informan yang dapat dipercayai, malah menemui seorang yang mewarisi sifat Nabi, para sahabat dan para aulia yang zuhud - memiliki kekayaan tetapi kekayaan itu tidak dimiliki untuk kerakusan nafsu duniawi tetapi untuk mengembangkan syiar dan risalah Allah. Allahu Akbar! Doaku mudah-mudahan Allah memanjangkan usiamu dan menambahkan kemurahan rezeki kepadamu agar ayahanda Haji Muhammad Ishak dapat terus berjihad di jalan Allah bagi kepentingan risalah Tauhid, umat Islam di kota dan pronvinsi kediamannya serta umat Islam sejagat. Amin Ya Rabbal Alamin.
Ya, Allah, jadikanlah Haji Ishak sebagai ahli jannah-Mu. Allahumma amin.
ReplyDeleteAmin. Semoga kita beransur-ansur mengikuti langkahnya menjadi orang yang zuhud.
ReplyDelete