Monday, June 28, 2010

Kajian Islam di China: Menjejaki Warisan Islam di Kunming (4)

Islam nan Mekar di Yunnan dan Kunming




Keterangan gambar: Masjid Nan Cheng di Jalan Jin Bi; Pintu gerbang Sekolah Menengah Etnik-etnik Kunming; Paparan perihal pentingnya ilmu, termasuk petikan hadith

Sesudah menyorot kisah Islam di Baldatun Na Gu dan kisah aktivis Islam yang zuhud di Kota Kuming, kisah Islam di Kunming saya putar semula kepada beberapa maklumat yang sempat saya peroleh dalam kunjungan rehlah keluarga beserta kajian ringkas.

Kota Kunming bersejarah yang cukup panjang, iaitu 2400 tahun. Cuaca yang nyaman pada sepanjang tahun menyebabkan Kunming mendapat jolokan "Kota Musim Bunga Abadi". Kedudukannya yang strategis di bahagian barat daya China menjadikannya pintu keluar masuk utama Jalan Sutera untuk perdagangan dari dan ke Tibet, Sichuan, Myanmar dan India, dalam zaman silam. Hingga kini, Yunnan, iaitu provinsi yang ibu kotanya Kunming terkenal sebagai bahagian segi tiga emas bersama-sama Laos dan Mynmar.

Yunnan menampung jumlah etnik yang terbesar berbanding dengan provinsi-provinsi lain di China. Terdapat 26 kumpulan etnik minoriti di Yunnan, seperti Yi, Bai, Miao dan Dai. Penduduk Islam di Yunnan tidak tergolong dalam etnik yang 26 itu, oleh sebab jumlahnya yang agak besar, iaitu kira-kira satu perlapan daripada penduduk Yunnan seluruhnya. Hal ini menujukkan bahawa provinsi Yunnan, termasuk Kunming sebagai ibu kotanya merupakan bumi tempat mekarnya Islam berkembang yang warisannya masih bertahan hingga kini. Dua hari raya, iaitu Idulfitri dan Iduladha diiktiraf sebagai cuti umum bagi orang Islam di Yunnan.

Sejarah petempatan orang Islam di Yunnan dikatakan bermula dalam zaman Dinasti Yuan, iaitu dinasti orang Monggolia, pada abad ke-13. Meskipun dinasti itu bercitrakan agama Buddha, namun banyak tenteranya yang terdiri daripada orang Islam. Dengan kedatangan tentera-tentera dinasti itu ke Yunnan, terjadilah perkahwinan campur dengan penduduk setempat sehingga berkembanglah zuriat orang Islam dari waktu ke waktu.

Di Yunnan, terdapat empat pusat petempatan Islam yang besar. Selain di Kunming, penduduk Islam banyak bermastautin di Shidian, Shadian dan Na Gu. Malah di Dali, iaitu kota yang dahulunya menjadi ibu kota Yunnan pun terdapat jumlah penduduk Islam yang agak besar. Kisah Islam di Na Gu telah sedikit banyaknya saya perikan dalam bahagian ketiga siri rencana ini. Menurut pemilik kedai makan tidak jauh dari pusat pelancongan Hutan Batu (Stone Forest) yang perjalanannya dari Kunming mengambil waktu dua jam, Haji Yusuf, di bandar Shidian terdapat 40 ribu penduduk Islam. Keseluruhan penduduk Islam di Yunnan berjumlah 600 ribu orang. Amatlah menarik bahawa dalam perjalanan dari Kunming ke Hutan Batu, kelihatan beberapa buah masjid yang seakan-akan menyerupai masjid di Melaka.

Orang Islam di Yunnan terdiri daripada dua kumpulan utama, iaitu orang Hui dan orang Monggol. Orang Hui sebenarnya merupakan istilah yang digunakan untuk merujuk kepada semua orang Islam di China, tetapi pada hakikatnya orang Islam terdiri daripada tidak kurang 10 kaum yang berbeda, seperti orang Hui, Uyghur (di Xinjiang), Kirgiz, Tatar, Tajik, Dongxiang, Sala dan Bao'an.

Terakam dalam sejarah bahawa tentera yang beragama Islam banyak terlibat dalam peperangan menentang penjajahan Jepun. Sewaktu Republik Rakyat China di tubuhkan pada tahun 1848 pula, banyak pegawai daripada kalangan orang Islam yang dilantik menjadi pegawai pemerintah. Sebagai bukti bahawa penduduk Islam merupakan bahagian yang penting di Yunnan, di kota Kunming terdapat pejabat hal ehwal agama Islam.

Orang Islam di China dapat dikenal dengan agak mudah berdasarkan nama keluarga (yang letaknya di pangkal nama seseorang) walaupun tidak semua orang Islam di China menggunakan nama berkenaan. Antara nama yang cukup terkenal termasuklah Sha, Ma dan Na. Tentang nama ma, terdapat etimologi atau asal usul kata yang menarik. Kata itu dalam bahasa Mandarin (dengan sebutan nada 3) bermakna 'kuda'. Orang Islam pada zaman dahulu banyak yang berniaga kuda; lalu lekatlah nama keluarga itu di pangkal nama orang yang berketurunan peniaga kuda. Di Malaysia, kita kenal akan tokoh dakwah dan usahawan China yang terkenal, iaitu Allahyarham Ibrahim Ma.

Sementara itu, menurut Haji Salehah yang saya temui di Na Gu, nama keluarga Na pula dipercayai ada kaitannya dengan keturunan yang bernasab Nabi Muhammad, sama dengan kepercayaan dalam masyarakat Melayu bahawa Sayid atau Syed itu ada kaitannya dengan keturunan Nabi.

Di Kunming, petempatan Islam yang terkenal ialah Jalan Jin Bi (Jin Bi Lu). Namun demikian, pemodenan kota itu telah menyebabkan jalan Jin Bi kehilangan sebahagian citra sebagai petempatan dan kawasaan perniagaan orang Islam, apabila di situ didirikan pelbagai pusat beli belah dan kompleks pejabat yang baharu, mulai tahun 2005.

Bagaimanapn syukur kerana warisan petempatan dan kawasan perniagaan serta pusat kegiatan orang Islam masih dapat diperhatikan dengan jelas di sepanjang jalan itu. Lelaki berkopiah putih dan wanita bertudung yang sibuk dengan kegiatan masing-masing masih dengan mudah dan kerap dapat dilihat. Masjid terbesar dan termoden, iaitu Masjid Nan Cheng (Masjid Bandar Selatan) yang berusia 300 tahun tetapi telah dibina semula dengan seni bina moden pada tahun 2009 menjadi salah satu mercu tanda di kota Kunming, dan khususnya di Jalan Jin Bi. Masjid empat tingkat itu lengkap dengan dataran medan selera, ruang pejabat, kemudahan penginapan, ruang perniagaan dan dewat solat serta kemudahan lain dan terletak di pusat perniagaan yang cukup sibuk.

Selain masjid itu, terdapat lima buah masjid lain di Kunming, iaitu Masjid Shun Cheng (Masjid Susur Bandar), Masjid Yong Lin (Masjid Kekal Abadi), Masjid Jin Niu Jie (Masjid Jalan Kerbau Emas), Masjid Yi Xi Gong (Masjid Gotong-royong Orang Barat) dan Masjid Ceng De (Masjid Menghargai Budi Bahas). Antara semua masjid itu, Masjid Shun Cheng merupakan masjid yang tertua, iaitu berusia 400 tahun dan masjid yang paling aktif dalam pengembangan dakwah. Kompleks masjid itu bukan sahaja lengkap dengan bangunan masjid wanita yang terpisah daripada bangunan utama masjid, bahkan dilengkapi madrasah berasrama yang menawarkan kursus bahasa Arab dan pengajian al-Qur'an. Kursus jangka panjang berlangsung selama empat tahun, selain kursus jangka pendek yang pelajarnya terdiri daripada orang dewasa dan remaja. Dalam kunjungan saya ke masjid itu, kelihatan sejumlah wanita dewas berbual-bual di koridor tingkat atas asrama dan sebilangan yang lain mengambil angin di pekarangan masjid. Di luar kompleks masjid pula, terdapat beberapa baris kedai yang menjual barang keperluan orang Islam, termasuk kedai pakaian dan kedai makan. Ada antara kedai pakaian itu yang menjual kain tudung dari Malaysia.

Sekolah Menengah Etnik-etnik, iaitu sekolah yang menampung pelajar pelbagai etnik, termasuk pelajar Islam berdiri megah di susur Jalan Jin Bi. Ada dua hal yang cukup menarik sebagai kesan pandangan pertama apabila melihat sekolah itu. Yang pertama ialah seni bina di bahagian hadapan, terutama pintu gerbang dan temboknya yang menggambaran seni bina Islam. Yang kedua ialah adanya paparan setinggi tidak kurang daripada 10 kaki atau lebih kurang tiga meter di sisi kanan dan sisi kiri pintu gerbang itu. Di sisi kanannya terdapat tiga paparan petikan hadith Nabi, pepatah Kongfutze dan seruan Mao Ze Dong, kesemuanya tentang perihal pentingnya ilmu dan pendidikan. Di sisi kirinya pula terdapat paparan nama tiga orang sarjana terkenal, termasuk seorang sarjana Islam. Kedua-dua hal yang cukup menarik itu, iaitu seni bina Islam sebagai citra sekolah menengah pelbagai etnik dan paparan perihal pentingnya ilmu dan sarjana Islam menjadi bukti jelas bahawa Islam telah demikian lamanya berakar dan mekar di Yunnan, termasuk di Kunming. Malahan kedua-dua hal itu tadi turut membuktikan penerimaan dan tolerasni etnik-etnik lain terhadap orang Islam yang cukup tinggi di situ.

Hati saya bagaikan digamit oleh lambaian kota-kota lain di Yunnan yang turut menjadi petempatan orang Islam. Pasti banyak warisan Islam yang dapat ditemukan dan diperhatikan di sana. Tidaklah menghairankan bahawa Maharaja dalam Dinasti Ming mengutus putera China dari Kunming, iaitu Laksamana Zheng He (dalam persuratan dan sejarah Melayu dikenal sebagai Laksamana Cheng Ho dan nama Islamnya Ma Poh Sam) sebanyak tujuh kali ke alam Melayu, terutama ke Melaka, kerana beliau merupakan bukan sahaja duta yang hebat malahan pendukung syiar Islam yang membawa berkat dalam hubungan antara alam Melayu dengan China. Semoga Islam dan umat Islam di Yunnan dirahmati Allah dan melanjutkan penyuburan syiar Islam di bumi China.

2 comments:

  1. Assalaamu'alaikum

    Saya amat berminat nak melawat tempat2 umat Islam di China. Setakat ini saya cuma pernah pergi beijing sahaja. Bandar2 besar ni, adalah umat Islam disana sini tapi tak seperti tempat yg anda lawati ini. saya harap prof dpt berikan maklumat lbh detail serta lampirkan no contact teman di kunming/xi'an. Kalau ada kesempatan saya nak jumpa prof, insha ALLAH.
    Saya teman sepermainan sewaktu zanan kanak2 dengan dr hanafi ibrahim yang juga bekerja di DBP.

    Kemungkinan saya dan rakan2 semuanya dari jabatan bhs arab uia akan berkunjung ke Kunming/xi'an pd bln oct nanti, insha ALLAH. Saya pernah bertemu dgn orang islam kunming/xi'an dan xinjiang sewaktu di beijing dahulu dan mereka fasih berbahasa arab. Kami nak tinjau pembelajaran bahasa arab disana.

    Minggu lps kami backpacking ke chiangmai dgn airasia. Dari situ ke Tachilek, myanmar dan ke sempadan laos dgn bas.
    جزاك الله خيرا

    ReplyDelete
  2. Assalaamu'alaikum

    Saya amat berminat nak melawat tempat2 umat Islam di China. Setakat ini saya cuma pernah pergi beijing sahaja. Bandar2 besar ni, adalah umat Islam disana sini tapi tak seperti tempat yg anda lawati ini. saya harap prof dpt berikan maklumat lbh detail serta lampirkan no contact teman di kunming/xi'an. Kalau ada kesempatan saya nak jumpa prof, insha ALLAH.
    Saya teman sepermainan sewaktu zanan kanak2 dengan dr hanafi ibrahim yang juga bekerja di DBP.

    Kemungkinan saya dan rakan2 semuanya dari jabatan bhs arab uia akan berkunjung ke Kunming/xi'an pd bln oct nanti, insha ALLAH. Saya pernah bertemu dgn orang islam kunming/xi'an dan xinjiang sewaktu di beijing dahulu dan mereka fasih berbahasa arab. Kami nak tinjau pembelajaran bahasa arab disana.

    Minggu lps kami backpacking ke chiangmai dgn airasia. Dari situ ke Tachilek, myanmar dan ke sempadan laos dgn bas.
    جزاك الله خيرا

    ReplyDelete