Sunday, October 17, 2010

Kisah Bahasa Melayu di Jepun

Mazlan Nordin
(Mingguan Malaysia, 9 Mei 2010)

SEBILANGAN orang Jepun mula belajar bahasa Melayu 100 tahun lalu, demikian menurut Moriyama dalam sebuah esei. Buku pertama terbit pada awal 1900-an dan kini jumlah pelbagai buku dan kamus Melayu lebih daripada 200 judul.

Beliau mencatat hal tersebut ketika mengisahkan perjalanan Marquis Yoshichika Tokugawa (1886-1976), seorang pembesar Jepun yang disebut sebagai pelopor pelajaran bahasa Melayu di negeri Jepun setelah menjelajah Semenanjung Tanah Melayu dan Pulau Jawa. Beliau kemudian menjadi ketua Muzium Singapura dan Botanical Gardenssemasa Perang Pasifik.

Esei tersebut terbit dalam buku berjudul Lost Times and Untold Tales from the Malay World (NUS Press Singapore, 2009). Lalu disiarkan gambar salah sebuah buku pertama bahasa Melayu itu yang terbit pada tahun 1912, berjudul Marai-go Dokusyu, lengkap dengan tulisan Jawi.

Moriyama mulanya bercerita mengenai sebilangan kecil warga Jepun merantau ke negeri-negeri sebelah selatan kepulauan Jepun. Antara mereka termasuklah peniaga-peniaga kecil dan juga pelacur.

Sebilangan mereka berjaya memiliki ladang-ladang getah dan ada juga yang melabur dalam industri bijih timah. Kerana itu pengetahuan bahasa Melayu digalakkan.
Seperti dicatat oleh Moriyama: "Bahasa Melayu menjadi bahasa terpenting kerana digunakan secara meluas di negeri-negeri yang dijajah oleh Inggeris dan Belanda."
Lalu, antara yang mula terbit ialah kamus dwibahasa Melayu dan Jepun. Pada peringkat permulaan disiarkan seruan: "Marilah kita pergi ke Selatan". Pada peringkat persekolahan pula bahasa Melayu diajarkan bagi kali pertama pada tahun 1908 di dua buah sekolah di Tokyo.

Moriyama menambah: "Oleh sebab tiada guru Jepun yang dapat mengajarkan bahasa Melayu di sekolah, maka guru-guru Melayu dipelawa datang ke negara Jepun untuk mengajar bahasa Melayu. Mereka mungkin menggunakan bahasa Inggeris ketika menyampaikan pelajaran. Sekurang-kurangnya lima orang guru Melayu datang dari Semenanjung Tanah Melayu untuk mengajar para pelajar Jepun di Tokyo."

Lantas disebut nama seorang daripada mereka. Bachee bin Wan Chik (atau Bachik bin Wan Chik) yang kemudian menyusun sebuah kamus dwibahasa Melayu-Jepun. Beliau mengajar selama 19 tahun dan kemudian dikurniai bintang kehormatan kerana sumbangannya itu.
Antara buku pelajaran Melayu yang paling laris termasuklah Marai-go yon shu-kan (bahasa Melayu dalam Empat Minggu) yang terbit pada tahun 1937. Buku itu kemudian diulang cetak sehingga 30 kali.

Yang turut menyusun buku tersebut ialah Marquis Yoshichika Tokugawa bersama gurunya Sumitake Asakuri, seorang professor bahasa Melayu di Universiti Tokyo.
Pelajaran bagi dua hari pertama ialah bunyi sesuatu perkataan dan perbezaan antara sebutan bahasa Melayu dan bahasa di negeri-negeri yang dijajah oleh Belanda.

Pelajaran bagi hari ke-24 ialah bagaimana mahu menggunakan perkataan-perkataan seperti alkisah, arakian, sa-bermula.

Pelajaran bagi hari ke-27 dan 28 ialah cerita-cerita daripada Hikayat Pelandok, Dari Hal Tuan Raffles Hendak Pulang dan Pantun Melayu.

Pada satu peringkat lain, diperturunkan kata-kata mengenai harimau: "Untung sekali sahaya sudah lihat harimau lebih dulu dia lihat sama sahaya dan dengan satu peluru boleh sahaya matikan dia."

Kata-kata tersebut ialah dari Marquis Tokugawa yang gemar memburu beruang dan harimau. Menurut yang empunya cerita, beliau akhirnya memilih Tanah Melayu dan Pulau Jawa kerana kegemarannya itu.

Juga diceritakan betapa beliau menjalin hubungan mesra dengan Sultan Ibrahim Negeri Johor setelah bersama-sama memburu. Dalam surat-menyurat kedua-duanya menggunakan tulisan Jawi.

Pada 7 Februari 1929, dalam surat Sultan Ibrahim dari Istana Pasir Pelangi di Johor Bahru, baginda menulis: "Sahabat saya Marquis Tokugawa." Selanjutnya pujian baginda kepada Tokugawa kerana menggunakan bahasa Melayu yang baik.

Tokugawa memang menyedari pentingnya bahasa Melayu ketika perantauannya di Tanah Melayu dan Jawa. Hubungan mesra dengan Sultan Ibrahim mendorongnya mempelajari bahasa Melayu yang baik dan tulisan Jawi kerana dalam surat Sultan Ibrahim disebut mengenai warga kulit putih juga belajar bahasa Melayu, tetapi mereka lebih gemar menulis rumi.
Seperti diketahui semasa pemerintahan tentera Jepun di Malaysia setelah tewas tentera Inggeris dan Belanda, bahasa Jepun (Nippon-go) diajarkan di sekolah-sekolah yang dahulu mengajarkan bahasa Inggeris.

4 comments:

  1. Salam, Prof,
    Maklumat baharu kepada saya. Begitu sekali orang asing mengagungkan bahasa Melayu, bukan sahaja untuk kepentingan diri sendiri, tetapi untuk kepentingan perdagangan.

    Kini, orang Melayu sendiri mengasingkan bahasanya. Orang Melayu itu bukan petani dan nelayan tetapi pemimpin merka, pemimpin kita.

    ReplyDelete
  2. Jika orang Jepun boleh menulis dalam Jawi, Mengapa orang Melayu tak menulis dalam jawi hari ini?!

    Semarak Jawi + Khat
    http://typophile.com/node/74436
    ------------------------
    Melompat Lebih Tinggi + Semoga Berjaya

    ReplyDelete
  3. Sdr. Zul,

    Selagi bahasa kurniaan Allah tidak difahami dan dihayati sebagai nikmat besar kepada sesuatu bangsa, maka selama itulah berlaku sikap meremehkan bahasa sendiri, walhal Allah dengan jelas menyebut bahawa manusia dijadikan-Nya daripada seorang lelaki dan seorang perempuan dengan pelbagai warna kulit dan bahasa (Surah al-Rum, 22).

    Penghargaan kepada jati diri, termasuk bahasa sendiri, hanya dimiliki oleh bangsa yang besar jiwanya (tidak kira bangsa itu Islam atau tidak). Malang sekali bangsa yang beragama Islam tetapi tidak menghayati Sunatullah sedang bangsa yang umumnya bukan Islam mengambil iktibar daripadanya untuk memajukan bangsanya.

    Sdr. Aziz Mostafa,

    Jawi telah jelas menjadi tulisan pengembang agama Islam dan alat pembentukan tamadun besar bagi bangsa Melayu, kerana dengan Jawilah berkembang bahasa Melayu baku, bahasa Melayu persuratan dan bahasa Melayu yang menyatukan umat di alam Melayu, termasuk yang etniknya bukan Melayu.

    Peminggiran Jawi bersebab daripada kesan penjajahan fikiran, kebudayaan dan pendidikan Barat, dengan anggapan bahawa pemodenan lebih praktis berlangsung dengan menggunakan Rumi, walhal di dunia ini ada bangsa yang tidak pun bergantung pada tulisan Rumi untuk pembangunan, seperti Rusia, Iran, negara-negara Arab, China, Korea, Jepun, Pakistan dsb.

    Pemerintah perlu meletakkan semula Jawi di tempat dan peranannya yang wajar, sekalipun dengan tidak perlu bertindak menggantikan Rumi. Biarlah kita mempunyai dua sistem tuisan yang kuat.

    ReplyDelete
  4. Semoga Bahasa Melayu akan terus menjadi akar warisan bangsa...
    Selamat Hari Lahir Prof....

    ReplyDelete