Monday, December 20, 2010

Penjenamaan Semula Kurikulum dan Tuntutan Pengisiannya



Gambar: Allahyarham Tun Abdul Razak, arkitek dasar dan sistem pendidikan negara

Penjenamaan Semula Kurikulum dan Tuntutan Pengisiannya

Prof. Dr. Awang Sariyan
Penyandang Kursi Pengajian Melayu Malaysia-China
[Terbit dalam Klik Web DBP www.dbp.gov.my]

Sebagai susulan keputusan kerajaan, khususnya Kementerian Pendidikan Malaysia, memansuhkan PPSMI atau Program Pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris bermula pada tahun 2012, telah dimasyhurkan proram MBMMBI, iaitu Program Memartabatkan Bahasa Melayu dan Meningkatkan Bahasa Inggeris.

Sebagai persiapan untuk menghadapi tahun 2012, telah direncanakan pengubahsuaian kurikulum yang hasilnya dikenal sebagai KSSR atau Kurikulum Standard Sekolah Rendah. Ada orang yang mempersoalkan nama kurikulum itu kerana sebelumnya telah ada Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan untuk peringkat sekolah menengah ada Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM).

Dalam hubungannya dengan sikap menghargai dan menghormati keputusan berani dan rasional kerajaan dalam hal pemansuhan PPSMI, di tengah-tengah gelombang kontroversi yang bersejarah, termasuk berulangnya perarakan ala Keranda 152 pada tahun 1960-an, pada hemat saya tidak perlulah isu nama dipolemikkan.

Saya lebih menilainya sebagai usaha penjenamaan semula kurikulum sistem pendidikan di negara kita yang mendukung hasrat untuk menghasilkan suatu bentuk transformasi budaya dan sosial. Dapat difahami bahawa apabila sesuatu proses transformasi atau reformasi akan dimulakan, salah satu langkah yang lazim dilakukan ialah mengetengahkan slogan yang diperkirakan dapat menggambarkan bentuk transformasi atau reformasi itu. Maka bagi saya, nama Kurikulum Standard Sekolah Rendah itu tidaklah lain daripada penjenamaan semula Kurikulum Bersepadu sekolah Rendah, dengan pengubahsuaian dan peningkatan aspek-aspek tertentu.

Dengan bersangka baik terhadap pengenalan kurikulum baru itu, tidaklah pula kita patut berpeluk tubuh tanpa berusaha menyemak kandungannya dan bagaimana pelaksanaannya berlangsung di sekolah. Kita patut memantau bahawa gagasan untuk memartabatkan bahasa Melayu sebagai salah satu aspek KSSR itu benar-benar dilaksanakan dengan ikhlas dan sungguh-sungguh pada semua peringkat, baik pada penyediaan bahan ajar, proses pengajaran dan pemelajaran (P&P) dan pengujiannya.

Penjenamaan semula kurikulum sekolah hendaklah disusuli dengan pengisian yang jelas dan terancang serta bersepadu sifatnya. Kita mengharapkan bahawa ciri kesepaduan kurikulum tidak diabaikan kerana matlamat pendidikan ialah untuk melahirkan insan yang cemerlang dalam semua aspek kehidupan. Selain cemerlang dalam bidang akademik, pelajar dituntut agar cemerlang dalam bidang akhlak, pemikiran, emosi, kreativiti dan sikapnya. Kesemua unsur itu menjadi inti pati sahsiah insan yang cemerlang.

Pemansuhan Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah dan pengubahsuaian Ujian Penilaian Sekolah Rendah yang akan lebih berdasarkan penilaian menurut sekolah diharapkan benar-benar berasaskan dorongan untuk membentuk sahsiah pelajar yang lebih bersepadu dan tidak lebih cenderung pada kecemerlangan dalam peperiksaan formal semata-mata. Kesempatan perlu diambil oleh pendidik dan pentadbiran sekolah agar kurikulum yang bersepadu diterjemahkan dengan tepat dalam proses pengajaran dan pemelajaran di bilik darjah.

Khusus tentang aspek bahasa pula, kesempatan pelaksanaan KSSR (dan kemudian KSSM pastinya) perlu diambil untuk membudayakan bahasa Melayu dalam kalangan murid dengan sebaik-baik dan seluas-luasnya. Pembudayaan bahasa mestilah dijuruskan kepada dua strategi penting. Yang pertama ialah pembudayaan bahasa Melayu untuk mengisi tarafnya sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu. Yang kedua pula ialah pembudayaannya daripada segi peningkatan mutunya.

Pembudayaan bahasa Melayu daripada segi tarafnya perlu menjadi asas kesedaran pentadbir dan pendidik di sekolah untuk merancang dan menetapkan peluasan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan dalam kalangan murid sesama murid dan antara murid dengan guru serta warga sekolah yang lain. Tidak sewajarnya timbul isu adanya sekolah yang mengedarkan surat kepada ibu bapa, contohnya, yang menggunakan bahasa asing kerana bahasa Melayu ialah bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi.

Segala kegiatan di sekolah seharusnya dapat dinilai penggunaan bahasa perantaraannya, agar tidak mengurangkan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi meskipun dalam keadaan tertentu memang ada keperluan menggunakan bahasa lain. Pastilah pembudayaan taraf bahasa Melayu dalam sekitaran sekolah memerlukan iltizam seluruh warga sekolah itu sendiri, terutama pihak pentadbiran sekolah.

Cabaran yang lebih mendasar ialah pelaksanaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, agar semua guru, tidak kira mata pelajaran apa yang diajarkannya, benar-benar dapat membudayakan bahasa yang memenuhi ciri laras bahasa ilmu, walaupun yang saya maksudkan bukan bahasa ilmiah seperti di pusat pengajian tinggi. Gagasan bahasa Melayu merentas kurikulum (BMMK) sewajarnya ditegaskan semula pelaksanaannya agar penguasaan bahasa Melayu, terutama sebagai bahasa ilmu, tidak diperoleh oleh murid hanya dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, tetapi dalam semua mata pelajaran.

Dalam hal pembudayaan mutu bahasa Melayu pula, KSSR hendaklah direncanakan pengisiannya agar dapat menjadi bahasa yang tidak simpang-perenang penggunaannya dalam kalangan murid. Selain aspek mekanik bahasa yang meliputi tatabahasa, sistem ejaan dan sebutan, peningkatan pembudayaan dalam penggunaan bahasa yang memanfaatkan aspek dinamik bahasa amat perlu ditekankan. Penguasaan bahasa kiasan dan gaya bahasa yang beragam hendaklah dipentingkan supaya dari awal lagi murid lazim menggunakan bahasa yang ada nilai estetik dan retoriknya.

Sementara itu, program meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris yang dikatakan menjadi punca kerjaaan pada tahun 2002 memutuskan pelaksanaan PPSMI hendaklah benar-benar diberi pengisian yang terancang. Dengan demikian, diharapkan tidak timbul keluhan atau kekecewaan mana-mana pihak dalam hal penguasaan bahasa Inggeris lepasan sekolah.

Kita amat berharap bahawa KSSR (dan kemudian KSSM) dapat menjadi wadah yang menangkis keperluan mana-mana pihak menyarankan pengajaran subjek-subjek sains dan matematik dalam bahasa Inggeris dengan alasan untuk meningkatkan penguasaan bahasa tersebut. Kurikulum yang dijenamakan semula itu mestilah dapat membuktikan bahawa dengan sukatan pelajaran, bahan ajar, proses pengajaran dan pemelajaran serta sistem pengujian yang tepat, bahasa tersebut dapat dikuasai dengan baik tanpa menjejaskan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang sejak semula berteraskan bahasa Melayu.

No comments:

Post a Comment