Saturday, January 15, 2011
DAMPAK TMK KEPADA BAHASA DAN PENDIDIKAN BAHASA MELAYU
DAMPAK TMK KEPADA BAHASA DAN PENDIDIKAN BAHASA MELAYU
Prof.Dr. Awang Sariyan
(Petikan daripada salah sebuah kertas kerja yang telah dibentangkan dalam seminar)
Isu yang secara khusus perlu dibincangkan apabila kita membicarakan tantangan sezaman kepada bahasa dan pendidikan bahasa Melayu ialah dampak teknologi maklumat dan komunikasi (TMK). Di beberapa banyak bahagian dunia, teknologi maklumat dan komunikasi telah turut mewarnai dan mencorakkan kebudayaan dan kehidupan warga sejagat. Hampir-hampir tidak ada umat di bahagian mana pun di dunia ini yang tidak dirempuh oleh revolusi TMK. Teknologi maklumat dan komunikasi sudah menjadi unsur kehidupan penting bagi kebanyakan umat di dunia.
Di Malaysia, keghairahan dan rasa kebergantungan masyarakat atau sebilangan anggota masyarakat terhadap alat canggih dan moden dalam penyaluran maklumat dan komunikasi, iaitu komputer, tergambar pada ungkapan sebuah iklan di media yang berbunyi “A child without a computer is a child without a future”. Nada iklan itu sama sahaja dengan nada iklan stesen televisyen swasta yang juga berkonsepsikan dasar langit terbuka, iaitu Astro yang berbunyi “I can’t live without it” yang menggambarkan kebergantungan sebilangan anggota masyarakat kepada alat teknologi moden, mungkin hingga sampai pada tahap yang berlebihan.
Dengan memahami bahawa bahasa merupakan pancaran minda dan cita manusia, ungkapan-ungkapan seumpama itu sendiri sudah membayangkan kesan teknologi canggih terhadap pandangan sarwa atau weltanschauung dan kebudayaan masyarakat kita di rantau ini. Daripada segi akidah, kedua-dua ungkapan iklan tadi dapat sahaja memesongkan pandangan sarwa mereka yang tidak menghayatai konsep rahman dan rahim Allah serta qada` dan qadar sehingga nasib masa hadapan seseorang anak dibayangkan gelap sama sekali tanpa komputer, sama halnya dengan andaian bahawa orang tidak dapat hidup tanpa Astro! Ungkapan yang sama nadanya biasa juga kita dengar daripada orang yang sedang bercinta, iaitu “Aku tidak bisa hidup tanpamu; hidup dan matiku hanya untukmu”. Memang kita fahami bahawa kedua-dua ungkapan iklan itu tadi hanya suatu bentuk gimik, tetapi demikianlah gambaran bahawa teknologi canggih begitu berpengaruh dan menjadi bahagian kehidupan penting masyarakat sezaman.
Khusus tentang dampak TMK kepada perkembangan bahasa dan pendidikan bahasa Melayu, fenomena yang jelas berlaku ialah terjadinya kemerosotan fungsi dan keperluan terhadap bahasa Melayu dalam kehidupan masyarakat sehingga kemudian dapat pula menyebabkan merosotnya dan hilangnya keyakinan masyarakat terhadap bahasa sendiri, sebagai akibat dominannya bahasa Inggeris dalam TMK. Dianggarkan bahawa 80% laman web yang ada kini adalah dalam bahasa Inggeris, walaupun diramalkan bahawa peratusan itu akan menurun dengan perkembangan tapak jejaring dalam bahasa-bahasa lain seperti Perancis, Sepanyol, Arab dan Cina (Noriah Mohamed, 2002).
Kebergantungan kepada bahasa Inggeris dalam proses pemerolehan maklumat melalui TMK pada satu segi mengubah persepsi dan penghargaan kepada bahasa sendiri, yang jelas bertentangan dengan fitrah bahasa dan sunatullah tentang kurniaan bahasa bagi setiap bangsa (al-Hujurat, 13; al-Rum, 22 dan Ibrahim, 4). Berlaku hegemoni bahasa Inggeris dalam perkembangan tamadun kita hingga bahasa kebangsaan mungkin sahaja dipandang rendah oleh bangsanya sendiri kerana dianggap bukan bahasa moden, bahasa ilmu, bahasa teknologi dan bahasa orang berdarjat. Timbul kepercayaan bahawa ada satu bahasa agung di dunia yang melaluinya sahaja seluruh umat manusia dapat mencapai kemajuan.
Akhirnya, bahasa kebangsaan menjadi bahasa perhubungan sehari-hari sahaja untuk komunikasi terhad (restricted code) dan tidak berupaya menjadi bahasa komunikasi tahap tinggi (elaborated code) – dengan mengambil istilah Bernstein – apabila tertanam keyakinan bahawa kita memerlukan satu bahasa sejagat sebagai wahana dunia moden dan bahasa kebangsaan tidak lebih sebagai lambang semata-mata. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di Singapura merupakan contoh yang jelas di hadapan mata kita. Dalam keadaan sedemikian, iaitu apabila bahasa kebangsaan hanya berfungsi sebagai lambang semata-mata atau paling-paling sebagai bahasa pertuturan sehari-hari sahaja, berlangsunglah fenomena imperialisme linguistik, sekalipun imperialisme itu tidak perlu sampai berpola sama dengan yang berlaku pada zaman penjajahan politik dahulu.
Bahasa kebangsaan kita akan dilabelkan sebagai bahasa yang berdarjat rendah, iaitu bahasa setempat (sebagai lawan bahasa dunia), bahasa kebangsaan (sebagai lawan bahasa antarabangsa), bahasa komunikasi sempit (sebagai lawan bahasa komunikasi luas), bahasa tak menunjang (sebagai lawan bahasa musaadah), bahasa tak lengkap (sebagai lawan bahasa tambahan), bahasa pembatas (sebagai lawan bahasa penghubung), bahasa tertutup (sebagai lawan bahasa dunia) dan bahasa berat sebelah (sebagai lawan bahasa netral), dengan catatan bahawa semua ciri atau label yang muluk itu dimiliki oleh bahasa Inggeris (Phillipson, 1992, Collins, 1996 dan Teo Kok Seong, 2000).
Kepercayaan akan adanya bahasa agung itu mengakibatkan berlakunya krisis keyakinan yang parah pada kalangan pemimpin hingga dasar-dasar kenegaraan yang telah berhasil membantu proses pembinaan negara, seperti Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan diupayakan sungguh-sungguh agar dirobah dengan meletakkan peranan bahasa Inggeris sebagai bahasa yang mesti diberi keutamaan dalam bidang pendidikan, ekonomi, teknologi dan bidang-bidang lain yang mewakili kehidupan moden.
Pada satu segi lain, kebergantungan kepada bahasa asing menyebabkan berlakunya perubahan secara beransur-ansur dalam tanggapan konseptual dan sistem semantik masyarakat kita tentang beberapa banyak hal, terutama yang berkaitan dengan sistem nilai, pegangan agama, perhubungan kemanusiaan, hukum dan sebagainya yang kesemuanya itu menayangkan pandangan sarwa kita tentang hakikat diri, kehidupan, ketuhananan, dan tanggungjawab kita sebagai khalifah Allah. Sekularisasi yang mengakibatkan kekacauan dalam sistem kehidupan umat kita pertama-tamanya berlaku melalui bahasa, iaitu penyelewengan konsep yang benar pada istilah-istilah penting yang menayangkan tasawwur Islami. Sekularisasi melalui bahasa dengan mudahnya terjadi apabila konsep-konsep yang benar mengalami proses penafsiran yang salah melalui bahasa yang berlainan latar belakang sistem semantiknya dan budayanya.
Dalam konteks ini, bahasa Inggeris yang belum mengalami proses Islamisasi (Faruqi, 1992) dalam beberapa banyak hal menimbulkan kekeliruan dan kesalahan tafsir tentang konsep-konsep Islam disebabkan kelainan latar budaya dan aqidah yang mula-mula menyaluti kosa kata bahasa itu. Konsep atau faham seperti adil, ilmu, Tuhan, agama, sains, akal, pembangunan, kebudayaan, sastera, sejarah, alam, diri, bahasa, dan banyak lagi yang difahami melalui bahasa Inggeris yang berlatarkan aqidah dan budaya Barat yang berasaskan falsafah Yunani, Rumawi, budaya setempat dan campuran unsur-unsur lain banyak yang menimbulkan kekeliruan dan kekacauan makna dalam pemahaman dan pemikiran sebilangan kalangan yang menerima atau diberi amanah memimpin, baik dalam bidang ilmu, kenegaraan, kebudayaan dan yang lain. Isu sekularisasi bahasa itu telah diketengahkan oleh Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib al-Attas sejak lebih 30 tahun lampau.
Bayangan tentang dampak negatif TMK kepada perkembangan bahasa Melayu yang saya paparkan di atas jauh daripada maksud untuk kita menutup pintu kepada pemanfaatan TMK dalam proses pemerolehan ilmu dan maklumat. Yang sesungguhnya tersirat di balik pemaparan itu ialah usaha agar bahasa Melayu ditingkatkan penggunaannya dalam TMK melalui pembinaan portal, laman web dan yang lain tentang pelbagai bidang ilmu dan aspek ketamadunan yang lain dalam bahasa Melayu. Dengan demikian, secara beransur-ansur bahasa Melayu dapat menjadi bahasa yang luas penyebarannya melalui internet dan tidak ketinggalan sebagai salah satu sumber ilmu dan maklumat. Usaha tersebut memerlukan iltizam dan kesungguhan sekian banyak pakar ilmu, budaya dan persuratan menghasilkan tulisan dalam bahasa Melayu melalui ruang yang ada di alam maya.
No comments:
Post a Comment