Monday, February 14, 2011

Soal Jawab Bahasa 14: Perihal Kata "Beda"


Perihal Kata "Beda"

Mengapakah Prof. dan sesetengah orang menggunakan kata "beda" dan bukan "beza"?

~ASO~

Penjelasan:

Kata "beda" berasal daripada kata Sanskrit "bheda". Perubahan bunyi /d/ menjadi /z/ mungkin disebabkan oleh faktor kebiasaan sesetengah orang yang kemudian meluas penggunaannya. Pendapat yang pernah dikemukakan oleh seorang kenalan bahawa kata "beza" berasal daripada kata "mumayiz" (kanak-kanak yang sudah dapat membedakan yang suci daripada yang najis dan yang baik daripada yang buruk) ternyata tidak ada asas etimologi (ilmu asal usul kata).

Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, kata "beda" telah dimasukkan sebagai entri dan diberi makna 'beza'. Ertinya ada pilihan bagi seseorang untuk menggunakan kata itu dengan ejaan "beda" atau "beza". Bagi saya yang telah memperoleh kepastian etimologi kata itu, maka saya memilih "beda". Sesiapa yang memilih kata "beda" sebenarnya tidak menyalahi aturan bahasa; lebih-lebih lagi itulah padanan yang lebih hampir dengan kata dalam bahasa sumbernya.

Isu yang sama berkaitan dengan sejumlah kata lain yang dibakukan atas prinsip etimologi. Antaranya termasuklah kata "agama" yang dahulu dieja "ugama" (bahkan di Johor lebih banyak yang menggunakan "igama", termasuk dalam sebutannya). Kata itu kemudian ditetapkan ejaannya sebagai "agama" atas prinsip etimologi.

~Kembara Bahasa~
15 Februari 2011

5 comments:

  1. Salam Prof, terima kasih atas penjelasan. Banyak membantu saya ketika mengajar BM untuk murid-murid bukan Melayu.

    ReplyDelete
  2. Salam Prof, terima kasih atas penjelasan yang sangat padat. Prof saya mohon penjelasan, sama ada proses pengimbuhan 'beda' juga sama seperti perkataan 'beza', dan bagaimana dengan perkataan 'bezantara', bolehkan ditulis sebagai 'bedantara'?

    ReplyDelete
  3. Puan Roshanilawatey,

    Mudah-mudahan penjelasan itu dapat membantu guru dan pelajar. Mungkin tidak banyak orang yang sedar akan adanya kata 'beda' dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, kerana ada yang menyarankan agar kata itu dimasukkan dalam Kamus Dewan edisi baharu (seperti ulasan seorang rakan dalam Facebook), walhal kata itu sudah sedia ada dalam Kamus Dewan Edisi Keempat.

    Sdr. Junaidi,

    Proses penerbitannya sama sahaja dengan proses penerbitan kata 'beza', seperti 'membedakan', 'perbedaan', 'membedakan' dll. Kata 'bezantara' ialah istilah khusus, dan jika seseorang memilih 'beda', maka istilahnya ialah 'bedantara'.

    ReplyDelete
  4. ..secara peribadi bagi saya, 'beda' lebih lembut dan 'puitis. Beza lebih jelas dan 'keras'

    ReplyDelete
  5. Sdr. Sabda Kalam,

    Memang kata 'beda' lebih banyak menjadi pilihan sasterawan dan sesetengah pemimpin dalam ucapan kerana bunyinya yang lebih puitis dan bernilai retorik. Daripada segi etimologinya, kata itu lebih menepati bentuk dan bunyi asalnya.

    ReplyDelete