Wednesday, March 30, 2011

Islam di China: Tinjauan di Huhhot Ibu Kota Mongolia Dalam (Bahagian 1)





Keterangan gambar: Bangunan berseni bina Islam di sepanjang jalan; hospital yang berseni bina Islam; bersarapan xiamai

Mongolia Dalam (Inner Mongolia) terletak di bahagian utara Republik Rakyat China, bersempadan dengan negara Mongolia Luar dan Rusia di bahagian utaranya. Provinsi itu merupakan yang ketiga terbesar (meliputi 12% keluasan RRC) dan terkenal dengan kekayaan sumber pelbagai jenis galian serta padang rumput yang luas. Dalam bidang teknologi, di provinsi itulah bermulanya pembinaan tapak dan kemudahan pelancaran satelit pada tahun 1958.

Sejarahnya pun panjang dan melalui detik-detik peralihan kuasa daripada satu dinasti kepada satu dinasti, bermula dengan Dinasti Zhou pada sekitar 300-400 tahun sebelum Masihi, kemudian Dinasti Qin, Dinasti Han, Dinasti Sui, Dinasti Tang, Dinasti Liao, Dinasti Jin, Dinasti Yuan, Dinasti Ming dan akhirnya Dinasti Qing (berakhir pada tahun 1912).

Penubuhannya sebagai provinsi bertaraf wilayah autonomi adalah pada tahun 1947. Penduduk majoritinya ialah orang Han (80%), diikuti oleh kaum minoriti Mongol (17%) dan etnik-etnik lain seperti Daur, Evenk, Oroqen, Hui, Mancu dan Korea. Penduduk Hui yang merupakan penganut agama Islam hanya sekitar 1% (210 ribu orang), tetapi terdapat di kesemua 12 bahagian di provinsi itu. Selain dianut oleh kaum Hui, agama Islam turut dianut oleh sebahagian kecil orang Mongol, orang Mancu dan juga orang Han.

Tinjauan saya beserta anakanda Fayyadh Azmi dan Sheikh Fisol Bajunid(pelajar pengajian Mandarin di Beijing Foreign Studies University) tertumpu di ibu kota Monggolia Dalam, iaitu kota Huhehaote yang lebih lazim disebut atau ditulis sebagai Huhot atau Hohot. Berdasarkan namanya itu, ada teman yang berjenaka mengatakan bahawa agaknya itulah bandar yang paling panas di negara China.

Apabila kami tiba pada 24 Mac 2011 lalu, ternyata bahawa suhunya jauh lebih sejuk daripada suhu di Beijing walaupun musim bunga sudah bermula . Air sungai di kota itu malahan masih beku dan di sana sini masih kelihatan tompokan saki-baki salji. Menurut Salimah (Ma Hua) yang membantu tinjauan kami, musim sejuk bermula pada bulan Oktober, sebulan lebih awal daripada musim sejuk di Beijing.

Perjalanan 10 jam dengan kereta api dari Beijing pada pukul 9 malam berakhir dengan ketibaan kami di stesen kereta api Huhot pada pukul 7 pagi. Salimah (Ma Hua), anak gadis Haji Yusuf, yang telah dihubungi lebih awal oleh sahabat saya Cikgu Sun Yong An di Beijing, menyambut kami. Rupa-rupanya ia bekerja di stesen kereta api itu.

Di luar stesen, kami berkenalan dengan Haji Yusuf, sahabat baik Cikgu Sun Yong An di Beijing. Tanda kelancaran kerja kami dan juga tanda keramahan orang Islam di kota itu bermula dengan perjalanan ke hotel menaiki teksi milik bapa saudara Salimah tanpa tambang, walaupun saya mendesak agar ia menerima wang.

Kami menginap di Hotel Jui Peng (Hotel Jupiter) yang terletak betul-betul di seberang Masjid Besar Huhhot dan kawasan perniagaan orang Islam di kota itu. Murah lagi rezeki kami apabila untuk sewa bilik hotel tiga orang sebilik yang berkadar RMB 209 semalam, saya hanya perlu membayar RMB 100 sahaja. Rupa-rupanya Haji Yusuf mendapat bantuan abangnya yang bekerja sebagai pegawai keselamatan di hotel itu menggunakan kadar staf. Alhamdulillah.

Usai kami meletakkan barang di bilik hotel, Haji Yusuf dan Salimah membawa kami bersarapan di sebuah kedai makan. Kami dijamu makanan istimewa di Monggolia Dalam, iaitu Xiamai yang seakan-akan dim sum, berisi daging dan sayur. Kemudian bermulalah misi kami melakukan tinjauan masyarakat Islam di kota Huhot.

Haji Yusuf, peniaga barang tenaga solar dan Salimah membawa kami meninjau kawasan perniagaan penduduk Islam yang seakan-akan Niu Jie di kota Beijing. Terdapat sebatang jalan besar yang semua kedai dan kediaman dimiliki oleh orang Islam. Timbul rasa bangga yang tidak terkira. Di tanah airku yang majoriti penduduknya Islam, umumnya agak sukar merealisasikan impian membangunkan kota orang Islam. Kampung Baharu di Kuala Lumpur pun nasibnya seperti telur di hujung tanduk.

Di kota Huhhot, menurut Haji Yusuf, terdapat kira-kira 40 ribu orang Islam, iaitu hampir satu perlima daripada penduduk Islam di seluruh Mongolia Dalam. Saya terpegun menyaksikan banyaknya bangunan yang berseni bina Arab (Islam) di kota itu, bukan sahaja di kawasan penduduk Islam tetapi juga di beberapa banyak tempat di kota itu.

Yang amat menarik ialah bahawa bangunan berseni bina Islam itu turut menjadi citra hospital, gedung beli-belah, hotel dan pejabat. Jelas bahawa Islam di kota itu tidak menjadi sesuatu yang 'menakutkan' atau 'mengancam' penduduk yang majoritinya orang bukan Islam. Rasa takjub saya bertambah lagi apabila mendapati adanya mercu peringatan yang mencatat bahawa kota itu dikurniai Anugerah Usaha Terbaik Memulihara Sekitaran Bersuasana Islam oleh Pertubuhan Dubai Antarabangsa pada tahun 2008.

Sebuah gedung pusat beli-belah yang berkubah dan bermenara putih sedang giat disiapkan. Nama dalam bahasa Inggerisnya, berdasarkan iklan di bilik pamerannya ialah Arabic Fashion Plaza. Saya amat berharap bahawa plaza itu bukan hanya bercitrakan seni bina Islam, tetapi operasi dan pengisiannya kelak berpandukan syariah supaya dapat menjadi contoh pusat beli-belah Islam.

~Kembara Bahasa~
30 Mac 2011

[Bahagian kedua akan memaparkan hasil tinjauan ke masjid-masjid yang terdapat di kota Huhot]

6 comments:

  1. Assalamualaikum warahmatullah.

    Semua yang tuan kisahkan menarik. Yang mengharukan saya petikan ini: "Di tanah airku yang majoriti penduduknya Islam, umumnya agak sukar merealisasikan impian membangunkan kota orang Islam. Kampung Baharu di Kuala Lumpur pun nasibnya seperti telur di hujung tanduk."

    Wassalam.

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum

    Menarik Prof.

    Major Hj Ramli Abdul Rahim (Retired) RMAF

    ReplyDelete
  3. Waalaikumussalam warahmatullahi wabarakatuh,

    Tuan Haji Mohd. Isa,

    Kita berdoa mudah-mudahan terbuka pintu hati pemimpin peringkat pusat dan negeri agar memikirkan, merancang dan melaksanakan pembangunan bandar Islam di tanah air. Kampung Baharu di Kuala Lumpur sewajarnya dapat dimulakan sebagai projek rintis pembangunan bandar Islam. Saya mengimpikan Kampung Baharu seperti Madinah. Terelekak hendaknya kawasan itu daripada menjadi mangsa nafsu tamak haloba mana-mana pihak yang berkepentingan duniawi.

    Major Hj. Ramli,

    Syukran. Mudah-mudahan Allah memberikan kemudahan untuk hamba meninjau provinsi lain pula di negara China yang sejak abad ke-7 telah menerima risalah Tauhid.

    ReplyDelete
  4. Ralat:

    "Terelaklah hendaknya kawasan itu daripada menjadi mangsa nafsu haloba mana-mana pihak yang berkepentingan duniawi semata-mata."

    ReplyDelete
  5. Salam, Prof,
    Adakah demikian tenangnya jalan raya seperti pada gambar pertama itu pada saban waktu? Kuala Lumpur dapat dilihat tenang seperti itu pada Hari Raya.

    ReplyDelete
  6. Assalam, Sdr. Zul,

    Keadaan sebenarnya tidaklah begitu; jalan agak sibuk seperti di bandar-bandar lain. Barangkali ketika gambar diambil oleh pembantu saya, kebetulan kendaraan sedang kurang di jalan raya.

    Inilah kali pertama saya ke kota di negara China yang bercitra seni bina Islam dengan jelas. Di Urumuqi, Xinjiang (belum saya kunjungi) khabarnya demikian juga, namun dapat diduga kerana majoritinya memang orang Islam (Uyghur, keturunan Turki).

    ReplyDelete