Tuesday, April 5, 2011
Matlamat Pendidikan Bahasa pada peringkat Pelaksanaan
Matlamat Pendidikan Bahasa pada Peringkat Pelaksanaan
oleh Awang Sariyan
[Petikan daripada salah sebuah kertas kerja penulis]
Secara kasarnya, terdapat dua aliran utama pendidikan bahasa yang secara langsung berkaitan dengan matlamat pendidikan bahasa. Kedua-duanya itu ialah:
a. Pendidikan bahasa yang berasaskan kemahiran bahasa/linguistik (yang meliputi tiga komponen utama bahasa, iaitu fonologi, tatabahasa dan semantik, atau dengan lebih rinci meliputi sistem ucapan, sistem tulisan, sistem tatabahasa, kosa kata dan laras bahasa);
b. Pendidikan bahasa yang berasaskan kemahiran sosial/komunikatif (yang menekankan aspek fungsional bahasa).
Dalam historiografi atau pensejarahan linguistik dan pendidikan bahasa, aliran yang pertama itu ditandai oleh kemunculan empat kerangka linguistik yang utama, iaitu linguisitik tradisional, linguistik struktural (yang mewakili pandangan empirisisme), linguistik transformasi-generatif (yang mewakili pandangan mentalisme) dan linguistik fungsional (Awang Sariyan, 1997 dan 2007).
Secara ringkas, keempat-empat kerangka linguistik yang mempengaruhi bidang pendidikan bahasa itu ditandai oleh beberapa ciri utama yang berikut:
Asas Linguistik Tradisional:
1. Huraian bahasa berdasarkan makna dan logika (menurut falsafah Yunani)
2. Penguasaan bahasa tulisan lebih daripada bahasa lisan
3. Huraian aturan bahasa bersifat normatif/preskriptif
Asas Linguistik Struktural
1. Bahasa ialah pertuturan, bukan tulisan.
2. Bahasa merupakan suatu himpunan kebiasaan, bukan berasaskan aturan
bahasa yang preskriptif.
3. Ajarkanlah bahasa, bukan tentang bahasa.
4. Bahasa ialah apa-apa yang dituturkan oleh penutur jatinya, bukan apa-apa
yang sepatutnya dituturkan.
5. Bahasa berbeda antara satu dengan yang lain.
Asas Linguistik Rasionalis/Mentalis
1. Bahasa yang hidup dicirikan oleh kreativiti dengan berasaskan rumus atau
aturan.
2. Rumus-rumus tatabahasa secara psikologinya merupakan hakikat bahasa.
3. Manusia secara istimewa dilengkapi keupayaan mempelajari bahasa
(APB, iaitu alat pemerolehan bahasa/LAD, iaitu language acquition device).
4. Bahasa yang hidup ialah bahasa yang dapat menjadi wadah untuk manusia
berfikir.
Asas Linguistik Fungsional
1. Bahasa ialah fenomena sosial.
2. Penguasaan bahasa diukur berdasarkan kemahiran komunikatif, lebih
daripada kemahiran linguistik.
3. Penekanan diberikan kepada variasi bahasa menurut fungsi sosial.
Kontroversi yang berakar pada mazhab atau aliran pemikiran yang berbeda tentang konsep bahasa itu ada manfaatnya daripada segi perkembangan ilmiah, tetapi tidak seharusnya menjadi jurang yang menyebakan pendidik bahasa terjerumus ke dalam jurang itu, sehingga taksub berpegang pada mazhab tertentu dan menolak segi-segi kelebihan dan kekuatan mazhab-mazhab yang lain.
Sebagai contoh, aliran linguistik tradisional, meskipun terlalu bergantung pada asas logika klasik Yunani dalam huraian bahasa, masih tetap dapat dimanfaatkan dalam konteks mengenal kategori bahasa seperti subjek, predikat, objek, pelengkap, keterangan, golongan dan bentuk kata serta jenis dan golongan ayat.
Aliran struktural ada kelemahannya daripada segi pengasingan bentuk daripada makna dan kecenderungan yang berlebihan untuk berasas pada bahasa lisan (bahasa komunikasi sehari-hari) tetapi membantu kita mengenal konstituen-konstituen dalam binaan kata dan ayat dan fitur-fitur bunyi bahasa dengan jelas.
Demikianlah juga, aliran transformasi-generatif yang bertunjangkan mentalisme dalam menjelaskan konsep dan hakikat bahasa membantu pendidik bahasa dalam konteks memahami bahasa sebagai proses mental dan penerapannya dalam pendidikan bahasa diperjelas oleh bidang psikolinguistik.
Akhirnya, aliran fungsional yang menekankan bahasa dalam konteks fungsi sosialnya membantu pendidik untuk menjabarkan kegunaan pelbagai bentuk bahasa (laras, ragam, variasi bahasa) dalam pelbagai konteks sosial (keluarga, rakan sebaya, rakan sejawatan, pentadbiran, undang-undang, ekonomi, pengiklanan, puisi, cereka, sukan dan sebagainya).
Dalam kertas kerja ini, penulis menyarankan agar pendidik bersikap eklektik, iaitu memadukan segi-segi positif setiap aliran linguistik itu untuk melaksanakan pendidikan bahasa yang berkesan. Tidak ada manfaatnya kita meletakkan diri dalam kepompong mana-mana mazhab dalam pelaksanaan amanah kita sebagai pendidik bahasa. Biarkanlah ahli linguistik murni berada pada jalur pemikiran itu jika mereka berhasrat demikian.
Untuk merumuskan matlamat pendidikan bahasa yang praktis dan dapat memenuhi idealisme pendidikan bahasa itu sendiri, secara ringkas saya mengemukakan beberapa saran untuk renungan:
1. Dikotomi antara penekanan pendidikan bahasa terhadap matlamat yang bersifat linguistik dengan matlamat yang bersifat pragmatis itu perlu dipadukan untuk memperoleh penguasaan bahasa yang seimbang antara kemahiran linguistik dengan kemahiran komunikatif.
2. Kemahiran yang hanya menekankan kemahiran linguistik menyebabkan bahasa kehilangan fungsi sosialnya.
3. Kemahiran yang hanya menekankan kemahiran komunikatif menyebabkan kehilangan piawai bahasa untuk dijadikan asas dalam pendidikan bahasa dan juga dalam komunikasi luas dalam proses pengembangan kebudayaan dan tamadun bangsa.
Dengan demikian, matlamat pendidikan bahasa hendaklah difahami sebagai matlamat yang dwifungsi, iaitu menyerapkan aspek sistem bahasa atau aspek linguistik dalam kalangan pelajar (sebagai asas untuk komunikasi yang berkesan dalam pelbagai konteks sosial dan keperluan) dan membolehkan pelajar menguasai kemahiran komunikasi (di peringkat mikro seperti keluarga dan rakan-rakan sebaya dan juga di peringkat makro atau pelbagai kelompok sosial yang lebih luas, seperti perhubungan dalam pentadbiran, perniagaan, majlis, adat istiadat, protokol, korporat, media penyiaran, hubungan diplomasi dan sebagainya).
Matlamat yang pertama itu dapatlah dikaitkan dengan proses “melengkapkan” (equipping) pelajar dengan unsur-unsur asas bahasa, sementara matlamat kedua berkaitan dengan proses “membolehkan” (enabling) pelajar menerapkan kemahiran bahasanya dalam konteks komunikasi yang sebenarnya, yang meliputi kepelbagaian konteks sosial, bidang dan keperluan. Bahagian yang berikutnya akan menghuraikan kedua-dua matlamat itu.
No comments:
Post a Comment