Monday, June 27, 2011
Perlunya Audit Bahasa
BERNAMA.COM
27 Jun, 2011 14:33 PM
Bahasa Melayu: Mengapa Tidak Bangga kepada Bahasa Sendiri?
Oleh Melati Mohd Ariff
Lebih separuh abad bebas daripada belenggu penjajahan, polemik bahasa Melayu berterusan. Terpinggir atau dipinggirkan? Apakah nasib bahasa ibunda ini? Adakah akan tinggal sekadar bahasa percakapan, bahasa basahan atau bahasa pasar?
Rencana tujuh siri ini merungkai beberapa isu mengenai Bahasa Melayu.
Bahagian kedua ialah sambungan pandangan pejuang bahasa Prof Dr Awang Sariyan mengenai penggunaan bahasa Melayu, khususnya dalam kalangan masyarakat Melayu sendiri.
KUALA LUMPUR, 27 Jun (Bernama) -- Audit bahasa? Mungkin pelik dan aneh! Bagi tokoh bahasa Dr Awang Sariyan, ia melihat audit bahasa sebagai satu usaha yang semakin perlu disegerakan.
Beliau pernah melontarkan cadangan ini beberapa tahun lalu apabila memandangkan penggunaan bahasa Melayu yang semakin luntur.
Bagaimanapun, setakat ini beliau boleh dikatakan masih bertepuk sebelah tangan kerana cadangan yang dilontarkan masih belum disambut!
Kecelaruan yang mewarnai polemik bahasa Melayu hari ini membuatkan Dr Awang mengungkap kembali cadangan beliau.
"Perlu ada audit bahasa kebangsaan kerana soal bahasa kebangsaan ini bukankah dasar negara," tegasnya kepada Bernama dalam satu wawancara di kediamannya yang terletak di pinggir bandar Kuala Lumpur baru-baru ini.
KAEDAH AUDIT
Ditanya mengenai kaedah atau modus operandi audit bahasa yang diperjuangkan itu, katanya, pelaksanaannya mudah sahaja dilakukan meskipun ada pihak yang mempunyai pandangan yang bertentangan tatkala beliau membuat cadangan audit bahasa itu.
"Contohnya, setiap jabatan dan kementerian diaudit bahasanya. Mesti ada pasukan seperti audit negara yang lebih kepada menilai pengurusan kewangan.
"Audit bahasa ini menilai dari sudut pencapaian penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Kumpulkan minit-minit mesyuarat, terbitan, pekeliling dan sebagainya untuk setiap jabatan," kata beliau.
"Audit bahasa itu akan memperlihatkan dua aspek penting, iaitu pelaksanaan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa urusan ramsi dan mutu bahasa yang digunakan. Laporan perlu diserahkan kepada pihak berwibawa, sama ada Ketua Setiusaha Kementerian dan perlu juga sehingga Ketua Setiausahasa Negara."
"Secara terancang, perlu juga diadakan pemantauan bersemuka dari waktu ke waktu seperti majlis-majlis rasmi, sama ada dilaksanakan dengan menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi atau sebaliknya. Demikian juga aspek mutu bahasa yang digunakan. Dari situ peningkatan penggunaan Bbahasa Melayu dan mutunya saya yakin dapat ditingkatkan."
"Jika perihal audit bahasa yang berkaitan dengan salah satu dasar negara itu dipandang remeh dan lucu, maka remeh dan luculah Dasar Bahasa Kebangsaan kita!"
Dr Awang kini memegang jawatan Penyandang Pertama Kursi Pengajian Melayu kerajaan Malaysia di China, berpangkalan di Universiti Pengajian Asing Beijing (BFSU) yang mempunyai Pusat Pengajian Melayu dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri sebagai penaungnya sejak tahun 1997, ketika menjadi Menteri Pelajaran.
Program ini adalah kerjasama antara Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dengan BFSU, iaitu Kursi Pengajian Melayu ketiga sesudah di Leiden, Belanda dan di Wellington, New Zealand.
Antara jawatan lain yang pernah disandang oleh anak kelahiran Kampung Teluk Kerang, Pontian, Johor termasuk Profesor di Jabatan Bahasa Melayu, Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya dan Profesor Linguistik dan Perancangan Bahasa, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, di samping menjadi tenaga akademik di beberapa buah universiti lain, termasuk Universiti Brunei Darussalam.
Beliau juga banyak menulis rencana ilmiah, kertas kerja dan rencana bimbingan Bahasa Melayu untuk pelajar serta pengguna bahasa yang lain serta menghasilkan puluhan buku ilmiah, buku panduan bahasa, buku umum, dan kamus. Di Beijing, beliau bekerjasama dengan tenaga akademik di negara China menyusun beberapa buah kamus dwibahasa Melayu-China dan dengan Universiti Northern Illinois, Amerika Syarikat, beliau membantu Prof Dr James T. Collins, Pengarah Pusat Pengajian Asia Tenggara universiti itu dalam projek Kamus Bahasa Melayu Dalam Talian.
MENYEDIHKAN
Dr Awang sendiri pernah mengetuai satu kajian pada tahun 2007 mengenai penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pentadbiran dan mutu bahasa di jabatan-jabatan kerajaan.
Apabila ditanya hasil kajian terhadap dua aspek, iaitu taraf pelaksanaan dan mutu bahasa yang menjadi fokus kajian itu, jawapannya ringkas: "Menyedihkan".
Antara hasil kajian yang dibuat Dr Awang dan kumpulan penyelidiknya menunjukkan ada jabatan atau kementerian yang mencapai hanya 65-70 peratus daripada segi penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.
"Kalau jabatan kerajaan 65 peratus, apa lagi sektor swasta. Dari segi mutu bahasa pula, keadaannya lebih parah. Masih banyak kesalahan bahasa dari segi ejaan, penggunaan perkataan, istilah dan struktur ayat," tambahnya.
Beliau berkata terdapat juga kecenderungan untuk berbahasa rojak dalam mesyuarat.
"Sekerat ular, sekerat belut, seperti yang pernah diungkapkan oleh Datuk Rais Yatim". Sekerat bahasa Melayu dan sekerat bahasa Inggeris. Bahasa Inggeris pun bukan bahasa Inggeris baku tetapi bahasa basahan.
"Jadi martabat kita daripada segi pentadbiran dan daripada segi nilai budaya tidak begitu tinggi," tegasnya.
BOLEH DILAKSANAKAN
Bercakap lebih lanjut mengenai audit bahasa, beliau menegaskan modus operandi yang dicadangkannya itu adalah praktikal jika kita betul-betul mahu menobatkan bahasa Melayu.
"Orang mungkin tidak suka pada peringkat awal tetapi dia akan melaksanakannya juga oleh sebab arahan daripada Ketua Setiausaha Negara dan diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.
"Jadi kalau audit bahasa dibuat, hasilnya boleh dilaporkan dan dibentangkan dalam kabinet.
"Jabatan atau kementerian yang masih agak lemah dari segi pelaksanaan bahasa kebangsaan dan mutu bahasanya boleh ditegur seperti yang dilakukan oleh juruaudit negara dalam bidang kewangan," kata Dr Awang.
TIDAK YAKIN
Secara keseluruhannya, kekecewaan Dr Awang dengan sikap sesetengah anggota masyarakat, termasuk orang Melayu sendiri yang masih tidak yakin dengan kemampuan Bahasa Melayu masih berakar tunjang hingga ke hari ini.
Menurutnya wujud segolongan pemimpin, golongan elit, golongan menengah, kumpulan eksekutif, kumpulan pelaksana dasar yang hati mereka masih terpaut dan tertawan oleh kehebatan bahasa Inggeris.
Bagi golongan itu, seolah-olah hanya bahasa Inggeris yang dapat menjulang tamaddun yang hal itu menjadikan penggunaan bahasa Melayu semakin luntur dan menjadikan bahasa Inggeris lebih dominan berbanding bahasa kebangsaan.
"Ada yang berhujah buku bahasa Melayu tidak cukup. Kita akui masih ada masalah tetapi hal itu dilalui oleh semua bahasa. Bahasa Inggeris sendiri melalui tempoh 200 tahun untuk menjadi bahasa yang hebat.
"Bahasa Melayu selepas merdeka hingga sekarang baru lebih setengah abad dan kita sudah ada sejuta istilah, ribuan tenaga akademik dan penerbitan. Usaha mesti diteruskan, bukan berpatah balik ke belakang hanya kerana masih ada beberapa masalah." katanya yang pernah memegang jawatan Pengarah Jabatan Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka (1999-2004).
PERLU BANGGA
Orang Melayu perlu berasa bangga dan lebih mengutamakan Bbahasa Melayu apabila berhubung atau berkomunikasi, termasuk dengan rakan bukan Melayu.
Cara yang demikian, pada pandangan Dr Awang akan mendorong mereka dalam gerakan untuk mendaulatkan bahasa Melayu.
Beliau lalu menegur sikap sesetengah orang Melayu kelas menengah yang gemar berbahasa Inggeris ketika berbual dengan orang bukan Melayu, seolah-olah rakan kita yang bukan Melayu itu warganegara asing.
"Yang paling mudah sebutan nama; kalau Melayu boleh sebut 'encik' tetapi kalau orang Cina terus panggil Mr Lim. Kenapa tak boleh sebut Encik Lim?
"Itu sendiri sudah semakin menjarakkan hubungan atau pun perasaan penerimaan, seolah-olah mereka tidak diterima sebagai rakyat negara ini."
"Dengan orang India juga mereka berbahasa Inggeris. Kenapa tidak dalam bahasa kebangsaan?" soalnya.
"Dalam kalangan golongan biasa pula, apabila bercakap dengan orang bukan Melayu, timbul kecenderungan berbahasa pelat sama seperti orang yang dilayan bercakap. Jadi, kita tidak membantu rakan-rakan kita itu berbahasa dengan lebih baik dan bahasa kita pula jadi rosak."
HORMAT BAHASA
Beliau mengungkapkan senario menarik tentang komunikasi antara pegawai Inggeris dengan Yap Ah Loy, kapitan Cina yang diuar-uarkan sebagai bertanggungjawab membangunkan Kuala Lumpur sebagai pusat perlombongan dan komersil.
Komunikasi antara kedua-duanya berlangsung dalam bahasa Melayu, berkemungkinan menggunakan jurubahasa, katanya.
Terdapat juga surat pegawai Inggeris itu kepada Yap Ah Loy dalam bahasa Melayu tulisan Jawi. Surat itu pernah disiarkan dalam majalah Mastika beberapa tahun lalu.
Dr Awang berkata bangsa asing pada masa itu begitu menghormati bahasa Melayu sebagai bahasa lingua franca.
Lalu beliau menyoal bagaimana dalam keadaan sebuah negara yang sudah merdeka ada yang masih menganggap bahasa Melayu bahasa yang tidak mampu.
"Jadi inilah yang saya katakan sikap dan krisis keyakinan dalam kalangan masyarakat kita dan malangnya sebahagiannya adalah bangsa teras, iaitu bangsa Melayu sendiri, keluhnya.
"Abdullah Munsyi pada tahun 1822 pernah meluahkan rasa hairannya melihat bangsa Melayu yang tidak memberikan perhatian kepada bahasanya sendiri.
"Beliau berkata tidak mungkin ada bangsa di dunia yang bahasanya dapat maju kalau kita tidak memuliakan atau tidak mempelajarinya. Jadi apa yang dikatakan Abdullah Munsyi masih berlaku sampai sekarang. Orang Melayu meremehkan bahasanya sendiri, " kata Dr Awang.
HARUM BAHASA
Jika ada orang Melayu yang tidak bangga berbahasa Melayu, di peringkat antarabangsa pengajian bahasa Melayu ternyata berbeza keadaannya.
Dr Awang berkata di seluruh dunia terdapat sekitar 120 institusi sama ada mengajarkan bahasa Melayu atau setidak-tidaknya mempunyai pusat penyelidikan tentang bahasa dan sastera Melayu. Di Eropah, di Amerika Utara, di Oceania, di Asia Timur dan juga di beberapa tempat lain terdapat pusat pengajian Melayu.
Di China sendiri, kata beliau, program pengajian Bahasa Melayu semakin rancak berjalan. Terdapat enam buah universiti yang ada program Bahasa Melayu, tiga buah di Beijing, sebuah di Ghuangzhou, sebuah di Nanning dan sebuah di Kunming. Sebuah akademi tentera di Louyang turut menawarkan kursus Bahasa Melayu.
Di BFSU tempat beliau ditugaskan, umpamanya, program itu kini ditawarkan sehingga ke peringkat Ijazah Sarjana.
Paling membanggakan pelajar BFSU, Zhang Song atau Noriah, nama Melayu yang diberikan oleh Dr Awang, muncul sebagai juara Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri Malaysia 2010 bagi kategori antarabangsa luar Nusantara.
"Di Universiti Beijing kesemuanya ada 54 bahasa asing diajarkan dan Bahasa Melayu ialah antara bahasa yang popular dan mendapat sambutan baik.
"Tapi jangan sahaja nama harum di luar negara sedangkan di dalam negara bahasa Melayu tidak berbau harumnya," tegas Dr Awang.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment