Saturday, June 18, 2011
Puisi: Doa Kudus untukmu
Doa Kudus untukmu
[Kenangan kepada ayahanda yang pulang ke rahmatullah pada 9 Jun 2010]
Dalam istirahahmu di alam barzakh
Doaku semoga Dia melimpahimu rahmah
Setahun berlalu ingatan daku tiada berubah
Kerana dikaulah pahlawan daku yang gagah
Dalam pahit getir mencari penghidupan
Ikhtiarmu tak bertepi akalmu tak berputusan
Membesarkan kami meskipun sering tiada kecukupan
Syukur redha kami menikmati segala mujur dan ujian
Dengan ajaranmu kami mengenal alif ba ta
Mengenal tajwid dan melancarkan kalamullah
Dikau korbankan waktu malam pengganti lelah
Demi memberi kami perdu tarbiyah
Ilmu yang dikau wariskan
Sedekah jariah yang dikau infakkan
Semoga menjadi saksi berkekalan
Doa kami zuriatmu semoga ditunaikan
Ya Rabb
Ya Tuhan
Ampunilah kami dan ibu bapa kami
Kasihanilah ibu bapa kami
sebagaimana mereka mengasihani kami
Wahai ayahanda tersayang
Dalam ingatan masih terbayang
Pesanmu tak putus tentang sembahyang
Agar hidayah tak akan hilang
Wahai ayahanda tersayang
Tiadalah dapat daku membilang
Jasamu laksana bintang gemilang
Gemerlapan di langit terang-benderang
Tiadalah bekal yang mampu kami hulurkan
Melainkan munajat kepada Yang Menjanjikan
Akan segala kebajikan yang dikau kerjakan
Semoga oleh-Nya senantiasa diperhitungkan
~Kembara Bahasa~
19 Jun 2011
Salam, Prof,
ReplyDeleteAl-Fatihah untuk Almarhum Ayahanda Sariyan dan insan tersayang yang mendahului kita.
Cantik sangat puisi ini hingga saya terasa menjadi sebahagian daripada insan yang menerima tarbiyahnya.
Syukran. Tiadalah dapat sepenuh-penuhnya saya ungkapkan dengan kata-kata tarbiyah dan ta`dib yang telah diberikan oleh Allahyarham kepada kami warisnya, meskipun beliau orang kampung biasa. Demikianlah ibu bapa kita dengan penuh barakah menjadi pendidik yang berjaya, saya kira kerana keikhlasan yang ada pada mereka. Mudah-mudahan kita pun dapat melanjutkan bakti mereka, insya-Allah.
ReplyDelete