Tuesday, July 12, 2011

Puisi "Barang borong dan fikiran borong"


Barang borong dan fikiran borong

Membeli barang borong
seringkali orang beroleh untung
Barang dibeli berkarung-karung
Murah harganya tidak terhitung

Tetapi berfikir secara borong
Gelap mata hati tidak nampak lorong
Yang bertindak benar dikira bak lalat menghurung
Tidak dibedakan yang luhur daripada yang jiwanya terkongkong

Yang hak dan yang batil pastilah jelas
Selama akal dan hati tidak terjejas
Baik yang terang mahupun yang majaz
Di hujungnya ada matlamat yang tidak waswas

Mustahil di akal semua bisa teperdaya
oleh lagak perencana yang didakwa berbahaya
Mustahil yang mengenal makrifat dan juga pendeta
tidak berfikir dan bertindak mengikut hawa

Hidayah Allah terang terbentang
merungkai yang kusut perlu berbilang
kalam-Nya lengkap dengan sunnah Nabi terhidang
Usah ditutup pintu berunding dan bersidang

Syahdan yang dicari keredhaan-Nya jua
bukan kuasa mahupun harta dambaan jiwa
Sejahtera di sini dan di alam sana
Baldatun tayyiabun warabbun ghafur itu yang utama

~Kembara Bahasa~
12 Julai 2011

2 comments:

  1. GURINDAM BARANG BORONG DAN FIKIRAN BORONG
    Barang borong itu diterpa
    Kantung berisi tinggal celepa

    Barang borong murah harga
    Tidak cukup karung kain dibuka

    Barang borong dibeli semua
    Kualiti barang jangan dikira

    Barang borong perlu berwaspada
    Kekadang kualiti tidak seberapa

    Barang borong mudah diduga
    Premis diserbu itu petanda

    Barang borong bukan selalu tiba
    Sesekali datang gegaklah gempita

    Barang dan fikiran borong berbeda gaya
    Lantaran fikiran terdorong semua diterima

    Fikiran borong risikonya ada
    Untung sabut atau tenggelam batunya

    Fikiran borong benaknya geliga
    Antara hak dan batil pantas dibeza

    Fikiran borong iblis bertapa
    Hanya nur keimanan menebal di dada

    Fikiran borong berkecamuk rasa
    Melainkan bijak menfanakan sifat tercela

    Fikiran borong mengundang nestapa
    Nafsu merungkup kewarasan minda

    Fikiran borong meranum di jiwa
    Pasrah sahaja Dia Yang Maha Kuasa

    Fikiran borong maruah bisa ternoda
    Dek umpan di dunia sangat menggoda

    Fikiran borong akan ditanya di sana
    Magrifatlah pada-Nya selagi hayat ada

    Fikiran borong takdir tercipta
    Bisa bertapa di memori luka.

    Fikiran borong iringilah doa
    Nescaya akan dapat petunjuk dari-Nya.

    Ilham rasa,
    PAUZI MOHD ISA,
    SMJK Choong Hua, 35500 Bidor,Perak DR.
    12.7.2011 Selasa, Jam 11.00 malam

    ReplyDelete
  2. Assalam Sdr. Pauzi Mohd. Isa,

    Terima kasih atas peluasan bicara isu 'fikiran borong'. Semoga setiap orang tidak berfikiran borong dan menilai sesuatu perkara menurut akal yang terpandu.

    ReplyDelete