Wednesday, August 31, 2011

Kenangan dengan Dato' Dr. Hassan Ahmad Panglima Bahasa


Kenangan dengan Dato' Dr. Hassan Ahmad Panglima Bahasa

Keterangan gambar: Dato' Dr. Hassan Ahmad (no. 3 dari kiri baris belakang) menerima Anguerah Tokoh Pejuang Bahasa Persatuan Linguistik Malaysia, 2004)

31 Ogos 2011 - Dalam perjalanan pulang dari Pontian ke Kuala Lumpur, sesudah berhari raya dengan ibunda dan kaum kerabat, sms Sasterawan Negara Dato' Dr. Anwar Ridhwan pada kira-kira pukul 2.30 petang mengejutkan saya dengan pertanyaan "Betulkah Dato' Hassan Ahmad meninggal dunia?"

Kerana sedang memandu kereta, saya membalasnya ringkas, "Saya tidak pasti; saya masih di Johor". Selang beberapa minit kemudian, Dato' Anwar mengirimkan sms yang mengesahkan berita yang tadinya ditanyakannya. Sesudah itu bertalu-talu puluhan sms dan panggilan telefon yang memaklumkan berita duka yang sama.

Apabila mendapat berita duka sedemikian, tiadalah ungkapan lain yang sesuai diucapkan selain "Innalillahi waainna ilaihi rajiun" (Daripadamu kami datang, maka kepada-Mu kami kembali). Kita mesti meredhai takdir Allah yang menetapkan usia, rezeki, jodoh dan segala yang berkaitan dengan kehidupan.

Hanya berita itu agak mengejutkan kerana baru pada petang hari akhir Ramadhan, iaitu 29 Ramadhan, saya mengirimkan sms ucapan Hari Raya dan segera pula mendapat balasannya, dengan pesan agar ke rumahnya pada Hari Raya pertama untuk berbual-bual. Oleh sebab saya perlu menziarahi ibunda saya di Pontian pada hari pertama itu, maka saya merancang untuk menziarahinya kemudian. Takdir Allah menentukan bahawa hubungan melalui sms itulah hubungan akhir antara kami di mayapada ini.

Pontian tempat saya lahir berkaitan rapat dengan kerjaya awal Allahyarham Dato' Hassan Ahmad, kerana pada tahun 1962 beliau pernah menjadi Penolong Pegawai Daerah di daerah itu, sesudah tamat mengaji di Universiti Malaya. Ketika itu saya baru di darjah tiga sekolah rendah. Muar, daerah tempat kelahirannya ada kaitannya sedikit dengan saya kerana saya pernah mengajar di Sekolah Tinggi Muar beberapa bulan.

Tulisannya dalam majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka ada saya baca ketika di sekolah menengah, tetapi dapat saya katakan bahawa saya belum kenal dengan beliau secara rapat. Pada bulan April 1978 saya mula bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai Pegawai Penyelidik Bahasa dan Editor Jurnal Dewan Bahasa; ketika itulah saya mula mengenal Allahyarham kerana beliau menjadi Ketua Pengarah sesudah Allahyarham Dato' Hj. Sujak Rahiman tamat tempohnya.

Hubungan antara saya dengan beliau sebagai ketua lebih bersifat hubungan rasmi dan secara peribadi saya tidak rapat dengannya. Namun secara beransur-ansur hubungan kami menjadi kian rapat apabila ada titik persamaan dalam haluan perjuangan bahasa dan kesediaan berbincang atau malah berbahas tentang selok-belok bahasa.

Kesempatan yang diberikannya kepada saya untuk menggalas beberapa projek dan program bahasa di DBP, termasuk sebagai Editor pertama Jurnal Dewan Bahasa (yang dinaikkan tarafnya daripada Majalah Dewan Bahasa pada tahun 1979), Pengurus Projek pertama Projek Sejarah Bahasa Melayu dan pembentangan kertas kerja mewakili negara dalam Pertemuan Sasterawan Nusantara di Brunei Darussalam pada tahun 1985 menjadi kenangan manis kepada saya.

Dalam hubungan kerja, ada kalanya kami tidak dapat bersetuju tentang sesuatu hal, terutama tentang keputusan untuk menetapkan ejaan, istilah dan aspek tatabahasa yang tertentu. Namun, hal itu tidak menghalang untuk kami terus saling menghormati pandangan masing-masing, meskipun salah satu tindakan saya yang agak drastik mungkin menyinggung perasaannya. Buku saya "Isu-isu Bahasa Malaysia" mulanya telah diluluskan penerbitannya oleh DBP, tetapi disebabkan aduan editor petugas yang tidak setuju saya menggunakan beberapa patah kata dengan ejaan yang saya yakini lebih tepat daripada segi etimologinya, Allahyarham terpaksa campur tangan dengan menasihati saya agar mengubahnya.

Apabila saya tidak bersedia mengikuti nasihatnya, tidak pula beliau marah dan persetujuan yang kami capai ialah bahawa buku itu boleh diterbitkan oleh penerbit lain. Alhamdulillah buku itu kemudian diterbitkan oleh Penerbit Fajar Bakti dan dipilih untuk menerima Hadiah Bahasa PLM-Public Bank kali pertama pada tahun 1985, bersama-sama dengan buku Prof. Hashim Awang tentang kritik sastera. Demikianlah sikap terbuka dan kesediaan Allahyarham dalam meraikan perbedaan pendapat.

Hubungan kami menjadi cukup akrab sesudah beliau pulang bertugas sebagi Wakil Malaysia di UNESCO bertaraf Duta Besar di Paris, dan sekali gus membawa kejayaan meraih ijazah doktor falsafah daripada Universiti Leiden. Keakraban itu terbina daripada kekerapan kami berbincang tentang pelbagai isu bahasa dan linguistik, daripada isu taraf dan pelaksanaan dasar bahasa negara kepada isu teoritis tentang linguistik, terutama tentang falsafah bahasa dan perancangan bahasa.

Apabila Kumpulan Prihatin yang dianggotai majoritinya oleh veteran pejuang bahasa dan cendekiawan Melayu ditubuhkan pada awal tahun 1990-an, Allahyarham merupakan tokoh yang dapat dikatakan hadir dalam semua mesyuarat dan pertemuan serta memberikan buah fikiran yang membina. Apabila tercetus isu penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar utama di IPTA pada tahun 1993 dan kemudian pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) pada tahun 2002, pertemuan Kumpulan Prihatin diadakan dengan lebih kerap dan kami dalam kumpulan itu merancang pelbagai strategi, antaranya menyediakan memorandum, surat, pertemuan dengan pemimpin tinggi negara, mengadakan seminar dan menerbitkan siaran untuk menyatakan sikap tentang peri pentingnya dasar negara, termasuk dasar bahasa kebangsaan dipertahankan.

Dalam peristiwa kemuncak penentangan terhadap PPSMI, iaitu perarakan ke Istana Negara pada bulan Mac 2009, Allahyarham muncul sebagai teraju utama apabila dilantik menjadi Pengerusi Gerakan Mansuhkan PPSMI, dengan dukungan SN Dato' A. Samad Said, Prof. Shaharir Mohd. Zain, Prof. Abdullah Hassan dan aktivis-aktivis lain. Saya hanya sempat hadir dalam pelancaran GMP di Kompleks Sogo, Jalan Tuanku Abdul Rahman pada bulan Januari 2009 kerana bertugas di Beijing; namun hubungan melalui e.mel dalam gerakan perjuangan itu berterusan dengan beliau dan pejuang-pejuang yang lain.

Selain bergerak dengan nada dan fikrah yang sama tentang perjuangan bahasa, kesempatan kami membentangkan kertas kerja dalam pelbagai seminar di dalam dan di luar negara menjadi faktor yang menambah keakraban hubungan. Sikap dan pendiriannya tekal dan tidak mudah berubah. Kritikannya tajam dan pedas tetapi tetap bersulam jenaka sehingga orang masih dapat senyum atau ketawa. Allahyarham memang berbakat sebagai pemikir, penulis dan pemidato yang dapat menarik perhatian khalayak, bukan dengan gendang atau retorik kosong, tetapi dengan bersandarkan ilmu dan pemikiran yang jitu.

Daripada pengamatan saya, tempoh kira-kira satu dekad sebelum beliau dijemput pulang oleh Khalik memperlihatkan iltizam beliau yang cukup jelas lagi mendalam tentang pembinaan tamadun yang berteraskan bahasa dan agama, meskipun sebelum itu telah sedia jelas iltizam dan sikapnya dalam pembinaan tamadun. Inti tulisan, ceramah dan kertas kerjanya dalam tempoh itu cukup padat dan penuh dengan asas ilmiah yang bersandarkan sumber syariat selain sumber ilmu yang autoritatif.

Dalam pemilihan Tokoh Ilmuwan Bahasa anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka pada tahun 2000, beliau dicalonkan dan dipilih sebagai penerima anugerah kali pertama, bersama-sama dengan Prof. Emeritus Dato' Asmah Haji Omar, Prof. Emeritus Datuk Nik Safiah Karim, Pak Asraf dan Mohd. Yunus Maris. Pada tahun 2004, beliau dikurniai oleh Persatuan Linguistik Malaysia Anugerah Tokoh Pejuang Bahasa bersama-sama dengan lapan orang tokoh yang lain (Tan Sri Ainuddin Wahid, Datuk Zainal Abidin Wahid, Dato' Abdul Rahim Bakar, Prof. Emeritus Datuk Abu Bakar Hamid, Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim, Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan, Prof. Dr. Shaharir Mohd. Zain dan Datuk Baharuddin Zainal).

Kepulangannya menghadap Allah dalam kedudukan beliau masih terus memikul amanah sebagai Pengerusi Eksekutif Yayasan Karyawan untuk menyuburkan karya-karya besar persuratan Melayu melalui projek penerbitan karya-karya agung dan juga dalam perjuangan bahasa dan pembinaan tamadun.

Al-Fatihah dan doa rahmat kepada ruh Allahyarham.

~Kembara Bahasa~
3 Syawal 1432/1 September 2011

3 comments:

  1. Al-Fatiha buat Allahyarham Datuk Dr Hassan Ahmad yang 'pergi' meninggalkkan sebuah nama besar untuk tanah air tercinta dan para pejuang Bahasa Melayu di Nusantara.

    ReplyDelete
  2. Mudah-mudahan semangat juang dan usahanya berkesinambungan dan digerakkan terus oleh pejuang-pejuang lain, insya-Allah.

    ReplyDelete
  3. salam...ingin bertanya...ada maklumat atau biodata Datuk Hassan Ahmad secara detail tak..saya tengah mengkaji perihalnya..ada x buku autobiografi Datuk Hassan Ahmad ini?

    ReplyDelete