Sunday, August 21, 2011

Puisi: Tafakur


Tafakur

Kala kuziarahi pusaramu, ayahanda
Yang kulihat sepasang nisan jua
Tiada astaka tiada marmar menghias pusara
kerana tiada kauperlukan itu semua

Setiap kali kuziarahi pusaramu
atau kutatap gambar dalam hayatmu
seperti dikau tetap memberitahuku
kasih sayangmu hidup di kalbu

Rinduku kepadamu
Akan terus kubajai dengan doa syahdu
dengan titipan sedekah bacaan kalam milik Nan Satu
semoga ruhmu tenang selalu

Di sisi pusaramu daku berteleku
memohon Allah mengurniakan restu
atas segala amalmu yang dahulu
sedekah jariah dan manfaat ilmu

Tiada dikau tinggalkan harta pusaka
melainkan asuhan agama pembimbing dunia
nasihat dan wasiat yang kukuh di dada
Kembali tenang dikau ke haribaan-Nya

Di sisi pusaramu daku berteleku
sambil bertafakur membilang waktu
menghitung cukupkah sudah amal makrufku
untuk kubawa menghadap-Mu

Di sisi pusaramu daku berteleku
sambil bertafakur membilang waktu
mengabsahkan perihal daku dilahirkan dahulu
dan akhirnya akan kembali kepada-Mu

~Kembara Bahasa~
22 Ramadhan 1432/22 Ogos 2011

No comments:

Post a Comment