Thursday, October 6, 2011

Kajian Bahasa dan Linguistik Melayu di Malaysia (Bahagian 2)



[Gambar: Perpustakaan Universiti Malaya; Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim]


BAHAGIAN 2

4. HISTORIOGRAFI KAJIAN BAHASA DAN LINGUISTIK
MELAYU TAHAP BAHARU


Tahap kedua historiografi kajian bahasa dan linguistik Melayu ditandai oleh kemunculan ahli-ahli bahasa yang terlatih dalam disiplin lingusitik moden. Pada tahun 1960-an perintis seperti Yunos Maris dan Fatimah Hamidon yang mendapat pendidikan linguistik di Eropah telah kembali dan mengajarkan linguistik moden di Universiti Malaya dan di Maktab Perguruan Bahasa (kini Institut Bahasa Melayu Malaysia). Pada tahap permulaan pengenalan dan pengembangan linguistik moden itu, bidang fonetik ternyata mendapat perhatian yang utama. Hal itu dapat difahami oleh sebab aliran linguistik yang ketika itu cukup berpengaruh ialah linguistik struktural yang menekankan aspek pertuturan. Bagi penganut aliran tersebut, slogan mereka ialah “Bahasa ialah pertuturan” (Language is speech). Antara tulisan terawal yang mewakili kajian bahasa Melayu dalam tahap sesudah penerimaan linguistik moden termasuklah The Malay Sound System oleh Yunus Maris, iaitu buku yang bermula sebagai bahan kuliah fonetik di Institut Bahasa dan kemudian diterbitkan di Amerika Syarikat pada tahun 1962 sebagai bahan kursus Bahasa Melayu peringkat pertengahan dan lanjutan dan sejak tahun 1966 menjadi bahan kuliah fonetik di Universiti Malaya (kemudian terbit dalam versi yang dikemaskinikan pada tahun 1980).

Selaras dengan besarnya pengaruh aliran linguistik struktural pada waktu itu, banyak kajian ilmiah dan tesis pascasiswazah yang tertumpu pada kajian dialek, khususnya dialek daerah. Pada waktu itu, Universiti Malaya sebagai universiti yang tertua di negara ini menjadi pusat pengajian yang mengisi kepustakaan linguistik Melayu. Antara kajian yang jelas berpusat pada dialek daerah pada waktu itu termasuklah tesis peringkat sarjana sastera oleh Nik Safiah Karim “Loghat Melayu Kelantan: Suatu Cherakinan Kajibunyi Bahasa” (1965), Zaharah Buang “Loghat Melayu Johor dan Perhubongannya dengan Bahasa Umum, Suatu Cherakinan Kajimofim” (1966), Abdullah Hassan “Satu Kajian Fonologi-Mofologi Bahasa Orang-orang Melayu Asli Dialek Temuan” (1969), Noor Ein Muhammad Noor “Morfologi dialek Pulau Pinang seperti yang Dituturkan di Daerah Genting, Balik Pulau” (1973), Ton Ibrahim “Morfologi dialek Kedah” (1974), Hashim Musa “Morfemik Dialek Melayu Kelantan” (1974) dan Ajid Che Kob “Dialek Geografi Pasir Mas: Fonologi dan Leksikal” (1977). Bidang dialektologi masih tetap mendapat tempat hingga kini di negara ini. Sarjana yang paling giat menekuni bidang ini ialah James T. Collins (lihat Bahagian 5 selanjutnya tentang sumbangannya dan ATMA).

Tumpuan bidang kajian linguistik Melayu berubah atau berkembang apabila linguistik transformasi-generatif yang diasaskan oleh Noam Chomsky di Amerika pada penghujung tahun 1950-an mula berpengaruh di negara ini. Ahli-ahli bahasa yang secara langsung berguru kepada pendukung teori tersebut kembali dan menerbitkan tesis kedoktoran mereka. Antaranya termasuklah Nik Safiah Karim dengan buku Bahasa Malaysia Syntax: Some Aspects of Its Standardization (1978)dan Mashudi Kader dengan The Syntax of Malay Interrogatives (1981. Di Universiti Malaya muncul Pitsamai Interachat dengan tesisnya “Sintaksis Predikat dalam Bahasa Malaysia” (1982), Abdul Hamid Mahmood dengan tesisnya “Ayat Pasif Bahasa Melayu” (1987), Hashim Musa dengan tesisnya “Binaan dan Fungsi Perkataan dalam Bahasa Melayu: Satu Huraian dari Sudut Tatabahasa Generatif” (1988) dan sejumlah tesis sarjana sastera seperti oleh Sanat Md. Nasir “Ayat Komplemen dalam Bahasa Malaysia” (1981) dan Awang Sariyan “Kesinambungan Bahasa dalam Karya Sastera Melayu (Malaysia): Satu Kajian Linguistik daripada Sudut Sintaksis” (1984).

Apabila teori wacana masuk ke gelanggang linguistik Melayu pada sekitar tahun 1980-an, tampak pula kecenderungan sejumlah ahli bahasa yang mencuba menerapkan teori itu dalam pemerian bahasa Melayu. Antara yang awal menghasilkan kajian bahasa Melayu berteraskan teori wacana termasuklah Asmah Haji Omar melalui buku Nahu Melayu Mutakhir (1980). Kajian dalam bentuk tesis kedoktoran, antara lain diwakili oleh Azhar M. Simin, “The Discourse Syntax of ‘Yang’ in Malay” (1983), Hirobumi Sato @ Rahmat Abdullah “Analisis Nahu Wacana Bahasa Melayu Klasik Berdasarkan Teks Hikayat Hang Tuah” (1992), Tan Joo Seng “Wacana Berita Sukan dalam Akhbar Bahasa Melayu: Satu Analisis Makrostruktur Semantik” (1995), Sanat Md. Nasir “Tautan dalam Wacana Bahasa Melayu Akhbar: Analisis Rencana Pengarang Utusan Zaman (1957 - 1961)” (1997), Zuraidah Mohd. Don “Prosody in Malay Discourse: an Analysis of Broadcast Interview” (1997), Ahmad Mahmood Musanif “Tanya Jawab dalam Novel ‘Salina’ Karangan A. Samad Said: Satu Kajian Berdasarkan Teori Lakuan Pertuturan” (1998), Idris Aman “Wacana dan Kepimpinan: Satu Analisis terhadap Perutusan Perdana Menteri Mahathir Mohamad” (2001) dan Asma Yusoff “Berita Politik dalam Akhbar Bahasa Melayu: Analisis Struktur dan Kohesi” (2003).

Pada waktu yang sama, perhatian kepada semantik dan pragmatik turut mewarnai kajian bahasa dan linguistik Melayu. Antaranya termasuklah tesis kedoktoran Jamaliah Mohd. Ali “Malaysian Student Seminar: A Study of Pragmatic Features in Verbal Interaction” (1995), Nor Hashimah Jalaluddin “Bahasa Jual Beli dalam Perniagaan Runcit: Satu Analisis Semantik dan Pragmatik” (1995), Sakina Sahuri Suffian Sahuri “Manusia dan Alam sebagai Medan Sumber Metafora Melayu: Satu Kajian Semantik” (2000), dan Zatul Azma Zainon Hamzah “Gangguan dalam Sistem Giliran Bertutur Kanak-kanak Melayu: Satu Analisis Pragmatik” (2002).

Bidang lain yang mendapat perhatian ahli bahasa Melayu di Malaysia ialah sosiolinguistik, psikolinguistik, stilistik, pendidikan bahasa, falsafah bahasa, leksikografi, terminologi dan terjemahan. Antara kajian sosiolinguistik yang dihasilkan termasuklah tesis kedoktoran Raja Mukhtaruddin Raja Muhammad Dain “Pembinaan Bahasa Melayu: Satu Pengkajian Khusus mengenai Perancangan Bahasa di Malaysia” (1976), Amat Juhari Moain “Sistem Panggilan dalam Bahasa Melayu: Saatu Analisis Sosiolinguistik” (1985), Noriah Mohamed “Bahasa Melayu Sebelum dan pada Abad Ketujuh Belas: Satu Kajian Sosiolinguistik” (1998) dan Nor Hisham Osman “Pemeliharaan dan Penyisihan Bahasa: Kajian Kes terhadap Komuniti Minoriti Rajang - Tanjong” (1999). Dalam bidang psikolinguistik, terhasil, misalnya, tesis kedoktoran Mangantar Simanjuntak “Aspek-aspek Fonologi Transformasi-Generatif dalam Pemerolehan dan Pengajaran Bahasa Melayu: Satu Tinjauan Psikolinguistik” (1983), Noor Aina Dani “Pemindahan Bahasa dalam Proses Pembelajaran Bahasa Melayu Pelajar-pelajar Dusun” (1996) dan Vijayaletchumy a/p Subramaniam “Disleksia dalam Aspek Bacaan Bahasa Melayu” (2003).

Perkembangan kajian bahasa dan linguistik Melayu dalam tahap kedua ini dapat juga diperhatikan daripada sudut jumlah kajian yang telah dijalankan untuk memerikan pelbagai aspek bahasa dan linguistik Melayu. Untuk mendapat maklumat tersebut, usaha telah dilakukan dengan menyemak koleksi tesis dan disertasi sarjana dan kedoktoran yang terdapat di beberapa buah universiti setempat, khususnya universiti yang mempunyai program ijazah bahasa dan linguistik, misalnya Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Malaysia dan Universiti Putra Malaysia. Kecuali Universiti Malaya yang rekod hampir semua tesis sarjana dan kedoktorannya lengkap dan terakam dalam portalnya, universiti lain belum mempunyai kemudahan untuk dicapai dalam usaha memperoleh senarai tesis dan disertasi.

Daripada maklumat yang dapat diperoleh secara rambang, dalam koleksi tesis beberapa buah universiti setempat, terdapat tidak kurang daripada 75 tesis peringkat doktor falsafah dan 500 tesis peringkat sarjana yang telah dihasilkan oleh ahli bahasa di Malaysia. Bidang yang dicakup berbagai-bagai, daripada dialektologi, fonologi, morfologi, sintaksis, semantik, pragmatik, sosiolinguistik (termasuk perancangan bahasa), psikolinguistik, retorik, stilistik, leksikografi, terminologi, terjemahan dan pelbagai aspek pendidikan bahasa. Angka yang sebenarnya pasti lebih besar daripada koleksi yang dapat dikesan, termasuk koleksi tesis di pusat pengajian di luar negara yang mengkaji aspek tertentu linguistik Melayu. Mudah-mudahan dalam kesempatan lain, analisis yang tuntas tentang hasil kajian bahasa dan linguistik Melayu dapat dikemukakan agar kita memperoleh gambaran tentang kemajuan kajian bahasa dan linguistik di negara ini.

~Kembara Bahasa~
6 Oktober 2011/8 Zulkaedah 1432

No comments:

Post a Comment