Sunday, October 2, 2011

Prof. Wu Zong Yu Menerima Anugerah Ijazah Kehormat Doktor Persuratan Universiti Malaya



[Gambar: Prof. Wu Zong Yu menyambut rombongan Naib Canselor UiTM ke BFSU; di hadapan pejabat Pusat Pengajian Melayu China yang Penaungnya ialah Perdana Menteri Malaysia, Dato' Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak]


Konvokesyen Universiti Malaya 2011 pada 3 Oktober 2011 melakar sejarah hubungan akrab antara tamadun China dengan tamadun Melayu dan Malaysia apabila Prof. Wu Zong Yu, Pengarah Pusat Pengajian Melayu China yang berpangkalan di Beijing Foreign Studies University dianugerahi Ijazah Kehormat Doktor Persuratan. Prof. Wu Zong Yu merupakan perintis program bahasa Melayu di universiti tersebut pada tahun 1961 ketika berusia 23 tahun. Kini, usaha dan baktinya mengembangkan pengajian Melayu di negara tersebut telah mencecah tempoh 50 tahun dan pada usia 72 tahun beliau masih terus bersemangat dan gigih meningkatkan usaha itu. Beliau diiktiraf sebagai Duta Ilmiah dan Duta Rakyat yang meluaskan hubungan antara dua buah negara.


Prof. Wu Zongyu dilahirkan di Shanghai China pada tahun 1939. Wu mempelajari bahasa Indonesia di Peking University pada tahun 1956 dan mendapat BA pada tahun 1961. Pada tahun itu juga Wu telah diberi tugas baru untuk menubuhkan Jurusan Bahasa Melayu di Beijing Foreign Studies University(BFSU), iaitu menubuhkan Jurusan Bahasa Melayu (loghat Melayu Malaysia) yang pertama di negara China. Dalam keadaan yang amat susah, misalnya kekurangan buku dan kekurangan tenaga pengajar, Wu seorang diri sahaja telah menyusun bahan pengajaran dan telah mula menerima pelajar bahasa Melayu angkatan pertama di China pada tahun 1962. Sejak itu Wu telah menceburkan diri dalam usaha mengembangkan bahasa Melayu di China selama hampir 50 tahun.

Pada tahun 1987 baharu Wu mendapat peluang untuk melawat ke Malaysia. iaitu menjadi jurubahasa Rombongan Akrobatik China. Kelancaran bahasa Melayu Wu mendapat sambutan yang begitu meriah baik daripada rakyat mahupun daripada kerajaan Malaysia. Ini telah menabahkan hatinya untuk mendorong kemajuan hubungan muhibah antara China dengan Malaysia.

Pada tahun 1989 Wu dijemput menghadiri Kongres Bahasa Melayu Sedunia di Kuala Lumpur. Kertas kerja Wu yang berjudul “Pengajian Bahasa Melayu Tanpa Komuniti Bahasa” itu disambut baik dan selepas itu Wu telah diundang oleh Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan Malaysia untuk melawat ke semua negeri di Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak dan Wu juga telah dijemput memberikan ceramah sebanyak 20 kali. Pada tahun itu juga Wu telah berbincang dengan Dato’ Usman Awang dan Encik Tan Kai Hee untuk menubuhkan Persatuan Persahabatan China-Malaysia (PPCM) dan Persatuan Persahabatan Malaysia-China (PPMC). Di bawah usaha giat mereka akhirnya PPCM dan PPMC telah berjaya ditubuhkan.

Pada tahun 90-an, abad ke-20 hubungan China dengan Malaysia semakin baik. Wu telah berusaha bagi mendorong penjalinan hubungan GAPENA dengan Lembaga Persahabatan Rakyat China Dengan Luar Negeri. Tan Sri Dato’ Profesor Emeritus Dr. Ismail bin Hussein, Ketua Satu GAPENA pernah memberikan penilaian kepada Wu sebagai yang berikut: ”Dari zaman negara China yang agak tertutup, beliaulah merupakan jendela dan pintunya bagi kita. Sebagai intelektual yang cukup terbuka dan jujur, serta sangat sederhana gaya hidupnya, beliau menjadi salah satu lambang mempelopori China baru sebenarnya.”

Dalam mendorong kemajuan hubungan China-Malaysia, Wu berpendapat bahawa untuk merapatkan hubungan kedua-dua buah negara itu, kita mestilah menumpukan perhatian untuk merapatkan hubungan negara China dengan masyarakat Melayu Malaysia.
.
Untuk menjalinkan hubungan perniagaan China dan masyarakat Melayu Malaysia, Wu pernah dilantik sebagai penasihat bagi Persatuan Peniaga Melayu Melaka dan pernah dua kali membawa mereka melawat ke China untuk mencari peluang perdagangan dengan China.

Untuk membantu pelajar UiTM mempelajari Mandarin, Wu telah berusaha supaya BFSU menghantar guru Mandarin ke UiTM. Perkembangan yang paling pesat berlaku pada tahun 2007 apabila usaha Wu sejak sekian lama membuahkan hasil apabila Kementerian Pelajaran Malaysia mula menghantar 10 orang pelajar lepasan SPM untuk mengikuti kursus ijazah pertama pengajian Mandarin sebagai persiapan menjadi guru Mandarin yang terlatih. Jumlah itu meningkat pada tahun berikutnya dengan penghantaran lebih banyak pelajar. Selain Kementerian Pelajaran Malaysia, MARA turut menyertai program tersebut sehingga pada tahun 2009, telah terdapat 84 orang pelajar tajaan Kementerian Pelajaran Malaysia dan 35 orang pelajar tajaan MARA yang dilatih selama lima tahun untuk menjadi guru Mandarin di sekolah-sekolah di Malaysia. Di bawah kegiatan Wu dan Datok Ho Kuo Chong yang bertungkus-lumus selama tiga tahun, Universiti Malaya telah menubuhkan Institut Kong Zi untuk Pembelajaran Mandarin pada Julai 2009.

Untuk memperbesar pengaruh budaya Melayu di negara China, Wu telah berusaha untuk mengadakan Persidangan Antarabangsa Pengajian Melayu Beijing pada tahun 1996 di BFSU dan persidangan ini telah mencapai hasil gemilang. Seratus orang lebih sarjana Melayu dari Malaysia dan 13 buah negara lain hadir sebagai pembentang kertas kerja. Dato’ Sri Mohd. Najib, Menteri Pendidikan Malaysia pada masa itu sendiri datang untuk merasmikan persidangan tersebut dan Duta Besar Malaysia menjamu semua peserta atas nama Dato’ Seri Abdullah Badawi, Menteri Luar pada masa itu

Pada tahun 1997, Wu telah berusaha untuk menubuhkan Pusat Pengajaran Melayu China di BFSU. Usaha Wu ini telah mendapat sokongan kuat daripada kerajaan kedua-dua buah negara China dan Malaysia. Encik Zhu Kaixuan, Menteri Pendidikan China dan Dato’ Sri Mohd. Najib, Menteri Pendidikan Malaysia bersama-sama merasmikan upacara penubuhan pusat tersebut. Dalam pertemuan Menteri China dengan Malaysia itu, usaha Wu telah dipuji oleh Dato’ Sri Mohd. Najib bahawa Prof. Wu adalah “duta besar dalam kalangan rakyat”.

Untuk memperkenalkan Tun Mahathir kepada rakyat China, di bawah sokongan dan dorongan kuat daripada Dato’ Majid, Duta Besar Malaysia ke China, Wu telah berusaha menyusun sarjana China untuk menterjemahkan ceramah Tun Mahathir. Buku Pilihan Pidato Dr. Mahathir itu telah dirasmikan sendiri oleh Dato Seri Syed Hamid. Menteri Luar Malaysia di BFSU pada tahun 1999.

Pada Mei 2004 Wu telah berjaya mengadakan Seminar Persahabatan China Malaysia. Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Abdullah Badawi sendiri telah mengetuai satu rombongan besar, termasuk 9 orang menteri dan 3 orang ketua menteri datang ke BFSU untuk merasmikan seminar itu dan dalam upacara perasmian seminar tersebut itu Wu telah dianugerahi gelaran Tokoh Persahabatan Malaysia-China.

Di bawah kegiatan Wu, pada tahun 2006 Dato’ Sri Najib telah datang ke BFSU untuk merasmikan penubuhan Pusat Pengajian Melayu China(PPMC) dan dengan kegiatan Wu Datok Seri Najib telah bersetuju menjadi penaung PPMC.

Kejayaan besar Wu dalam peningkatan pengajian Melayu di Republik Rakyat China memuncak apabila beliau dapat meyakinkan Kerajaan Malaysia, melalui Kementerian Pengajian Tinggi untuk menubuhkan Kursi Pengajian Melayu di negara itu. Usaha telah dilakukan sejak tahun 2000 dan penubuhan rasminya dilakukan pada tahun 2007 oleh Menteri Pengajian Tinggi pada waktu itu, Dato’ Mustafa Mohamad, dengan Beijing Foreign Studies University sebagai pangkalannya. Pada awal tahun 2008, Kursi itu diisi oleh Penyandang pertamanya, Prof. Dr. Awang Sariyan.

Dengan pengisian Kursi itu, program ilmiah ditingkatkan, khususnya dengan pengenalan beberapa subjek baru yang berorientasikan ilmu linguistik, sebagai peluasan bidang yang selama ini lebih tertumpu pada kursus kemahiran bahasa dan juga penubuhan program pengajian Melayu peringkat pascasiswazah. Kajian yang menitikberatkan perbandingan beberapa aspek bahasa dan tamadun Melayu-China telah dimulakan. Penerbitan siri monograf pengajian Melayu dan penyusunan beberapa buah kamus dwibahasa Melayu-China dan China-Melayu telah diusahakan. Pembukaan program bahasa dan pengajian Melayu di beberapa buah universiti lain telah diusahakan sehingga pada tahun 2010, telah terdapat tujuh buah universiti di Republik Rakyat China yang menawarkan program bahasa dan pengajian Melayu. Persidangan antarabangsa pengajian Melayu yang telah dimulakan pada tahun 1996 telah diaktifkan terus dengan siri persidangan dan seminar lain, termasuk di universiti lain yang mempunyai program pengajian Melayu di RRC.


Di bawah kegiatan Wu, pada tahun 2009 BFSU telah menganugerahkan Doktor Kehormat kepada Datok Seri Najib dan pada masa yang sama merasmikan Persidangan Pengajian Melayu Beijing 2009 yang disertai oleh 200 orang pemakalah dan peserta dari Malaysia, Singapura, Brunei Darussalam, Thailand, Korea dan Rusia.

Bak kata pepatah, tak kenal tak cinta. Dalam usaha untuk membantu pelajar China mendalami pengetahuan mengenai Malaysia, Wu telah lima kali membawa rombongan pelajar China untuk melawat ke Malaysia. Sekarang ramai antara mereka telah bekerja di Kementerian Luar China, Kementerian Kebudayaan China, News Xinhua, Radio Beijing dan lain-lainnya. Wu yakin bahawa mereka masing-masing akan berusaha untuk memainkan peranan penting dalam usaha mendorong maju hubungan muhibah antara China dengan Malaysia.

Dalam bidang akademik Wu telah mempunyai pengalaman pengajaran bahasa Melayu hampir 50 tahun lebih; maka pada tahun 1985 Wu telah menjadi profesor madya dan pada tahun 1995 Wu telah menjadi profesor penuh.

Pada 20-24 Mei tahun 1996 Wu telah mempengerusikan Persidangan Antarabangsa Pengajian Melayu Beijing di BFSU.

Pada Jun 2000 Wu telah bekerja sama dengan DBP Malaysia untuk mempengerusikan Seminar Perbandingan Sastera China-Melayu di BFSU.

Pada 30-31 Ogos 2001 Wu telah bekerjasama dengan Universiti Brunei Darussalam (UBD) untuk mempengerusikan seminar Hubungan China –Brunei di Beijing.

Pada tahun 2004 Wu telah mempengerusikan Seminar Persahabatan China-Malaysia. di BFSU.

Pada tahun 2005 Wu telah mempengerusikan Seminar Antarabangsa Pemikiran dan Budaya China-Melayu di BFSU.

Pada tahun 2009 Wu telah mempengerusian Seminar Antarabangsa untuk memperingati ulang tahun ke-35 penubuhan hubungan diplomatik China-Malaysia

Buku-buku yang telah diterbitkan:

Buku Pilihan Pidato Dr. Mahathir ( Mandarin)

Buku Cerita Rakyat Malaysia Yang Terpilih ( Mandarin)

Kajian Terhadap Kamus Melayu yang Terawal-Ma La Ka Yi Yu (BM)

Buku Teks Pelajaran Bahasa Melayu untuk pelejar China

Lagu Persahabatan China-Malaysia (terjemahan karya Dato’ Osman Awang
dan Chen Haosu)

Buku Bergambar Persahabatan China-Malaysia (Inggeris, Melayu, Mandarin)

Brunei Dalam Sejarah China (BM, Mandarin Kuno dan Mandarin Moden)

Kertas kerja yang telah dibentangkan

Sejarah Persahabatan China-Malaysia ( Mandarin)

Keturunan China di Malaysia ( Mandarin)

Pengajian Bahasa Melayu Tanpa Situasi Komuniti Bahasa (BM)

Raja Brunei Dalam Sejarah China (BM)

Pendidikan Moral Tradisional di Negeri China(BM)

Perbandingan sastera China dengan Melayu: Kesusasteraan berkhidmat untuk
Siapa (BM)

Kekal Abadi Persahabatan China-Brunei(BM)

~Kembara Bahasa~
3 Oktober 2011/5 Zulkaedah 1432



1 comment:

  1. Macam mana saya mahu berhubung dengan Prof. Wu Zong Yu? boleh saya dapatkan alamat e-mail beliau?

    ReplyDelete