Saturday, October 29, 2011
Ucapan Perasmian TPM dalam Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ke-8
[Gambar: Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ke-3, 1956 di Johor Bahru dan di Singapura]
TEKS UCAPAN
YAB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
TIMBALAN PERDANA MENTERI MALAYSIA
DI MAJLIS PERASMIAN KONGRES BAHASA
DAN PERSURATAN MELAYU
PADA 29 OKTOBER 2011; PUKUL 9.00 PAGI;
BERTEMPAT DI DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA
KUALA LUMPUR
Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh, Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia
Yang Berbahagia Tan Sri Profesor Emeritus Dato’ Dr. Ismail Hussein,
Ketua Satu GAPENA.
Yang Berbahagia Dato’ Haji Termuzi bin Abdul Aziz,
Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia.
Yang Berbahagia Profesor Datuk Wira Dr. Abdul Latiff Abu Bakar,
Ketua Dua GAPENA, merangkap Pengerusi Kongres.
Barisan Para Pemimpin Pertubuhan-Pertubuhan Melayu yang bersama-sama menganjurkan Kongres.
Tan Sri-Tan Sri, Puan Sri-Puan Sri, Dato’-Dato’, Datin-Datin, Tuan-Tuan dan Puan-Puan hadirin sekalian.
1. Marilah kita bersama-sama melafazkan segala puji dan syukur ke hadrat Allah s.w.t serta selawat dan salam ke atas junjungan Nabi Muhammad s.a.w. Di atas limpah kunia dan izinNya jua kita dapat berhimpun pada pagi yang berbahagia ini dalam Majlis Perasmian Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Kali Ke-8.
2. Terlebih dahulu saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak penganjur khasnya GAPENA dan Majlis Muafakat Melayu Malaysia yang sudi menjemput saya untuk merasmikan Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu pada pagi ini. Saya bagi pihak kerajaan amat mengalu-alukan penganjuran kongres ini yang pada hemat saya amat sejajar dengan hasrat kerajaan untuk memartabatkan kedudukan bahasa dan persuratan Melayu di negara kita.
Bahasa Melayu bahasa kebangsaan
Menjadi milik semua warga
Martabat bahasa demi perpaduan
Semoga kita sejahtera sentiasa
3. Ketika merasmikan Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan dua minggu yang lalu, saya telah mempertegaskan peri penting peranan dan fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa ilmu, bahasa perpaduan dan bahasa kemajuan. Penegasan ini adalah selaras dengan kedudukan istimewa bahasa Melayu yang telah terpahat kukuh dalam Perlembagaan Persekutuan, dalam undang-undang bertulis dan dalam dasar-dasar utama negara.
BAHASA MELAYU BAHASA PERPADUAN
4. Apatah lagi dalam konteks Malaysia sebagai sebuah negara majmuk dengan rakyatnya yang berbilang bangsa, budaya dan bahasa, peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah amat penting kepada proses pemupukan perpaduan dan pembinaan negara bangsa. Jika kita menghimbau sejarah, kita akan dapati bahawa perjuangan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah terkait rapat dengan hasrat mewujudkan sebuah masyarakat majmuk yang bersatu padu. Paksi kepada perpaduan yang hendak dibina adalah satu identiti kebangsaan yang dipupuk melalui penggunaan satu bahasa kebangsaan.
5. Hasrat murni penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa perpaduan sepertimana yang terkandung dalam Dasar Bahasa Kebangsaan bukanlah sesuatu yang sukar untuk kita fahami. Apabila bahasa Melayu dinobatkan sebagai bahasa kebangsaan, bahasa ini bukan lagi menjadi milik eksklusif orang Melayu, tetapi milik bersama kaum-kaum lain juga. Orang Cina, India, Sikh, Iban, Kadazan, Dusun, Murut dan lain-lain mempelajari bahasa Melayu, menulis dalam bahasa Melayu dan bertutur dalam bahasa Melayu.
6. Kesan positif daripada pelaksanaan Dasar Bahasa Kebangsaan adalah peningkatan penggunaan bahasa Melayu dalam kalangan rakyat berbilang kaum. Hari ini, orang bukan Melayu bukan sahaja boleh berbahasa Melayu, tetapi ada dalam kalangan mereka yang lebih fasih berbahasa Melayu berbanding orang Melayu sendiri. Malah ada antara mereka yang menjadi pakar dalam bidang bahasa dan persuratan Melayu. Walaupun bukan orang Melayu, atas semangat dan jiwa sebagai warga Malaysia, mereka bangga menggunakan bahasa Melayu, malah gigih memperjuangkan martabat bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan bahasa perpaduan.
7. Dalam konteks ini, penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan telah meruntuhkan tembok pemisah antara kaum di negara kita. Dengan bertutur menggunakan bahasa kebangsaan yang sama, kita telah berjaya membina satu identiti dan jatidiri nasional yang menjadi paksi kepada perpaduan kaum dan pembinaan negara bangsa. Pada masa yang sama, oleh kerana negara kita tidak mengamalkan dasar asimilasi dalam hubungan antara kaum, orang bukan Melayu juga bebas untuk mempelajari dan mengembangkan bahasa ibunda masing-masing.
8. Alhamdulillah, selama lima dekad selepas merdeka, kita telah berjaya memartabat dan memperluaskan penggunaan bahasa Melayu, tanpa menjejaskan bahasa ibunda kaum-kaum yang lain. Bermula dengan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, kita telah berjaya menggunakan bahasa Melayu secara meluas dalam sistem pentadbiran dan pendidikan negara. Hari ini, kita telah berjaya melahirkan ratusan ribu graduan yang mempelajari pelbagai bidang ilmu dalam bahasa Melayu. Mereka inilah yang kini menjadi pentadbir dalam perkhidmatan awam, pengurus dalam sektor swasta dan pakar dalam pelbagai bidang profesional yang memacu kemajuan negara.
BAHASA MELAYU DAN CABARAN GLOBALISASI
9. Namun, mutakhir ini peranan bahasa Melayu sebagai paksi kemajuan dan pembentukan negara bangsa semakin teruji. Ujian ini datangnya dari pelbagai sudut. Paling ketara adalah rempuhan arus globalisasi yang melanda seantero dunia. Sepertimana yang berlaku di kebanyakan negara, globalisasi telah mengundang konflik antara kedudukan bahasa serta budaya bangsa di satu pihak dan kuasa pasaran di pihak yang lain.
10. Hal ini berlaku kerana dalam era globalisasi, kemajuan sesebuah negara ditentukan oleh kemampuannya untuk bersaing di peringkat antarabangsa. Oleh sebab itu, penguasaan bahasa antarabangsa, terutamanya bahasa Inggeris, menjadi semakin penting. Dalam keadaan ini, ada pihak yang menganggap penguasaan bahasa Inggeris adalah jauh lebih penting berbanding bahasa kebangsaan. Malah ada yang tidak lagi percaya dengan kemampuan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu dan bahasa pengantar dalam sistem pendidikan.
11. Saya tidak menafikan kepentingan menguasai bahasa Inggeris. Rakyat kita mestilah berupaya untuk menguasai lebih daripada satu bahasa supaya kita boleh mempelajari ilmu yang terdapat dalam bahasa selain daripada bahasa kita. Penguasaan pelbagai disiplin ilmu yang terdapat dalam pelbagai bahasa adalah penting untuk membolehkan kita menjadi bangsa yang maju.
BAHASA MELAYU BAHASA KEMAJUAN
12. Tetapi soalnya, apakah kita tidak boleh maju dengan bahasa kita sendiri? Apakah bahasa kita tidak mampu untuk mengungkapkan konsep-konsep ilmu dengan baik, menyampaikan ilmu-ilmu yang kompleks dengan jelas dan nyata, serta menjadi wahana kemajuan bangsa kita? Apakah hanya dengan mempelajari ilmu dalam bahasa asing akan menjadikan kita sebuah bangsa yang maju?
13. Mungkin kita boleh maju dengan menguasai bahasa bangsa-bangsa yang telah maju. Anak-anak kita boleh diajar untuk mempelajari ilmu dalam bahasa bangsa yang telah maju, bukan dalam bahasa kita. Dengan itu, kita tidak perlu menterjemah ilmu-ilmu baru ke dalam bahasa kita kerana kita boleh mempelajarinya dengan cepat dalam bahasanya yang asal. Kita juga tidak perlu menghasilkan karya dalam bahasa kita kerana sumbernya dalam bahasa asing lebih banyak dan boleh diperolehi dengan lebih cepat. Jika kita dapat mempelajari ilmu-ilmu baru dengan cepat, kita juga boleh maju dengan cepat.
14. Tetapi hakikatnya, berapa ramaikah di kalangan rakyat kita yang boleh menguasai bahasa asing dengan baik untuk membolehkan mereka mendalami ilmu dalam bahasa tersebut. Jumlahnya barangkali tidaklah ramai. Sebahagian besar rakyat kita lebih fasih berbahasa kebangsaan dan dengan itu lebih mudah mempelajari ilmu dalam bahasa kita sendiri.
15. Jika semua ilmu diajar dalam bahasa asing, maka hanya segelintir daripada masyarakat kita dapat menguasai ilmu. Sebahagian besar rakyat akan ketingalan dalam perlumbaan mengejar ilmu. Akhirnya, ilmu-ilmu yang penting hanya berlegar dalam kalangan segelintir mereka yang fasih berbahasa asing. Majoriti rakyat yang tidak fasih berbahasa asing akan gagal menguasai sebarang ilmu dan tercicir daripada arus kemajuan. Mereka tidak akan maju, jauh sekali menyumbang kepada kemajuan negara. Percayalah, bangsa kita tidak akan maju jika sebahagian besar rakyat kita tidak dapat menguasai ilmu dalam bahasa kita sendiri.
Janganlah kerana mengejar untung sejengkal
Kita menanggung rugi sedepa.
16. Dalam keghairahan kita menguasai bahasa asing, janganlah kita mengabaikan fungsi bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu dan bahasa kemajuan. Malah, dalam menempuh arus globalisasi yang semakin deras, usaha untuk memperkasakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa ilmu mestilah diperhebatkan lagi.
17. Dalam konteks ini, wajar kita mengambil iktibar dari sejarah lampau untuk dijadikan pedoman. Orang Eropah dahulu mempelajari bahasa Arab untuk menguasai ilmu yang terdapat dalam bahasa itu. Tetapi mereka kemudiannya menggunakan bahasa mereka sendiri untuk memperkayakan ilmu yang diperolehi. Mereka menulis karya-karya agung dalam bahasa mereka sendiri. Universiti-universiti didirikan untuk mengajar ilmu yang baru ditemui dalam bahasa-bahasa Eropah.
18. Hari ini, orang Eropah tidak perlu lagi mempelajari bahasa Arab untuk menguasai ilmu, terutamanya dalam bidang sains dan teknologi. Universiti-universiti mereka juga telah berjaya menjadi universiti terkemuka di dunia dengan menawarkan pendidikan dalam bahasa Eropah. Mereka telah berjaya mencipta ilmu dalam bahasa mereka sendiri dan mengembangkannya ke seluruh dunia. Akhirnya, bangsa Eropah menjadi bangsa yang maju dan bahasa mereka juga menjadi bahasa yang maju.
19. Inilah sikap bangsa yang telah maju. Mereka mempelajari sesuatu bahasa untuk menguasai ilmu yang ada dalam bahasa itu tanpa merendahkan kemampuan bahasa mereka sendiri sebagai bahasa ilmu. Mereka juga mempunyai rasa bangga yang amat kental terhadap bahasa mereka.
20. Sebagai bangsa yang sedang meniti arus kemajuan, kita sebenarnya berada di persimpangan jalan yang akan menentukan masa depan bangsa dan bahasa kita. Apakah kita ingin maju dengan menjadikan bahasa asing sebagai satu-satunya bahasa ilmu, atau memperkasakan bahasa kita sendiri sebagai bahasa ilmu? Pada hemat saya, satu-satunya pilihan yang ada ialah mempelajari bahasa asing untuk menguasai ilmu yang ada dalam bahasa itu dan pada masa yang sama memperkasakan bahasa kita sendiri sebagai bahasa ilmu dan bahasa kemajuan.
Bersama nenda mencari lokan
Singgah sebentar di hujung desa
Bahasa Melayu bahasa kemajuan
Martabat bahasa majulah bangsa
LANGKAH MEMAJUKAN BANGSA DAN BAHASA
21. Hasrat memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kemajuan bukanlah sesuatu yang mudah untuk kita capai. Tidak ada jalan pintas untuk kita memajukan bangsa dan bahasa kita. Ianya memerlukan komitmen dan pengorbanan pelbagai pihak. Pertama, kita perlu memiliki sikap yang positif terhadap bahasa Melayu. Kita sendiri perlu yakin dengan kemampuan bahasa kita sebagai bahasa ilmu dan bahasa kemajuan. Kita perlu bangga bertutur dalam bahasa Melayu, menulis dalam bahasa Melayu, hatta berfikir dalam bahasa Melayu. Tanpa keyakinan dan rasa bangga terhadap bahasa Melayu, kita tidak mungkin mampu melangkah jauh dalam perjuangan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa kemajuan.
22. Kedua, kita perlu mengambil langkah proaktif untuk membina keyakinan rakyat terhadap bahasa Melayu. Ini kerana keyakinan itu tidak akan terbina dengan sendiri. Ia menuntut semua pihak berjihad memupuk rasa yakin serta bangga rakyat terhadap bahasa Melayu.
23. Dalam fasa baru jihad memartabat bahasa Melayu ini, para pejuang bahasa mempunyai peranan yang amat penting. Mereka tidak harus lagi bertindak sebagai kumpulan pendesak semata-mata, tetapi perlu bersama-sama dengan kerajaan dan masyarakat terbanyak untuk memupuk sikap positif rakyat terhadap bahasa Melayu. Para pejuang bahasa perlu sentiasa turun padang, berada di tengah-tengah masyarakat, menjadi penggerak kesedaran rakyat pelbagai kaum untuk membina keyakinan mereka terhadap kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa kemajuan.
Alang-alang berdakwat biar hitam
Alang-alang berminyak biar licin
Alang-alang mandi biar basah
24. Seterusnya, kita juga perlu pastikan bahasa Melayu mampu bergerak seiring dengan kemajuan dalam bidang sains dan teknologi. Dinamika bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu sains dan teknologi perlu dimantapkan lagi. Usaha-usaha penciptaan istilah sains dan teknologi dalam bahasa Melayu perlu dipergiatkan. Malah, lebih daripada itu, istilah-istilah yang dicipta perlu digunakan secara meluas samada dalam karya-karya ilmiah atau karya-karya popular. Ini bermakna, para ilmuwan di negara kita perlu mempergiatkan usaha untuk berkarya dalam bahasa Melayu.
25. Sebagai sebahagian daripada usaha untuk menggalakkan ilmuwan kita menghasilkan karya-karya sains dan teknologi dalam bahasa Melayu, saya telah mengumumkan pewujudan dana insentif sebanyak 2 juta ringgit di bawah seliaan Dewan Bahasa dan Pustaka. Ganjaran akan diberikan kepada penulis karya ilmiah sains dan teknologi dalam bahasa Melayu yang karyanya diterima untuk diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka.
26. Kerajaan juga akan memperkukuhkan peranan Institut Terjemahan Negara Malaysia sebagai agensi penterjemahan utama negara. ITNM akan bertanggungjawab untuk memperhebatkan lagi usaha penterjemahan buku-buku ilmiah antarabangsa yang berkualiti sebagai langkah menambah khazanah keilmuan dalam bahasa Melayu. Kita perlu mencontohi usaha yang dilakukan oleh Korea Selatan misalnya yang menerbitkan 10,000 karya terjemahan setahun daripada jumlah keseluruhan 40,000 judul buku yang diterbitkan. Taiwan pula menerbitkan 8,000 karya terjemahan setahun daripada jumlah keseluruhan 38,000 judul buku.
27. Saya juga menyambut baik pengumuman YB Menteri Pengajian Tinggi dua hari yang lalu bahawa penerbitan dalam bahasa Melayu akan dijadikan salah satu kriteria kenaikan pangkat ahli-ahli akademik di institusi-institusi pengajian tinggi awam tempatan. Mudah-mudahan dengan langkah positif ini, darjat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu akan lebih perkasa lagi.
28. Saya berharap agar para ilmuwan kita segera merebut peluang ini untuk menghasilkan lebih banyak karya-karya ilmiah dalam bahasa Melayu, sekaligus memperkayakan khazanah ilmu dalam bahasa Melayu. Sudah sampai masanya kita menjadi bangsa yang mencetus dan mencipta ilmu dalam bahasa kita sendiri, bukan sekadar bangsa yang mencedok atau menggunapakai ilmu dari luar.
PENGANTARABANGSAAN BAHASA MELAYU
29. Di samping memartabatkan Bahasa Melayu di tanah air sendiri, sudah sampai masanya bahasa Melayu diperkasakan di peringkat antarabangsa. Pengajaran Bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa perlu dijadikan antara fokus utama institusi-institusi pengajian Melayu di negara kita. Saya difahamkan terdapat lebih 150 Pusat Pengajian Melayu di seluruh dunia yang boleh dijadikan rakan strategik untuk memperluaskan pengajian bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.
30. Untuk itu, saya mencadangkan agar Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu, Akademi Pengajian Melayu Universiti Malaya dan Dewan Bahasa dan Pustaka menjalin kerjasama untuk menawarkan latihan dan kursus Bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa. Untuk memastikan akses yang lebih luas dan mudah serta kos yang lebih efektif, teknologi digital boleh dimanfaatkan dengan menawarkan kursus-kursus dalam bentuk pembelajaran atas talian.
31. Ketika mengadakan lawatan rasmi ke Copenhagen pada bulan Mei yang lalu, saya juga telah mengumumkan kesediaan kerajaan untuk menghantar tenaga pengajar bahasa Melayu ke negara-negara luar dan melatih rakyat Malaysia di luar negara sebagai munsyi bahasa Melayu. Ini bagi memenuhi permintaan rakyat Malaysia di luar negara untuk mempelajari bahasa Melayu. Lanjutan itu, Dewan Bahasa dan Pustaka telah dipertanggungjawabkan untuk mengenalpasti tenaga pengajar yang berkelayakan dan merangka program latihan yang bersesuaian. InsyaAllah, program ini kita akan mulakan pada tahun hadapan. Dengan adanya inisiatif ini, saya berharap agar usaha untuk mengembangkan bahasa dan persuratan Melayu ke peringkat antarabangsa akan dapat dipergiatkan lagi.
32. Bagi pihak kerajaan, saya bersyukur ke hadhrat Allah s.w.t kerana saudara-saudari sekalian selaku penggiat bahasa telah berperanan sebagai benteng yang mempertahankan kedudukan istimewa persuratan Melayu dan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan di negara kita. Para pejuang bahasa terdahulu telah dengan tegas meletakkan Bahasa Melayu sebagai asas pembinaan negara bangsa dan pentadbiran negara. Kini, saudara-saudari sekalian menyambung perjuangan mulia ini dan saya amat berharap agar perjuangan ini disahut pula oleh generasi muda kita di masa hadapan.
PENUTUP
33. Mudah-mudahan dengan iltizam dan keyakinan kita yang kental terhadap bahasa Melayu, kita akan berjaya membentuk keperibadian kebangsaan melalui bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bangsa kita menjadi bangsa yang padu dan perkasa. Marilah kita bersama-sama berdoa agar kita sentiasa diberikan kekuatan oleh Allah s.w.t. untuk terus memperkasakan bahasa dan persuratan Melayu dengan fungsinya yang mantap, bermartabat dan mulia selama-lamanya di negara kita yang tercinta.
Elok bahasa kan bekal hidup
Elok budi kan bekal mati
Dengan lafaz Bismillahirrahmannirahim, saya dengan sukacitanya merasmikan Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ke-8.
Wabillahi al-taufiq wal hidayah wassalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.
~Kembara Bahasa~
30 Oktober 2011/3 Zulhuijah 1432
No comments:
Post a Comment