Wednesday, November 16, 2011

Berhati-hati dengan Konsep Karamah


Ustaz Rushdi Ibrahim dalam kuliah Maghrib di Masjid Al-Mardhiyyah, Taman Melawati pada 15 November 2011 menghuraikan konsep karamah (dalam bahasa Melayu disebut keramat), dengan penegasan bahawa konsep itu perlu difahami dengan maknanya yang benar atau hakiki.

Keramat yang sering difahami dan cukup menarik hati kebanyakan orang ialah kebolehan luar biasa yang dimiliki oleh seseorang yang alim dan warak. Antaranya termasuklah cerita tentang orang yang dapat berjalan di atas air, dapat menghasilkan wang kertas daripada akhbar lama yang dicarik-carik, dapat merawat pesakit dengan hanya menggunakan sentuhan tangan dan berbagai-bagai lagi. Karamah yang tampak ini disebut karamah hissiah.

Di negara kita dan di bahagian lain alam Melayu, terdapat tempat-tempat yang dikaitkan dengan keramat, biasanya kubur arwah orang yang dianggap wali Allah. Di Singapura, misalnya, makam Habib Noh terkenal sebagai 'tempat keramat' yang sering dikunjungi oleh orang yang mempunyai hajat tertentu. Ziarah ke kubur sebagai salah satu usaha menginsafkan diri memang dituntut, namun tidak kurang orang yang terpesong niatnya apabila ziarah ke kubur yang dianggap ada keramatnya, Banyak yang menganggap bahawa roh wali Allah atau tokoh yang dihormati itu dapat memberikan syafaat kepadanya atau dapat membantunya memenuhi hajat tertentu, sehingga dapat menyebabkan syirik.

Menurut Ustaz Rushdi, sekalipun benar kebolehan-kebolehan luar biasa itu mungkin berlaku, namun kebolehan itu merupakan hal yang bersifat karamah lahiriah (jenis karamah hissiah) dan orang yang mempunyai kebolehan itu diberi kelebihan oleh Allah tanpa ia sendiri meminta dan mengusahakannya dengan bantuan makhluk lain, seperti jin. Orang yang benar-benar memiliki karamah tidak pula riyak dan takabur serta menggunakan kelebihannya untuk memperoleh kepentingan peribadi.

Karamah yang hakiki (karamah haqiqiyah), menurut Ustaz Rushdi ialah karamah yang dapat menjadikan seseorang berupaya senantiasa meningkatkan iman dan takwa serta menolak tipu daya nafsu. Ia tidak pernah berasa puas hati dengan amal ibadah yang dilakukannya dan senantiasa berusaha meningkatkan iman, takwa dan amal ibadahnya dan pada waktu yang sama menghindari kemungkaran. Itulah karamah yang sebenarnya yang sewajarnya diusahakan oleh semua orang, kata Ustaz Rushdi.

Dengan penjelasan itu, maka tidaklah perlu sesiapa pun berusaha menuntut dan mengamalkan 'ilmu' yang pelik-pelik seperti untuk menjadi kebal, dapat berada di dua tempat berlainan pada suatu masa, dapat menilik peribadi dan tuah malang nasib seseorang atau yang lain. Karamah yang perlu dimiliki ialah karamah (kelebihan dan kekuatan) untuk dapat meningkatkan iman dan takwa sebagai hamba Allah dan dapat mengawal diri daripada ditipu oleh syaitan.

Mudah-mudahan masyarakat Islam tidak mudah teperdaya semata-mata oleh kisah-kisah yang menarik hati tentang kehebatan orang tertentu dengan kelebihan luar biasanya, tetapi tidak membantunya menjadi orang yang bertakwa dan berilmu dengan bersandarkan al-Qur'an dan Sunnah. Kisah-kisah mistik tidak sewajarnya dijadikan bahan sensasi oleh penerbit media cetak dan media elektronik untuk menambat masyarakat kerana hal itu lebih banyak membekukan pemikiran masyarakat dan pada tahap tertentu mungkin membawa kesesatan daripada syariat.


~Kembara Bahasa~
17 November 2011/21 Zulhijah 1432

No comments:

Post a Comment