Saturday, November 12, 2011

Ingatan Sultan Kelantan tentang Kontrak Sosial


Sultan Seru Henti Perbuatan "Bermain Api"

Muhammad Yusri Amin

KOTA BHARU, 12 Nov: Sultan Muhammad V mengingatkan rakyat supaya berwaspada terhadap kemunculan ‘iklim tidak sihat’ yang dicetuskan anasir anti establishment dalam masyarakat.

“Beta ingin mengingatkan rakyat dan masyarakat di segenap lapisan agar sentiasa berwaspada, hati-hati dan peka terhadap kemunculan iklim yang tidak sihat yang dicetuskan oleh anasir-anasir anti establishment dalam masyarakat, dengan cuba mengubah lanskap kehidupan harmoni dan damai dengan menimbulkan ‘sikap buat- buat lupa faktor sejarah’, kontrak sosial yang dipersetujui bersama," titah baginda.

Baginda bertitah demikian pada majlis sempena Istiadat Pengurniaan Kehormatan Kebesaran, Istiadat Menjunjung Duli dan Istiadat Menyembah UcapanTahniah dan Taat Setia di Istana Balai Besar di sini tengah hari tadi.

Majlis turut dihadiri Tengku Mahkota Kelantan Tengku Muhammad Fa-Iz Petra Ibni Sultan ismail Petra itu dihadiri pembesar negeri dari dalam dan luar negara serta para Kerabat Diraja.

Turut hadir Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Titah baginda, anasir itu juga cuba mencetuskan isu berkaitan agama Islam, bahkan mencabar kewibawaan raja-raja.

“Mereka juga mencabar kewibawaan raja-raja, kedudukan Bahasa Melayu dan banyak lagi sebagai modal untuk meraih kepentingan diri dan kumpulan,” titah baginda.

Justeru baginda menyeru pihak berkenaan supaya menghentikan perbuatan ‘bermain api’ serta sikap provokasi yang boleh mencetuskan gelora keadaan dan suasana yang tidak diterima dalam masyarakat dan negara.

[Petikan daripada Harakahdaily 12 November 2011]

~Kembara Bahasa~
13 November 2011/17 Zulhijah 1432

No comments:

Post a Comment