Wednesday, November 23, 2011

Sanggahan terhadap Pandangan Barat dalam Buku "Historical Fact and Fiction" oleh Prof. S.M.N Al-Attas


Utusan Malaysia 23 November 2011

Sangkal teori peradaban Melayu dan Islam oleh Barat
Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
pengarang@utusan.com.my

BARU dua bulan dilancarkan, buku Historical Fact and Fiction karya terbaru tokoh intelektual negara, Prof Tan Sri Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas sudah mencetus perdebatan yang luar biasa.

Buku yang berkisar mengenai peradaban Melayu dan Islam itu menarik perhatian ramai pengkaji sejarah kerana dikatakan membuka dimensi baru dalam kaitan antara kedua-duanya. Malah tidak keterlaluan untuk disimpulkan buku itu memberikan interpretasi dan tafsiran baru kepada sejarah Nusantara dan Alam Melayu.

Ini kerana ia bertentangan dengan apa yang sudah terakam dalam sejarah negara dan diwarisi dari satu generasi ke satu generasi. Ia sekali gus menangkis catatan sejarah mengenai Melayu dan Islam di rantau ini yang sebenarnya banyak ditulis oleh pengkaji Barat.

Justeru, pertembungan intelektual antara Dr. Syed Muhammad Naquib dan pengkaji sejarah Barat menerusi buku inilah yang sebenarnya menjadi titik tarikan utama kepada pengkaji sejarah untuk menyelusuri sudut pandangan tokoh intelektual Islam ini.

Bertempat di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kampus Antarabangsa, Kuala Lumpur malam minggu lalu, buku itu sekali lagi melalui siri 'bedah siasat' di kalangan pengkaji sejarah. Begitu pun sesi kali ini lebih menarik kerana yang mengupas mengenainya adalah pemilik karya agung itu sendiri iaitu Dr. Syed Muhammad Naquib.

Tidak hairan, Dewan Jumaah, UTM malam itu penuh sesak dengan pengkaji sejarah dari dalam dan luar negara yang tidak mahu melepaskan peluang mendengar wacana yang disampaikan oleh Tokoh Melayu Terbilang 2011 itu.

Turut bersama-sama hadirin yang lain ialah Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Dr. Ir. Zaini Ujang yang sebenarnya memainkan peranan penting dalam usaha penerbitan buku itu di bawah label UTM Press.

Begitu pun tempoh satu jam setengah malam itu jauh daripada memadai untuk Dr. Syed Muhammad Naquib berkongsi hasil kajian beliau yang memakan masa berpuluh-puluh tahun lamanya.

Namun dalam kesempatan yang penuh berharga itu, beliau sempat menyentuh mengenai beberapa perkara yang menjadi inti pati serta fokus utama yang dimuatkan dalam buku tersebut. Antaranya mengenai sejarah sebenar kemasukan Islam ke Nusantara yang sebenarnya dibawa menerusi misi khas oleh beberapa pendakwah dari Arab.

Pendakwah itu pula mempunyai hubungan darah atau salasilah dengan Nabi Muhammad S.A.W. Teori ini sudah semestinya bercanggah dengan apa yang disebut sejarah sebelum ini bahawa Islam dibawa masuk ke rantau ini oleh pedagang dari India, China dan Parsi.

Mengukuhkan teorinya itu adalah penjelasan bagaimana orang Melayu mampu menguasai bahasa Arab dengan baik tanpa ada pelat India atau Parsi. Turut disentuh beliau adalah mengenai pengislaman Parameswara yang sebenarnya berlaku sebelum wujudnya Kesultanan Melayu Melaka.

Malah, Parameswara juga dikatakan berbangsa Melayu dengan nama Islamnya Muhammad serta merupakan anak seorang Raja Palembang iaitu Sang Aji.

Pendedahan yang mungkin mengejutkan banyak pihak menerusi buku ini juga adalah mengenai asal usul nama Melaka yang sebenarnya bukan daripada pohon Melaka seperti yang dipercayai sejak sekian lama. Sebaliknya menurut beliau, 'Melaka' merupakan perkataan yang diambil daripada bahasa Arab yang bermaksud 'pelabuhan'.

Banyak lagi sebenarnya teori-teori baru yang didedahkan oleh Dr. Syed Muhammad Naquib mengenai peradaban Melayu dan Islam menerusi buku ini. Antaranya mengenai kisah Merah Silau dan Semut Besar; identiti raja Muslim pertama kerajaan Samudera-Pasai dan asal-usul perkataan Melayu dalam nama Sumatera.

Turut dikaji adalah amalan mewariskan takhta dalam adat resam orang Melayu ketika zaman kegemilangan kerajaan Melayu pada kurun ke-14.

Begitu pun seperti yang disebut awal tadi, tempoh satu jam setengah sepanjang syarahan perdana malam itu tidak memungkinkan keseluruhan wacana pemikiran beliau disingkap satu persatu.

Namun buku ini dengan sendirinya sudah mencetuskan impak yang cukup besar dalam bidang teori dan falsafah khususnya dalam bidang sejarah Melayu dan Islam di negara ini.

Malah, sewaktu pelancarannya yang disempurnakan oleh Canselor UTM, Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah pada 9 September lalu juga, buku ini sudah membuatkan banyak pihak tersentak.

Tidak hairan sudah ada gesaan supaya fakta sejarah mengenai Melayu dan Islam yang terkandung dalam buku teks sejarah pendidikan negara ketika ini dirombak dengan menjadikan karya Dr. Syed Muhammad Naquib itu sebagai rujukan utama.
Namun perlu diakui usaha itu bukanlah sesuatu yang mudah kerana sejarah mengenai Melayu dan Islam itu tidak hanya tercatat di negara ini.

Pengkaji Barat yang merupakan pemilik asal teori mengenai Melayu dan Islam yang diguna pakai ketika ini juga sudah semestinya mempunyai dokumentasi mereka sendiri.

Justeru, usaha merubah fakta sejarah itu tidak mungkin boleh dilakukan tanpa adanya perdebatan mengenai teorinya di kalangan pengkaji sejarah terlebih dahulu. Barangkali kerana hakikat itu juga, UTM ketika ini bersungguh-sungguh membawa buku ini untuk dikaji dan dikupas di peringkat antarabangsa.

Di Indonesia misalnya, buku ini sudah diangkat dalam beberapa siri wacana oleh ahli akademik di sana.
Agak mengejutkan, teori yang dibawa oleh Dr. Syed Muhammad Naquib itu turut membuka lembaran baru dalam perbincangan mengenai Islam dan Melayu di kalangan pengkaji di sana.

Malah, ada yang mengangkat beliau setanding dengan Allahyarham Malek Bennabi iaitu pengkaji sejarah terkemuka dari Algeria. Seperti Dr. Syed Muhammad Naquib, Malek Bennabi juga pernah mencabar teori keislaman Barat menerusi karya beliau, Islam in Society and History.

Selepas Indonesia, buku itu akan dibahaskan pula di Turki dalam masa terdekat serta beberapa negara Islam lain yang sudah menunjukkan minat.

Namun bagi Dr. Zaini, dalam keghairahan membawa buku ini menjelajah ke serata dunia, adalah mustahak untuk ia terlebih dahulu dikaji dan difahami oleh rakyat Malaysia memandangkan sejarahnya yang terlalu dekat dengan orang Melayu di negara ini.

Kerana itu katanya, UTM ketika ini sedang merintis kerjasama dengan Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) bagi membolehkan karya agung ini yang diterbitkan dalam bahasa Inggeris diterjemah ke dalam bahasa Melayu.

Begitu pun seperti yang ditegaskan Dr. Zaini, ia mengambil sedikit masa kerana karya ini merupakan hasil penyelidikan dan usaha terjemahannya perlu dilakukan dengan berhati-hati.

Namun beliau memberi jaminan, jika tiada aral melintang, versi terjemahannya akan berada di pasaran selewat-lewatnya pertengahan tahun depan.

Apa yang boleh dijangkakan, buku ini dalam versi bahasa Melayu nantinya akan lebih memberi impak yang lebih besar. Ini kerana ia tidak lagi hanya beredar di kalangan ahli akademik, sebaliknya sudah menjadi bahan bacaan umum kerana nilai komersial yang disuntik menerusi terjemahan ke bahasa Melayu.

Adalah menjadi harapan, buku ini nanti mampu diangkat sebagai bahan rujukan agung yang memungkinkan sejarah mengenai Melayu dan Islam didokumentasikan dari kaca mata pengkaji Muslim sendiri.

No comments:

Post a Comment