Tuesday, January 17, 2012
Soal Jawab Bahasa: Antara "Memberi" dengan "Memberikan"
Pertanyaan:
Salam Prof. Apakah perbezaan antara "memberi" dengan "memberikan". Yang saya tahu, kedua-duanya merupakan kata kerja transitif yang perlu disambut oleh objek. Bagaimana mahu ditunjukkan perbezaan selanjutnya? Terima kasih.
Penjelasan:
Kata kerja transitif 'memberi' diikuti oleh objek penerima seperti "Ayah memberi anaknya wang" ("anaknya" sebagai objek penerima), sementara kata kerja transitif 'memberikan' diikuti oleh objek bergerak atau objek yang diterima, seperti "Ayah memberikan wang kepada anaknya" ("wang" sebagai objek bergerak atau objek yang diterima).
Banyak kesilapan yang dapat ditemukan dalam tulisan, seperti "Dia memberikan saya maklumat itu" (seharusnya "Dia memberi saya maklumat itu" atau "Dia memberikan maklumat itu kepada saya"). Apabila dikatakan "Saya diberikan", timbul persoalan "kepada siapakah saya diberikan"?
Dalam bentuk pasifnya, sering ditemukan kesilapan seperti "Saya diberikan peluang untuk bertugas di negeri kelahiran saya" (seharusnya "Saya diberi peluang untuk bertugas di negeri kelahiran saya" dengan makna 'saya diberi peluang'). Apabila dikatakan "Saya diberikan", timbul pertanyaan "kepada siapakah saya diberikan"?
~Kembara Bahasa~
18 Januari 2012/24 Safar 1433
Terima kasih, Prof.
ReplyDeleteMungkin kita sering terkeliru apabila perkataan diberi akhiran -kan, kita beranggapan bahawa perkataan itu ditransitifkan dan perlu kepada objek yang boleh 'menderita'. Contohnya, dalam ayat 'Dia menyanyikan lagu ciptaannya di majlis itu', lagu menjadi objek penderita.
ReplyDeleteDalam ayat 'Dia menyanyi sekuat hati di dalam kelas', perkataan menhyanyi di situ bukanlah kata kerja transitif. Jadi, bagaimana ingin kita bezakan bentuknya?
Mohon bantuan Prof.
Terima kasih duluan.