Monday, April 23, 2012

Anugerah Pelopor Pengguna Sebutan Baku TV3 oleh Persatuan Linguistik Malaysia



Gambar di atas sangat bererti dalam pelaksanaan sebutan baku di media penyiaran pada tahun 1980-an hingga tahun 2000 apabila stesen TV3 melaksanakan sebutan baku dalam siarannya. Menurut catatan Md. Salleh Kasim dalam blognya yang baru saya kesan apabila beliau menyiarkan alamat blognya sebagai ulasan kepada siaran saya tentang kepulangan ke rahmatullah mantan Pengurus Berita TV3, Haji Subohi Mohd. Yatim, TV3 mula melaksanakan sebutan baku dalam siaran beritanya pada tahun 1988.

Md. Salleh Kasim ialah teman lama saya yang pernah bertugas sebagai Pengurus Berita TV3 dan sebelumnya di Rancangan Penulisan Kreatif dan Deskriptif Universiti Malaya dan saya sendiri menjadi pensyarah sambilan bagi kursus Tatabahasa dan Gaya Bahasa di jabatan tersebut dari tahun 1979 hingga 1983. Apabila saya terlibat dalam pengendalian kursus sebutan baku di TV3, Jalan Liku, Bangsar, maka hubungan kami bertambah erat. Kursus bersambung apabila TV3 berpindah ke Seri Pentas di Damansara.

Persatuan Linguistik Malaysia menyampaikan Anugerah Pelopor Penggunaan Sebutan Baku kepada beberapa orang karyawan TV3 angkatan awal yang menerima kursus sebutan baku kendalian Persatuan Linguistik Malaysia, dengan pembimbingnya antaranya terdiri daripada Almarhum Pak Asraf, Prof. Nik Safiah Karim dan Awang Sariyan. Perancangan pelaksanaan kursus dan penggunaan sebutan baku di TV3 dibincangkan oleh PLM dengan Almarhum Haji Subohi yang memang amat prihatin akan penggunaan bahasa yang baik dalam penyiaran. Beliau sebelumnya berkhidmat di Perbadangan Penyiaran Singapura. Al-Fatihah untuk roh almarhum.

Dalam gambar itu dapat dilihat, antaranya Christine Ling, Wan Zaleha Radzi, Dato' Mahadzir Lokman, Abdul Razak Ahmad, Zainal Arifin Ismail, Ras Adibah, Norfarahin Jamsari, George Benedict dan beberapa yang lain. Karyawan TV lain yang pernah mengikuti kursus sebutan baku, menurut ingatan saya, ialah Fuzanne dan Datin Habibah. [Gambar Ehsan Sdr. Md Salleh Kasim, bekas Pengurus Berita TV3].

~Kembara Bahasa~
23 April 2012/1 Jamadilakhir 1433

No comments:

Post a Comment