Monday, May 21, 2012

Isu peribahasa "Pagar makan padi"

Nota ini ditulis oleh  Tuan Haji Mohd Isa Abdul Razak.

Dalam buku Ilmu Mengarang Melayu, Za‘ba menjelaskan, “Peribahasa itu ialah segala susunan cakap yang pendek yang telah melekat di mulut orang ramai semenjak beberapa lama oleh sebab sedap dan bijak perkataannya, luas dan benar tujuannya – dipakai akan dia jadi sebutan-sebutan oleh orang sebagai bandingan, teladan, dan pengajaran.” Za‘ba mengatakan ada dua golongan peribahasa. Pertama, peribahasa yang bererti selapis; dan kedua, peribahasa yang bermakna dua lapis. “Pagar makan padi” ialah peribahasa yang bermakna dua lapis.

Lapis pertama peribahasa ialah makna yang tersurat. Makna tersurat ada yang jelas seperti “cicak makan kapur”, “abu di atas tunggul” dan “anjing menyalak bukit”. Kita dapat melihat cicak terkulat-kulat sekiranya cicak itu termakan kapur. Kita dapat melihat abu di atas tunggul. Kita dapat melihat anjing dan mendengar salakannya. Ada juga makna tersurat yang kurang jelas seperti “meniup api dalam air”. Mustahil kita dapat melihat orang meniup api dalam air. Kita hanya dapat membayangkan keadaan itu. Seterusnya, ada pula makna tersurat yang kabur seperti “pagar makan padi”, “pancing makan umpan” dan “perigi mencari timba”. Memang mustahil kita tidak dapat melihat perkara ini berlaku.
Menurut Za‘ba, peribahasa dua lapis ialah perumpamaan. Beliau menyatakan, perumpamaan itu “asalnya daripada bahasa kiasan, iaitu satu barang dikiaskan kepada lain barang oleh sebab hendak memisalkan dan menerangkan maksudnya.” Jadi, yang penting di sini ialah maksudnya atau lapis kedua, atau dengan ungkapan lain, makna tersirat.
“Pagar makan padi” bermaksud orang yang kita percayai mengkhianati kita. Peribahasa lain yang sama maknanya ialah “pancing makan umpan”, “sokong membawa rebah” dan “telunjuk mencucuk mata”. Pagar, pancing, sokong dan telunjuk dalam peribahasa ini ialah benda yang diumpamakan sebagai orang, iaitu pengkhianat. Demikian juga halnya dengan padi, umpan dan mata; kesemuanya benda yang diibaratkan sebagai orang, iaitu mereka yang dikhianati. Perkataan “rebah” pula dapat dianggap sebagai kelainan tetapi maksudnya tetap sama, iaitu ada orang yang dikhianati atau menderita akibat sokong yang rebah itu.

Semasa berkomunikasi, kita berharap kumpulan sasaran kita memahami maksud peribahasa yang kita gunakan. Kita tidak mengharapkan mereka bermati-matian membina citra minda “pagar makan padi”, “pancing makan umpan”, “perigi mencari timba”, “lesung mencari antan”, “belut pulang ke lumpur”, “sirih pulang ke gagang”, “tikus membaiki labu”, “menatang minyak yang penuh” dan sebagainya. Peribahasa itu hanya alat bagi menguatkan hujah, menyampaikan perutusan dan menyerapkan pengajaran.

Walau bagaimanapun perkara ini dapat sahaja menjadi bahan perbincangan di bilik kuliah, seminar, blog, Facebook dan sebagainya. Misalnya, pengendali Facebook Dr. Burhanuddin al-Helmy menerbitkan tulisan tentang peribahasa “pagar makan padi” dan “melepaskan batuk di tangga” pada 18 Disember 2011. Dalam tulisan itu dinyatakan bahawa peribahasa yang tepat ialah “pegar makan padi” dan “melepaskan batok di tangga”. Tulisan itu, yang sudah saya sunting, dilampirkan.
Pengendali laman itu berpendapat, pada zaman dahulu ejaan perkataan pagar dan pegar sama, iaitu pa-ga-ra. Apabila peribahasa itu disalin dalam tulisan Rumi, perkataan pegar bertukar menjadi pagar. Perkara ini menjadi bahan perbincangan masyarakat, khususnya melalui blog dan Facebook. Ruangan “Mewah Bahasa” akhbar Berita Harian keluaran 11 Januari 2012 juga membincangkan perkara ini. Umumnya masyarakat kita akur bahawa peribahasa yang tepat ialah “pegar makan padi”.

Pada 7 Februari 2012, Khidmat Nasihat, Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menyatakan, “Sehingga kini belum ada dapatan sahih tentang peribahasa tersebut. Walaupun pendapat yang mengatakan peribahasa ‘harapkan pegar, pegar makan padi’ adalah betul tetapi tidak ada satu dapatan yang mengesahkannya. Perlu kita ingat peribahasa ialah warisan daripada zaman berzaman dan bentuknya tidak berubah walau diulang cetak berkali-kali. Mungkin juga ada benarnya pendapat yang mengatakan kesilapan ejaan berlaku sewaktu pemindahan teks daripada tulisan Jawi kepada tulisan Rumi tetapi tidak ada dapatan yang dapat mengesahkannya.”
Pada 19 Februari 2012, Dr. Haji Awang Sariyan yang dikenali sebagai Kembara Bahasa dalam komunikasi maya menyatakan, kajian awal DBP menunjukkan bahawa ejaan Jawi yang digunakan dalam buku-buku lama ialah pa-alif-ga-ra (pagar), bukannya pa-ga-ra (pegar). Jadi, alasan yang menyatakan perkataan pagar itu digunakan akibat kesilapan transkripsi tulisan Jawi kepada Rumi tertolak.

Seterusnya Kembara Bahasa menulis, “Telah saya sebut dalam siaran laman saya hujah pagar tidak mungkin makan padi tidak dapat diterima kerana dalam peribahasa memang banyak penggunaan unsur gaya bahasa seperti personifikasi.” Beliau menegaskan, perlakuan pagar dalam peribahasa itu diperorangkan dengan berdasarkan gaya personifikasi (perorangan). Perorangan bagi benda yang lain termasuklah “perigi mencari timba”, “lesung mencari antan” dan “pancing makan umpan”.
.
Pada 19 Februari 2012 juga saya dan Kembara Bahasa sudah meminta pengendali Facebook Dr. Burhanuddin al-Helmy untuk menyatakan sumber tulisan itu. Kembara Bahasa menulis, “Salam. Jika saya boleh mendapat kepastian, adakah pandangan tentang peribahasa berkaitan dengan pagar dan pegar dinyatakan oleh tokoh besar pejuang kebangsaan Dr. Burhanuddin Al-Helmy atau sebenarnya pendapat pentadbir laman ini? Jika penyataan itu dikeluarkan oleh Allahyarham, mohon nyatakan sumbernya seperti buku, majalah, akhbar atau yang lain. Kesahihan itu penting supaya kita dapat membuat kajian yang mendalam untuk mencari ketepatan tentang sesuatu. Terima kasih.” Jawapan yang tepat daripada pengendali laman itu belum diperoleh.
.
Sebagai kesimpulannya, peribahasa “pagar makan padi” sudah utuh sama seperti peribahasa “pancing makan umpan”, “sokong membawa rebah”, “telunjuk mencucuk mata”, “perigi mencari timba”, “lesung mencari antan”, “tikus membaiki labu” dan sebagainya. Walau bagaimanapun, sekiranya terbukti perkataan pagar dalam peribahasa itu pernah dieja pa-ga-ra dan tulisan itu memang tulisan Dr. Burhanuddin al-Helmy, maka rasanya DBP tidak menolak untuk melakukan perubahan tetapi bukanlah secara tergesa-gesa.
.
Port Dickson
20 Februari 2012

Lampiran I
.
Ada dua peribahasa Melayu mempunyai maksud yang tidak jelas, iaitu “pagar makan padi” dan “melepaskan batuk di tangga”. Peribahasa yang tepat ialah “pegar makan padi” dan “melepaskan batok di tangga”.
.
Pegar adalah sejenis burung yang dibela oleh pesawah untuk menjaga sawah padi mereka daripada ancaman haiwan perosak seperti serangga, tikus dan sebagainya. Maksud peribahasa ini ialah burung pegar yang diharapkan untuk menjaga sawah padi tidak boleh diharap kerana bertindak memakan padi milik tuannya.
Batok pula ialah gayung yang digunakan untuk membersihkan kaki sebelum naik tangga rumah kampung. Di rumah kampung dahulu ada tempayan di hadapan rumah. Maksud peribahasa ini ialah sikap membuat kerja sambil lewa, acuh tak acuh serta tidak bertanggungjawab.
Punca kesalahan ini ialah peribahasa yang tepat dan tidak tepat itu sama dan serupa sekiranya ditulis dalam tulisan Jawi. Mungkin kekeliruan dan kesalahan ini timbul semasa orang Melayu masih aktif menggunakan tulisan Jawi.

1 comment:

  1. Assalamualaikum Prof,

    Bila terbaca peribahasa-peribahasa di atas, tersedar betapa cantiknya bahasa melayu memelihara cakap pandai dari generasi ke generasi.

    Saya tertanya-tanya bagaimana boleh didapati karya-karya warisan yang sudah bebas daripada hak cipta.

    Jika hari ini karya Shakespeare, Thomas Hobbes, Confucius dan Plato boleh didapati hanya dengan carian Google, bagaimana pula dengan karya klasik Melayu?

    Saya yakin ramai yang berminat untuk mendalami pemikiran Melayu melalui tinggalan-tinggalan bertulisnya.

    ReplyDelete