Saturday, July 7, 2012

Pesta Buku Antarabangsa Tokyo (5-8 Julai 2012)

3 Julai 2012

Tugasan pada hari pertama tiba, sebelum dapat berdaftar masuk di Hotel Washington Tokyo Bay Ariake - mesyuarat kerjasama dengan Tokyo University of Foreign Studies atau singkatannya TUFS(Jurusan Bahasa Melayu dan Jabatan Penerbitan universiti). Perwakilan Malaysia terdiri daripada Ketua Pengarah DBP, Hajah Asiah Daud (Ketua Bahagian Harta Intelek DBP), Puan Siti Rafiah Sulaiman (Pengurus Kanan ITBM), En. Sakri Abdullah (Ketua Bahagian Terbitan Terjemahan ITBM), Puan Kamariah Hasan (Penerbit UPM), Puan Hariza Ahmad (Penerbit USIM). TUFS diwakili oleh Dr. Soda Naoki (Ketua Jabatan Bahasa Melayu),Prof. Minoru Iwasaki (Pengerusi Redaksi Penerbit Universiti), En. Takenaka Ryuta (Editor Penerbit Universiti), En. Nimoto Hiroki dan Puan Faridah Mohamed (kedua-duanya dari Jabatan Bahasa Melayu).


4 Julai 2012
Kunjungan hormat kepada Duta Besar Malaysia ke Jepun, TYT Datuk Shaharuddin Md. Som. Perbincangan berkisar di sekitar komuniti rakyat Malaysia di Jepun (dianggarkan sekitar 5 000 orang, termasuk kira-kira 2 000 orang pelajar tajaan kerajaan, PETRONAS dll), kerjasama kerajaan Jepun dengan kerajaan dan negara Malaysia, termasuk penajaan pelajar Malaysia hingga peringkat doktor falsafah, kerjasama dalam bidang pengajian Melayu dan penerbitan. Datu Shaharuddin tampaknya gemar membaca dan cenderamata daripada DBP, ITBM, UPM dan USIM berupa buku amat sesuai dengan minatnya.

Di Akihabara, meninjau kota Tokyo sepintas lalu dengan ihsan bekas guru bahasa Jepun Puan Siti Rafiah Sulaiman, En. Mitsuyoshi Kaji yang kini mengajarkan bahasa Jepun di Yokohama.


5 Julai 2012

Perasmian Pesta Buku Antarabangsa Tokyo di dewan pameran dan konvensyen Tokyo Big Spot oleh Putera dan Puteri Akishino, dengan dihadiri oleh wakil-wakil badan penerbit dan duta-duta negara luar.


[Perwakilan Malaysia bergambar dengan Duta Malaysia TYT Datuk Shaharuddin Md. Som, Presiden Kinokuniya Masashi Takai dan Editor Tachibana Publishing, Inc., Masayuki Tsukamoto]

Meninjau Yokohama, kota pelabuhan terbesar di Jepun, dengan ihsan En. Mitsuyoshi Kaji

6 Julai 2012

Dr. Kyoko Fukuda pensyarah bahasa Indonesia di Kanda University of International Studies (KUIS) berkunjung ke Hotel Washington tempat perwakilan Malaysia. Kami sempat bertanya tentang beberapa maklumat yang berkaitan dengan pengajian Melayu-Indonesia di universitinya. Universiti itu memulakan pengajian pada tahun 1987. Pelajar yang mengambil jurusan bahasa Indonesia kini berjumlah 80 orang, iaitu 20 orang bagi setiap kumpulan tahun satu hingga tahun 4. Menurut Dr Kyoko, universiti tempat beliau bertugas merupakan salah sebuah universiti swasta dan kemudahannya mengatasi kemudahan sesetengah universiti kerajaan.




~Kembara Bahasa~


1 comment:

  1. thanks infonya...kunjungan blogwalking..

    ReplyDelete