Monday, July 9, 2012

Puisi Dedikasi Daeng Ramliakil kepada Kembara Bahasa


PUISI I

Puisi Bahasa Melayu Hamzah Fansuri

[Dedikasi Dr.Awang Sariyan, KP DBP
Sempena Pameran Lukisan Bahasa Melayu, DBP]

200 tahun lalu, hidup Hamzah
lahirlah syair demi syair Melayu
yang hidup yang bercahaya bermutiara.

Mencari Allah bukan di Ka’bah
Tapi di dalam jubah
Diri, ruh jua jasad rahsia-Nya
Bahasa Melayu dipilihnya
Bukan Jawa, bukan Bugis, bukan.

Hamzah, assalamualaikum wth., saudaraku
Memilih bahasa ibu bapa kita
Berpengukiran, berkeindahan
Hari ini, kata-kata saudaraku
Sinonimnya kata-kata Shakespeare
Kata-kata Victor Hugo, kata-kata Marguis
Kata-kata Marxim Gorky, Alexander Pushkin
Kesemuanya mengangkat darjat bahasa bangsa.

Kata-kata Melayu saudara itu
Jadi pengekor kata-kata Ali, Saidina
Kaya makna maqrifatullah
Bertenaga kami menguasai makna
Nyata saudaraku tak tinggalkan bangsa
Melainkan, harta bahasa
Tertamat nyata hidupnya.

DAENG RAMLIAKIL
Dewan Bahasa Jiwa Bangsa, DBP, KL
26 Jun 2012

PUISI II

Puisi Bahasa Melayu Tun Razak
Dedikasi Dr.Awang Sariyan, KP DBP
Merujuk Pameran Lukisan Bahasa Melayu di DBP

Menjadi Melayu, bahasanya bahasa ibu bapa
Lahir bersama susu ibu, suara bapa
Dan Razak yang kerdil di Pulau Keladi
Berkaki ayam ke sekolah meniru rodongnya
Berdekad bahasa Melayu di hujung lidah
Hingga migrasi ke maktab Melayu
Berbual berjenaka, bahasa ibunda.

Ke England, bahasa Melayu masih ada
Dalam mimpi dalam igau
Menafsir makna perundangan Inggeris
Nyata bagi Razak, lidah Melayu Pekannya pekat.

Pulang ke negara, Lipis jadi gerbang
Interaksi pemimpin daerah dengan bangsa
Warga desa juga staf, dipilihnya bahasa ibu bapa
Jam berlari laju jua berani
Razak memilih siasah dan Pekembar@UMNO
Jadi medan jua jambatan pilihanraya
Ke paya ke desa pingitan, dibawanya bahasa bangsa
Di pentas, di parlimen, di kantor timbalan menteri perdana.

Razak dengan gaya Pekan, gaya Lipis
Bahasa Melayu Pahangnya menerawangi diri
Suaranya suara pemberani.

DAENGRAMLIAKIL
Dewan Bahasa Jiwa Bangsa, DBP,KL
Suka · · Kongsi
Agi Ghafar Ibrahim, Zamakhsyari Jusoh dan 7 yang lain menyukainya.

TERIMA KASIH, SAHABATKU DAENG RAMIAKIL ATAS DEDIKASI DUA BUAH PUISI YANG PENUH ERTI UNTUKKU - Kembara Bahasa (Tokyo, 10 Julai 2012)

1 comment:

  1. 'pilihan raya' bukan 'pilihanraya'. Tahniah buat Sdr DaengRamliAkil..teruskan berkarya.

    ReplyDelete