Friday, July 27, 2012

Puisi "Permainan Si Badut"

Permainan si badut itu
bukan kali pertama kusaksikan.
Memang lumrahnya demikian.
Aksinya untuk menarik perhatian penonton.
Tiada perhitungan yang lain daripada itu.

Kini si badut itu beraksi lagi,
juga untuk menarik perhatian.
Kerana demikianlah asal muasalnya
kelahirannya.
Dan tiadalah menghairankan
demikian lakunya.

Hanya aku mula bertanya,
bukan kepada si badut itu
tetapi kepada diriku sendiri:
Sampai bila aku perlu menonton permainannya
yang tiada pernah memancarkan estetika
malah kadangkala tanpa landasan etika?
Barangkali watak Wak Dogol dan Wak Long wayang kulit
jauh lebih menghiburkan dan jauh lebih memancarkan budi
meskipun digerakkan dan disuarakan oleh pak dalang
di balik layar.

Aku tidak akan mahu lagi
menyaksikan permainan si badut itu.
Aku tidak akan mahu lagi
menghiraukan aksi si badut itu
kerana aku tidak akan mahu turut menjadi badut.

Kembara Bahasa
28 Julai 2012/7 Ramadan 2012

1 comment:

  1. Wak Dogol dan Wak Long setelah menghiburkan penonton akhirnya disimpan dengan penuh hormat dan sayang oleh pak dalang dalam beg kulitnya.
    Si badut bila tamat permainannya akan ditangkap oleh penonton untuk disumbat ke dalam neraka yang dia sendiri menciptanya.
    Sungguh, detik-detik masa di hadapan yang telah sedemikian hampir penuh dengan segala misterinya...

    ReplyDelete