Wednesday, October 24, 2012

Penerapan Bahasa Melayu Tinggi dalam Bidang Pendidikan (Bahagian 2)

PENERAPAN BAHASA MELAYU TINGGI
DALAM BIDANG PENDIDIKAN

Awang Sariyan, Ph.D
Ketua Pengarah
Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia
Profesor Kehormat Pendidikan Bahasa dan Kebudayaan
Universiti Pengajian Asing Beijing (BFSU)



[Kertas kerja untuk Seminar Pemantapan Pengajaran dan Pemelajaran Bahasa Melayu, anjuran Persatuan Pendidikan Bahasa Melayu Malaysia, Jabatan Pendidikan Sarawak dan Dewan Bahasa dan Pustaka di Hotel Merdeka Palace, Kuching, Sarawak pada 16-18 September 2012]

BAHAGIAN (2)

VI. Lingkungan Penggunaan Bahasa Melayu Tinggi

Penggunaan bahasa secara umumnya dapat dibahagi kepada dua suasana dan urusan, iaitu rasmi dan tidak rasmi. Semua penjawat awam, iaitu orang yang berkhidmat dengan kerajaan dan eksekutif serta kakitangan swasta biasanya berada dalam kedua-dua suasana dan urusan, iaitu rasmi dan tidak rasmi. Oleh itu, mereka perlu memahami peraturan penggunaan bahasa yang sesuai dalam konteks tertentu, khususnya dalam konteks yang rasmi. Hal ini demikian kerana dalam suasana dan urusan rasmilah peraturan bahasa lebih ditekankan penggunaannya.

Namun demikian, dalam kedua-dua konteks rasmi dan tidak rasmi itu, kesantunan bahasa tetap perlu dititikberatkan walaupun ragam dan gaya bahasa dalam kedua-dua konteks itu berlainan. Perbandingannya mudah, iaitu di majlis dan untuk urusan rasmi kita diperlukan memakai pakaian rasmi sementara dalam majlis dan untuk urusan yang tidak rasmi, pakaian kita boleh lebih sederhana dan lebih bebas. Namun kesantunan cara berpakaian masih tetap perlu dititikberatkan. Demikianlah juga halnya dengan bahasa.

Suasana dan Urusan Rasmi

Suasana dan urusan rasmi merujuk kepada konteks sesuatu majlis atau urusan yang berkaitan dengan pentadbiran kerajaan atau mana-mana pihak berkuasa dan institusi, termasuk swasta dan pertubuhan.

Suasana rasmi merujuk kepada apa-apa sahaja bentuk majlis yang diadakan berkaitan dengan pihak-pihak yang disebut di atas tadi, iaitu sama ada kerajaan mahupun institusi lain yang sah kewujudannya. Antara majlis rasmi yang lazim termasuklah:

1. Majlis perasmian (pembukaan dan penutupan)
2. Majlis pelancaran
3. Majlis sambutan/keraian
4. Majlis santapan diraja
5. Majlis jamuan
6. Majlis pertabalan Yang di-Pertuan Agong/Raja/Sultan
7. Majlis pengurniaan darjah dan bintang kehormat
8. Majlis menandatangani perjanjian
9. Majlis pengisytiharan
10. Majli konvokesyen

Urusan rasmi pula lazimnya berkaitan dengan pelaksanaan sesuatu tugas yang berkaitan dengan pihak-pihak yang disebut tadi, iaitu sama ada kerajaan, swasta mahupun pertubuhan. Antaranya, yang lazim ialah:

1. Surat-menyurat rasmi
2. Pemakluman
3. Mesyuarat (mesyuarat agung, mesyuarat berkala dsb.)
4. Seminar dan persidangan
5. Ceramah
6. Dialog
7. Pengiklanan pentadbiran/pengurusan
8. Kuliah/pengajaran

Dalam semua suasana dan urusan rasmi seperti yang dinyatakan di atas, kesantunan bahasa hendaklah berasaskan ragam bahasa rasmi, iaitu ragam bahasa yang secara maksimumnya mematuhi peraturan-peraturan bahasa, baik daripada sudut linguistik, sosiolinguistik mahupun pragmatiknya.

Daripada segi peraturan linguistik, bahasa yang digunakan hendaklah bahasa yang bertatabahasa (sempurna binaan kata dan ayatnya), tersusun wacananya, dan ditulis dengan berdasarkan sistem tulisan yang betul (jika dalam bahasa tulisan) dan disebut dengan betul (jika dalam bahasa lisan). Keterampilan menggunakan bahasa yang baik susunannya memerlukan pengguna bahasa mendalami aspek-aspek yang berkaitan dengan sistem bahasa.

Daripada segi sosiolinguistik, bahasa yang digunakan hendaklah menepati adab sopan yang berkaitan dengan sistem sosial. Sebagai contoh, penggunaan kata ganti dan kata panggilan hormat serta pangkat hendaklah menurut sistem yang telah disahkan oleh pihak berkuasa. Pemilihan kata, ungkapan, ayat dan gaya hendaklah disesuaikan dengan bentuk dan taraf sesuatu majlis atau urusan yang berkenaan.

Demikian juga daripada segi pragmatik, perlu difikirkan dan dirancang penggunaan bahasa yang sesuai dengan tujuan sesuatu majlis atau urusan itu agar tujuan dan hajat tercapai dan pada waktu yang sama kesantunan bahasa dapat terpelihara.

Suasana dan Urusan Tidak Rasmi

Berlawanan dengan suasana dan urusan rasmi, suasana dan urusan tidak rasmi berkaitan dengan sesuatu yang lebih bersifat persendirian, peribadi dan tidak berkaitan dengan kepentingan kerajaan dan institusi lain.

Antara suasana dan urusan tidak rasmi yang lazim termasuklah:
1. Perbualan (bersemuka atau melalui alat seperti telefon)
2. Perbincangan biasa
3. Jual beli biasa
4. Gurau senda
5. Catatan peribadi

Komunikasi dalam konteks yang tidak rasmi lazimnya tidak tertakluk terlalu ketat kepada peraturan linguistik, baik daripada segi binaan kata, ayat mahupun susunan wacananya. Yang dipentingkan dalam komunikasi sedemikian ialah kesalingfahaman, seringkali juga dengan bantuan bahasa badan (mimik muka dan gerak anggota badan yang tertentu). Misalnya, seseorang boleh sahaja menggunakan gerak tangannya untuk menunjukkan sesuatu tempat atau untuk menunjukkan maksud tidak mahu tanpa, kadang-kadang malahan tanpa kata-kata dalam suasana yang sangat tidak rasmi.

Namun demikian, peraturan daripada sudut sosiolinguistik dan pragmatik masih tetap dipentingkan dalam komuniksi yang tidak rasmi. Contohnya ialah penggunaan kata sapaan atau kata panggilan yang menepati sistem masyarakat, misalnya sistem kekeluargaan. Dalam hubungan kekeluargaan, baik dalam keluarga asas mahupun dalam keluarga besar, amat penting digunakan kata sapaan yang betul, sama ada yang berasaskan taraf atau kedudukan dalam keluarga, faktor usia atau faktor lain.

Demikian juga, walaupun jual beli di pasar atau di kedai makan bukan suasana dan urusan yang rasmi, masih tetap perlu dijaga penggunaan kata sapaan dan budi bahasa. Sekarang ini berlaku keadaan apabila anak gadis umumnya disapa dengan panggilan “kak long”, orang lelaki muda atau remaja disapa dengan panggilan “Mat” (atau “Yop” jika di Perak) dan orang lelaki dewasa yang belum kelihatan tua disapa dengan panggilan “abang”. Kini muncul sapaan seperti “brother” kepada lelaki secara umum. Sapaan sedemikian memang menggambarkan kemesraan daripada satu segi, tetapi belum tentu sesuai digunakan kepada orang yang tidak kita kenal atau tidak mempunyai hubungan yang akrab. Dalam keadaan itu, lebih baik digunakan sahaja sapaan yang neutral seperti “cik” atau “saudari”, “encik” dan “saudara”. Orang tua pula belum tentu sesuai disapa dengan panggilan “pakcik” atau “makcik” kerana ia mungkin tidak gembira disapa dengan cara itu. Maka “encik” dan “puan” lebih wajar digunakan untuk menyapa orang berumur yang tidak kita kenal atau yang tidak akrab hubungannya dengan kita.

Pernah terjadi seorang profesor wanita yang agak berumur disapa oleh seorang pelajar di kawasan kampus dengan panggilan “makcik” dan profesor itu berasa tersinggung sehingga komunikasi yang berlaku sesudahnya antara mahasiswa itu dengan beliau menjadi kurang mesra. Timbul juga cerita bagaimana seorang pegawai kanan yang disapa oleh seorang gadis yang menjual makanan di sebuah restoran dengan panggilan “abang” terus meninggalkan restoran itu kerana tidak selesa dengan sapaan begitu.

Panggilan nama kepada orang yang tidak atau kurang akrab dengan kita, sekalipun dalam suasana tidak rasmi, pun tidak manis, terutama jika orang itu lebih tua dan lebih tinggi kedudukannya daripada kita. Panggilan nama mungkin sesuai hanya dalam kalangan teman yang cukup akrab. Budaya Barat mungkin membenarkan keadaan sebegitu, tetapi budaya kita mempunyai asas norma yang lain. Kata pepatah Melayu, “Yang tua dihormati, yang muda disayangi”.

VII. Bahasa Melayu Tinggi: Sistem Bahasa

Dalam bahagian awal, telah dijelaskan bahawa salah satu asas bahasa Melayu tinggi dan kesantunan bahasa ialah peraturan linguistik. Seperti yang diterangkan, peraturan linguistik berkaitan dengan penggunaan bahasa daripada sudut tatabahasa (kata dan ayat), sebutan dan intonasi serta sistem ejaan dan tanda baca. Tatabahasa diperlukan dalam kedua-dua bentuk komunikasi, iaitu lisan dan tulisan. Sebutan dan intonasi pula diperlukan dalam komunikasi lisan, sementara sistem ejaan dan tanda baca diperlukan dalam komunikasi tulisan.

Dalam bahagian ini, tidak akan dihuraikan semua aspek yang berkaitan dengan peraturan linguistik itu secara mendalam. Buku dan makalah yang khusus menerangkan aspek tatabahasa, sistem sebutan, sistem ejaan dan tanda baca yang sedia ada di pasaran dapat dijadikan rujukan. Bahagian ini hanya memberikan panduan umum dan ringkas tentang peraturan linguistik yang perlu dikuasai oleh pengguna bahasa, terutama dalam konteks yang rasmi.

Tatabahasa

Tatabahasa menjadi unsur yang amat penting dalam mana-mana bahasa. Tidak ada orang yang mempelajari sesuatu bahasa tanpa mempelajari tatabahasa bahasa itu. Hal ini demikian kerana tatabahasa ialah acuan bahasa. Maksudnya, tatabahasa merupakan peraturan bagaimana kata dan ayat dibina dan seterusnya disusun dalam bentuk yang lebih besar, iaitu wacana.

Sepucuk surat, misalnya ialah sebuah wacana, iaitu binaan bahasa yang lengkap, kerana ada maklumat pengirim, penerima, perkara, kandungan surat dan sebagainya. Wacana dalam bentuk surat itu terdiri daripada kata-kata dan ayat-ayat. Demikian juga, ucapan ialah sebuah wacana yang terbentuk daripada sejumlah kata dan ayat. Setiap kata dan ayat yang terdapat dalam surat dan ucapan itu dibina atau dibentuk berdasarkan peratuan yang disebut tatabahasa.

Tidak ada orang yang dapat berkomunikasi dengan sempurna, baik secara lisan mahupun tulisan jika ia tidak menguasai tatabahasa. Contohnya, kata pembangunan yang menurut tatabahasa terdiri daripada kata dasar bangun dan apitan pem-…-an akan kehilangan makna apabila diubah menjadi kebangunan, kerana bentuk kata itu tidak menurut kaedah penerbitan kata dalam bahasa Melayu dan tidak pula mendukung makna yang ingin dinyatakan. Demikian juga, apabila ayat seperti Pengurusan yang cekap bertitik tolak daripada petugas yang cekap diubah menjadi Pengurusan bertitik tolak yang cekap daripada petugas yang cekap, komunikasi tidak akan berlaku kerana tidak ada makna yang timbul daripada penggunaan ayat seperti itu.

Kedua-dua contoh itu merupakan contoh ekstrem yang mungkin amat rendah kemungkinan penggunaannya oleh orang yang mempunyai asas berbahasa Melayu. Namun yang hendak ditegaskan ialah bahawa kesilapan penggunaan kata dan ayat yang tidak menurut tatabahasa dapat menjejaskan kelancaran komunikasi di samping mengurangkan mutu bahasa yang digunakan. Contohnya, penggunaan kata mengagumi dalam ayat Kebolehan orang itu amat mengagumi saya menimbulkan makna yang salah, iaitu ‘Kebolehan orang itu kagum kepada saya’ sedang yang dimaksudkan ialah ‘Kebolehan orang itu menjadikan saya kagum’. Oleh itu, bentuk kata yang betul ialah 'mengagumkan'. Sebagai rumusan, tatabahasa ialah peraturan bahasa yang berkaitan dengan penggunaan kata dan ayat yang betul.

Idea, pendapat dan perasaan yang hendak disampaikan oleh seseorang perlu disusun menurut peraturan tatabahasa, baik yang berkaitan dengan penggunan kata mahupun ayat. Pendengar atau pembaca hanya dapat memahami idea, pendapat dan perasaan orang lain melalui bahasa yang disusun berdasarkan peraturan yang telah menjadi asas bahasa masyarakat. Apabila pembicara atau penulis di satu pihak, dan pendengar atau pembacadi satu pihak lain menggunakan peraturan yang sama, barulah komunikasi dapat berlangsung.

Maka itu, orang yang tidak menguasai tatabahasa sesuatu bahasa asing tidak mungkin dapat memahami bahasa yang didengar atau dibacanya. Selain itu, penguasaan tatabahasa penting untuk memastikan bahawa bahasa yang kita gunakan kemas, teratur dan lancar serta lepas daripada kesilapan yang mengurangkan mutu bahasa yang kita gunakan. Di bawah ini dihuraikan secara ringkas kedua-dua aspek tatabahasa, iaitu binaan kata dan binaan ayat.

Binaan Kata

Binaan kata terbahagi kepada empat bentuk, iaitu:

1. kata tunggal (kata yang berdiri sendiri tanpa imbuhan atau unsur lain,
misalnya surat, memo, taklimat, hadir,masuk, cemerlang, lengkap) ;
2. kata terbitan (kata yang menerima imbuhan, misalnya ucapan,
perbincangan, memohon, bermesyuarat, terlaksana, kebaratan);
3. kata ganda (kata yang diulang penuh atau sebahagiannya, misalnya ketua-
ketua, undang-undang, jejari, tetikus ,huru-hara, surat-menyurat);
4. kata majmuk (gabungan lebih satu patah kata, misalnya temu duga, ibu
pejabat, , surat kuasa, kemas kini, ambil alih).

Penggunaan setiap bentuk kata itu ada peraturannya. Pengguna bahasa perlu memastikan bentuk kata tunggal yang betul dengan merujuk kepada kamus. Kata terbitan, iaitu kata berimbuhan pun ada peraturannya. Pengguna bahasa perlu merujuk kepada buku tatabahasa dan juga kamus untuk memastikan bentuk kata terbitan yang betul. Demikian juga kata ganda dan kata majmuk.

Penggunaan Kata Tunggal

Dalam ucapan atau tulisan, kadang-kadang dapat dikesan penggunaan kata tunggal yang salah seperti:

1. bistari (sepatutnya bestari)
2. biadap(sepatutnya biadab)
3. cekerwala (sepatutnya cakerawala)
4. cendikiawan (sepatutnya cendekiawan)
5. definasi (sepatutnya definisi)
6. dekat (sepatutnya dekad – dengan makna sepuluh tahun)
7. durhaka (sepatutnya derhaka)
8. gemetar (sepatutnya gementar)
9. istirehat (sepatutnya istirahat tetapi rehat bukan rahat)
10. kerinting (sepatutnya keriting)
11. lembab (sepatutnya lembap)
12. resmi (sepatutnya rasmi; resmi betul dengan makna ‘sifat’)

Semua kesilapan itu bukan semata-mata kesilapan ejaan, tetapi berkaitan dengan kesilapan bentuk kata tunggal. Pengguna bahasa dianjurkan senantiasa merujuk kepada kamus untuk memastikan bentuk yang betul.

Ada juga kesilapan tatabahasa yang berkaitan dengan penggunaan kata tunggal yang disebabkan salah memilih kata tugas, khususnya kata sendi nama. Pemilihan kata yang berkaitan dengan ketepatan makna tidak termasuk dalam kategori ini, tetapi berkaitan dengan kesantunan bahasa dalam aspek gaya pengungkapan dan akan dibincangkan dalam bab yang lain. Kesilapan yang lazim tentang penggunaan kata sendi nama ialah:

1. Kata sendi nama di dan pada – Kata sendi nama di sepatutnya digunakan untuk
Tempat, sementara kata sendi nama pada untuk masa. Contoh penggunaan kata
sendi nama di ialah:

a. Ketua Pengarah berada di luar kota.
b. Seminar itu diadakan di tingkat dua Menara DBP.
c. Kebanyakan kementerian terletak di Putrajaya.

Contoh penggunaan kata sendi nama pada pula ialah:

a. Bahasa Melayu telah mula menjadi bahasa pentadbiran pada abad ke-7, iaitu zaman kerajaan Sriwijaya (bukan …di abad ke-7….).

b. Pada saat kita menghadapi era globalisasi ini, jati diri perlu diperkuat (bukan Di saat…).

c. Kami mengalu-alukan kehadiran tuan-tuan dan puan-puan ke majlis pelancaran buku pada hari yang mulia ini (bukan …di hari yang mulia ini.)

2. Kata sendi dari dan daripada – Kata sendi nama dari digunakan untuk menunjukkan tempat dan waktu, sementara daripada untuk manusia, haiwan, asal atau sumber, kandungan dan perbandingan. Contoh penggunaan dari dan daripada ialah:

a. Rombongan pelabur itu dari Jepun (bukan daripada Jepun).

b. Dari tahun 1970 hingga kini, Universiti Kebangsaan Malaysia telah mengeluarkan puluhan ribu siswazah yang terlatih dalam bahasa Melayu (bukan daripada tahun 1970....).

c. Pegawai yang berdedikasi itu menerima Anugerah Khidmat Cemerlang daripada Ketua Setiausaha Negara (bukan …dari Ketua Setiausaha Negara).

d. Gembala di Zoo Negara itu menanggalkan rantai daripada leher harimau itu (bukan …daripada leher harimau itu).

e. Hasil kraftangan yang dijual itu dibuat daripada bahan-bahan alam setempat (bukan …dibuat dari bahan-bahan alamt setempat).

f. Kamus ekabahasa itu terdiri daripada 100,000 entri pokok dan subentri (bukan terdiri dari….).

c. Manusia lebih mulia daripada sebarang makhluk lain (bukan …dari sebarang makhluk lain.)

3. Kata sendi nama ke dan kepada – Kata sendi nama ke digunakan untuk menunjukkan arah, tempat dan masa. Kata sendi kepada pula digunakan untuk manusia, haiwan, unsur mujarad (abstrak), menyatakan pecahan dan menyatakan perubahan keadaan. Contoh penggunaan kata sendi nama ke ialah:

a. Pada musim dingin, burung-burung itu terbang ke bahagian selatan dunia.
b. Penambahbaikan perlu dilakukan dari waktu ke waktu.

Contoh penggunaan kata sendi nama kepada pula ialah:

a. Derma disampaikan kepada wakil rumah kebajikan itu oleh pengetua.

b. Berikanlah pertolongan walaupun kepada haiwan.

c. Media massa perlu mengurangkan penyiaran bahan yang mendedahkan masyarakat kepada unsur yang negatif.

d. Sesetengah universiti membahagi tahun pengajian kepada tiga semester.

e. Suhu diramalkan meningkat kepada 35 darjah celcius dalam tempoh sebulan ini.

Beberapa contoh kesilapan penggunaan kata sendi nama yang lain ialah:

a. Sejak dari dahulu lagi bangsa kita kaya dengan kesenian tradisi.
(Pilih salah satu, sama ada sejak atau dari)

b. Demi untuk mempertahankan negara, kami sanggup berjuang hingga ke
titisan darah yang akhir.

(Pilih salah satu, sama ada demi atau untuk)

c. Hingga ke akhir hayatnya pemimpin itu terus berbakti kepada rakyat.
(Pilih salah satu, sama ada hingga atau ke)

Penggunaan Kata Terbitan, Kata Ganda dan Kata Majmuk

Seperti yang telah dijelaskan, kata terbitan ialah kata yang terdiri daripada kata dasar dan imbuhan. Proses pembentukan kata kata terbitan dikenal sebagai proses pengimbuhan. Ada empat jenis imbuhan dalam bahasa Melayu, iaitu awalan (seperti ber-, me-, ter-, memper-), akhiran (seperti an, kan, i), apitan (seperti ber-…-kan, me-…-kan, me-…i, memper-…-kan, memper-…-i).

Kata terbitan lazimnya menimbulkan makna baru daripada kata dasar yang menerbitkannya. Contohnya, kata ajar dapat menimbulkan pelbagai bentuk baru yang mendukung pelbagai makna , iaitu berajar (berpendidikan, beradat), belajar (menuntut ilmu dll.), mengajar (memberi seseorang ilmu dan kemahiran), mengajari (mengajar seseorang), mengajarkan (memberikan ilmu atau kemahiran), ajaran (sesuatu yang diajarkan), pengajaran (perihal mengajar), pelajaran (sesuatu yang dipelajari), berpelajaran (mempunyai pelajaran atau pendidikan), pembelajaran (proses belajar), pengajar (orang yang mengajar), pelajar (orang yang belajar), mempelajari ( belajar sesuatu untuk mendalami sesuatu), terpelajar (berpendidikan tinggi, cerdik pandai), pemelajaran (proses mempelajari). Orang yang dapat memanfaatkan penggunaan kata terbitan dengan baik dengan sendirinya mempunyai kosa kata yang luas dan hal ini membantunya berkomunikasi dengan lebih berkesan.
Untuk menggunakan kata terbitan dengan baik, peraturan yang berkaitan dengan proses penerbitan kata itu perlu dikuasai dengan baik. Misalnya, pengguna bahasa perlu tahu bahawa untuk kata nama, akhiran yang patut digunakan ialah –an, bukan –kan. Oleh itu tidak akan terjadi kesilapan seperti:
a. Kebanyakkan laporan badan berkanun telah diterima. (sepatutnya kebanyakan, iaitu kata banyak menerima apitan ke-…-an)

b. Salah satu puuca kesesakkan jalan raya ialah pertambahan jumlah kendaraan. (sepatutnya kesesakan, iaitu kata sesak menerima apitan ke-…-an)

c. Pelantikkan Perdana Menteri dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong. (sepatutnya pelantikan, iaitu kata lantik menerima apitan pe-…-an)

d. Galakkan pelaburan seperti pengurangan cukai dapat menarik pelabur asing. (dengan makna ‘dorongan’ sepatutnya galakan, iaitu kata galak menerima akhiran –an)

Sebaliknya, kata kerja terbitan menerima akhiran –kan, bukan akhiran –an. Dengan memahami aturan itu, tidak timbul kesilapan seperti:

a. Rakyat meletakan harapan yang tinggi kepada Perdana Menteri. (Sepatutnya meletakkan, iaitu kata letak menerima apitan me-…-kan)

b. Peningkatan peruntukan kewangan untuk sektor pendidikan menunjukan bahawa bidang itu penting dalam pembentukan modal insan. (Sepatutnya menunjukkan, iaitu kata tunjuk menerima apitan me-…-kan)

c. Galakan pelajar mengisi waktu lapang dengan kegiatan yang berfaedah.
(Sepatutnya galakkan kerana kata itu ialah kata kerja, iaitu kata galak
menerima akhiran -kan)

Tentang penggunaan kata ganda pula, pengguna bahasa perlu memahami adanya kata ganda penuh, kata ganda separa dan kata ganda berentak. Kata ganda penuh terbahagai pula kepada kata ganda penuh tulen dan kata ganda penuh semu. Kata ganda penuh yang tulen terbit daripada penggandaan atau pengulangan satu kata dasar, misalnya murid-murid, jabatan-jabatan, dan negara-negara ialah kata ganda penuh yang tulen kerana terbit daripada kata dasar murid, jabatan dan negara. Kata ganda semu pula tidak digandakan daripada kata dasar, sebaliknya memang asalnya berbentuk ganda, misalnya anai-anai, jentik-jentik, kura-kura, labah-labah (tidak terbit daripada kata anai, jentik, kura, labah). Oleh itu, timbul istilah kata ganda semu, iaitu kata ganda yang bukan sebenarnya mngalami penggandaan (semu bererti bukan ‘yang sebenarnya’).

Kata ganda separa pula ialah kata ganda yang mengalami penggandaan sebahagian kata. Jenis yang pertama ialah yang merupakan kata dasar, misalnya bebola (daripada bola-bola), jejari (daripada jari-jari), lelangit (daripada langit-langit), tetikus (daripada tikus-tikus). Jenis yang kedua ialah yang merupakan kata terbitan, iaitu kata yang berimbuhan, misalnya berkejar-kejaran, kejar-mengejar, bahu-membahu, surat-menyurat.

Kata ganda berentak ialah kata ganda yang kebanyakannya mempunyai persamaan bunyi atau rima, baik di awal mahupun di hujung kata, misalnya bengkang-bengkok, hura-hara, kacau-bilau, remuk-redam, selok-belok, serba-serbi, tunggang-langgang.

Dalam hubungannya dengan kesantunan bahasa, pengguna bahasa perlu menitikberatkan penggunaan kata ganda yang tepat. Contohnya, kesilapan seperti yang berikut perlu dielakkan:

a. kata aluan (seharusnya kata alu-aluan kerana kata dasarnya ialah alu-alu)
b. tiap orang (seharusnya tiap-tiap orang atau setiap orang)
c. saudara mara (seharusnya saudara-mara)
d. serba serbi (seharusnya serba-serbi)

Ada juga penggunaan kata ganda yang salah dan menimbulkan makna yang tidak betul, misalnya dalam ayat Drama kejar-mengejar antara pihak polis dengan penjenayah itu berlaku selama satu jam. Penggunaan kata ganda kejar-mengejar dalam ayat itu bermakna bahawa polis dan penjenayah saling mengejar, iaitu bergilir-gilir mengejar antara satu dengan yang lain. Ayat itu menimbulkan makna yang tidak munasabah.

Akhirnya, kata majmuk ialah kata yang terdiri daripada dua kata atau lebih dan menimbulkan makna tertentu. Ada tiga jenis kata majmuk. Yang pertama ialah yang merupakan rangkaian kata bebas, misalnya alat tulis, gambar rajah, pejabat pos dan projek ekonomi. Yang kedua ialah yang berbentuk istilah khusus seperti garis pusat, kanta lekap, kertas kerja, lut sinar, pita suara dan susun lapis masyarakat. Yang akhir ialah yang mendukung makna kiasan, seperti anak emas, buah tangan, makan suap, pilih kasih, sakit hati dan sebagainya.

Masalah yang sering dihadapi oleh pengguna bahasa ialah pengejaan kata majmuk, sama ada dicantumkan atau dipisahkan. Panduan yang dapat dijadikan pegangan ialah bahawa semua kata majmuk dieja terpisah. Kekecualian, seperti yang disenaraikan dalam buku Tatabahasa Dewan Edisi Baharu, pada halaman 75, hanya berjumlah 15 patah kata sahaja, iaitu:

antarabangsa setiausaha
beritahu sukarela
bumiputera suruhanjaya
jawatankuasa tandatangan
kakitangan tanggungjawab
kerjasama warganegara
olahraga pesuruhjaya
matahari

Binaan Ayat
Dalam binaan ayat, pengguna bahasa perlu menguasai bagaimana ayat dibina daripada gabungan frasa-frasa. Contohnya, daripada dua frasa yang berikut:

a. pengesahan jawatan
b. diputuskan oleh Jawatankuasa Perjawatan

dapat dibina ayat yang berbunyi Pengesahan jawatan dipustuskan oleh Jawatankuasa Perjawatan. Frasa yang di hadapan, iaitu pengesahan jawatan disebut subjek sementara frasa di belakangnya, iaitu diputuskan oleh Jawatankuasa Perjawatan disebut predikat. Susunan ayat yang meletakkan subjek di hadapan dan predikat di belakang diseubut susunan ayat biasa. Sebagai kelainan gaya atau untuk menegaskan bahagian predikat, kebanyakan ayat dapat disongsangkan, iaitu predikat dikehadapankan dan subjek dikebelakangkan.

Dengan menguasai kaedah membina ayat, dapat dielakkan ayat yang salah strukturnya seperti:

a. Dengan hormatnya merujuk kepada surat tuan bertarikh 20 Jun 2005.
(Sepatunya Dengan hormatnya saya merujuk kepada surat tuan bertarikh 20
Jun 2005)

b. Dengan kerjasama tuan diharapkan akan lebih menjayakan program itu.
(Sepatutnya Kerjasama tuan diharapkan akan lebih menjayakan program
itu atau Dengan kerjasama tuan, diharapkan program itu akan lebih berjaya.)

c. Dengan kehadiran tuan mudah-mudahan akan lebih memeriahkan majlis
tersebut.
(Sepatutnya Kehadiran tuan mudah-mudahan akan lebih memeriahkan majlis
tersebutt atau Dengan kehadiran tuan, mudah-mudahan majlis tersebut akan
lebih meriah.)

d. Pendidikan yang menentukan masa hadapan pelajar.

(Sepatutnya Pendidikanlah yang menentukan masa hadapan pelajar.)

e. Sekiranya orang ramai sedar tentang bahaya pencemaran alam sudah tentu
lebih mudah dibendung.

(Sepatutnya Sekiranya orang ramai sedar tentang bahaya pencemaran alam,
masalah itu akan lebih dibendung.)
f. Oleh sebab pembangunan yang tidak dikawal menyebabkan keseimbangan
ekologi terjejas.
(Sepatutnya Pembangunan yang tidak dikawal menyebabkan keseimbangan
ekologi terjejas.)

g. Menurut Jabatan Alam Sekitar menyatakan bahawa semakin banyak sungai
yang tercemar.
(Sepatutnya Menurut Jabatan Alam Sekitar, semakin banyak sungai yang
tercemar atau Jabatan Alam Sekitar menyatakan bahawa semakin banyak
sungai yang tercemar.)

Semua kesalahan ayat di atas disebabkan oleh pembinaannya yang tidak menurut aturan tatabahasa, terutama dalam hal hubungan antara subjek dengan predikat. Selain itu, ada aspek-aspek lain tentang binaan ayat yang perlu dikuasai, seperti ragam ayat (ayat aktif dan ayat pasif), jenis ayat (ayat penyata, ayat tanya, ayat permintaan dan ayat seru) dan golongan ayat (ayat tunggal atau ayat majmuk). Kesemuanya itu ada aturan yang perlu difahami dan dipatuhi. Seperi yang saya sebut lebih awal, buku ini bukan buku tatabahasa dan oleh itu tidak dapat menghuraikan semua aspek itu. Pengguna bahasa perlu membaca buku atau tulisan lain tentang tatabahasa untuk mendalami semua aspek itu.

Selain kesilapan dalam binaan ayat, kesilapan yang kerap dilakukan oleh pengguna bahasa ialah yang berkaitan dengan binaan frasa. Sebelum ini telah dijelaskan bahawa frasa ialah unsur yang membina ayat. Kesilapan yang paling luas berkaitan dengan binaan frasa nama. Umumnya, frasa nama yang terdiri daripada lebih satu kata terbina dengan adanya kata nama sebagai unsur inti dan diikuti oleh kata lain. Misalnya frasa nama dewan besar terbina daripada kata nama dewan sebagai unsur inti, sementara penerangnya ialah kata adjektif besar. Dalam bahasa Melayu kita tidak mengatakan besar dewan sebagaimana halnya dalam bahasa tertentu yang lain. Dalam bahasa Inggeris, misalnya, memang penerang didahulukan sedang unsur intinya dikemudiankan, lalu terbina frasa nama main hall. Dalam bahasa Melayu, unsur yang penting, iaitu yang disebut unsur inti lazimnya diletakkan di hadapan.

Dengan memahami susunan kata yang membentuk frasa nama itu, maka dapatlah dielakkan penggunaan frasa nama yang salah seperti:

a. lain-lain perkara (sepatutnya perkara-perkara lain)
b. lain dokumen (sepatutnya dokumen lain)
c. tentatif program (sepatutnya program tentatif)
d. Anita Klinik (sepatutnya Klinik Anita)
e. Radio Ipoh FM (sepatutnya Radio FM Ipoh)
f. Sony perakam video (sepatutnya perakam video Sony)
g. Eksekutif Koc (sepatutnya Koc Eksekutif)
h. Nasi Kandar Restoran (sepatutnya Restoran Nasi Kandar)

Sebutan, Intonasi, Ejaan dan Tanda Baca

Aspek sebutan dan intonasi penting dalam komunikasi lisan, sementara ejaan dan tanda baca penting dalam komunikasi tulisan. Sebutan berkaitan dengan cara kita membunyikan sesuatu kata dan intonasi berkaitan dengan turun naik suara, sesuai dengan maksud yang hendak disampaikan. Ejaan yang betul melambangkan sebutan yang betul dan tanda baca sebahagiannya mewakili intonasi yang betul. Misalnya, tanda koma dan tanda noktah mewakili hentian dalam pertuturan.

Aspek sebutan, terutamanya, amat penting diberi perhatian kerana sebutan yang salah kerap kali menghilangkan makna sesuatu kata dan bahkan mungkin mengubah maknanya pula. Sebagai contoh sekadar untuk menunjukkan pentingnya sebutan yang betul, pengguna bahasa perlu menyedari adanya ejaan yang sama tetapi lain sebutannya disebabkan huruf ada yang berbunyi “e pepet” dan ada juga yang berbunyi “e taling”. Dalam kata seperti emak, lemak, menang, petang, senang dan tenang, bunyinya ialah “e pepet”. Dalam kata seperti cetak, dendang, gesek, hebat, lebar, dan tengok, bunyinya ialah “e taling”.

Masalah sering timbul apabila ada kata-kata yang dapat disebut dengan dua bunyi, iaitu “e pepet” dan “e taling” tetapi dengan makna yang lain. Contohnya ialah:

Bunyi pepet Bunyi taling
bela (pelihara) bela (mempertahankan)
dekan (sejenis ulat) dekan (ketua fakulti)
gelang (lingkaran) gelang (sejenis tumbuhan)
kepak (sayap) kepak (membengkokkan)
perang (pergaduhan besar) perang (sejenis warna)
rendang (sejenis makanan) rendang (rimbun)
sebak (sesak, hiba) sebak (kuak, selak)
selak (kancing pintu) selak (singkap)
semak (belukar) semak (periksa)
sepah (hampas) sepah (berserak)
sepak (tampar) sepak (tendang)

Sekiranya kelainan sebutan bagi kata-kata seperti di atas itu tidak dikuasai, maka akan timbul kekeliruan dan mungkin kelucuan. Sebagai contoh, jika seorang pengacara majlis mempersilakan dekan (ketua fakulti) untuk berucap tetapi dengan sebutan “e pepet”, maka yang diundang berucap bukan ketua fakulti tetapi sejenis ulat! Jika dekan atau ketua fakulti itu tahu akan makna kata dekan yang disebut dengan “e pepet” itu, tentu ia tidak tampil ke pentas untuk memberikan ucapan kerana bukan dia yang diminta berucap.

Pernah juga saya mendengar seorang pengacara majlis mengundang Rektor sebuah universiti berucap tetapi yang disebutnya ialah reaktor. Tentu lain sama sekali makna reaktor daripada rektor. Rektor ialah pemimpin universiti (setaraf dengan Naib Canselor) sedang reaktor ialah sumber pembangkit tenaga seperti atom dan nuklear.
Dalam hal lain pula, amat penting pengguna bahasa, khususnya dalam komunikasi rasmi, sedapat mungkin mengelakkan penggunaan kata menurut sebutan dialek yang asing atau tidak difahami khalayak. Sebagai contoh sahaja, orang dari utara Semenanjung Malaysia tidak sepatunya menuturkan kata ayak bagi kata air atau pikiak bagi kata fikir kerana khalayak yang tidak berasal dari utara tidak memahaminya. Pernah terjadi seorang tokoh yang di dalam dialeknya tidak ada atau amat jarang digunakan bunyi “e pepet” menyebut kata pentadbiran dalam ucapan rasminya dengan mengucapkan bunyi “e pepet” dalam kata itu sebagai bunyi [a]. Maka timbullah bunyi yang tidak enak didengar pada sebahagian kata itu. Hal ini secara langsung mengganggu komunikasi yang berlangsung dan sekali gus memberikan imej yang kurang baik kepada tokoh itu.

Tentang ejaan dan tanda baca, kedua-duanya penting dikuasai dalam komunikasi tulisan untuk memastikan keselarasan dan juga makna yang tepat. Dalam sistem ejaan Rumi, ada aturan keselarasan vokal, kekecualiannya, pengejaan kata sendi nama dan awalan di dan ke, pengejaan kata terbitan, kata ganda dan kata majmuk. Pengguna bahasa perlu menguasai aturan tersebut dengan merujuk kepada kamus dan daftar ejaan.

Kembara Bahasa
25 Oktober 2012/9 Zulhijah 1433

No comments:

Post a Comment