Mengikut perintah dan mematuhi peraturan memang menjadi etika dalam pekerjaan, baik dalam jabatan mahupun persatuan. Namun ada sesetengah orang yang bertindak silap dengan menukar ketaatan dan kepatuhan berdasarkan prinsip dan peraturan kepada ketaatan dan kepatuhan secara melulu sehingga prinsip terabai.
Orang yang sekadar memenuhi arahan ketua tanpa berdasarkan prinsip tetapi sebaliknya untuk menyenangkan hati atau untuk meraih kepentingan peribadi tidaklah lebih sebagai orang suruhan dan hamba abdi.
Rasa mual dan kecewa akan adanya orang suruhan dalam pelaksanaan amanah dan perkhidmatan hamba curahkan dalam puisi yang berjudul "Orang Suruhan". Puisi ini hamba lahirkan pada tahun 2011 dan terbit dalam kumpulan puisi hamba "Mencari Makna Diri" (2012).
Puisi "Orang Suruhan" petikan daripada kumpulan puisi hamba "Mencari Makna Diri":
Kalau Hanya Orang Suruhan
Apatah yang diharapkan
kalau dia hanya orang suruhan
disuruh maka dilakukan
Apatah yang diharapkan
kalau dia hanya orang suruhan
diarah maka dieyakan
Apatah yang diharapkan
kalau dia hanya orang suruhan
diancam maka dia diam
Apatah yang diharapkan
kalau dia hanya orang suruhan
dijanjikan ganjaran maka dia aman
Ada orang suruhan yang memandang pahala dan dosa
ingat akan Allah azzawajalla
maka dia orang suruhan yang berjaya
Ada orang suruhan yang yang memandang habuan dunia
kepada sesama makhluk menggantungkan nasib dan mujurnya
maka dia orang suruhan yang lagha
Setiap orang ada pilihan
menjadi orang suruhan yang berjaya
atau orang suruhan yang lagha
kerana kita pasti akan ke sana
untuk dihitung pahala dan dosa
untuk ke syurga atau ke neraka
~Kembara Bahasa~
6 Jun 2011
No comments:
Post a Comment