Ini Melayu terbilang 
aku utuskan ini warkah sempena
hari ulangtahun kelahiran mu, Paduka
namamu kusebut antara bait 
yang berbunyi:
jika tidak kerana karun bangsaku 
berhias antara leiden dan oxford 
memang tak perlu nama itu aku sebut 
sekalipun ia memuntahkan sejuta cendiakawan 
kerana antara tiang 
dan bumbung mengokoh tembok namanya
adalah hasil menjarah gading yang dari Timur
ketika nenek moyang mereka 
belum sembuh petaka zaman kegelapan 
kerana kamus Eropah belum kenal 
erti segan silu 
Tetapi untuk menjejaki lampau
sejarah yang luka
engkaulah Paduka
bernama Kembara Bahasa
jikapun aku tak bebankan 
kepulanganmu dari gedung malapetaka itu
untuk mengambil balik hak bangsa dan budaya
tetapi jemari mu bagai membuka kuncinya
apabila menyelak tinta Melayu 
dan memutalaahnya 
untuk menjadi kenang
kenangan
Tetapi jika getar jemari mu 
yang pernah mencuit lembaran itu
mampu menghantar aku
kealam silam ketika perompak 
itu memasuki tanah Melayu ini
nah! 
ini! 
aku dari tanah Borneo Utara 
adalah pewaris 
kepahlawanan Mat Salleh 
meminjam pedang beliau 
mengerat tangan pencuri 
atau memutus urat tembolok mereka
jangan terlepas semua milik kita
yang diculiknya 
menjadi batu loncatan untuk
melumatkan jati diri kita
walaupun akhirnya
anak watan sendiri berdagang 
maruahnya menjual bahasa 
Melayu 
kepada tuan lamanya
atas nama gobalisasi 
tapi sejarah tidak pernah mecemuh kita
walaupun kedaulatan ini terbina atas 
penindasan 
kita akan terus berdiri 
pada padang Khatulistiwa ini sebagai 
anak Melayu 
YATIM AHMAD
Kota Kinabalu
20 Oktober 2013· 
Kembara Bahasa Melayu Mahawangsa:
 Penghargaan yang tinggi dan kalungan budi kepada Sdr Yatim Ahmad. Hamba siar ulang puisi yang berkaitan (kembarabahasa.blogspot.com):
Puisi "Kembalikan Hak Pustaka Pusaka"
Cuaca dingin di Netherlands
Pohon rontok kehilangan sinar mentari
Air di sebilangan sungai mula membeku
menghentikan aliran
Tompok salji di sana sini
Angin dingin menggigit kulit
Tiadalah kuhiraukan semua itu
kerana dorongan batinku
dikobarkan oleh hajat nan terpendam sekian lama
berdasawarsa
untuk mengembalikan hak pustaka pusaka bangsa
untuk mengembalikan warisan peradaban
ke pangkuan tanah leluhur
yang dipindahkan ke tanah asing
entah secara rela entah secara paksa
Warisan peradaban besar itu
mewakili tasawur, falsafah, sistem nilai
ungkapan akal budi penuh beretika dan bersalut estetika
dan perihal budi dan daya pencetus sistem siasah dan iktisad
perihal hukum kanun, falak, seni bina, perubatan, persenjataan
dan segala yang dimaknai oleh takrif peradaban
Mengapatah terus dibiarkan berwujud di tanah asing
dipuja dan dirindui dari jauh 
tanpa tampak pada mata kasar dan mata hati
Mengapatah terus dibiarkan berlangsung
waris bangsa menyeberang sempadan
untuk menafsirkan makna diri
Dengan berhemah perlu dipadukan
segala upaya dan iltizam
untuk mengembalikan segala warisan peradaban 
ke pangkuan alam Melayu
tanpa bertangguh lagi
kerana kita telah kehilangan sebahagian makna diri
sekian lama
Gelora dan badai yang bakal kita hadapi
usah menyurutkan harapan cita pertiwi
Kemaskan kemudi
Berpadu bestari
nescaya terpenuhi
hajat ikhlas di hati
kerana kita tidak mengambil yang bukan hak
melainkan yang hak bagi kita
Semoga langkah mula
bersusulan langkah penuh berdaya
sehingga terhimpun semula segala warisan bangsa
di buminya yang hak
untuk kita taakul, tafsirkan dan manfaatkan
dalam mengenal dan membina makna diri
dalam membina kesinambungan budi dan daya
dalam membina cita dan masa depan wangsa dan negara
~ Kembara Bahasa ~
Hotel Pulitzer, Amsterdam
13 Januari 2013
No comments:
Post a Comment