Thursday, November 28, 2013

Puisi "Azam Abadi"

Azam Abadi

Nyala api perjuangan itu
bukan kepura-puraan
untuk daku meraih nama
atau kemasyhuran
apatah lagi ganjaran
kerana lebih banyak kedukaan
dan penghinaan serta ancaman
yang bertandang

Nyala api perjuangan itu
bukan suatu kebetulan
kerana akarnya ialah hakikat
kewujudan tamadun lebih dua alaf
dengan bahasa wasilah peningkat taraf
penjana pemikiran dan karya peneguh makrifat
penghubung manca tamadun sejagat
baik di timur mahupun di barat

Maka itu
usah dikau cuba menguji iltizam
dan ketekalanku dalam jalur perjuangan itu
Usah dikau cuba menusukkan ancaman
kerana habuan dan ganjaran
bukan mata alamat apatah lagi idaman
Pintu rezeki dalam jagaan Tuhan
Persoalan kita: menemui-Nya dalam penipuan diri
atau kepuasan dan kemanisan memenuhi suara hati
sesudah memperjuangkan yang hakiki

Kembara Bahasa
28 November 2013

No comments:

Post a Comment