Thursday, February 27, 2014

Di Denai Kerjaya (2)



Di Denai Kerjaya (2)

Dengan memiliki diploma pendidikan sebagai tambahan ijazah Sarjana Muda Persuratan (Kepujian), kerjaya yang terbuka bagiku ialah pendidik. Aku telah pun menyempurnakan tugas sebagai guru pelatih dengan opsyen guru Bahasa Melayu dan Kesusasteraan Melayu selama empat bulan di Sekolah Tinggi Muar.

Takdir Allah menentukan perubahan hala kerjayaku apabila Pak Asraf bersungguh-sungguh meminta aku bekerja sebagai editor di McGraw-Hill FEP International untuk membantunya. Maka bermulalah kerjayaku sebagai editor. Ketika itu penerbit berkenaan menerbitkan buku rujukan pelbagai bidang dan buku teks sekolah, di samping susastera kanak-kanak dan remaja.

Sebagai editor, tugasku pada asasnya meliputi dua perkara utama. Pertama, menyelaraskan bahan terbitan di peringkat dalaman dan juga dengan pihak luar, terutamanya Kementerian Pendidikan, penulis, dan pelukis. Kedua, melakukan penyuntingan manuskrip dan menyelaraskan aspek pengeluaran dengan editor pengeluaran dan pencetak.

Yang paling mengesankan ialah tugas yang berkaitan dengan penyuntingan manuskrip kerana tugas yang lain berkaitan dengan pentadbiran dan kerja mekanis. Penyediaan manuskrip yang sempurna kandungan dan bahasanya menjadi keutamaan Pak Asraf. Beliau amat tegas dalam memastikan bahawa manuskrip bukan sahaja mesti tepat maklumat dan faktanya bahkan mestilah jelas, tersusun rapi dan menarik. Kata kunci yang berkali-kali disebutnya dalam sesi latihan dan penilaian manuskrip ialah "clarity" dan "brevity" yang merujuk kepada pentingnya kejelasan dalam penyampaian ilmu dan fakta. Di bawah seliaan beliau, aku dan editor lain seringkali bukan sekadar menyunting manuskrip bahkan diminta mengolahnya semula disebabkan manuskrip asal yang dihasilkan penulis tidak jelas dan kemas penyampaian isinya. Dalam pengalamanku hingga kini, memang ketara kurangnya penulis yang dapat menulis dengan baik, terutama dalam hal organisasi fikiran dan maklumat dan juga bahasa, sehingga "editing" (penyuntingan) tidak jarang menjadi "rewriting" (penulisan semula). Maka ada masanya editor yang bersungut tidak puas hati apabila hanya penulis yang dihargai dalam sesuatu anugerah atau hadiah buku atau penerbitan.

Dalam soal bahasa, beliau tidak pernah bertolak ansur walaupun tentang hal yang pada orang lain remeh. Kesilapan bahasa yang ditemukan dalam tulisan yang telah terbit menimbulkan amarah yang serius dan kritik itu diulang-ulang dalam setiap kesempatan yang ada. Aku masih ingat akan rungutan beliau yang berterusan selama seminggu hanya kerana kata "pandangan" dicetak menjadi "padangan". Walaupun ada masanya kesilapan berlaku pada peringkat jurutaip atau pembaca pruf, editor tetap dianggapnya bertanggungjawab. Aku pernah menerima tempias amarahnya apabila kata "kelautan" ditaip sebagai "Kelantan"dalam manuskrip sejarah. Beliau tidak menegur jurutaip tetapi menegurku kerana menurutnya, editor bertanggungjawab mengawal seluruh proses penerbitan. Dalam penyemakan pruf, beliau sanggup membayar 20 sen bagi setiap kesilapan yang dapat dikesan dan Tajudin Busu (Allahyarhamhu) yang menjadi pembaca pruf sering menerima rezeki kerana ketelitiannya.

Beliau melatih kami menyunting manuskrip secara intensif. Itulah yang aku sebut kepada staf apabila kemudian aku dilantik menjadi Ketua Editor "kaedah bekerja secara berjemaah", iaitu perkongsian kerja penyuntingan dalam kalangan editor. Semasa aku menjadi Editor Jurnal Dewan Bahasa di Dewan Bahasa dan Pustaka kemudian, kaedah kerja itu kuterapkan bersama-sama dengan timbalan editor dan penolong-penolong editor. Dengan kaedah penyuntingan secara berjemaah, piawai dan mutu kerja penyuntingan dapat dicapai dan tidak bergantung pada cita rasa editor, tetapi berasaskan ilmu bahasa dan prinsip penerbitan.

Bimbingan Pak Asraf tidak terhad di pejabat. Seringkali beliau meminta aku ke rumahnya untuk melakukan kerja penyuntingan dan beliau kemudian melakukan penyemakan dan memberikan teguran mana-mana bahagian yang masih tidak rapi. Dengan cara itu aku dapat sentiasa meningkatkan "rasa bahasa", satu lagi kata kunci yang sering disebutnya. Rasa bahasa yang ditegaskannya bukan sekadar berkaitan dengan binaan bahasa yang gramatis bahkan juga pentingnya pemilihan binaan yang tepat bagi sesuatu konteks. Hal itu berkaitan dengan satu lagi kata kunci yang sering disebutnya dalam konteks penulisan yang berkesan, iaitu "flair" atau kelancaran yang melibatkan pemilihan kata atau diksi dan pemilihan ayat yang wajar untuk menyampaikan sesuatu fikiran atau maksud.

Oleh sebab agak kerap berulang ke rumahnya, ada masanya hingga lewat malam, akhirnya beliau memintaku tinggal sahaja di rumahnya di Kampung Tunku, Petaling Jaya dengan bayaran minimum untuk makan minum. Pada waktu itu banyak projek buku teks yang perlu ditangani untuk bersaing dengan penerbit-penerbit lain. Ketika itu penerbit yang berdaftar untuk menyediakan buku teks perlu bersaing secara terbuka. Kira-kira enam bulan aku tinggal di rumahnya dan sepanjang tempoh itu aku benar-benar "dibancuhnya" sehingga dalam tempoh itu "rasa bahasa" yang sering disebut-sebutnya itu dapat kurasakan peningkatannya.

Selain melakukan penyuntingan, aku diminta menulis buku bersama-sama dengannya untuk memperoleh "flair" atau kelancaran berbahsa dalam penulisan. Ketika itu buku yang kami tulis ialah buku teks sejarah untuk tingkatan satu hingga tingkatan tiga dan tatarakyat untuk tingkatan empat dan tingkatan lima. Pengalaman menulis di bawah bimbingannya benar-benar memberikan kesan kepada pelibatanku dalam penulisan secara lebih berdisiplin walaupun sebelum itu aku sudah biasa menulis untuk pelbagai majalah dan akhbar semasa menuntut di universiti.

Kira-kira lapan bulan bertugas, beliau melantikku sebagai Ketua Editor dan beliau kemudian meninggalkan syarikat penerbitan berkenaan untuk menubuhkan syarikat penerbitan sendiri bersama-sama dengan rakan kongsinya. Beban tugasku bertambah berat, terutama kerana mengetuai jabatan editorial dan banyak kerja pengurusan yang perlu kulaksanakan di samping tugas sebagai editor. Hampir setiap hari aku balik pada waktu malam untuk menyelia staf menjalankan tugas lebih masa untuk memenuhi jadual Kementerian Pendidikan. Tugas memastikan pintu pejabat dikunci, suis lampu ditutup dan aspek keselamatan staf termasuk dalam jadual tugas Ketua Editor sehingga akulah orang terakhir yang meninggalkan pejabat sesudah memastikan semua staf keluar. Begitulah budaya kerja di firma swasta.

Waktu untuk aku bergerak dalam persatuan dan untuk memberikan ceramah kian terbatas. Perhatian betul-betul tertumpu pada tugas di syarikat. Aku berasa agak tertekan dengan ketiadaan ruang untuk beraktiviti dalam persatuan dan menunaikan undangan berceramah, kegiatan yang telah mendarah daging sejak aku di kampus lagi. Mentorku pun telah berhijrah. Ada hasratnya untuk menawarkan kerja di syarikat baharunya tetapi keadaan syarikat yang baru ditubuhkan tidak memungkinkan tawaran itu diberikan. Tambahan pula aki perlu menunaikan amanahnya untuk menyambung tugas yang ditinggalkannya.

Kian hari aku kian gelisah kerana kehidupanku seolah-olah hanya untuk syarikat dan ruang untuk bergerak dalam kegiatan perjuangan bahasa kian terbatas. Begitu jua halnya dengan keperluan untuk memenuhi undangan ceramah, seminar dan yang lain. Dilema melanda diriku kerana aku perlu memilih satu daripada dua pilihan yang ada. Adakah aku patut kekal sebagai Ketua Editor, jawatan yang tidak mudah kuperoleh, lebih-lebih lagi dalam tempoh tidak sampai setahun bertugas atau adakah patut aku mencari kerja lain yang memberiku ruang untuk dapat bergiat dalam perjuangan bahasa dan memenuhi undangan berceramah dan berseminar?

Sesudah berfikir panjang, aku mengambil keputusan untuk berhijrah ke tempat yang membuka ruang yang lebih luas untuk aku menyumbangkan bakti, terutama dalam perjuangan bahasa. Setahun di badan penerbitan swasta memang singkat. Namun aku telah berpeluang bekerja di bawah bimbngan tokoh bahasa dan penerbitan berwibawa dan bimbngannya memberikan makna yang cukup besar kepada kerjayaku selanjutnya. Setahun di situ aku berpeluang mempelajari kaedah pengurusan dan perundingan dengan pelbagai pihak di sektor awam dan swasta. Setahun di situ aku berpeluang mengenal sejumlah sosok hebat dalam bidang penerbitan di luar syarikat.

28 Februari 2014

2 comments:

  1. Assalamualaikum.
    Terlalu banyak jasa arwah, jasa yang rasa saya sehingga kini masih tidak terbalas.
    Suhaimi.
    p.s Jika ada ruang dan peluang, ingin saya bertemu dengan Prof.

    ReplyDelete
  2. Waalaikumussalam. Insyal-Allah. Mohon hubungi pembantu saya Cik Azlina di talian 0321479011 agar dapat ditetapkan waktu pertemuan.

    ReplyDelete