Monday, May 31, 2010

Kajian Islam di China: Menjejaki Warisan Islam di Kunming (1)





3 Mei 2010


Mendaratnya pesawat terbang CZ3901 di lapangan terbang Kunming sesudah penerbangan 3 jam setengah dari Beijing mengakhiri penderitaan dilambung gegaran kapal terbang yang agak dahsyat. Ketibaan saya sekeluarga di lapangan terbang Kunming disambut oleh Terry, pemandu pelancong dan En. Xie Yanchun, ayah pelajarku di BFSU (Kankan atau nama Melayunya Khairul) yang membantu mengurus soal logistik dan lainnya. Kami langsung dibawa ke Hotel Weilong, di Jalan Jin Bi (Jinbi Lu), jalan yang amat akrab dengan sejarah petempatan masyarakat Islam di kota Kunming, ibu kota provinsi Yunnan, provinsi di bahagian selatan Republik Rakyat China.

Daripada maklumat yang saya peroleh di internet sebelum bertolak ke Kunming, Jalan Jinbi yang asalnya menjadi ikon urat nadi kehidupan masyarakat Islam di kota itu sejak sekian lama telah mengalami perubahan wajah apabila pada tahun 2005 banyak tempat tinggal dan kedai milik peniaga Islam dirobohkan untuk diganti dengan gedung-gedung perniagaan moden. Ketika saya sampai, diberitakan bahawa gedung beli-belah Wangfaujing yang terkenal di kota-kota besar di RRC, termasuk di Beijing, baru beberapa bulan dibuka berdekatan dengan Hotel Weilong. Namun, masih ketara ciri-ciri kehidupan masyarakat Islam di sekitar jalan itu, dengan restoran-restoran halal (yang besar dan yang kecil), masjid, sekolah dan rumah kediaman masyarakat Islam. Di jalan raya dengan jelas dapat dilihat lelaki berkopiah dan wanita bertudung di sana sini, menandakan bahawa jalan itu masih menjadi pusat kegiatan kehidupan masyarakat Islam di Kunming.

Di Jalan Jinbi itulah terletaknya Masjid termoden, iaitu Masjid Nan Chen (Masjid Bandar Selatan) yang berusia 300 tahun dan dibina semula pada tahun 2009. Masjid empat tingkat berkubah hijau itu menjadi salah satu mercu tanda kota Kunming kerana dapat dilihat dari jalan besar. Di Jalan Yan He yang menjadi salah satu cabang Jalan Jinbi, terdapat sebuah masjid tua berusia 400 tahun yang masih dikekalkan seni bina asalnya, iaitu Masjid Shun Cheng (Masjid Susur Bandar). Letaknya hanya kira-kira 500 meter dari Hotel Weilong. Sebelum sampai di masjid itu, terdapat sekolah menengah etnik (sekolah untuk kaum-kaum etnik di Kunming)yang pintu gerbang dan pagarnya berseni bina Islam. Terpegun saya apabila membaca petikan dalam bahasa Arab, Inggeris dan China di tembok luar sekolah itu. Betapa tidak; hadith Nabi tentang seruan agar seseorang menuntut ilmu dari buaian hingga liang lahad dipaparkan di situ dan di sisinya dipamerkan pula petikan falsafah Kungfu Tze daripada karya besarnya Lun Yu (Analects) dan satu lagi petikan kata-kata Pengerusi Mao Ze Dong tentang pentingnya ilmu pada kaum belia.

Untuk makan malam pada hari pertama kami di Kunming, En. Xie Yanchun, ayah Khairul menjamu kami di restoran Islam yang paling mewah dan terkenal di Kunming. Seperti lazimnya, jamuan tradisi China memang cukup mewah dengan hidangan yang berbagai-bagai dan banyak yang luar biasa. Dalam interaksi yang cukup mesra, beberapa maklumat dapat saya catat tentang Kunming. Kebetulan En. Xie Yanchun ialah Timbalan Pengarah Bahagian Pertukaran Antarabangsa, Pejabat Hal Ehwal Antarabangsa Pemerintah Provinsi Yunnan yang tahu benar tentang Kunming.

Antaranya termasuklah maklumat bahawa Kunming merupakan salah sebuah kota terbesar dan termaju di bahagian selatan China, di samping Guangzhou, Shenzen dan Nanning. Terdapat penerbangan langsung dari Kuala Lumpur ke Kunming yang memakan waktu kira-kira tiga jam dan banyak usahawan dan peniaga Malaysia yang melaburkan modal membuka perusahaan dan perniagaan di kota itu. Provinsi Yunnan secara tradisinya merupakan petempatan kaum-kaum etnik yang terbanyak, iaitu 26 daripada 56 kaum etnik di seluruh negara. Orang Han yang merupakan kaum majoriti di RRC, menurut En. Xie, agak baru di Yunnan apabila maharaja Dinasti Yuan memindahkan mereka dengan jumlah yang besar.

Dalam siri selanjutnya, akan saya perikan kisah menarik yang lain tentang Islam dan kehidupan masyarakat Islam di Kunming serta di daerah lain yang sempat saya kunjungi.

Saturday, May 29, 2010

Dato' Hj. Abdul Rahim Bakar dalam Kenangan

Kepulangannya ke rahmatullah pada 24 September 2009 mengejutkan dan menghibakan saya, meskipun takdir Allah pasti saya redhai. Saya seakan-akan sukar mempercayai berita yang saya terima melalui sms Sdr. Salehuddin Abg Shokeran (teman saya di DBP) sewaktu tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dari Beijing, menjelang tengah malam hari Khamis itu. Kemudian masuk sms daripada isteri saya pula ketika saya di dalam teksi, mengkhabarkan berita duka yang sama.

Usianya baru 66 tahun, usia yang pada zaman moden ini masih dianggap muda. Allahyarham tidak menghidap penyakit yang serius dan masih aktif bermain tenis di Kelab Taman Bunga Kuala Lumpur. Kegiatannya sebagai Pengerusi syarikat kerjasama Shamelin pun masih berterusan dan baru beberapa bulan sebelum kepulangannya ke rahmatullah itu beliau dilantik menggantikan Prof. Diraja Ungku Aziz sebagai Yang Dipertua ANGKASA, badan induk syarikat kerjasama Malaysia. Demikianlah, tepat janji Allah bahawa apabila sampai ajal seseorang, tidak dicepatkan atau dilewatkan walaupun sesaat detik itu.

Dalam kehibaan itu, saya bersyukur kerana ditakdirkan pulang untuk memenuhi undangan membentangkan kertas kerja di Johor Bahru pada 28-30 September 2009, dan sempatlah saya menziarahi jenazahnya pada pagi Jumaat 25 September, dalam perjalanan pulang ke Johor.

Saat kepulangannya ke rahmatullah merupakan saat yang manis. Beliau sedang menunggu waktu berbuka puasa sunat Syawal apabila tiba-tiba mengadu sakit dada dan tidak lama kemudian dijemput oleh Allah menghadap-Nya. Malam itu pula malam Jumaat. Berbahagia dan sejahteralah mudah-mudahan roh Allahyarham di sisi Khaliqnya. Sewaktu menziarahi jenazahnya, tampak jelas senyuman menguntum di wajahnya. Sayu hati saya kerana tidak dapat menunggu hingga saat penyempurnaan jenazahnya oleh sebab keluarga ikut serta untuk pulang menziarahi orang tua saya di kampung, di Pontian, Johor. Itulah 'pertemuan' akhir dengannya walaupun daripada Sdr. Salehudin dan Puan Asiah Kasim, bekas setiusahanya di DBP, Allahyarham ada berpesan supaya memberitahunya apabila saya pulang bercuti di tanah air kerana beliau hendak mengatur sesi sembang santai, seperti lazimnya. Malahan Allahyarahm sudah menentukan jamuan ikan bakar untuk sesi sembang santai itu, menurut Sdr. Salehuddin. Benarlah bahawa manusia hanya bisa merancang, dan Allahlah yang menentukan segala-galanya. Apabila saya sampai di rumah pada malam ketibaan dari Beijing itu, saya terus melihat surat-surat yang sampai; mata saya terus terpaku pada sekeping sampul berwarna kuning buah pic yang di luarnya tercetak nama Allahyarham - kad ucapan Idulfitri terakhir daripadanya. Saya sendiri tidak dapat menyambut Idulfitri di tanah air dan oleh itu tidak sempat membalas kad itu.

Tempoh perkenalan dan persahabatan saya dengan Allahyarham tidaklah begitu panjang. Meskipun nama, ketokohan dan kehebatannya sebagai ahli politik yang berani menegakkan kebenaran sudah lama saya ketahui sejak tahun 1980-an lagi, terutama sesudah berlakunya krisis pentadbiran di negeri yang diterajuinya sebagai Menteri Besar sehingga beliau perlu berpindah ke pentadbiran kerajaan pusat - suatu bentuk pengorbanan besar beliau. Secara dekat Allahyarham baru saya kenal pada sekitar tahun 1990-an, apabila beliau dilantik menjadi Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, menggantikan Tan Sri Musa Mohamad. Interaksi sekali-sekala dalam seminar, mesyuarat dan kegiatan bahasa, sastera dan penerbitan dengan beliau menjadikan saya lebih kenal akan keperibadiannya. Apabila saya dilantik menjadi Pengarah Jabatan Bahasa, DBP pada bulan November 1999, perhubungan saya dengannya bertambah akrab, mula-mula sebagai pegawai dengan majikan, tetapi kemudian beransur-ansur sebagai sahabat. Di balik ketegasan dan keseriusan Allahyarham dalam menjalankan tanggungjawab, terserlah sifat kemesraan dan kesediaan untuk menjalinkan hubungan lebih daripada sekadar hubungan rasmi.

Oleh sebab Allahyarham hampir setiap hari datang ke pejabatnya di DBP, beliau dapat dikunjungi untuk dirundingi dalam hal-hal yang berkaitan dengan dasar DBP, dasar bahasa kebangsaan dan strategi pemasyarakatan bahasa yang berkesan. Hubungannya yang rapat dan luas dengan pelbagai pihak di luar DBP memungkinkan beliau sering menjadi jambatan antara kami di DBP dengan kementerian, jabatan dan agensi kerajaan serta organisasi swasta untuk melancarkan gerak kerja bahasa, sastera dan penerbitan. Allahyarham sentiasa bersedia di bawa ke tengah dan ke tepi, ada masanya sebagai ketua delegasi atau ketua rombongan untuk perundingan dengan pemimpin negara dan pemimpin institusi awam dan swasta, dan ada masanya sebagai salah seorang tenaga yang bersama-sama menggerakkan sesuatu program. Dalam kerja-kerja yang berkaitan dengan bidang bahasa, antara program yang saya ingat benar beliau terlibat secara aktif termasuklah Program Ziarah Bahasa, Program Penyelarasan Pengembangan Bahasa dengan Sektor Swasta, Program Bulan Bahasa dan Sastera Negara (termasuk program utamanya Kembara Bahasa), Penerbitan Dokumen Perjuangan Bahasa, Program Wacana Perjuangan Bahasa. Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) dan Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM).

Dalam Program Ziarah Bahasa, bersama-sama dengan Ketua Pengarah, Dato' A. Aziz Deraman atau secara bergilir-gilir, Allahyarham sering menjadi ketua delegasi DBP untuk menjalinkan kerjasama dengan kementerian, jabatan dan agensi kerajaan dan juga institusi swasta. Program itu pada dasarnya lebih merupakan gerakan pemasyarakatan bahasa kebangsaan dalam kalangan kepemimpinan supaya dengan adanya pelibatan kalangan tersebut, usaha pemasyarakatan bahasa kebangsaan di peringkat yang lain diharapkan lebih berjaya. Dalam Program Kembara Bahasa, iaitu konvoi berkereta di seluruh negara untuk menggerakkan kempen bahasa, sastera dan ilmu di tengah-tengah masyarakat, beliau dengan bersemangat menjadi ketua salah satu kumpulan (ketika itu dirancang pergerakan dari arah timur, selatan, utara serta Sabah dan Sarawak), sejak dimulakan pada tahun 2000 hingga tahun 2004 (kerana sesudah itu program yang amat berkesan itu entah mengapa dihentikan oleh kemepimpinan DBP). Beliau pernah memberitahu saya bahawa dalam Lembaga Pengelola ada individu yang tidak menyetujui program itu kerana kononnya membazirkan wang, namun dengan keyakinan beliau tentang relevannya dan berkesannya program itu dalam menyuntikkan semangat dan kesedaran masyarakat di seluruh negara tentang peranan bahasa, sastera dan ilmu dalam pembinaan tamadun, beliau tidak mengendahkan kritikan itu. Dalam bidang penerbitan, keberaniannya memberikan sokongan kewangan memungkinkan dokumen Keranda 152 yang terhasil daripada gerakan perjuangan bahasa kebangsaan pada tahun 1960-an dapat diterbitkan oleh Persatuan Linguistik Malaysia, dalam keadaan kesukaran mendapat pencetak yang berani mencetak dokumen tersebut.

Demikianlah juga, apabila pada tahun 2000 Kabinet, entah atas sebab apa, memutuskan untuk memansuhkan pelaksanaan penggunaan sebutan baku dalam sistem pendidikan dan media penyiaran, Allahyarham bersama-sama dengan Lembaga Pengelola dan pengurusan DBP mengeluarkan pernyataan bantahan kerana program itu telah berlangsung selama 12 tahun dalam sistem pendidikan negara (sejak 1988) dan penting dalam konteks pemantapan sistem bahasa Melayu rasmi. Bahkan dalam Akta DBP tugas pembakuan dalam aspek sebutan dinyatakan dengan jelas. Kabinet kemudian menimbangkan bantahan DBP tetapi hanya mengecualikan keputusan awal itu untuk pengajaran mata pelajaran Bahasa Melayu. Kesan keputusan itu kini menunjukkan bahawa sebutan baku hampir-hampir tidak dipedulikan lagi dalam pengajaran bahasa sekalipun dan usaha selama lebih dua dekad merancangnya menjadi sia-sia. Demikianlah buruknya kesan keputusan yang dibuat dengan tidak memperhitungkan dasar yang telah diputusan dan pelaksanaan yang telah berlangsung sekian lama serta mendatangkan manfaat yang jelas.

Dalam era Allahyarham menjadi Pengerusi Lembaga Pengelola DBP jugalah timbul krisis besar yang melibatkan Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan. Pada tahun 2002 kerajaan di bawah kepemimpinan Dr. Mahathir Mohamad mengambil keputusan untuk melaksanakan pengajaran subjek-subjek berteraskan sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI). Sekali lagi Allahyarham bersama-sama dengan Lembaga Pengeloa dan pengurusan DBP, Persatuan Linguistik Malaysia dan badan-badan bukan kerajaan yang lain terpaksa menentang arus. Pertemuan dengan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri Pendidikan, pemimpin-pemimpin parti pemerintah dan yang lain diadakan. Forum, seminar, dialog dan penghantaran memorandum kepada kerajaan digiatkan. Allahyarham merupakan salah seorang tokoh yang sering tampil di pentas forum dan mengeluarkan pernyataan media yang tegas. Bersama-sama dengan beliau, saya mengusahakan pengumpulan makalah-makalah perjuangan bahasa dan menerbitkannya sebagai buku, dengan judul Suara Pejuang Bahasa (Persatuan Linguisitik Malaysia, 2005). Dengan sokongan Allahyarham dan Dato' A. Aziz Deraman jugalah penerbitan Siri Bicara Bahasa yang merupakan penerbitan buku kecil perjuangan bahasa tulisan sarjana dan pejuang bahasa dapat saya usahakan. Kira-kira 20 judul dapat diterbikan dalam tempoh kritikal pejuang bahasa menghadapi pelaksanaan PPSMI.

Saya mengagumi dan menghargai keikhlasan Allahyarham dalam perjuangan, walaupun ketegasan sikap dan keberanian beliau mengkritik pelaksanaan dasar yang bertentangan dengan semangat Perlembagaan, Akta Pendidikan dan Akta Bahasa Kebangsaan pasti menyebabkan ada pihak yang tidak senang dan malah menghukumnya kolot, jumud, fanatik dan malah kononnya petualang kemajuan bangsa (seperti yang dilaporkan oleh salah sebuah akhbar perdana ketika itu). Beliau menyedari bahawa beliau berhadapan dengan risiko tidak akan disambung khidmatnya sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola DBP kerana ketegasan dan kelantangan suara perjuangannya, dan ternyata dugaannya itu memang benar-benar terjadi. Bagaimanapun, pengiktirafan tentang kemuliaan perjuangannya tidak dapat disembunyikan apabila pemimpin-pemimpin negara, termasuk Perdana Menteri sendiri, mengakui Allahyarham sebagai tokoh pejuang bahasa yang teguh pendiriannya.

Dalam tempoh yang panjang saya masih merasakan kehilangannya, sebagai tokoh pejuang bahasa dan bangsa dan juga sebagai sahabat sejati. Restoran di Kelab Taman Bunga Kuala Lumpur, restoran di Kelab Golf Jalan Tun Abdul Razak, medan selera KLCC, kedai makan di Taman Shamelin, Restoran Secret Recipe dan kedai mamak di Desa Pandan berhampiran dengan rumahnya, merupakan beberapa tempat yang meninggalkan kenangan manis kerana di situlah, saya dan dua tiga orang teman lain bersama-sama dengannya sering bersembang santai (tetapi sebahagiannya tentang isu-isu yang serius) sambil makan-makan atau minum-minum. Sekali-sekala apabila Allahyarham berasa bosan atau letih memikirkan sesuatu, segera beliau menelefon atau mengirimkan sms untuk bersua di mana-mana warung atau kedai makan. Beberapa kali dalam bulan Ramadhan, sesudah selesai solat Isyak dan tarawih, kami berjumpa di kedai mamak di Desa Pandan, tidak jauh dari rumahnya di Jalan U Thant. Demikian juga, rumah kampungnya di Beserah, Kuantan yang sesekali saya singgahi apabila beliau berhujung minggu di sana kerana berkebun, menjadi tempat yang cukup meninggalkan kenangan. Yang tidak kurang mengimbau kenangan ialah rumahnya di Janda Baik yang menjadi tumpuan anak buahnya dari DBP ketika musim buah-buahan, terutama musim durian.

Biografi Allahyarham amat perlu diusahakan penyusunan dan penerbitannya, kerana banyak kisah yang bukan sahaja menarik tetapi penting dalam konteks lakaran kepemimpinan politik, bahasa dan persuratan dan juga sosioekonomi di negara ini. Allahyarham terlibat dalam kepemimpinan politik, sebelumnya dalam Perbadanan Ekonomi Negeri, kemudian pernah menjadi Pengerusi MARA, Pengerusi Shamelin dan Yang Dipertua Angkasa, dan yang penting juga dalam kepemimpinan bahasa dan persuratan, di peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa. Saya tahu bahawa sejak tahun 2000 ada projek Jabatan Penerbitan DBP untuk menghasilkan biografinya, daripada seorang penulis kepada penulis yang lain, tetapi hingga akhir hayatnya tampaknya buku itu belum terbit. Kini pada hemat saya sudah sampai masanya penerbitan biografi tokoh yang berjasa besar itu diterbitkan untuk menjadi teladan dan sumber inspirasi kepada pemimpin muda dan bakal pemimpin di negara ini.

Alfatihah untuk Allahyarham Dato' Abdul Rahim bin Abu Bakar; semoga rohnya ditempatkan di sisi golongan yang dirahmati Allah.

Thursday, May 27, 2010

Ceritera Bahasa (5): Perihal "Rektor" dan "Reaktor"

Perihal kekeliruan sesetengah pihak tentang kata rektor dan kata reaktor pernah saya ulas dalam makalah saya lebih 20 tahun lalu. Peristiwa yang menunjukkan adanya kekeliruan tentang dua patah kata itu berlaku dalam satu majlis di sebuah universiti apabila pengacara mengundang Rektor universiti itu berucap, tetapi yang diundangnya berucap sebenarnya bukan Rektor, melainkan reaktor. Khalayak yang umumnya tidak peduli akan soal ketepatan bahasa tidak memberikan reaksi kepada kesilapan penggunaan kata itu; namun orang yang peka akan pentingnya ketepatan bahasa menzahirkan rasa tidak puas hati dan senyum sinis. Saya hanya mampu menggeleng-gelengkan kepala kerana tidak menyangka bahawa pengacara majlis itu tidak memahami adanya perbedaan yang amat nyata antara kata rektor dengan reaktor. Alangkah baiknya ia lebih dahulu menyemak skrip teksnya kerana pastilah nama jawatan yang diberikan oleh pentadbiran univeriti kepadanya ialah rektor, bukan reaktor.

Kata rektor berkaitan dengan jawatan di institusi ilmiah, yang sama maknanya dengan istilah naib canselor. Di Malaysia, universiti awam menggunakan istilah naib canselor sebagai terjemahan vice chancellor dalam bahasa Inggeris untuk jawatan ketua eksekutif. Universiti swasta sebilangannya menggunakan rektor dan sebilangannya menggunakan istilah presiden untuk ketua eksekutifnya. Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, misalnya, menggunakan istilah rektor.

Kata reaktor pula tidak ada kaitannya sama sekali dengan jawatan. Sebaliknya, kata itu berkaitan dengan pengeluaran tenaga nuklear. Kamus Dwibahasa Bahasa Inggeris-Bahasa Malaysia terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, misalnya, memberikan makna kata itu dalam konteks frasa nuclear reactor, dengan makna 'alat yang digunakan untuk mengawal penghasilan tenaga nuklear'. Seandainya alat pengawal penghasilan tenaga nuklear itulah yang dilantik sebagai ketua eksekutif universiti, tidak dapat kita bayangkan apakah yang terjadi kepada universiti itu. Barangkali pemimpin Amerika Syarikat akan membawa usul kepada Pertubuhan Bangsa Bersatu untuk mengenakan sekatan kepada universiti itu, kerana ditakuti mengeluarkan tenaga nuklear yang berbahaya, sebagaimana tekanan yang diberikan kepada negara Iran!

Baru-baru ini, seorang penulis melaporkan berita dalam akhbar tentang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Rupa-rupanya masih ada lagi kekeliruan tentang istilah rektor sebagai ketua eksekutif universiti. Dalam rencana itu, terdapat ayat yang berbunyi "Ini ditegaskan oleh Reaktor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Prof. Datuk Seri Dr. Syed Arabi Idid yang menyifatkan bahawa UIAM memainkan peranan besar dalam melahirkan para sarjana dan cendekiawan Islam."

Memang tidak ada orang yang sempurna, tetapi fakta itu bukan alasan bahawa kesilapan bahasa yang asas seperti penggunaan kata reaktor untuk rektor itu patut diterima sebagai lumrah. Marilah kita bersama-sama membina tradisi berbahasa dengan lebih bertanggungjawab, iaitu dengan memperhatikan aturan dan sistem yang ada, sebagaimana penulis dalam bahasa Inggeris, misalnya, berusaha sedapat mungkin meneliti ketepatan bahasa yang digunakannya.

Wednesday, May 26, 2010

Puisi: Hakikat Bahasa

Bahasa bukan sekadar deretan bunyi-bunyi
yang terbit daripada artikulasi
Bahasa bukan sekadar deretan aksara
yang ternukil mewakili suara
Bahasa bukan sekadar yang tertanggap oleh indera
oleh telinga dan oleh mata

Bahasa
sesungguhnya cerminan akal budi
pancaran diri dan pekerti
asas jati diri
paksi makna diri

Bahasa
juzuk diri yang hakiki
ternurani pada akal yang ruhani
'tika ruh pada jasad belum bersemadi
menjadi pengantara Khaliq dan makhluk berkomunikasi
tentang ketuhanan Tuhan anak Adam bersaksi:
"Alastu birabbikum; qalu bala syahidna"

Maka itu
usahlah dipersempit gagasan bahasa
pada lambang-lambang yang arbitrari.
Usahlah diperkecil daerah selidiknya
pada yang tampak di zahir diri.
Usahlah dipinggirkan di dunia sepi
'tika membangun ekonomi
'tika melonjakkan martabat diri
'tika membina acuan madani dan hadhari.

Usah dibiarkan bahasa kita hanyut mencari nasibnya sendiri
dirempuh tsunami globalisasi
tersirna dalam kealpaan sendiri
dik terkesima dalam mencari tamadun mithali
hingga lupa akan sejarah gemilangnya sejak zaman bahari
lupa akan tamadun yang telah bersemi
dalam wacana bahasa Melayu yang alami
dengan barisan pujangga bestari -
Hamzah Fansuri, Nuruddin al-Raniri, Abdul Rauf al-Singkili, Syamsuddin al-Sumaterani
Syekh Abdul Samad al-Banjari, Syekh Daud Fatani, Raja Ali Haji
dan warisnya hingga kini

Marilah kita lestarikan
sendi tamadun dan akal budi bangsa
Anugerah Allah Rabbul alamain
dalam membina jati diri
dalam membina kekuatan peribadi
dalam membina harga diri.

[Awang Sariyan, puisi penutup Syarahan Raja Ali Haji Ke-14
15 September 2005/11 Sya`ban 1426; terbit juga dalam majalah Dewan Bahasa, Julai 2001:4]

Monday, May 24, 2010

Isu Mitos Penarafan Universiti Sedunia daripada Kaca Mata Sarjana Barat

[Sejak beberapa tahun belakangan ini hampir seluruh pemimpin IPT di Malaysia turut terjebak dan terpukau oleh jampi serapah dan mantera badan penarafan universiti sedunia, Times Higher Education (THE) dan Quacquarell Symonds (QS), sehingga dalam jaga dan dalam mimpi mereka THE dan SQ menjadi igauan, dan kadangkala menjadi mimpi buruk yang menakutkan. Maka berlumba-lumbalah para pemimpin IPT berusaha untuk memenuhi persyaratan dukun dan pawang kedua-dua badan yang rupa-rupanya tidak memiliki kaedah perdukunan ilmiah yang telus dan tuntas, sebaliknya lebih berasaskan agenda komersial. Apabila pandangan diberikan oleh orang bukan Barat, hatta oleh Prof. Diraja Ungku Aziz sendiri, mantan Naib Canselor di negara ini yang belum ada gantinya, kebanyakan pihak meremehkannya. Baru-baru ini Naib Canselor USM, Prof. Tan Sri Zulkifli Abd. Razak turut menulis rencana yang kritis tentang isu itu dalam Utusan Malaysia (19 Mei 2010). Kini seorang sarjana Barat yang baru dilantik kira-kira setahun lalu menjadi Pengerusi Pusat Pengajian Asia Tenggara, Universiti Frankfurt, Jerman, Prof. Dr. Arndt Graf, kebetulan teman lama saya, dengan telus dan tulusnya memberikan pandangan yang turut menyangkal mitos penarafan universiti sedunia itu. Beliau turut merintih kerana kepalsuan yang turut menjadi mitos juga dalam kalangan pemimpin institusi ilmiah apabila bahasa Inggeris dianggap satu-satunya bahasa Barat yang bermartabat bahasa ilmiah, sedang bahasa-bahasa Barat lain seperti Jerman, Perancis dan yang lain tetap utuh sebagai sendi tamadun bangsa-bangsa Barat lainnya. Di Malaysia, kebanyakan pemimpin ilmiah hampir-hampir tidak memberikan nilai ilmiah sama sekali (malah ada yang terus-terang menolaknya daripada kriteria pengiktirafan kesarjanaan) kepada karya ilmiah dalam bahasa Melayu. Alangkah "tingginya rasa rendah diri" sebilangan pemimpin kita yang bergelar ilmuwan!]

RENCANA (Utusan Malaysia, 25 Mei 2010)
Apa sebenar penarafan universiti sedunia?

Oleh Prof. Dr. Arndt Graf

Debat tentang penarafan universiti sedunia sedang semakin hangat, khususnya sejak Phil Baty dari Times Higher Education World University Rankings dan Times Higher Education (THE) magazine baru-baru ini mengaku bahawa penarafan dari THE selama ini mempunyai beberapa masalah besar dan oleh kerana itu tidak sah.

Sayang sekali, sebelum pengakuan yang mengejutkan itu dibuat, sejumlah universiti di seluruh dunia termasuk di Malaysia, selama ini ditipu oleh data-data yang tidak sah itu. Oleh kerana mereka percaya pada data-data penarafan universiti sedunia itu, banyak wang dikeluarkan untuk 'naik' dalam penarafan yang digembar-gemburkan itu, termasuk untuk meningkatkan jumlah pensyarah 'antarabangsa.'

Beberapa hari lalu Nunzio Quacquarelli, Pengarah Urusan Quacquarelli Symonds (QS), pula mengatakan bahawa "Apa yang mengejutkan ialah kecenderungan pemimpin universiti dan kerajaan menggunakan ranking untuk menentukan sasaran strategik."

Namun, kejutan demi kejutan bahawa penarafan THE dan QS itu palsu mungkin juga membawa untung. Kini kita semua boleh merenung kembali mengapa sebenarnya penarafan universiti sedunia seperti yang dilakukan oleh THE dan QS boleh menjadi begitu penting dalam kurun waktu beberapa tahun sahaja. Bagaimana situasi dahulu sebelum syarikat swasta seperti THE dan QS menerbitkan penarafan mereka?

Harus diakui bahawa universiti-universiti sedunia dulu juga ditarafkan, iaitu secara tidak formal dan berdasarkan kriteria yang amat bermasalah. Misalnya, pada zaman kolonial dan mungkin sampai akhir-akhir ini, banyak profesor di Eropah atau di Amerika Syarikat dan Australia kurang mengakui mutu universiti-universiti di luar Barat secara umum.

Saya sendiri termasuk orang yang diminta pandangan oleh THE dan QS dalam penarafan universiti-universiti sedunia, dan saya seperti semua profesor lain yang ditanya, diminta untuk memberi persepsi subjektif saya. Kebetulan saya sedikit tahu tentang sistem universiti di Malaysia, kerana saya telah berkhidmat di Universiti Sains Malaysia selama dua setengah tahun sebagai Profesor Madya dan seterusnya Profesor.

Namun, bagaimana dengan profesor asing lain yang pandangannya masuk ke penarafan THE dan QS? Apakah mereka memang tahu bahawa Universiti Malaya, umpamanya institusi yang berbeza dari Universiti Kebangsaan Malaysia?

Di luar negara, istilah "Malaya" dan "Malaysia" sampai sekarang sering dicampur-aduk!

Jelas, penarafan universiti-universiti sedunia berdasarkan kriteria yang jelas dan rasional akan merupakan kemajuan kalau faktor-faktor stereotaip dan prasangka dapat diatasi. Ini membawa kepada pertanyaan, apa sebenarnya faedah penarafan universiti sedunia?

Untuk negara seperti Malaysia yang ingin menarik banyak pelajar asing, jawapannya jelas: Kedudukan yang tinggi dalam penarafan universiti sedunia berfungsi sebagai maklumat kepada pelajar asing bahawa universiti di Malaysia dapat dipercayai, walaupun umur daripada banyak universiti di Malaysia belum begitu panjang kalau dibandingkan dengan universiti-universiti lama di Eropah.

Dari segi itu, penarafan boleh membantu universiti muda dan negara berkembang dalam usaha mereka untuk menarik pelajar asing. Ini dapat menjadi faktor ekonomi dalam persaingan dengan negara industri yang lama.

Walau bagaimanapun, erti dan faedah sebenar penarafan universiti sedunia akan tetap amat terbatas. Hal ini kerana aktiviti penarafan tidak mungkin mengukur semua kegiatan akademik di semua universiti sedunia secara rasional, jelas dan sah.

Bidang penyelidikan dan penerbitan sahaja amat kompleks - dan amat berbeza umpamanya antara sains dan ilmu kemanusiaan. Begitu juga dari aspek bahasa. Misalnya, apakah kita semua harus mengabaikan penerbitan dalam bahasa ibunda kita masing-masing, hanya kerana dalam penarafan universiti sedunia hanya terbitan dalam bahasa Inggeris? Tentu tidak! Bahasa Melayu, Perancis, Rusia, Arab, China, Jerman dan lain-lain mesti terus digunakan sebagai bahasa ilmiah.

Kalau perlu, yang patut dihapuskan adalah penarafan universiti sedunia, bukan bahasa ibunda kita masing-masing.

PENULIS ialah Pengerusi Jabatan Pengajian Asia Tenggara, Universiti Frankfurt, Jerman.

Friday, May 21, 2010

Masjid di China (2): Masjid Qinghe


Masjid Qinghe terletak dalam daerah Haidian di Kota Beijing. Letaknya agak jauh dari jalan besar, malah dapat dikatakan terletak di sebuah pekan kecil, sebaris dengan kedai-kedai yang sebahagiannya milik penduduk Islam. Penduduk Islam di kawasan tersebut berjumlah kira-kira 1,000 orang. Menurut Imam Jumaat (yang diberi nama demikian kerana lahir pada hari Jumaat), usia masjid itu melebihi 200 tahun.

Ada kisah yang menarik di balik pembinaan masjid itu. Masjid Qinghe dikatakan dibina untuk memenuhi keperluan sejumlah pekerja istana yang beragama Islam. Tidak jauh dari masjid itu terdapat istana lama, tetapi sayangnya faktor waktu menghalang saya mengunjunginya. Namun, yang menarik ialah bahawa ada sikap perihatin maharaja China kepada kebajikan pekerja istana, termasuk dalam hal keagamaan.

Masjid itu agak kecil; dewan solat dapat memuatkan kira-kira 80 orang, tetapi pada hari Jumaat dan hari raya, jumlah jamaah yang hadir mencecah 400 orang kerana memang menjadi kebiasaan masjid di China memiliki halaman yang agak luas. Antara yang mengimarahkan masjid itu termasuklah warganegara Pakistan dan Turki. Maka itu, tidak menghairankan bahawa di papan kenyataan di hadapan pejabat imam, terdapat papan tulis yang memaparkan tulisan dalam bahasa Urdu, sebagai bukti bahawa banyak jamaahnya yang terdiri daripada orang Pakistan. Menurut Imam Jumaat, kebanyakan mereka merupakan pelajar sebuah universiti yang berdekatan dengan masjid itu.

Selain menjadi tempat solat lima waktu berjamaah, solat sunat Idulfitri dan Iduladha serta sambutan majlis keagamaan seperti Maulidur Rasul, Masjid Qinghe menjadi pusat pengajian agama kepada masyarakat Islam setempat. Kuliah agama diadakan dua kali seminggu sesudah solat Zuhur, selain kuliah agama yang diberikan sebelum khatib naik ke mimbar pada setiap hari Jumaat.

Meskipun agak kecil saiznya, seperti masjid-masjid lain di China, Masjid Qinghe lengkap dengan pejabat imam, ruang tamu, tempat solat wanita dan dapur. Pembiayaan masjid diuruskan oleh Persatuan Islam Haidian.

[Saya rakamkan penghargaan kepada anakanda Mohd. Izzuddin dan Ahmad, kedua-duanya pelajar Malaysia yang mengikuti kursus bahasa Mandarin di sini, yang mengiringi saya dalam kajian ringkas ini.]

Wednesday, May 12, 2010

Kajian Islam di China: Institusi Masjid


Kajian tentang Islam di negara China telah dilakukan oleh sarjana setempat dan sarjana luar, termasuk dari Barat. Sudah ada terbitan dalam bentuk buku dan jurnal tentang hal itu. Namun, tujuan saya melakukan kajian tentang Islam di China adalah untuk meninjaunya dengan mata kepala saya sendiri, khususnya masyarakat, sistem dan institusi-insitusi yang wujud. Salah satu institusi yang tidak dapat dipisahkan daripada Islam dan masyarakat Islam ialah masjid.

Amat banyak aspek yang dapat dikaji tentang masjid di China, daripada segi sejarahnya, seni binanya, pengurusannya dan apatah lagi daripada segi peranannya dalam melestarikan syiar Islam melalui pendidikan dan pelaksanaan ibadah khusus dan umum. Dengan terhadnya waktu dan kekangan tugas ilmiah yang lain, terutama perkuliahan dan penyelidikan lain tentang perbandingan aspek-aspek kebahasaan antara bahasa Melayu dengan bahasa Mandarin serta hubungan tamadun Melayu dan tamadun China, kajian tentang masjid di China hanya dapat saya lakukan menurut waktu yang terluang dan ketika berkunjung ke kota-kota tertentu di luar Beijing.

Sukar untuk dibayangkan kemungkinan terlaksananya kajian yang tuntas tentang masjid di China kerana menurut sumber Persatuan Islam China, terdapat lebih daripada 40,000 buah masjid di seluruh negara, dengan lebih daripada 50,000 orang imam. Di Beijing sahaja terdapat 72 buah masjid. Berdasarkan pengalaman setakat ini, satu sesi kajian sehari hanya memungkinkan kunjungan dan tinjauan ke dua atau tiga buah masjid sahaja. Maklumlah, keluasan Beijing menyamai keluasan negeri Selangor! Jarak antara sebuah masjid dengan sebuah masjid kebanyakannya tidaklah begitu dekat dan seringkali faktor perjalanan dengan bas,kereta api bawah tanah dan teksi mengambil waktu. Mencari lokasi sebilangan masjid pula tidaklah begitu mudah walaupun berpandukan peta dan maklumat di internet.

Secara beransur-ansur saya lakukan kajian masjid-masjid di Beijing sahaja dahulu, dengan tambahan tentang masjid-masjid yang sempat saya kunjungi ketika bertugas di luar kota Beijing.

Masjid Madian

Saya mulakan laporan kajian profil masjid di China dengan Masjid Madian yang merupakan sebuah daripada tujuh buah masjid di daerah Haidian. Masjid itu terletak di Jalan Madian Selatan dan merupakan salah sebuah masjid yang besar, dengan keluasan dewan solatnya 3800 meter persegi. Masjid ini dibina dalam zaman pemerintahan Maharaja Kangxi dalam Dinasti Qing, lebih daripada 300 tahun lalu. Malah menurut Imam Imaduddin (lulusan Institut Islam Beijing, tidak jauh dari Niu Jie) yang saya wawancara pada 14 April 2010, usia masjid itu menjangkau 400 hingga 500 tahun. Di pekarangan masjid itu terdapat sebatang pohon yang dikatakan berusia 800 tahun.

Seni binanya membayangkan seni bina tradisional China dalam zaman dinasti-dinasti dahulu kala, yang menunjukkan wujudnya paduan yang erat antara unsur budaya setempat dengan imej Islam yang tertampil pada seni khat dan unsur-unsur penting masjid seperti mihrab dan mimbar. Seperti kebanyakan masjid lain di China, Masjid Madian dilengkapi pejabat imam dan pejabat am, ruang tamu, bilik pengajian, bilik wudhuk dan tandas serta dapur.

Masjid Madian menjadi pusat kegiatan ibadah khusus seperti solat jamaah lima waktu, solat Jumaat dan solat sunat Idulfitri dan Iduladha. Semasa solat Jumaat, ratusan orang hadir, sementara pada hari raya jumlahnya mencecah sehingga seribu orang. Di samping itu, diadakan sambutan keagamaan yang lain seperti Maulidurrasul dan ibadah qurban. Kelas pengajian agama diadakan pada hari Jumaat dan Ahad dan kebanyakannya disertai oleh golongan dewasa, dengan penyertaan sejumlah orang muda dan kanak-kanak pada hari Ahad.

Pada masa tinjauan saya lakukan, terdapat tiga orang imam (dalam kalangan masyarakat setempat, imam disebut A Hong) yang bertugas di Masjid Haidian, iaitu Imam Imaduddin, Imam Syamsuddin dan Imam Ismail dengan bantuan muazzin. Terdapat siak yang sepenuh masa bertugas menjaga masjid.

Sekitaran Masjid Madian meriah dengan kedai daging halal dan kedai makan Islam yang dikendalikan oleh orang Islam dari Hebei, Lanjhou dan Xinjiang, di samping oleh orang Hui(majoriti orang Islam di China) sendiri.

Untuk rakan dan kenalan yang hendak ke masjid itu dengan teksi, saya petik ayat anjuran Haji Zaharuddin Pilus di laman web China Radio International:

"Wo xiang qu ma dian qing zhen si" (saya hendak pergi ke Masjid Maidian). Usah terkejut apabila mengetahui bahawa kata qing zhen si bagi "masjid" dalam bahasa Mandarin secara harafiah bererti 'kuil halal'!

[Penghargaan kepada anakanda Izzuddin dan Ahmad yang menyertai kajian saya sebagai jurubahasa dan jurufoto]

Friday, May 7, 2010

Ceritera Bahasa (4): "Marabahaya" Memang "Berbahaya"

Dalam ceramah dan juga kursus bahasa dan penulisan yang saya kendalikan, pertanyaan peserta tentang adakah kata merbahaya atau kataberbahaya yang betul masih terus menjadi salah satu pertanyaan yang kerap ditimbulkan. Penjelasan tentang masalah itu sebenarnya telah berpuluh-puluh tahun diberikan, termasuk dalam siri makalah saya dalam majalah Dewan Siswa, majalah Pelita Bahasa dan yang lain.

Sekadar mengulang penjelasan itu, baiklah difahami bahawa kata dasar yang menjadi isu dalam masalah ini ialah kata bahaya. Daripada segi golongan atau kelas katanya, kata bahaya itu merupakan kata nama, bukan kata adjektif seperti anggapan sesetengah orang. Kata itu dapat diperhatikan penggunaannya sebagai kata nama seperti dalam ayat yang berikut:

1. Bahaya penagihan dadah amat dahsyat.
2. Perpecahan masyarakat merupakan bahaya yang mengancam kestabilan negara.
3. Usah menempah bahaya dengan berlumba di jalan raya.

Orang yang menganggap kata bahaya tergolong dalam kata adjektif barangkali berfikir dengan beranalogi kepada kata dangerous yang memang merupakan kata adjektif. Namun, katadangerous itu sendiri terbit daripada kata dasar danger yang merupakan kata nama.

Tentang adakah bentuk kata terbitan yang betul ialah berbahaya atau merbahaya, perlu pula difahami bahawa dalam bahasa Melayu baharu (malahan dalam bahasa Melayu klasik juga) tidak ada awalan mer-. Awalan mar- terdapat dalam bahasa Melayu kuno sebelum lahirnya bahasa Melayu klasik pada sekitar abad ke-13. Oleh sebab itu, tidak ada mana-mana buku tatabahasa bahasa Melayu yang memasukkan awalan mer-, termasuk buku ahli bahasa yang bersikap 'terbuka' dan menerima bentuk kata merbahaya sebagai betul atau dapat diterima kerana telah luas penggunaannya dalam masyarakat umum.

Dengan demikian, bentuk yang betul menurut sistem morfologi atau binaan kata bahasa Melayu ialah berbahaya, iaitu sebagai hasil proses pengimbuhan kata dasar bahaya yang menerima awalan ber-. Erti yang timbul ialah 'ada bahayanya'. Contoh penggunaannya dalam ayat adalah seperti yang berikut:

4. Jalan itu berbahaya kerana berliku-liku dan tidak rata sejauh 10 kilometer.
5. Perbuatan fitnah-memfitnah cukup berbahaya kerana dapat menimbulkan permusuhan.
6. Sikap tidak peka kepada kemungkinan pengaruh kuasa asing dalam urusan kenegaraan menimbulkan keadaan yang berbahaya kepada negara.

Ada kemungkinannya bahawa kata merbahaya yang tidak berdasar pada sistem morfologi bahasa Melayu itu timbul daripada kesalahan transliterasi (penukaran aksara atau huruf daripada Jawi kepada Rumi) bagi kata marabahaya yang bererti 'pelbagai bahaya'. Dalam tulisan Jawi lama, kata itu dieja sebagai mim, ra, ba, ha, ya sehingga timbul kemungkinan orang yang membuat transliterasi kata itu ke dalam tulisan Rumi menganggapnya sebagai kata merbahaya.

Marabahaya memang pasti menimbulkan bahaya kerana ada bahayanya atau dengan kata lain berbahaya!

[Penjelasan tentang isu di atas terdapat juga dalam buku saya Tuntunan Bahasa, terbitan Pearson.]