Friday, January 28, 2011

Isu-Isu Pendidikan Bahasa Melayu (Bahagian 1)


Isu-isu Pendidikan Bahasa Melayu (Bahagian 1): Isu yang Berkaitan dengan Falsafah

Prof. Dr. Awang Sariyan
Penyandang Kursi Pengajian Melayu Malaysia-China

1. Isu Falsafah - Apa dan Mengapa

Falsafah merupakan induk segala pemikiran, konsep dan kegiatan manusia sepanjang zaman. Segala yang difikirkan, yang direncanakan dan dilaksanakan oleh manusia berlatarkan falsafah tertentu. Bidang pendidikan bahasa tidak terkecuali daripada fitrah tersebut. Untuk menghayati isu falsafah yang berkaitan dengan pendidikan bahasa, pertama-tama perlu dipecahkan persoalan pokok yang berkaitan dengan apakah bahasa, bagaimanakah bahasa diperoleh dan mengapakah bahasa diajarkan dan dipelajari?

Isu "apakah bahasa" sudah dibincangkan sejak ratusan tahun sebelum Masihi, khususnya oleh ahli-ahli falsafah Yunani dan kemudian dilanjutkan oleh ahli falsafah dan ahli linguistik Barat sehingga abad mutakhir. Ahli falsafah Islam turut memberikan kupasan tentang isu tersebut walaupun historiografi linguistik, yang kebetulan didominasi oleh orang Barat, tidak menonjolkan peranan dan sumbangan pemikiran ahli falsafah Islam dalam bidang itu. Secara ringkas, konsep bahasa menurut pandangan sarjana Barat berkaitan dengan tiga pandangan yang bertentangan.

Yang pertama melihat bahasa sebagai suatu sistem yang arbitrari atau sewenang-wenang. Falsafah yang melatari pandangan ini ialah naturalisme dan behaviourisme.Yang kedua pula melihat bahasa sebagai suatu bahagian dan proses akal. Falsafah yang melatarinya ialah mentalisme. Yang ketiga melihat bahasa sebagai suatu sistem sosial. Falsafah yang melatarinya ialah fungsionalisme. Ketiga-tiganya dihuraikan dalam kerangka falsafah yang tidak memperlihatkan tolak ansur atau pencarian jalan tengah. Kesan daripada tiga falsafah yang saling bertentangan walaupun pada hakikatnya dapat disepadukan itu ialah munculnya tanggapan yang berlainan tentang matlamat dan kaedah sesuatu bahasa diajarkan (lihat perbincangan selanjutnya tentang matlamat pendidikan bahasa dan kaedah pendidikan bahasa).

Menurut pandangan Islam, bahasa merupakan salah satu fakulti yang terdapat dalam akal dan potensi berbahasa telah dikurniakan sebelum manusia lahir ke dunia. Dengan demikian, bahasa bersifat ternurani. Al-Qur’an menggambarkan perihal potensi itu melalui dialog Allah sebagai khaliq dengan anak-anak Adam yang masih di alam roh dalam suatu baiah atau kontrak tauhid (al-A`raf, ayat 172). Chomsky menamai bahasa sebagai bahagian dalam akal sebagai innate capacity dan kalangan ahli linguistik mentalisme menamai bahagian dalam otak yang menampung potensi bahasa sebagai Alat Pemerolehan Bahasa (Language Acquitision Device). Daripada sudut ciri kenuranian bahasa, terdapat keselarasan antara pandangan sarjana Barat yang beraliran mentalisme dengan penjelasan agama Islam, sama halnya dengan keselarasan hurian ahli astronomi Barat dengan penjelasan agama Islam perihal sistem peredaran planet di orbitnya masing-masing atau tentang hakikat saintifik yang lain.

Pandangan bahawa bahasa merupakan suatu tingkah laku sebagaimana yang dipercayai oleh pendukung behaviourisme dapat diterima selama pengertian bahasa tidak dihadkan pada tingkah laku yang spontan atau tidak berhubungan dengan akal. Memang penguasaan bahasa dapat dibentuk melalui proses pelaziman, tetapi kaedah itu bukan satu-satunya cara bahasa diperoleh oleh manusia. Sementara itu, tidak ada pula salahnya anggapan bahawa bahasa merupakan gambaran sistem sosial, iaitu seperti yang dipertahankan oleh ahli fungsionalisme selama sistem sosial itu mendukung kebaikan untuk kesejahteraan manusia.

Oleh itu, dalam menghadapi polemik yang berkaitan dengan isu falsafah tentang apakah bahasa, para pendidik bahasa perlu bersikap terbuka dan tidak taksub pada mana-mana aliran sehingga membentur kelenturan pemikirannya dan juga kaedah melaksanakan pendidikan bahasa. Memang salah satu sifat kesarjanaan Barat ialah mewujudkan dikotomi dalam kebanyakan hal, seperti antara sains dengan agama, antara akal dan intuisi dengan bukti empiris, antara dunia dengan akhirat, antara subjektif dengan objektif dan lain-lain lagi, sedang Islam senantisa memilih jalan tengah dengan mengambil manfaat mana-mana aspek yang baik daripada sesuatu jurusan pandangan, dan dalam kebanyakan hal memadukan dua unsur yang sebenarnya menyatu atau saling melengkapi.

Selanjutnya, isu falsafah yang berkaitan dengan bidang pendidikan bahasa ialah matlamat pendidikan bahasa atau isu yang berkaitan dengan mengapakah bahasa diajarkan dan dipelajari. Dalam tradisi Barat, matlamat pendidikan pada zaman awalnya, iaitu pada zaman Yunani beberapa ratus tahun sebelum Masihi sehingga beberapa ratus tahun sesudah Masihi, pendidikan bahasa berkaitan secara langsung dengan pembinaan bangsa dan negara. Secara lebih jelas, pendidikan bahasa merupakan bahagian pendidikan umum yang berkaitan dengan soal etika, politik, undang-undang dan pandangan kosmos masyarakat.

Kemudian timbul matlamat yang lebih khusus berdasarkan falsafah bahasa yang melatarinya. Mereka yang berpegang pada mentalisme mengajarkan bahasa sebagai suatu sistem yang teratur untuk mencapai keupayaan bahasa penutur yang unggul, dan dengan demikian berpusat pada penguasaan rumus-rumus bahasa, khususnya tatabahasa. Mereka yang berpegang pada behaviourisme lebih menumpukan perhatian pada matlamat membentuk seperangkat kebiasaan berbahasa yang dianggap mereka alamiah dan tidak dibuat-buat. Mereka yang berpegang pada fungsionalisme pula menitikberatkan penguasaan kemahiran berkomunikasi dalam konteks sosial yang beragam-ragam.

Dapat dirumuskan bahawa semua matlamat pendidikan bahasa yang timbul daripada aliran falsafah Barat itu mewujudkan tiga jalur pemikiran. Yang pertama ialah matlamat yang berpaksi pada penguasaan sistem bahasa. Yang kedua pula ialah matlamat yang berpaksi pada kemahiran bahasa. Yang ketiga pula ialah matlamat yang berkaitan dengan penguasaan kemahiran komunikatif. Bagi pendidik bahasa, ketiga-tiga matlamat itu sebenarnya dapat ‘didamaikan’. Penguasaan sistem bahasa (tatabahasa, sebutan, intonasi, ejaan, laras bahasa dan sebagainya) memang perlu untuk melahirkan pengguna bahasa yang berdisiplin dan yang dapat menggunakan bahasa yang teratur dan santun, terutama dalam konteks yang rasmi, ilmiah dan profesional. Tidak ada pengguna bahasa yang dapat dikatakan baik bahasanya jika ia hanya tahu menggunakan bahasa dengan berasaskan prinsip wacana tetapi tidak mengendahkan aspek tatabahasa sehingga ayatnya tidak keruan subjek dan predikatnya dan binaan katanya tidak sempurna, sebagai contoh.

Demikian juga, penguasaan kemahiran bahasa yang melibatkan kemahiran mendengar, bertutur, membaca dan menulis pun penting dalam memenuhi keperluan komunikasi dan kehidupan seseorang, di peringkat individu dan di peringkat masyarakat. Tentu sahaja dalam pencapaian kemahiran berbahasa yang empat itu, diperlukan penguasaan sistem bahasa dan pelbagai ragam menurut konteks sosial sekali gus. Akhirnya, orang yang dikatakan menguasai bahasa tentu bukan orang yang hanya menguasai rumus-rumus bahasa dan menguasai kemahiran berbahasa tetapi tidak menguasai pelbagai situasi sosial yang wujud di sekelilingnya. Maka kemahiran komunikatif yang ditekankan oleh pendukung fungsionalisme tetap penting dalam pendidikan bahasa.

Sebagai rumusan, tiada mana-mana matlamat pendidikan bahasa yang lebih unggul atau lebih penting daripada yang lain jika dilihat sebagai suatu keseluruhan dan keperluan. Setiap satu ada peranan dan sumbangannya dalam pembentukan pengguna bahasa yang baik. Dikotomi seperti “kemahiran linguistik” lawan “kemahiran komunikatif” yang sering dibesar-besarkan oleh penganut mentalisme lawan penganut fungsionalisme, pada hemat saya, hanya mitos yang dilahirkan oleh sarjana Barat sebagai gimik semata-mata untuk melariskan jenama kesarjanaan mereka. Pada kita orang Islam dan orang yang rasional, tidak ada pertentangan antara dua jenis kemahiran itu kerana kedua-duanya saling melengkapi.

Mustahil kita patut melahirkan pengguna bahasa yang hanya menguasai kemahiran linguistik dengan tidak pula menguasai kemahiran komunikatif kerana ia tetap perlu sentiasa berkomunikasi dalam konteks masyarakatnya dan juga dalam konteks lingkungan masyarakat yang lebih besar, seperti masyarakat majmuk dan masyarakat antarabangsa. Demikian pula, mustahillah kita patut melahirkan pengguna bahasa yang menguasai kemahiran komunikatif tetapi gagal menguasai kemahiran linguisitk, kerana kemahiran linguistik merupakan asas kemahiran komunikasi.

Matlamat pendidikan bahasa menurut kaca mata Islam, sebagaimana yang saya rumuskan dalam disertasi kedoktoran saya, bertitik tolak pada empat tujuan pokok. Pertama, menyempurnakan konsep diri manusia, baik di peringkat individu mahupun masyarakat, kerana bahasa merupakan salah satu unsur utama pembentuk konsep diri manusia yang sama pentingnya dengan akal. Kedua, pendidikan bahasa menjadi asas pemerolehan dan pengembangan bahasa, selaras dengan tuntutan menguasai ilmu kepada manusia. Oleh itu bahasa perlu dikuasai sebagai ilmu asas untuk pemerolehan dan pengembangan ilmu-ilmu umum dan khusus, dan hal ini telah ditegaskan oleh Imam al-Ghazali dalam Ihya Ulumuddin.

Ketiga, pendidikan bahasa menjadi wahana penyaluran sistem nilai, pandangan sarwa dan segala unsur budaya masyarakat untuk kesinambungan tamadun manusia. Keempat, pendidikan bahasa membuka ruang penelitian tentang bahasa sebagai satu sistem dan hal ini berkaitan dengan seruan agama agar manusia mengkaji seluruh kejadian di alam buana ini untuk meningkatkan tauhidnya.

[Gambar daripada blog Idris Talu]

No comments:

Post a Comment