Wednesday, January 19, 2011

Puisi: Berpada-padalah


Berpada-padalah

Berpada-padalah
betapa besar citamu akan kuasa
tetaplah tiada upaya tuan hamba
menaklukkan alam semesta

Berpada-padalah
betapa besar citamu akan harta
tetaplah tiada upaya tuan hamba
memiliki sekalian isi buana

Berpada-padalah
betapa besar citamu akan sekalian permata hati
tetaplah tiada upaya tuan hamba kekal dikasihi
membawa mereka bersama di kediaman yang sepi

Berpada-padalah
betapa besar citamu akan puja dan puji
tetaplah tiada upaya tuan hamba berperi
sekalian itu belum pasti dikira bakti

Berpada-padalah
betapa besar citamu akan martabat yang tinggi
tetaplah tiada upaya tuan hamba mencari
justeru yang mengabsahkannya hanya Rabbul Izzati

Berpada-padalah
betapa besar luka di hati angkara manusia
tetaplah tiada upaya tuan hamba membalas kesumat di dada
kerana ada Pembalas yang adil lagi saksama

Berpada-padalah
betapa besar hilangnya laba angkara si lancung
tetaplah tiada upaya tuan hamba menghindari yang lampung
kerana di sana akan digantikan dengan yang tidak terhitung

Berpada-padalah
kerana tiadalah selamanya kita akan bermukim di sini
ke alam persinggahan yang pasti tidak dapat kita mungkiri
untuk kemudian diadili ke kediaman mulia atau hina yang abadi

~Kembara Bahasa~
Kuala Lumpur, 19 Januari 2011

2 comments:

  1. Salam, Prof,
    Sangat baik dibaca pemburu kuasa dan saya sendiri, apakala membacanya terasa bahawa semakin banyak amal, semakin sedikit yang dihitung.

    ReplyDelete
  2. Salam, Sdr. Zul,

    Untuk tazkirah kepada diri saya sendiri juga. Kita sering terjebak dalam "hubbud dunya" (cinta kepada dunia) sehingga kadang-kadang perhitungan dan keputusan kita lebih condong kepada yang duniawi daripada yang ukhrawi.

    ReplyDelete