Wednesday, January 19, 2011

Soal Jawab Bahasa (13): Perihal "Kata Pengantar" dan "Kata Penghantar"


Perihal "Kata Pengantar" dan "Kata Penghantar"

Sering digunakan "kata pengantar" untuk "preface" dalam bahagian prelim buku. Apakah kata dasarnya - adakah 'antar' atau 'hantar'?

~KAMA,Seberang Perai~

Penjelasan:

Memang kebanyakan orang/penerbit menggunakan "kata pengantar' sebagai padanan 'preface' dalam bahagian prelim buku. Sukar difahami bagaimanakah kata "pengantar" dikatakan terbit daripada kata 'hantar' seperti yang dihuraikan dalam kamus. Ke manakah hilangnya 'h' sehingga 'hantar' menjadi 'antar'? Apakah proses morfologi yang berlaku?

Maka saya berpegang pada bentuk 'kata penghantar' sebagai bentuk yang tepat. Kehilangan 'h' dijelaskan oleh sesetengah ahli bahasa di Indonesia sebagai proses 'aus bahasa', iaitu pengguguran unsur tertentu (dalam hal ini bunyi/huruf 'h'). Tetapi proses aus bahasa itu berlaku dalam bahasa lisan.

Saya dapati dalam Penyata Razak 1956, iaitu penyata pendidikan yang kemudian menjadi asas Akta Pendidikan 1961 dan kemudian Akta Pendidikan 1996, ada penggunaan 'bahasa penghantar' untuk padanan 'medium of instruction' dan saya kira itulah bentuk yang tepat. Orang pada waktu itu masih mempertahankan huruf 'h' tetapi kerana kurang peduli tentang bahasa yang baku, maka lama-kelamaan huruf itu mengalami aus bahasa dalam pertuturan, dan kemudian melarat pula dalam bahasa tulisan.

Demikianlah pandangan saya, wallahu a`lam.

No comments:

Post a Comment