Sunday, March 20, 2011

Peranan Bahasa Melayu dalam Pembinaan Negara


PERANAN BAHASA MELAYU DALAM PROSES PEMBINAAN NEGARA

Awang Sariyan
[Petikan satu bahagian dalam kertas kerja penulis]

Bahasa Melayu sejak lebih daripada satu alaf telah memiliki martabat sebagai bahasa dan tamadun besar. Sejak abad ke-7 Masihi, bahasa Melayu telah menjadi bahasa kerajaan, bahasa perdagangan, bahasa pengajian agama dan lingua franca bagi rantau Kepulauan Melayu di bawah kerajaan Sriwijaya. Pada zaman Kesultanan Melayu dari sekitar abad 13 hingga abad 19, bahasa Melayu mencapai puncak kegemilangan sebagai bahasa tamadun Melayu baharu, dengan menjadi bahasa pentadbiran, bahasa diplomasi, bahasa undang-undang, bahasa ilmu dan falsafah, bahasa perdagangan, bahasa ketatanegaraan dan bahasa sastera tinggi (Awang Sariyan, 2002, 2005, 2009, 2010).

Kebudayaan Melayu secara langsung pula telah menjelma menjadi kebudayaan yang definitif di rantau ini sehingga rantau ini dikenal sebagai Kepulauan Melayu atau alam Melayu kendatipun pola demografi rantau ini pada hakikatnya menunjukkan kerencaman komposisi penghuninya. Jika berdasarkan hakikat wujudnya beratus-ratus bahasa yang dikelompokkan dalam keluarga bahasa Nusantara (sebagai cabang bahasa Austronesia) di rantau ini, ternyata bahawa bangsa Melayu sebagai satu kumpulan etnik hanya merupakan satu daripda ratusan kumpulan etnik tersebut. Namun kebitaraan tamadun Melayu, terutama disebabkan adanya kekuatan kuasa politik, ekonomi dan kebudayaan (termasuk kekuatan bahasanya) telah memungkinkan identifikasi rantau ini dengan citra Melayu. Kini digunakan juga istilah dunia Melayu untuk merujuk kepada rantau yang diwakili oleh Malaysia, Indonesia, Brunei dan beberapa wilayah negara serantau yang mewarisi tamadun Melayu, misalnya Thai selatan, Singapura, Filipina selatan, Kemboja, Vietnam, dan Myanmar.

Maka itu, tidaklah menghairankan apabila sarjana Belanda Francois Valentijn mengungkapkan kebitaraan bahasa Melayu pada abad ke-16 sebagai yang berikut:

“Bahasa mereka, bahasa Melayu, bukan saja dituturkan di daerah pinggir laut, tetapi juga digunakan di seluruh kepulauan Melayu dan di segala negeri-negeri Timur, sebagai suatu bahasa yang difahami di mana-mana saja oleh setiap orang, tidak ubah seperti bahasa Perancis atau Latin di Eropah, atau sebagai bahasa Lingua Franca di Itali dan di Levant. Sungguh luas tersebarnya bahasa Melayu itu sehingga kalau kita memahaminya tidaklah mungkin kita kehilangan jejak, kerana bahasa itu bukan saja dimengerti di Parsi bahkan lebih jauh dari negeri itu, dan di sebelah timurnya sehinggan Kepulauan Filipina.” (Nik Safiah Karim, et al., 2004)

Kebitaraan bahasa Melayu pada abad ke-16 dan ke-17 dapat dirumuskan dengan kenyataan bahawa bahasa tersebut telah mencapai taraf bahasa antarabangsa, terutama dengan kedudukannya sebagai bahasa diplomatik, lingua franca, bahasa perdagangan sedunia, bahasa penyebaran agama besar dunia dan bahasa sastera (Collins, 1999; Awang Sariyan, 2000; Hassan Ahmad, 2002).

Martabat bahasa Melayu dilunturkan oleh penjajah (Belanda di Indonesia dan Inggeris di Malaysia) dengan menurunkan darjat bahasa itu daripada bahasa besar dan bahasa perhubungan luas menjadi bahasa setempat atau bahasa vernakular yang disempitkan fungsinya hanya sebagai bahasa perhubungan sehari-hari dan lebih untuk lingkugan masyarakat Melayu. Dalam zaman penjajahan Inggeris, bahasa Melayu disetarafkan dengan bahasa keturunan yang dibawa masuk oleh Inggeris untuk kepentingan ekonomi, iaitu keturunan Cina dan India dengan menjadikannya bahasa penghantar di sekolah vernakular Melayu, sama halnya dengan bahasa Cina di sekolah vernakular Cina dan bahasa Tamil di sekolah vernakular India.

Penjajah Inggeris benar-benar telah melaksanakan dasar pecah-belah dan perintahnya dan pada waktu yang sama telah membenamkan bahasa dan budaya Melayu ke lumpur pekat sehingga sirna sinar bahasa bitara itu di negaranya sendiri. Sistem pentadbiran dan undang-undang yang pada zaman kesultanan Melayu didasarkan pada asas kemelayuan (dengan Islam sebagai tunjangnya) telah dirobah oleh Inggeris dengan menggunakan sistem sekularnya. Apabila kini umat Melayu Islam di negara ini bertelagah tentang pelaksanaan undang-undang yang berdasarkan Islam, sebenarnya punca utamanya disebabkan kejayaan Inggeris memusnahkan asas keperibadian kebudayaan kita dengan dasar sekularnya.

Dalam bidang bahasa dan pendidikan, terang bahawa bahasa Melayu hanya menjadi bahasa penghantar sekolah Melayu yang terbatas pula jangkauan bidang ilmu dan kemahirannya. Hal ini bukan suatu kebetulan, sebaliknya direncanakan dengan cukup kemas oleh penjajah Inggeris, semata-mata untuk menutup kemungkinan anak watan dapat muncul sebagai bangsa berwibawa dan dengan demikian berupaya membebaskan negara daripada cengkaman penjajahan. Dokumen-dokumen rasmi kerajaan Inggeris dengan jelas merakamkan perencanaan itu. Antaranya termasuklah:

“…memberikan pelajaran permulaan yang membolehkan seorang kampung menyimpan peringatan-peringatan mudah dan dengan demikian melindungkan dia daripada penipu-penipu yang tidak bertimbang rasa….” (Annual Departmental Reports, S.S. 1903)

“Pendidikan vernakular mengajar budak-budak Melayu membaca dan menulis Melayu, Ilmu Kira-kira, Ilmu Alam dan Rumi. Pelajaran sebanyak ini akan menjadikan mereka berperaturan, taat dan bersih dan sesuai untuk menjadi mata-mata, peon, kerani kastam, pekerja Jabatan Hutan dan penyelia lombong. Setakat itu baguslah.”
(Minit Residen British Negeri Sembilan kepada Residen Jeneral, 14 Jun 1898)

Pendidikan Melayu yang asalnya untuk tempoh enam tahun pun dikurangkan menjadi empat tahun sahaja pada tahun 1885 (Awang Had Salleh, 1980), sejajar dengan dasar penjajah yang tidak berhasrat mewujudkan anak watan berwibawa.

Jawatankuasa Barnes (1951) memperlihatkan perubahan pandangan sedikit tentang bahasa Melayu apabila mengakui pentingnya bahasa Melayu dalam membentuk sistem pendidikan yang bersifat kebangsaan, tetapi masih tetap mengutamakan pendidikan dalam bahasa Inggeris kerana bahasa Melayu tetap setakat menjadi bahasa penghantar di peringkat sekolah rendah sahaja. Usulnya agar sistem pendidikan hanya berlandaskan dua bahasa penghantar, iaitu bahasa Inggeris dan bahasa Melayu ditentang kuat oleh masyarakat Cina dan India.

Menjelang kemerdekaan, usaha memartabatkan semula bahasa Melayu telah diupayakan, khususnya oleh Jawatankuasa Pelajaran Razak 1956 yang menetapkan dasar pendidikan kebangsaan dengan berteraskan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama. Usul Jawatankuasa tersebut (yang dikenal sebagai Penyata Razak) dan kemudian diperkuat olah usul Jawatankuasa Penyemakan Pelajaran Abdul Rahman Talib 1960 (yang dikenal sebagai Penyata Rahman Talib) telah dijadikan asas penggubalan Akta Pelajaran 1961 yang selama 35 tahun menjadi asas sistem pendidikan kebangsaan sebelum diluluskan Akta Pendidikan 1996. Malah akta pendidikan yang baharu itu pun, khususnya dalam Seksyen 17, masih mempertahankan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar utama sistem pendidikan negara.

Setahun menjelang kemerdekaan juga, peristiwa penting yang berkaitan dengan usaha memartabatkan semula bahasa Melayu ialah Penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka (dengan pejabat awalnya di Bukit Timbalan, Johor Bahru) dan Institut Bahasa (dengan kampus pertamanya di Bukit Senyum, Johor Bahru), sebagai hasil desakan rakyat melalui Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu, khususnya Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ketiga (1956).

Kesediaan kerajaan pada waktu itu memenuhi tuntutan rakyat merupakan kebjiksanaan yang tepat untuk mempersiapkan bahasa Melayu sebagai bahasa yang berupaya menjadi wahana bidang-bidang utama tamadun bangsa dan negara, khususnya melalui perancangan korpus bahasa dalam bidang kosa kata (umum dan khusus), sistem ejaan, tatabahasa, sebutan dan laras bahasa.

Selama hampir setengah abad negara menikmati kemerdekaan, bahasa Melayu telah menjadi salah asas pembinaan negara yang penting melalui tiga fungsi utamanya, iaitu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu.

Sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu telah berhasil menjadi asas terbentuknya konsep negara yang berdaulat dan telah menjadi faktor pemersatuan rakyat yang ampuh untuk membentuk perpaduan kebangsaan.

Sebagai bahasa rasmi pula, bahasa Melayu telah menjadi wahana komunikasi rasmi yang menggerakkan jentera pentadbiran kerajaan dalam membangunkan negara dalam pelbagai sektor. Sektor utama negara seperti pentadbiran, pendidikan, undang-undang dan kehakiman serta media massa menjadi lancar dan mencapai tahap kecekapan melalui bahasa Melayu sebagai wahana utamanya.

Sebagai bahasa ilmu, bahasa Melayu telah memungkinkan berlangsungnya pendemokrasian pendidikan apabila sejumlah besar generasi muda mendapat peluang belajar dalam bahasa kebangsaan, tanpa kekangan faktor taraf sosioekonomi dan pengasingan etnik serta keeklusifan bahasa penghantar ilmu yang dahulunya didominasi oleh bahasa Inggeris. Jutaan lepasan sekolah aliran kebangsaan telah terhasil dan merekalah yang menjadi tonggak pembangunan negara dalam pelbagai bidang.

Meskipun pada tahap pengajian tinggi, khususnya yang melanjutkan pengajian di luar negara, mereka memperoleh ilmu dalam bahasa asing, kenyataan yang tidak dapat dinafikan ialah bahawa sehingga peringkat menengah atas sekurang-kurangnya, iaitu peringkat yang memberikan ilmu dan kemahiran asas kepada pelajar, pendidikan disampaikan dalam bahasa kebangsaan.

Namun, apabila ada tindakan berpatah kembali untuk menjadikan bahasa lain sebagai wahana bidang-bidang utama kenegaraan itu, khususnya melalui bidang pendidikan, maka martabat bahasa Melayu sudah mula tergugat. Pengurangan fungsi dan peminggiran bahasa Melayu dalam bidang-bidang yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan, Akta Bahasa Kebangsaan, Akta Pendidikan dan Akta Dewan Bahasa dan Pustaka secara langsung akan menjejaskan martabat bahasa Melayu sebagai salah satu asas jati diri dan tonggak pembinaan negara.

3 comments:

  1. Harapan kita semoga Kerajaan Malaysia, khususnya Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi tidak akan lemah dan tunduk akan desakan mereka yang anti Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa ilmu negara. Kita lihat negara German, Jepun, China dan banyak lagi negara lain, apakah mereka maju disebabkan bahasa Inggeris? Apakah rakyat Malaysia, khususnya Orang Melayu itu betul sebutan dan tatabahasa Melayunya? Membezakan perkataan "baru" dengan "baharu", "pedalaman" dengan "pendalaman", "pekarangan" dengan "perkarangan", antara kata depan dengan kata terbitan pun banyak yang keliru. Kementerian Pelajaran jangan hanya menitikberatkan kesalahan ataupun kelemahan rakyat dalam penggunaan bahasa Inggeris, lihat juga kesalahan dan kelemahan rakyat dalam penggunaan bahasa kebangsaan kita, iaitu Bahasa Melayu. Bersama-samalah kita mengangkat Bahasa Melayu sebagai salah satu bahasa dunia.

    ReplyDelete
  2. salam dan syabas untuk anda yms . Terkadang kita rasa malu( Kita?) Pertandingan Pidato Bahasa Melayu Peringkat Dunia di adakan di negara ini tetapi dasar PPSMI yang memetingkan murid-murid sekolah rendah belajar matematik dan sains dalam bahasa Inggeris.Kata mengagungkan bahasa kebangsaan tetapi hendak mansuhkan dasar PPSMi ini pun mengambil masa ..dua tahun lagi atau entah jadi atau tidak hendak dimansuhkan.. menetapkan dasar yang memusnahkan masa hadapan sebahagian besar anak-anak bangsa secara segera..tidak boleh tidak.. mesti buat..ikut..kalau tak ikut dikatakan penentang kemajuan... guru di sekolah yang bercakap bahasa Inggeris seperti bunyi ayam belajar bersiul seperti burung dipaksa menjalankan tugas mengajar sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris. Berapa peratus guru-guru ini menggunakan bahasa Inggeris untuk mata pelajaran ini? dasar yang sebenarnya tidak berjaya tetapi masih diteruskan .Elaun 10 persen daripada gaji diterima bukannya membeli alat-alat bantu mengajar PPSMI tetapi buat beli harta dan tayang kereta baru menjalar..mengajar di dalam kelas Berapa peratus agaknya menggunakan bahasa Inggeris? 100 peratus? 80peratus? entah-entah mengajar istilah sahaja dalam bahasa Inggeris yang lain bahasa rojak mee bandung..malangnya nasib guru-guru yang mengajar Bahasa Kebangsaan.. melihat rakan-rakan guru PPSMI mendapat habuan setiap bulan 10 persen(walaupun menggunakan 80 atau 90 peratus dalam bahasa Melayu) mereka guru-guru mengajar bahasa Kebangsaan bertungkus-lumus hendak membetulkan kesalahan struktur ayat,perkataan dan sebagainya mengenai tatabahasa bahasa Melayu dalam penulisan tidak dibela..entahlah pening memikirkannya...

    ReplyDelete
  3. Saya setuju dengan pandangan saudara

    ReplyDelete