Saturday, March 19, 2011
Peranan Pendidikan Bahasa dalam Pembinaan Tamadun
PERANAN PENDIDIKAN BAHASA DALAM PEMBINAAN TAMADUN
[Petikan satu bahagian dalam kertas kerja penulis]
Awang Sariyan
Dalam bahagian di atas, telah disebut bahawa pendidikan muncul serentak dengan wujudnya manusia. Telah disebut juga bahawa proses pendidikan pada masyarakat merupakan proses pewarisan kebudayaan daripada satu generasi kepada satu generasi. Pada peringkat individu pula, pendidikan bererti pengembangan potensi-potensi yang ada pada diri seseorang. Ketiga-tiga hal itu berkaitan secara langsung dengan soal pertalian antara bahasa dan pendidikan bahasa dengan pendidikan umum.
Pertama, fakta bahawa pendidikan bermula bersama-sama dengan wujudnya manusia berkaitan dengan hakikat bahawa bahasa merupakan unsur yang dimiliki manusia sejak munculnya manusia pertama di dunia, iaitu Nabi Adam a.s. dan sekali gus memberikan pemahaman bahawa bahasa merupakan jati diri asas makhluk manusia. Ulama-ulama Islam dari zaman ke zaman mengistilahkan manusia sebagai haiwan natiq (rational animal), dengan kata natiq itu, selain merujuk kepada akal, sebenarnya turut merujuk juga kepada pertuturan atau bahasa (al-Attas, 1991: 13-14). Jadi haiwan natiq atau haiwan rasional itu ialah makhluk yang kewujudannya ditandai oleh adanya akal dan adanya ciri atau kemampuan "berbahasa".
Menurut ajaran Islam, Nabi Adam a.s sebagai manusia pertama yang diciptakan Allah s.w.t. telah diberi ilmu bahasa oleh Allah dalam bentuk pengenalan tentang nama sekalian kejadian alam. Nama itu pula bukan sekadar kata-kata yang merujuk kepada bentuk konkrit kejadian alam, bahkan tersirat di dalamnya keterangan tentang sifat dan kualiti setiap kejadian itu (Abdullah Yusuf Ali, 1983: 24, nota 48). Menurut kupasan al-Attas (1993: 139) pula, nama-nama yang diajarkan Allah itu merujuk kepada ilmu tentang segala sesuatu (al-' ilm al-ashya'):
"Dan Dia (Allah) telah mengajar Nabi Adam tentang nama segala benda dan gunanya." (al-Baqarah: 31)
Berkaitan dengan perihal Nabi Adam a.s sebagai manusia pertama itu telah dikurniai keupayaan berbahasa, dapat pula diperlihatkan pertalian yang kedua antara pendidikan bahasa dengan pendidikan umum, iaitu bahawa pendidikan berlaku melalui bahasa sebagai wahananya. Pendidikan yang diberikan dalam bentuk pengurniaan ilmu tentang nama seluruh kejadian alam (termasuklah segala sifat dan kualitinya) jelas menggambarkan peri pentingnya dwiperanan bahasa, iaitu bahasa sebagai suatu cabang ilmu dan juga bahasa sebagai wahana penyerapan ilmu ke dalam diri manusia.
Inilah dua perspektif pendidikan bahasa yang cukup penting dan relevan untuk sepanjang zaman. Yang pertama, bahasa sebagai suatu cabang ilmu perlu dipelajari sebagaimana sains perlu dipelajari untuk mengenal binaan dan strukturnya serta fungsinya dalam kehidupan manusia, dalam rangka mengenal dan mengakui kebesaran Allah sebagai pencipta segala sesuatu, termasuk bahasa. Yang kedua, bahasa sebagai wahana penyerapan atau penyampaian ilmu menjadi alat terpenting dalam proses pendidikan keseluruhannya. Dengan menggunakan istilah dalam pendidikan moden mutaakhir, bahasa sebagai wahana ilmu itu disebut "bahasa merentas kurikulum" (language across the curriculum) (Bullock, 1976: Marland, 1977; Greenwood, 1985; Halliday, 1985; Tickoo, 1986).
Dalam firman yang lain, Allah s.w.t menjelaskan pendidikan bahasa yang diberikan-Nya kepada manusia keseluruhannya. Terjemahan firman itu berbunyi:
"Tuhan yang amat pemurah serta melimpah-limpah rahmat-Nya. Dialah yang telah mengajarkan al-Quran. Dialah yang menciptakan manusia. Dialah yang telah memungkinkan manusia pandai berbicara." (al-Rahman : 1 - 4)
Bahkan wahyu pertama yang diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad s.a.w., secara khusus memberikan isyarat yang jelas tentang pentingnya pendidikan bahasa pada manusia. Firman Allah s.w.t dalam terjemahannya berbunyi:
"Bacalah dengan nama Tuhanmu yang menciptakan (manusia). Dia telah menciptakan manusia daripada segumpal darah. Bacalah, dan Tuhanmulah yang paling pemurah, yang mengajar manusia dengan perantaraan kalam (kemahiran menulis dan membaca). Dia mengajar manusia apa-apa yang tidak diketahuinya." (al-'Alaq: 1 - 5)
Dalam ayat tersebut, dengan jelas ditekankan oleh Allah s.w.t. pentingnya membaca sebagai salah satu kemahiran berbahasa dan bagaimana Allah mengajar manusia dengan menggunakan bahasa (kalam) sebagai wahananya. Pengertian “membaca” dalam ayat itu bukan sekadar membaca secara mekanis, tetapi membaca yang fungsional, iaitu berfikir, menaakul, menafsirkan, merumuskan, menyelidik dan yang lain.
Pengurniaan bahasa oleh Allah s.w.t kepada manusia itulah yang memungkinkan berlakunya pendidikan pada peringkat masyarakat, iaitu pewarisan kebudayaan daripada generasi kepada generasi. Tanpa bahasa, tidak akan wujud konsep-konsep yang mendukung pengertian setiap unsur kebudayaan. Tanpa bahasa juga tidak mungkin berlaku komunikasi yang sempurna untuk mewujudkan keadaan saling faham antara anggota masyarakat dalam zaman yang berlainan. Sebaliknya, melalui bahasa yang mapan sistemnya dari zaman ke zaman, dapatlah berlaku proses pewarisan kebudayaan itu.
Peranan bahasa sebagai wahana pendidikan dapat juga kita fahami dengan menginsafi bahawa pendidikan yang disampaikan oleh Allah s.w.t kepada para rasul adalah melalui bahasa sebagai wadahnya. Bahkan mucjizat terbesar yang diberikan Allah s.w.t kepada Nabi Muhammad s.a.w. ialah bahasa, iaitu al-Quran yang menampung segala wahyu Allah, dengan pengertian bahawa wahyu itu ialah kandungan bagi proses pendidikan, sementara bahasa (kalam) ialah wahananya.
Hakikat bahasa sebagai wahana ilmu dan pendidikan ini dengan jelas diterapkan oleh Imam al-Ghazali, mujtahid yang hidup dari pertengahan abad ke-11 hingga awal abad ke-12 Masihi, dalam skema hierarki ilmu atau pengelasan ilmu yang terpuji, iaitu ilmu yang diredhai dan dituntut oleh agama Islam sebagai lawan ilmu yang tercela (al-Ghazali, 1980: 85). Beliau membahagi ilmu itu kepada empat kategori, iaitu ilmu yang bertaraf pokok, cabang, mukadimah, dan pelengkap.
Ilmu pokok terdiri daripada empat sumber, iaitu kitab Allah, Sunnah Rasul, ijmak umat, dan warisan para sahabat. Ilmu cabang pula terdiri daripada ilmu-ilmu duniawi dan ilmu ukhrawi (khususnya ilmu akhlak). Ilmu mukadimah atau ilmu asas ialah ilmu yang merupakan alat untuk mengetahui isi kitab Allah dan sunnah Rasul. Ilmu alat itu terdiri daripada ilmu bahasa dan tatabahasa yang, walaupun tidak termasuk dalam ilmu syariah, perlu dipelajari untuk keperluan agama, kerana semua agama lahir melalui bahasa (al-Ghazali, 1980: 86). Yang keempat, iaitu ilmu pelengkap ialah ilmu tentang al-Qur'an (tajwid, qiraah atau pembacaan, tafsir, hukum, usul fiqh) dan ilmu penyempurna tentang sunnah Nabi seperti perawi-perawi hadith. (Tentang pengelasan ilmu menurut al-Ghazali ini, lihat juga Osman Bakar, 1992: Zawawi Hj. Ahmad, 1988, dan Yaacob Yusoff, 1991).
Skema hierarki ilmu menurut rumusan al-Ghazali itu dengan jelas meletakkan ilmu bahasa dan tatabahasa serta pelbagai cabang ilmu linguistik sebagai ilmu asas atau ilmu bantu yang cukup penting untuk maksud pemerolehan dan penyebaran ilmu keseluruhannya. Hal ini dengan jelas pula memperlihatkan pertalian yang erat antara pendidikan bahasa dengan pendidikan umum, khususnya dalam konteks fungsi bahasa sebagai wahana pemerolehan dan penyebaran ilmu, atau dengan kata lain "bahasa merentas kurikulum".
Selanjutnya, yang ketiga ialah pertalian antara pendidikan bahasa dengan pendidikan umum, dilihat daripada segi pendidikan pada peringkat individu. Telah disebut dalam bahagian subjudul kedua tadi bahawa pendidikan pada peringkat individu berlaku dalam bentuk pengembangan potensi-potensi yang ada pada diri manusia. Telah disebut juga bahawa salah satu potensi yang ada pada diri manusia ialah potensi intelek (akal). Salah satu cabang potensi intelek itu pula ialah potensi berbahasa.
Sehubungan dengan itu, pendidikan bahasa berperanan mengembangkan potensi berbahasa tersebut agar individu itu dapat menjalani kehidupan sebagai manusia yang mampu melaksanakan amanah dan tanggung jawab sebagai khalifah Allah di muka bumi, dengan berasaskan konsep bahasa sebagai tunjang kebudayaan dan tamadun.
Pertalian antara pendidikan bahasa dengan pendidikan umum pada peringkat individu dapat juga dijelaskan dengan meninjau hubungan antara bahasa dengan diri, akal, dan ilmu. Diri manusia, sebagaimana yang dijelaskan oleh Allah s.w.t. dalam al-Quran, Surah al-Hijr, ayat 26 - 29 dan Surah al-Mu'minun, ayat 12 - 14 terdiri daripada dua bahagian, iaitu jasad dan ruh. Jasad dikenal sebagai diri yang zahir, sementara ruh dikenal sebagai diri yang batin, iaitu diri yang hakiki.
Selain al-ruh, diri yang batin dalam al-Quran di sebut juga al-qalb, al-nafs, dan al-'aql (kalbu, nafsu, dan akal) (al-Attas, 1991: 1 - 2). Bahasa merupakan bahagian atau fakulti ilmu yang terletak dalam akal dengan pengertian bahawa bahasa pada asasnya ialah satu fitrah atau innate yang sedia ternurani dalam akal apabila manusia lahir ke dunia (Hashim Musa, 1980: 67 dan 1991: 17 - 24).
Teori kenuranian bahasa ini dibincangkan juga oleh ahli-ahli falsafah Barat dari zaman Plato, lima abad sebelum Masihi hingga ke zaman ahli-ahli falsafah rasionalis Barat abad ke-17 dan ke-18 seperti Descartes, Kant, dan Cudworth, dan kemudian diperdalam oleh ahli-ahli bahasa abad ke-20 seperti Chomsky, Katz, dan Fodor (Hashim Musa, 1991: 21).
Sebagai salah satu fakulti ilmu dalam akal, bahasa berfungsi sebagai wahana penerimaan ilmu pada diri manusia. Hal ini digambarkan oleh fenomena komunikasi antara Tuhan dengan manusia di alam arwah sebelum manusia lahir ke dunia, iaitu komunikasi terpenting yang berkaitan dengan pengisytiharan janji setia makhluk kepada Khaliqnya tentang ketuhanan Allah. Fenomena tersebut digambarkan Allah dengan firman yang terjemahannya berbunyi:
"Dan ingatlah ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka, dan Aku (Tuhan) mengambil kesaksian daripada mereka: Bukankah Aku tuhanmu? Mereka (keturunan anak-anak Adam) menjawab: Benar, bahkan kami bersaksi. Dengan demikian kamu tidak akan berkata pada hari kiamat kelak: Sesungguhnya kami tidak diberi peringatan tentang hakikat tauhid ini."
(al-A'raf: 172)
Komunikasi antara Khaliq dengan manusia di atas itu ditafsirkan oleh para ulama sebagai titik tolak penerimaan ilmu oleh manusia daripada Allah melalui perantaraan bahasa, khususnya ilmu tentang hakikat Allah dan hakikat diri manusia itu sendiri. Hal ini sesuai dengan hadith Rasulullah s.a.w yang berbunyi: "Permulaan agama ialah mengenal Alllah" dan pepatah ahli-ahli tasawuf yang berbunyi: "Barangsiapa yang mengenal dirinya, maka kenallah ia akan Tuhannya." (Kupasan yang mendalam tentang pentingnya ayat 172 Surah al-A'raf ini dapat dibaca dalam al-Attas, 1977, 1978, 1990, 1991, dan 1995).
Selain itu, fenomena tersebut membuktikan bahawa manusia telah sedia dikurniai ilmu yang berkaitan dengan keupayaan berbahasa dalam alam arwah lagi. Hal ini erat kaitannya dengan Hipotesis Kenuranian Bahasa yang dikemukakan oleh ahli-ahli linguistik rasionalis-mentalis seperti Plato, Descartes, Kant, Cudworth, Chomsky, Fodor, dan Katz.
Kesimpulan penting daripada perbincangan tentang hubungan antara bahasa, akal, diri, dan ilmu ialah bahawa bahasa menjadi alat akal untuk pemerolehan dan pengembangan ilmu dalam rangka pembinaan dan pengembangan konsep diri atau jati diri manusia.
No comments:
Post a Comment