Monday, April 18, 2011
Erti dan Nilai Nama bagi Orang Islam di China
Erti dan Nilai Nama bagi Orang Islam di China
Apatah yang ada pada nama? Demikian yang biasa kita dengar ucapan klise kebanyakan orang. Di negara kita, dalam kalangan orang Melayu masih banyak nama yang bersumberkan tradisi etnik meskipun nama yang bersumberkan Islam memang meluas. Nama saya sendiri diberikan oleh orang tua saya berdasarkan nama panggilan yang umum dalam kalangan masyarakat Melayu, meskipun keluarga saya berketurunan Jawa.
Saya sendiri tidak pasti mengapa saya diberi "nama Melayu" walhal menjadi tradisi orang Jawa "membeli nama" apabila naik haji. Nama yang dibeli daripada Syekh haji di Makkah ialah nama nabi atau keluarga nabi, nama yang berdasarkan nama Allah (dengan ditambah 'Abdul' di hadapannya yang bererti 'hamba' atau nama sahabat nabi. Moyang saudara saya (datuk saudara ayah saya) sendiri yang nama asalnya Embah Dhono (saya tidak pasti nama penuhnya) menukar nama menjadi Haji Ilyas apabila menunaikan haji.
Pokoknya, nama orang Melayu yang pada asasnya Islam (dengan tidak memperhitungkan Melayu yang murtad atau yang mungkin ateis)di negara kita tidak pernah menjadi isu atau persoalan yang berkaitan dengan agama anutannya, iaitu Islam. Namun, berbeda sekali halnya dengan yang berlaku di negara China.
Meskipun nama rasmi, atas tuntutan dasar negara, setiap orang memiliki nama China, namun setiap orang Islam lazimnya mempunyai "nama Islam"nya. Dalam salah satu misi tinjauan saya ke provinsi yang jumlah penduduk Islamnya agak besar, saya pernah beberapa kali ditanya oleh seorang Ahong (imam) sebuah masjid yang saya kunjungi sama ada saya muslim.
Riak wajahnya memamerkan rasa ragu walaupun saya mengesahkan keislaman saya. Puncanya ialah nama saya. Nama itu amat asing baginya, tentu kerana tidak bersumberkan nama nabi atau sahabat Rasulullah, atau paling tidak yang berbunyi kearab-araban. Demikianlah orang Islam di China mementingkan "nama Islam" sebagai asas "makna diri" atau identiti keislamannya.
Maka itu, di sisi mempunyai nama China sebagai nama rasmi untuk keperluan kenegaraan (pendaftaran sebagai warganegara, persekolahan, pekerjaan, urusan bank dan yang lain), dapat dikatakan bahawa setiap orang Islam di negara itu mempunyai "nama Islam" masing-masing.
Nama mereka umumnya bersumberkan nama para nabi dan sahabat Nabi yang masyhur. Antaranya, yang popular ialah Adam, Yusuf, Yunus, Musa, Daud, Ibrahim, Ismail, Nuh, Yaakub, Ishak, Ali, Hakim, Ahmad, Muhammad dan beberapa yang lain. Oleh sebab agak banyak yang memiliki nama Islam yang sama, mungkin sahaja timbul kekeliruan untuk mengenal pasti seseorang yang kita sebut atau kita ceritakan kepada orang lain dalam kalangan mereka.
Dalam keadaan begitu, perlu disebut nama Chinanya. Jika nama Chinanya tidak dapat kita ingat, perlu dinyatakan maklumat lain tentang diri orang berkenaan, seperti usianya, pekerjaannya atau ciri fizikalnya supaya lawan bicara kita tidak tersalah orang.
Ada juga yang menggabungkan dua nama seperi Muhammad Ibrahim, Ibrahim Nuruddin, Muhammad Ishak dan sebagainya. Nama lain yang agak jarang saya temukan tetapi ada digunakan, antara lain termasuklah Saldin dan Jamaludin.
Jelas bahawa di China, ungkapan "apatah yang ada pada nama" tidak benar bagi penduduknya yang beragama Islam. Mereka amat bangga memiliki "nama Islam" kerana nama itu amat rapat dengan tokoh yang namanya diambil itu. Manatah tidak, mereka mengambil nama para nabi, Nabi Muhammad sendiri dan para sahabat Nabi yang kesemuanya merupakan hamba pilihan Allah.
Yang lebih asas, nama itu menjadi bukti bahawa mereka ialah penganut agama Islam, dan dengan "nama Islam" itulah mereka menjalin ukhuwwah dalam kalangan masyarakat Islam di negara sendiri dan juga dengan orang Islam di luar negara.
~Kembara Bahasa~
Sesudah Subuh 19 April 2011
Salam, Prof,
ReplyDeleteSejujurnya, saya sangat suka nama Awang dan saya harus berasa kagum terhadap Almarhum ayahanda Prof yang mencintai nama yang sangat Melayu itu.
Kebetulan orang yang namanya berpangkalkan abjad A di negara kita banyak yang menjadi pakar bahasa Melayu - Allayarham Pak Asraf, Prof Emeritus Asmah Omar, Prof Emeritus Abdullah Hassan, Abdul Hamid Mahmood, Ahmad Johari Moain, dan Prof Awang sendiri.
Barangkali Almarhum Ayahanda Sariyan sudah bermimpi akan hal ini.
Assalam, Sdr. Zul,
ReplyDeleteSaya tetap bersyukur walau apa pun nama yang diberikan oleh orang tua saya, asal sahaja tidak membawa makna yang buruk. Nama "Awang" itu sebenarnya nama mesra dan juga nama yang diberikan kepada seseorang yang disayangi dalam kalangan masyarakat Melayu. Jika ada pilihan semasa nama saya didaftarkan dahulu, memang saya meminta nama saya didasarkan pada nama salah seorang nabi atau sahabat Nabi.
Oh, sdr. sungguh pemerhati orangnya; saya pun tidak sedar akan sejumlah ahli bahasa Melayu yang berpangkalkan huruf 'A' pada awal namanya.
Biar apa pun, akhirnya taqwa kita kepada Allah itulah yang diperhitungkan kelak, insya-Allah.
Ya prof..
ReplyDeleteNama adalah anugerah dan doa restu dari ibu dan bapa.
Nama juga lambang keperibadian kita.
Sdr. KN,
ReplyDeleteSoheh. Syukran.